Rabu, 14 Mei 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Pesta Air medium hiburan penduduk

Posted:

Pesta Air medium hiburan penduduk

Pesta Air medium hiburan penduduk

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

RATUSAN kelibat manusia berdiri teguh di gigi laut pesisir pantai Pulau Kekabu, Marang, Terengganu tanpa menghiraukan bahang mentari.

Titisan peluh kelihatan mengalir pada segenap tubuh sambil mata tertumpu tajam pada sebuah bot yang berada kira-kira 300 meter di lautan luas.

Lantas, kelihatan berlari-lari anak, ratusan manusia menempuh lautan dengan satu matlamat apabila isyarat dibunyikan melalui bot berkenaan.

Golongan warga emas sehingga kanak-kanak itu hanya ingin membawa pulang seberapa banyak 100 ekor itik yang dilepaskan ke dalam laut pada Pesta Sukan Air Marang.

Menariknya, terdapat peserta Pertandingan Menangkap Itik yang merupakan acara kemuncak Pesta Sukan Air Marang itu membawa pulang sehingga tiga ekor itik.

Bagaimanapun, tidak semua peserta bernasib baik kerana ada yang pulang ke rumah dengan tangan kosong.

Pertandingan Menangkap Itik itu merupakan salah satu aktiviti yang menjadi tarikan Pesta Sukan Air Marang pada 26 April lalu.

Tidak ke laut

Antara acara menarik yang diadakan termasuk memanjat tiang licin, lumba kayak, istana pasir, pakaian seragam nelayan, dam haji, pertandingan meneka kulit kerang dan berat ikan hidup.

Bahkan, pesta anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah 'menyepi' kira-kira 25 tahun itu sentiasa dinantikan oleh warga Terengganu khususnya penduduk Marang.

Seorang penduduk Mohd. Sulaiman, 63, memberitahu, dia sanggup tidak turun ke laut semata-mata ingin merasai kemeriahan pesta berkenaan.


PESTA Sukan Air dapat mendedahkan permainan tradisional kepada generasi muda.


"Sudah 25 tahun pesta ini tidak diadakan di Marang. Justeru, saya tidak mahu terlepas peluang bersama-sama penduduk lain memeriahkan pesta ini.

"Walaupun ia tidak sama seperti 25 tahun lalu, inisiatif dalam menghidupkan semula Pesta Sukan Air Marang amat dihargai kerana dapat menyemarakkan ukhwah penduduk setempat," katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Mohd. yang menetap di Kampung Kijing, Marang, menambah, dia berharap pihak penganjur dapat menambah lagi acara sukan air pada tahun hadapan.

Katanya, ini merupakan tahun pertama setelah sekian lama menyepi tetapi ia tetap meriah dan dapat mendekatkan penduduk setempat.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Zakaria Dali, 54, berkata, saban tahun pesta sukan air itu sentiasa dinantikan penduduk.

"Kebanyakan penduduk sekitar merupakan nelayan dan pesta sukan air merupakan medium hiburan dan gelak ketawa bersama keluarga selepas pulang dari laut.

"Dulu tak macam sekarang yang banyak hiburan. Masa itu sukan air sudah gah. Pakat datang ramai-ramai tak turun ke laut seharian.

"Dua minggu sebelum pesta, Pok dah mula berlatih. Pok selalu masuk lumba perahu jalur dan ada sekali kumpulan Pok jadi juara," ujarnya ketika ditemui.


DUA penduduk tempatan mengambil peluang mengenakan pakaian tradisional nelayan.


Tambah kenalan

Zakaria yang berasal dari Kampung Paya berkata, melalui pesta itu juga dia berpeluang menambah kenalan dengan belia seusianya dari kampung berlainan.

Sehingga kini, dia memberitahu, hubungan tersebut terus utuh terjalin hingga ke hari ini.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kijing, Zulkifli Mohd., 41, pula memberitahu, dia sangat teruja apabila dimaklumkan pesta berkenaan diadakan semula.

"Sebelum ini, saya tidak pernah merasai kemeriahan pesta berkenaan. Ini merupakan pengalaman pertama saya malah ia cukup meriah.

"Saya sangat tertarik dengan pesta diadakan ini kerana dapat melihat penduduk keluar beramai-ramai bersama keluarga menyertai aktiviti riadah," ujarnya.

Zulkifli menambah, melalui pesta itu juga pelbagai permainan tradisi yang telah dilupakan dapat didedahkan kepada generasi sekarang.

Teruja

Salah seorang pengunjung, Ahmad Asas Abdul Ghani, 22, pula berkata, sebaik sahaja mengetahui tentang penganjuran pesta sukan air itu, dia begitu teruja untuk pulang ke kampung bagi menyaksikan dan menyertai aktiviti yang diadakan.

Dia yang merupakan pelajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak berkata, walaupun hanya dapat menyertai pertandingan lumba kayak tetapi peluang itu sudah cukup bermakna dan akan diingati sampai bila-bila.


PELBAGAI aksi lucu para peserta pertandingan pukul bantal.


"Ini kali pertama saya datang ke pesta sukan air. Selama ini hanya dengar cerita orang tentang aktivitinya yang menarik dan mencuit hati.

"Saya tidak sangka dapat menjadi peserta malah melihat sendiri kemeriahan sukan ini.

"Memang wajar sukan rakyat sebegini diteruskan. Dan saya harap penganjur dapat tambahkan lagi aktiviti-aktiviti untuk memeriahkan lagi sambutan pesta ini di masa depan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Terengganu, A. Latiff Awang berkata, Pesta Sukan Air Marang akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

Katanya, penganjuran acara sukan rakyat seperti itu mampu menarik minat dan merapatkan lagi hubungan seluruh lapisan masyarakat sekali gus mempengaruhi kedatangan pelancong asing ke Terengganu terutamanya di daerah Marang.

"Sekitar 25 tahun dahulu, pesta sukan air merupakan acara tahunan yang meriah dalam kalangan penduduk, jadi kita mahu acara ini diteruskan selaras untuk mengekalkan budaya masyarakat nelayan di Marang agar tidak dilupakan atau ditelan zaman.

"Di Marang, kita sudah ada acara kesenian dan kebudayaan, misalnya pertandingan mencandat sotong, kejohanan swimathon serta pekan budaya. Bermula tahun ini, kita tambahkan satu lagi produk iaitu sukan air yang akan dijadikan acara wajib tahunan berdasarkan sambutan memberangsangkan," katanya.

Kekayaan semula jadi pergunungan Wicklow

Posted:

Kekayaan semula jadi pergunungan Wicklow

Kekayaan semula jadi pergunungan Wicklow


PERNAFASAN menjadi lebih lancar apabila berada di kawasan pergunungan Wicklow ekoran udaranya yang segar.


KETIKA krew kabin mengumumkan pesawat melintasi ruang udara Ireland, perasaan tiba-tiba berubah untuk segera mendarat dan menikmati segala keindahan negara itu yang sedang dilihat dari atas kapal terbang.

Kedua-dua mata berterusan memandang ke darat tanpa henti. Ada sesuatu yang begitu indah di darat, ia kelihatan seperti menggamit-gamit untuk turun bagi menyaksikan hadiah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya.

Kehijauan dataran luas dan kawasan tanah tinggi di sekitar Ireland yang dilihat dari atas pesawat merupakan pemandangan paling indah berbanding pengalaman ke tempat-tempat lain di Eropah sebelum ini.

Semasa melihat panorama dari tingkap pesawat, fikiran tiba-tiba melayang. Terasa seperti kembali ke zaman silam Eropah yang terkenal dengan kesatria berkuda dan berpakaian perisai besi.

Dalam igauan itu, terbayang juga kesatria-kesatria menunggang kuda merentas lembah di celah gunung ganang dan dataran indah yang terbentang luas di hamparan bumi Ireland.

Sebaik mendarat, lantas bateri kamera dan kad memori diperiksa bagi memastikan bilangan gambar foto yang boleh dimuatkan nanti.

Perasaan tidak sabar dan membuak-buak untuk segera ke pergunungan Wicklow yang menjadi destinasi pertama sejurus menjejak kaki di Ireland.

Jarak antara Lapangan Terbang Dublin dengan pergunungan Wicklow hanya sejauh 51 kilometer dan mengambil masa kira-kira 50 minit.

Udara segar

Bagaimanapun, hasrat ke pergunungan itu perlu ditangguh pada keesokan hari kerana perlu berehat selepas menempuh penerbangan dari New York, Amerika Syarikat.

Sebaik tiba di pergunungan itu, pernafasan menjadi lebih lancar berbanding biasa. Dapat dirasakan udara segar di pergunungan itu masuk memenuhi ruang paru-paru dan kembali kosong apabila dihembus keluar.


MICHELLE (kiri) dan pasangannya menyifatkan kehijauan dataran luas dan tanah tinggi di Ireland sebagai pemandangan paling indah apabila dilihat dari atas pesawat.


Pergunungan Wicklow merupakan banjaran tanah tinggi yang terbesar dan terpanjang di Ireland. Ia melibatkan seluruh kawasan tengah Wicklow dan memanjang ke daerah Carlow, Wexford dan berakhir di Gunung Dublin, Dublin.

Puncak pergunungan yang terbina daripada kombinasi batuan kuarza dan tanah pamah itu berketinggian 925 meter di Gunung Lugnaquilla.

Malah, kekayaan sumber alam seperti tembaga dan plumbum yang digunakan untuk membuat senjata api menyebabkan pergunungan itu pernah menjadi pelombong-pelombong haram pada abad ke-18.

Selain itu, terdapat beberapa buah punca air tawar seperti Sungai Liffey, Sungai Slaney, Sungai Dargle dan Sungai Avoca yang mengalir dari pergunungan Wicklow ke semua daerah yang terdapat di Ireland.

Turut terdapat di pergunungan berkenaan ialah air terjun tertinggi di Ireland iaitu Air Terjun Powercourt pada ketinggian 121 meter.

Udara segar di pergunungan Wicklow dipengaruhi oleh iklim Laut Irish yang mempunyai ciri-ciri nyaman, lembap dan sedikit dingin seperti musim panas yang kadang kala dibasahi hujan lebat.

Keindahan

Melihat keindahan yang terdapat di sekitar pergunungan Wicklow, terasa diri terlalu kecil apabila dibandingkan dengan alam semula jadi yang masih suci daripada sentuhan ejen-ejen pencemar.

Meskipun belum cukup puas menikmati keindahan di Wicklow, perjalanan mesti diteruskan untuk melihat satu lagi keajaiban yang terletak di barat Ireland.


STRUKTUR batu di Giant's Causeway adalah kesan daripada lava gunung berapi antara 50 hingga 60 juta tahun lalu.


Perjalanan dari timur ke barat sejauh 270 kilometer mengambil masa tiga jam sebelum sampai ke Tebing Moher yang sangat terkenal di negara bawah naungan United Kingdom itu.

Tebing setinggi 214 meter dari aras laut dan memanjang sehingga lapan kilometer di sepanjang Lautan Atlantik itu merupakan destinasi Ireland yang paling banyak dilawati melibatkan sejuta pengunjung pada setiap tahun.

Semasa berdiri di Tebing Moher ketika cuaca cerah, kedudukan Kepulauan Aran dan Pantai Galway yang terletak di utara Atlantik dapat dilihat dengan jelas.

Puncak Dua Belas Gunung Connemara, Pergunungan Maum Turk dan Semenanjung Dingle yang terletak di daerah Kerry juga dapat dilihat jelas. Jarak antara Tebing Moher dengan Kerry pula ialah 175 kilometer.

Kira-kira 400 kilometer di Ireland Utara pula terdapat satu lagi keajaiban alam semula jadi. Giant's Causeway merupakan struktur batu yang terbentuk daripada lava gunung berapi antara 50 hingga 60 juta tahun lalu.

Bentuk batu yang menyerupai susunan tiang berukuran segi empat di Giant's Causeway kelihatan seperti hasil kerja tangan manusia, namun ia adalah kesan daripada proses alam semula jadi.


BENTUK batu yang menyerupai susunan tiang berukuran segi empat di Giant's Causeway kelihatan seperti hasil kerja tangan manusia.


Aset alam semula jadi di Ireland memiliki keindahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Apabila berada di Pergunungan Wicklow dan Tebing Moher, ia seperti membawa kita mengembara jauh ke zaman awal Eropah.

Tidak keterlaluan jika ada orang Eropah menganggap Ireland sebagai tempat yang menyembunyikan pintu mistik untuk kembali ke masa silam. - FarewellTravels.com

Kayuhan fixie libatkan tiga negara

Posted:

Kayuhan fixie libatkan tiga negara

Kayuhan fixie libatkan tiga negara

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


PARA penunggang basikal fixie bergambar kenangan di Velodrom Kuala Lumpur.


MENGAYUH basikal yang memiliki gear tetap atau fixie di Velodrom Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Cheras seakan-akan impian menjadi kenyataan bagi Marlowe Bandem, 40.

Marlowe merupakan seorang penunggang basikal fixie tegar dari Bali, Indonesia. Peluang berkunjung ke ibu negara bersama tujuh orang ahli kumpulan fixie iaitu Psylo April lalu merupakan peluang terbaik untuk mencuba pengalaman berkayuh basikal di trek velodrom.

"Tiada kemudahan trek velodrom di Bali. Kumpulan kami hanya menunggang basikal secara jarak jauh di sekeliling pulau. Berbasikal di velodrom merupakan antara pengalaman yang sudah lama kami nanti-nantikan," ujar pegawai bank itu.

Penjelajahan Psylo ke Malaysia merupakan jemputan daripada kumpulan basikal di ibu negara iaitu Lesgone untuk berbasikal di velodrom. Kumpulan basikal dari Singapura iaitu Del Toro turut menyertai acara perjumpaan berbasikal tiga negara yang julung-julung kali diadakan oleh Lesgone itu.

Acara berbasikal sejauh 100 kilometer (km) di Bali kira-kira dua tahun lalu merupakan titik pertemuan ketiga-tiga kumpulan basikal itu. Sejak itu, mereka sering berhubung melalui laman sosial Twitter dan Instagram untuk mengetahui maklumat terkini aktiviti kumpulan masing-masing.

Prinsip

Menurut Marlowe, siri jelajah itu memberi peluang kepada setiap ahli Psylo untuk bertukar-tukar pendapat mengenai aktiviti berbasikal bersama Lesgone dan Del Toro.


VELODROM merupakan antara lokasi terbaik untuk menjalani latihan mengayuh basikal.


"Psylo mengamalkan prinsip berkawan melalui aktiviti berbasikal. Siri jelajah kami di Kuala Lumpur merupakan peluang terbaik untuk menambahkan lagi kenalan yang mempunyai minat yang sama.

"Kami juga akan menganjurkan acara kayuhan basikal fixie terbesar di Bali pada November nanti. Kami juga mengajak Lesgone dan Del Toro untuk menyertainya sekali gus memeriahkan acara itu," ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Ketiga-tiga kumpulan mengayuh selama kira-kira 30 minit di Velodrom Kuala Lumpur yang menjadi venue acara sukan berbasikal semasa temasya Sukan Komanwel 1998 itu.

Rutin acara itu mudah, mereka hanya berbasikal secara beramai-ramai mengelilingi trek velodrom. Kini, venue tersebut menjadi lokasi bagi skuad berbasikal negara untuk mengadakan latihan.

Selaku tuan rumah, pengasas Lesgone, Eddie Khalil Hasbullah, 43, memberitahu, acara tersebut merupakan satu jemputan kasual yang mengajak penunggang basikal dari Indonesia dan Singapura merasai pengalaman berbasikal di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjumpaan itu juga memberi gambaran perkongsian mengenai perspektif berbeza cara dan persediaan kelengkapan untuk menunggang basikal fixie dari tiga negara.

"Selain velodrom, kami juga membawa rakan-rakan dari Indonesia dan Singapura berbasikal di Putrajaya. Ia merupakan salah satu cara kami untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi menunggang basikal kepada rakan-rakan luar negara. Kaedah itu merupakan salah satu langkah memperkenalkan produk pelancongan di negara ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

PARA penunggang berhenti berehat di Putrajaya sebelum meneruskan kayuhan.


Lesgone merupakan salah satu kumpulan basikal fixie yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu. Penyanyi kumpulan Pretty Ugly, Raizan Zainal Abidin, 40, atau lebih dikenali sebagai Neves merupakan salah seorang ahli Lesgone yang aktif menyertai setiap aktiviti kumpulan tersebut.

Penghalang

Selain ibu negara, kumpulan itu juga sering menyertai acara-acara berbasikal yang dianjurkan di dalam dan luar negara. Terbaharu, mereka menyertai acara berbasikal sejauh 120 km Jana Manjung Fellowship Ride di Manjung, Perak.

Sementara itu, wakil Del Toro, Irwan Iskandar, 32, memberitahu, aktiviti di Velodrom Kuala Lumpur itu merupakan kali pertama kumpulan tersebut berbasikal di luar Singapura.

"Di Singapura, keadaan trafik dan lampu-lampu isyarat yang banyak di kawasan bandar menjadi penghalang utama. Penunggang basikal juga tidak boleh berbasikal secara jarak jauh. Selain itu, kami juga hanya dibenarkan untuk berbasikal melalui jalan-jalan yang menghubungkan taman-taman di Singapura.

"Berbasikal di velodrom memberi kepuasan kepada kami ketika menunggang basikal tanpa terikat dengan peraturan. Namun, ciri-ciri keselamatan seperti memakai helmet tidak dilupakan," ujar pegawai Polis Republik Singapura itu.

Tambahnya, aktiviti itu juga ternyata mengukuhkan tali persahabatan antara penunggang basikal fixie tiga negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved