Sabtu, 31 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Realiti kehidupan keluarga Gutierrez

Posted:

Realiti kehidupan keluarga Gutierrez

Realiti kehidupan keluarga Gutierrez

JIKA di Amerika Syarikat, Kim Kardashian terkenal menerusi program realiti TV, Keeping Up With The Kardashian, kini program yang sama akan bersiaran di Filipina.

Bezanya, program realiti TV yang diberi judul It Takes Guts To Be A Gutierrez itu akan mengikuti perjalanan kehidupan sebuah keluarga seni paling terkenal di Filipina iaitu keluarga Gutierrez.

Sudah pasti bintang dalam program yang bakal bersiaran di saluran E! pada 1 Jun itu ialah anak sulung dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga tersebut Ruffa Gutierrez.

Aktres, model dan bekas ratu cantik Filipina itu, bukan sahaja terkenal kerana kecantikan yang dimilikinya tetapi juga kontroversi hangat yang sentiasa menghambatnya.

Mengakui program itu mengambil inspirasi daripada program Keeping Up With The Kardashian yang sudah masuk musim kesembilan, namun dia menolak persamaan antara kedua-dua program realiti itu.

"Ya, memang saya mengaku kami mengambil inspirasi dan nilai keluarga yang sama dengan program Keeping Up With The Kardashian tetapi, cara kehidupan kami dan mereka sangat berbeza.

"Kami tidak meniru mereka (Kardashian), sebaliknya menjalani kehidupan orang Asia yang penuh nilai budaya dan hubungan kekeluargaan yang amat kuat.

"Selain itu, setiap daripada keluarga kami mempunyai kehidupan sendiri yang sudah pasti berbeza daripada keluarga Kardashian," ungkap Ruffa..

Sebenarnya, bukan Ruffa sahaja yang popular sebaliknya seluruh keluarganya cukup terkenal di Filipina.

Bapanya, Eddie Gutierrez merupakan aktor veteran terkenal manakala ibunya, Annabelle Rama pula seorang bekas pelakon yang kini menguruskan sebuah syarikat pengurusan bakat terbesar di Filipina.

Ruffa, 40, memiliki lima orang adik-beradik lelaki - Rocky, Elvis, Ritchie Paul serta pasangan kembar Richard dan Raymond.

Dia juga memiliki dua orang abang tiri daripada perkahwinan terdahulu bapanya iaitu Tonton Gutierrez dan Ramon Christopher.

Kesemua mereka bekerja dalam bidang seni, namun yang paling cukup berjaya ialah Richard, Tonton dan Ramon sebagai aktor, manakala Raymond terkenal sebagai pengacara.

Profil keluarganya sudah cukup untuk membuatkan program realiti itu menarik.

KEJELITAAN yang dimiliki Ruffa banyak membantu menaikkan populariti dirinya sebagai seorang selebriti.


"Idea untuk menghasilkan sebuah program realiti TV keluarga kami sudah lama dibincangkan tetapi baru sekarang ini terlaksana.

"Apabila pihak E! melamar kami untuk menyertai mereka, kami rasakan ia satu peluang keemasan yang tidak perlu dilepaskan," ujar Ruffa.

Hilang privasi

Ruffa yang bekerja sebagai model sejak berusia 13 tahun mengakui pada mulanya, dia cukup kekok apabila mendapati kru produksi sentiasa mengekori pergerakan mereka pada setiap hari.

Bagaimanapun selepas beberapa hari, mereka semua sudah terbiasa dengan situasi tersebut bahkan tidak kisah, privasi diri mereka menjadi bahan tontonan orang ramai.

"Kami merupakan keluarga seni dan memang bukan mudah untuk bergelar ahli keluarga Gutierrez. Sejak kecil kami sudah terbiasa berhadapan dengan kamera.

"Ibu bapa kami bekerja sebagai pelakon, apabila membesar setiap perbuatan kami menjadi bahan tulisan di akhbar. Jadi, dengan adanya program ini penonton dapat menyaksikan sendiri kehidupan kami sekeluarga.

"Memang program ini akan digunakan sebagai tempat untuk kami membuat sebarang penjelasan berhubung kontroversi yang melanda keluarga ini," jelas Ruffa.

Ketika majlis pelancaran program realiti TV It Takes Guts To Be A Gutierrez ditayangkan di Filipina baru-baru ini, kontroversi lama yang melanda Richard, berbangkit kembali.

Khabar angin bertebaran mendakwa, kekasih Richard, aktres Sarah Lahbati telah melarikan diri selama setahun di Switzerland kerana hamil sebelum melahirkan anak.

"Saya akan mendedahkan perkara yang sebenarnya dalam program ini. Bagi mereka yang suka membuat kontroversi, sila tonton program ini.

"Penonton akan menyaksikan bagaimana kami sekeluarga menghadapi situasi ini serta hubungan saya bersama Sarah. Apa yang dipaparkan dalam program ini tidak dirancang dan kami tidak berlakon, sebaliknya semua yang dirakam merupakan kejadian yang sebenar," tutur pula Richard.

Enggan masuk politik

Disiarkan menerusi saluran E! bermakna It Takes Guts To Be A Gutierrez dapat ditonton diseluruh dunia. Ternyata keluarga Gutierrez amat berbesar hati apabila terpilih sebagai keluarga Asia pertama yang dilamar untuk sebuah program realiti TV.

TIDAK dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara ketika zaman remajanya menyebabkan Ruffa berazam memberikan pendidikan terbaik buat kedua-dua anaknya ini.


Tidak sabar untuk mengetahui maklum balas penonton, mereka sudah bersedia dengan impak yang akan diterima selepas program itu ditayangkan.

"Mungkin dengan program ini kami akan dapat kembangkan kerjaya seni ke negara yang berbeza. Buat masa ini nama kami hanya dikenali di Filipina dan beberapa negara Asia sahaja.

"Setakat ini, saya sudah menjadi pengacara acara karpet merah sebuah majlis di Singapura untuk saluran E! Mungkin selepas ini peluang lebih terbuka selepas nama kami lebih dikenali," kata Raymond yang memiliki sebuah kelab malam terkenal di Manila, Filipina, 71 Gramercy.

Bercerita lanjut tentang keunikan keluarga mereka, perkara paling tidak boleh dilupakan Ruffa, Raymond dan Richard adalah ketika ibu mereka, Annabelle Rama bertanding dalam pilihan raya di Cebu pada tahun lalu di bawah parti United Nationalist Alliance.

Kata mereka, cukuplah sekali ibu mereka menyertai politik dan tewas kepada Raul Del Mar daripada parti Liberal.

"Saya hanya tahu ibu mendaftar untuk bertanding ketika sedang membeli-belah di Hong Kong. Ibu menghubungi saya dan memberitahu, dia akan bertanding dalam pilihan raya.

"Pada waktu itu, saya cukup terkejut dan tidak sangka perkara itu benar. Tempoh tiga bulan sepanjang proses kempen pilihan raya satu tempoh yang cukup memeritkan buat kami adik-beradik. Ibu memang seorang yang suka buat kejutan, sebagai anak kami tetap memberi sokongan penuh kepadanya," tutur Ruffa.

Celah Richard pula, ketika ibunya bertanding dalam pilihan raya, dia sedang sibuk dengan penggambaran drama. Tiada pilihan lain, dia terpaksa berulang-alik antara Manila dan Cebu setiap hari.

"Rasanya, pramugari dalam kapal terbang itu sudah bosan melihat wajah kami adik-beradik. Bagi saya, itu satu pengalaman yang cukup memberi pengajaran bahawa politik tidak sesuai untuk keluarga kami," kata Richard.

Apabila disoal apakah pendapat mereka sekiranya ibu mereka ingin bertanding dalam pilihan raya yang akan datang? Serentak mereka menjawab: "Tidak!"

"Kalau ibu teringin sangat bertanding dalam pilihan raya dan menjadi menteri, kami hanya benarkan perkara itu berlaku dalam filem sahaja," tutur Raymond sambil diiringi gelak tawa Richard dan Ruffa.

Jelas Ruffa, keturunan sebelah ayah ibunya merupakan keluarga ahli politik malah, bapa saudara ibunya merupakan Datuk Bandar di Cebu.

"Kami tidak sanggup menghadapi lagi perkara yang sama, cukuplah dengan pengalaman yang kami perolehi tahun lalu.

"Bagi saya politik bukanlah bidang ibu saya, politik sangat kotor. Walaupun ibu mendapat sokongan yang penuh tetapi pada akhirnya dia tetap tewas," luah Ruffa.

Tegar mahu bina rumah untuk nenek

Posted:

Tegar mahu bina rumah untuk nenek

Tegar mahu bina rumah untuk nenek

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

PENYANYI cilik ini pernah ditipu oleh bekas pengurusnya.


DIA pernah menjadi seorang pengemis jalanan, malah kedua-dua ibu dan bapanya yang telah bercerai juga mengemis demi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, semuanya berubah selepas Tegar Septian bergelar penyanyi dan melonjak popularitinya menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang.

Menerusi hasil kewangan yang diperoleh dirinya daripada persembahan nyanyian dan jualan album pertamanya, Tegar dan Sahabat, penyanyi yang baru berusia 13 tahun itu telah berjaya membelikan ibunya sebuah rumah bernilai 200 juta rupiah (RM60,000) di kampung halamannya di Subang, Jawa Barat, Indonesia.

Ibu Tegar, Ratna Dwi Sisi juga tidak pernah membayangkan hidupnya kini berubah, mampu menikmati hidangan nasi setiap hari, malah tidak lagi tinggal dalam rumah petak berukuran sekitar 4x6 meter seperti sebelum ini.

Menyifatkan kehidupan ibu dan tiga adiknya sudah tidak lagi miskin, kini Tegar menaruh harapan pula terhadap keuntungan yang diperoleh hasll daripada jualan album keduanya, Kemana Kasih Sayang untuk membina sebuah rumah buat neneknya.

Album tersebut kini telah berada dipasaran Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia

"Saya lebih seronok dengan kehidupan sekarang. Saya bersyukur kerana diberikan bakat dan rezeki dan dapat membahagiakan keluarga saya.

"Insya-Allah, dengan hasil jualan album kedua nanti saya mahu membina rumah buat nenek pula," ungkap Tegar yang kini mempunyai dua buah motosikal KTN Motorcross selain sudah membeli beberapa bidang tanah sawah untuk keluarganya.

Diberi nama Tegar oleh ibunya ekoran dirinya yang tegar membesarkan anaknya itu dengan hasil duit mengemis, figura ini mengakui, dia menyalurkan separuh daripada pendapatannya itu untuk kegunaan ibu, adik-adik, nenek dan saudara-maranya.


TEGAR (tengah) bersama Nasir Deraman (dua dari kiri) pada majlis pelancaran album terbaharunya, Kemana Kasih Sayang di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pendapatan selebihnya pula digunakan Tegar untuk hobi menunggang motosikal dan meluncur air, selain menabung untuk masa depan.

Sering sibuk dengan persembahan pentas, Tegar bagaimanapun mengakui dia tidak akan meninggalkan alam pembelajaran.

"Jika tiada sebarang undangan persembahan atau rakaman program nyanyian, ada tutor yang akan datang mengajar saya di rumah , paling kurang 10 kali dalam sebulan.

"Malah, setiap enam bulan pula saya akan ada menghadapi ujian seperti kanak-kanak bersekolah.

"Saya turut diajar untuk mendalami bahasa Inggeris dan agama," ujar Tegar ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya itu di Hotel Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Media Asia Production, Nasir Deraman.

Ditipu

Sebagai penyanyi baharu dalam usia yang cukup mentah, Tegar ternyata tidak mempunyai pengetahuan tentang pengurusan kerjaya seni dan kewangannya kerana segalanya telah diaturkan oleh pihak pengurusan.

Atas sebab itu, bekas pengurusnya mengambil kesempatan terhadap pendapatan yang diraih oleh Tegar dengan menyekat perbelanjaan serta mencatu makanannya.

Mujur, penyanyi yang lahir pada bulan September itu cepat sedar mengenai perkara tersebut dan segera mengambil tindakan.

"Saya pelik kenapa sering diberi makanan tempe dan juga tauhu. Saya juga tidak dibenarkan berbelanja untuk membeli apa yang saya suka.

"Paling teruk, saya juga dihalang untuk pulang berjumpa keluarga kerana terikat dengan jadual," luahnya yang akhirnya lega mendapat pengurus baharu, Arif Dollah.

Gembira dengan pengurusan baharu, Tegar memberitahu, pada bulan Julai depan dia akan bercuti di kampung halamannya selama sebulan.

Tiada dendam

Tegar juga mendedahkan, dia turut memberikan sedikit wang kepada bapanya, Aris demi membantunya yang masih lagi hidup mengemis.

Melupakan segala kisah sedih mengenai nasib yang dihadapi bersama ibu dan adik-beradik selepas ditinggalkan bapanya itu, Tegar mengakui langsung tidak menaruh dendam.

"Tidak ada dendam. Biarpun kami sekeluarga ditinggalkannya, dia tetap bapa saya, darah daging saya," ujar Tegar.

Mengulas mengenai album keduanya pula, jelasnya, ia memuatkan tujuh lagu termasuk Ke Mana Kasih Sayang, Tak Boleh Sombong dan Aku Masih Tegar.

"Saya sangat menyukai album kedua ini kerana ia menceritakan mengenai diri saya. Bercakap mengenai lagu kegemaran saya, sudah semestinya lagu Kemana Kasih Sayang kerana lagu itu menceritakan mengenai pengalaman hidup saya.

Ibu dan bapa berpisah ketika saya masih dalam kandungan dan saya membesar tanpa kasih sayang yang lengkap," ujar Tegar lagi.

Ana Dahlia nafi sudah bertunang

Posted:

Ana Dahlia nafi sudah bertunang

Ana Dahlia nafi sudah bertunang

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

FIGURA ini belum bersedia untuk mendedahkan tarih pertunangan dengan kekasih hatinya, Ubaidullah.


PENUH teka-teki. Itulah justifikasi paling mudah menggambarkan perhubungan yang wujud antara pelakon Ana Dahlia, 31, dan jejaka yang diikenali dengan nama Ubaidullah, 24.

Kosmo! yang diundang ke majlis sambutan Hari Ibu Rafflesia di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini didedahkan dengan kenyataan media yang menyatakan Ana Dahlia tampil bersama tunangnya, Ubaidullah.

Membuahkan tanda tanya, pelakon filem Mantra itu sebelum ini pun sering dilihat bersama jejaka tersebut serta pernah memuat naik foto bersama di laman sosial Instagram.

Malah, ketika acara Anugerah Bintang Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini pun pasangan itu hadir bersama berpakaian sedondon.

Lantas, pihak media mendapatkan penjelasan lanjut daripada bekas isteri Cef Riz itu. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Ana Dahlia didakwa hadir bersama tunang anda, Ubaidullah pada majlis sambutan Hari Ibu kali ini. Benarkah?

ANA DAHLIA: Bukan, kami masih belum bertunang dan tiada sebarang ikatan lagi buat masa sekarang. Malah, ada ura-ura mengatakan kami bertunang pada bulan Mei dan bakal bernikah pada bulan Jun pun tidak benar sama sekali.

Jadi bilakah tarikh sebenarnya anda bakal bertunang?

Saya ada perancangan tapi masanya belum sampai lagi. Buat masa sekarang, saya tidak boleh hebohkan kepada peminat atau orang ramai takut nanti tak jadi, tetapi apabila sudah pasti, baru saya akan beritahu semua orang.

Bagaimanakah pula perancangan tentang majlis merisik?

Perancangan untuk merisik pun ada tetapi saya tidak berani maklumkan tarikh itu kerana majlis itu melibatkan kedua-dua buah keluarga. Saya harap semua orang faham.

Pastinya pertemuan antara keluarga anda dan dia sebelum ini ada membincangkan untuk persiapan seterusnya. Komen anda?

Keluarga kami masing-masing memahami, malah mereka terlebih dulu akan berbincang dengan kami untuk peringkat selanjutnya. Mereka menghormati, memahami dan menyokong keputusan kami.


ANA dan Ubaidullah mulai akrab sejak setahun yang lalu.


Anda dilihat seperti tidak yakin dengan hubungan yang terjalin sekarang. Kenapakah?

Banyak perkara yang perlu difikirkan ke hadapan dan saya perlu lebih berhati-hati kali ini. Kalau benar dia jodoh saya, Insya-Allah, kami akan bersama. Saya cuma berdoa yang terbaik.

Apakah kriteria yang membuatkan anda selesa dengan dia (Ubaidullah)?

Kami tinggal sekampung sebenarnya, cuma sebelum ini kami tidak terlalu rapat. Selepas beberapa perkara yang terjadi sebelum ini (bercerai), dia lebih mengambil berat dan lebih kurang setahun lalu, kami menjadi lebih akrab. Saya selesa kerana cara dia dan sejujurnya, kami mempunyai keserasian. Untuk menyatakan dia romantik rasanya tidak.

Jarak usia tujuh tahun yang membezakan anda dan dia mungkin mendorong perbezaan cara berfikir. Bagaimanakah persiapan anda untuk tidak mengelakkan berlaku sekali lagi perceraian?

Dia nampak tenang tapi tegas perihal agama dan saya akui resipi rumah tangga yang harmoni adalah agama yang kukuh. Bagi saya, selagi dia boleh mendidik saya dengan baik, Insya-Allah segalanya berjalan lancar. Selain itu terima baik dan buruk seseorang, adakalanya tidak matang itu perlu bagi seseorang wanita untuk rasa lebih ceria.

Sepanjang perkenalan, adakah kalian berbincang mengenai syarat dalam perhubungan selepas ini?

Jika kita suka dengan seseorang itu sudah pasti akan menerimanya seadanya dan masing-masing perlu tahu batasan.

Selepas dua kali bercerai, apakah kualiti yang ada pada anda untuk keluarga dan dia menerima anda?

Mungkin cara saya yang menyenangkan mereka. Saya seorang wanita yang selalu memikirkan persepsi orang ramai terhadap saya. Ada masanya rasa tidak yakin dengan diri sendiri tetapi Alhamdulillah, saya gembira kerana keluarganya menerima saya dengan baik sama seperti keluarga saya.

Sudikah anda berkongsi perkembangan terkini?

Saya sedang menjalani penggambaran di Johor untuk drama berjudul Mencari Luqmanulhakim dan selepas ini akan ke Kedah untuk penggambaran muzikal hari raya Aidilfitri.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved