Jumaat, 2 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rosminah orang kuat Nasha Aziz

Posted:

Rosminah orang kuat Nasha Aziz

Rosminah orang kuat Nasha Aziz


NASHA memegang karakter Zainab yang memerlukan dirinya turut menyanyi.


Siapa tidak kenal dengan nama Profesor Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka, penulis novel Indonesia yang tidak asing lagi di Nusantara ini.

Karya agung nukilannya, Di Bawah Lindungan Kaabah sememangnya merupakan karya yang membuka perspektif baharu dalam perhubungan cinta manusia dan Illahi.

Itu kata-kata yang terpacul di mulut pelakon terkenal, Noraishah Abdul Aziz, 44, atau lebih dikenali Nasha Aziz yang mengakui bahawa dia jatuh cinta dengan karya tersebut.

Menggalas tanggungjawab utama sebagai Zainab dewasa dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah, akui Nasha, ia merupakan satu tanggungjawab berat yang perlu dipikulnya.

Bagaimanapun, komitmen dan usaha yang diberikan membuahkan hasil apabila perancangan rapi yang diatur selama ini berjalan dengan lancar dan mengikut apa yang telah ditetapkan.

Ketiadaan Rosminah Tahir selaku pengarah teater Di Bawah Lindungan Kaabah sememangnya satu kehilangan besar.

Menurut Nasha, Rosminah merupakan orang yang dipercayainya untuk membimbing dirinya dalam teater tersebut.

Aktres jelita itu mengakui semangatnya pudar untuk menjalani latihan pementasan teater selepas seminggu ketiadaan Rosminah.

"Saya sedih apabila mendapat berita bahawa dia jatuh sakit dan tidak datang ketika sesi latihan. Saya sanggup untuk berulang-alik dan menghantarnya jika dia mahu datang ke sesi latihan.

"Saya hanya percaya dia sahaja yang mampu mengarah teater ini dengan baik dan dia merupakan antara sebab utama saya terima untuk terlibat dalam teater ini.

"Alhamdulillah, buat masa sekarang keadaannya kembali stabil dan dibenarkan keluar pada 22 April lalu."

"Seminggu ketiadaan Rosminah, urusan pementasan dan sesi latihan diambil alih sepenuhnya oleh penerbit teater, Rohayah Attan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran teater tersebut di Istana Budaya, baru-baru ini.

Ujar Nasha lagi, walaupun ketiadaan Rosminah, hal itu tidak menjejaskan keazamannya untuk meneruskan latihan teater. Konsentrasi perlu ditumpukan sepenuhnya dalam memastikan watak yang disampaikan dapat dihayati dengan sepenuhnya.

Cinta jarak jauh

Bercerita mengenai rentetan penceritaan teater Di Bawah Lindungan Kaabah itu, Nasha yang akan berkolaborasi bersama Adi Putra selaku Hamid mengatakan ia merupakan sebuah kisah cinta yang agung namun terikat dengan elemen kebudayaan dan keagamaan pada zaman tersebut.

Disebabkan konflik yang sarat itu ia sekali gus telah menghancurkan cinta antara dua insan yang saling menyintai dalam diam.

Perbezaan darjat antara dua insan bercinta iaitu Zainab, anak kepada seorang bangsawan dan Hamid seorang penjual kuih yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Zainab.

Hanya rakan baik masing-masing iaitu Rosnah dan Salih menjadi tempat luahan perasaan kedua-dua pasangan tersebut.

Berada di fasa terakhir, teater Di Bawah Lindungan Kaabah turut menampilkan barisan nama terkenal seperti Yasmin Hani, Fizo Omar, Elfira Loy dan Dafi Ismail.

Kekok menyanyi

Pementasan teater yang memerlukan pelakon untuk menyanyi sedikit sebanyak merupakan cabaran yang terbesar dilalui oleh pelakon yang pernah membintangi filem Laila Isabella itu.

Mengakui minatnya terhadap bidang nyanyian tidak mampu menandingi kecintaannya terhadap bidang lakonan. Nasha menganggap ia merupakan cabaran kepadanya untuk terus berkecimpung dalam bidang teater.

"Watak Zainab yang digalas memerlukan saya untuk menyanyi. Walaupun pada saya bidang nyanyian agak sukar sedikit berbanding bidang lakonan tetapi segalanya berjalan lancar dengan bantuan daripada profesional.

"Saya juga tidak bercadang untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai karier, cukuplah sekadar menyanyi untuk teater. Semangat daripada semua pelakon yang terlibat menjadikan aspek nyanyian untuk teater ini lebih seronok dan mengujakan," ujarnya.

Bercerita mengenai sebab pelakon tersebut enggan untuk mengambil banyak tawaran lakonan pada satu-satu masa, Nasha berkata, dia lebih suka untuk memberi fokus kepada satu kerja sahaja.

"Fokus amat penting dalam setiap lapangan kerja yang dilakukan, hasil daripada fokus dan komitmen yang jitu, kita mampu memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan," ujar pelakon yang pernah menggondol Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) menerusi filem Trauma pada tahun 2014.

BornRichReka dan BornNRich

Kesibukannya dalam dunia lakonan tidak menghalang wanita tinggi lampai ini untuk membuka perniagaan butik rekaan dalaman dan kasut.

Dia yang bercadang untuk memperluaskan perniagaannya secara dalam talian itu mempunyai wawasan tersendiri apabila dia kini telah mengambil beberapa khusus untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dalam bidang perniagaan.

"Alhamdulillah , segalanya berjalan lancar. Dalam usaha untuk mengembangkan lagi kerjaya saya, saya terpanggil untuk mereka kesemua kasut pelakon wanita yang terlibat dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

Melalui butiknya BornNRich, Nasha juga telah memperkenalkan jenama TRYla untuk kasut-kasut yang telah direka sendiri olehnya.

"Setelah berbincang dengan pihak produksi mengenai rekaan dan gaya kasut, akhirnya segalanya berjalan dengan lancar dan saya sangat berbesar hati dengan sumbangan tersebut," ujarnya.

Juta Juta raih tiga anugerah

Posted:

Juta Juta raih tiga anugerah

Juta Juta raih tiga anugerah

Oleh IZWAN MOHD. ISA

SHAWN AMER teruja dengan kemenangan besar produksi Teater Juta Juta dalam Boh Cameronian Arts Awards ke-11.


SIAPA sangka, walaupun baru setahun jagung dalam bidang penerbitan teater, usaha dan kesungguhan menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi serta bertepatan dengan senario industri teater pada masa kini akhirnya mendapat pengiktirafan komuniti profesional.

Pada penganjuran kesebelas Boh Cameronian Arts Awards yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini, kumpulan teater Mask Team berjaya menggondol tiga anugerah utama selepas tercalon dalam sembilan kategori menerusi dua teater terbitan mereka, Teater Juta Juta dan Maduku Kalut.

Teruja dengan kemenangan tersebut, pengarah urusannya, Shawn Amer berkata, dia begitu gembira dan terkejut dengan kemenangan yang diterimanya kerana itu merupakan kali pertama Mask Team menyertai anugerah tersebut.

"Sebagai kumpulan baharu yang pertama kali menyertai anugerah ini, kami sungguh teruja dengan anugerah yang diberikan.

"Alhamdulillah, Teater Juta Juta berjaya mendapat tiga pengiktirafan utama iaitu bagi kategori Persembahan Berkumpulan Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik," ujarnya ketika ditemui selepas tamat majlis tersebut.

Tambah Shawn, kejayaan yang diraih oleh Mask Team adalah bertitik tolak daripada kekuatan yang ditonjolkan serta kerja sama yang terlibat antara para pelakon Teater Juta Juta.

KELETAH Melissa Saila (kiri) dan Fatimah Abu Bakar ketika membuat persembahan berjaya menceriakan suasana.


"Kekuatan teater ini terletak pada tiga orang pelakon teater ini iaitu Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin.

"Walaupun bertiga, namun, mereka mampu menjayakan 12 watak tanpa melibatkan sebarang pertukaran kostum mahupun set. Dari situlah energi mereka sebagai pelakon wujud," jelas Shawn yang pertama kali mementaskan teater tersebut di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2011.

Cubaan pertama Aqasha

Dalam pada itu, pelakon Aqasha turut dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik (Teater) menerusi penglibatannya dalam Teater Kompilasi Nam Ron yang diarahkan oleh pelakon terkenal, Nam Ron.

"Sejujurnya, saya tidak sangka dianguerahkan dengan kemenangan ini. Lebih-lebih lagi apabila calon-calon yang turut bertanding adalah pelakon-pelakon yang hebat.


BOH Cameronian Arts Awards ke-11 dihoskan oleh Harith Iskander (kiri) dan Shelah.


"Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada juri-juri, Kakiseni dan Rumah Anak Teater selalu penerbit Teater Kompilasi Teater Juta Juta atas kemenangan ini," ujar Aqasha.

Berkongsi pengalamannya beraksi buat pertama kalinya di atas pentas teater, Aqasha memberitahu, dia banyak mempelajari tentang cabang seni yang baru diceburinya itu menerusi tunjuk ajar yang diberikan oleh Nam Ron.

"Apa yang paling dihargai sepanjang penglibatan saya menerusi pementasan ini adalah proses pembelajaran yang dilakukan antara para pelakon dan pengarah.

"Selain mendapat tunjuk ajar oleh Nam Ron, bantuan rakan-rakan artis seperti Sharifah Amani turut membantu saya memperhalusi fungsi utama saya sebagai seorang pelakon teater," ujarnya lagi.

Dianjurkan sejak tahun 2002, Boh Cameronian Arts Awards kali yang kesebelas ini mengangkat tema era 60-an bagi memberi penghormatan kepada anak-anak seni terdahulu yang banyak membantu mencorakkan industri teater tanah air.

AC Mizal tolak semua tawaran lakonan

Posted:

AC Mizal tolak semua tawaran lakonan

AC Mizal tolak semua tawaran lakonan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TANGGAL 29 Mac lalu pastinya memberi erti kesedihan yang tersendiri buat selebriti popular, Datuk AC Mizal apabila dia kehilangan bapa tersayang, Datuk Zaini Md. Hasim.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor menghembuskan nafas terakhir di Sunway Medical Center, Petaling Jaya, Selangor akibat mengalami masalah jantung.

Berkesempatan bertemu dengan AC Mizal atau pemilik nama sebenar, Mizal Zaini itu pada majlis pelancaran Mface Live di Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, dia kelihatan tenang menceritakan detik akhir bersama arwah ayah kesayangannya itu.

Dalam pertemuan tersebut juga, AC Mizal turut bercerita kepada Kosmo! tentang perkembangan terbaharunya dalam bidang seni terutama kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara.

Kosmo!: Pertama sekali takziah diucapkan kepada Datuk AC Mizal yang baru sahaja kehilangan ayah. Kalau tidak keberatan, bolehkah anda menceritakan tentang detik terakhir sebelum arwah ayah anda menghembuskan nafas terakhir?

AC MIZAL: Sebenarnya, pada hari Sabtu iaitu seminggu sebelum ayah saya meninggal dunia, arwah sudah dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung yang dialaminya dan kemudian pembedahan terus dijalankan ke atasnya.

Selepas pembedahan tersebut keadaan arwah dilihat semakin beransur pulih. Namun begitu, pada hari Khamis arwah terpaksa menjalani satu lagi pembedahan segera.

Adakah anda dan ahli keluarga berada bersama-sama dengan arwah ketika menghembuskan nafas terakhir?

Sehari selepas pembedahan kedua dilakukan, kami berjumpa dengan arwah dan dia kelihatan agak baik. Bagaimanapun, selepas solat Jumaat doktor memanggil kami dan menjelaskan bahawa keadaan kesihatan arwah semakin membimbangkan.

Jadi, sepanjang hari tersebut kami memang sentiasa bersama dengannya sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Saya juga ingin mengambil kesempatan terhadap rakan-rakan pelawak, terutamanya pemain pasukan Super Lawak FC yang sanggup datang dari Kuala Lumpur setelah diberitahu keadaan arwah semakin kritikal.

Apakah pesanan terakhir arwah kepada anda sebelum meninggal dunia?

Arwah sekadar berpesan supaya saya sentiasa berfikiran positif dan jangan berhenti mencuba apa sahaja perkara yang dilakukan. Memandangkan arwah baru sahaja pergi meninggalkan kami, jadi perasaan rindu saya terhadapnya masih lagi menebal.

Lagipun, sepanjang hayat saya memang cukup rapat dengannya, biarpun arwah seorang yang tegas dan sangat disiplin memandangkan dia bekas pegawai polis dahulu. Malah, dengan ketegasan dan disiplinnya itu yang membuatkan kehidupan saya berjaya seperti sekarang.

Bagaimanakah perkembangan anda dalam bidang seni pula?

Pada bulan Mac lalu, saya baru sahaja memberikan persetujuan untuk bernaung di bawah artis Sony Music Malaysia, cuma ia belum dibuat secara rasmi lagi dan mungkin satu majlis akan dibuat untuk mengumumkannya.

Tidak dinafikan, pemilihan saya ini dibuat atas faktor kejayaan dua buah lagu sebelum ini iaitu Apo Kono Eh Jang dan Al Haq. Mungkin dalam tempoh terdekat ini, saya bakal merakamkan single baharu dan kini proses mencari lagu sedang dilakukan.

Ketika ini anda dilihat aktif sebagai pengacara dan menyanyi. Adakah anda kini sudah tidak berlakon lagi?

Tidak dinafikan tawaran berlakon dalam drama bersiri, telemovie, filem dan teater memang banyak yang diterima, tetapi disebabkan faktor masa yang membuatkan saya terpaksa menolak segala tawaran tersebut.

Buat masa ini, saya lebih selesa memberikan tumpuan kepada bidang pengacaraan dan nyanyian memandangkan ia tidak terikat dengan masa yang lama, berbanding dengan lakonan yang pastinya mengambil tempoh yang panjang.

Boleh anda jelaskan berkenaan dengan produk terbaharu Mface ini?

Sejak Mface ditubuhkan kira-kira tiga tahun yang lalu, ramai yang sudah sedia maklum bahawa ia merupakan sebuah laman sosial dan mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada orang ramai.

Kini, Mface mewujudkan sebuah lagi cabang yang dikenali sebagai Mface Live yang merupakan radio dalam talian. Pihak Mface membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi penyampai radio serta mendapatkan pendapatan tambahan.

Sesuatu yang menarik tentang radio ini apabila penyampai yang dipilih ini boleh ke udara dari rumah sahaja dan kami akan membekalkan beberapa peralatan seperti mikrofon, kamera dan mixer. Mereka yang ingin mengetahui tentang radio ini boleh melayari laman web dj.mface.me.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved