Isnin, 19 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Interpretasi Fonetik Anak Candal

Posted:

Interpretasi Fonetik Anak Candal

Interpretasi Fonetik Anak Candal

STUDIO yang dihiasi dengan lukisan dan susun atur perabot yang unik, memberi gambaran jelas mengenai kumpulan ini. Ia menggambarkan kumpulan ini mempunyai jiwa yang halus dan cita rasa yang berlainan apabila berceritera tentang muzik.

Diberi peluang untuk mendengar beberapa buah lagu yang disampaikan oleh kumpulan ini, memberikan perspektif baharu mengenai muzik.

Lagu yang disampaikan sangat menusuk jiwa sehingga timbul persoalan tentang kenapa kumpulan yang sangat berpotensi ini tidak diketengahkan.

Sememangnya lima orang anak muda yang terdiri daripada Ilham (vokalis), Yasin (dram), Masrin (bes), Zahar (gitar) dan Hidayat (gitar) mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan.

Melihat kesungguhan mereka, ia membuktikan mereka telah bersedia untuk menempuh arena muzik tanah air yang mencabar kini.

Mungkin agak jarang kita dengar nama Pita Hati dalam arus perdana muzik semasa.

Namun, misi dan cita-cita besar lima anak muda di bawah payung syarikat rakaman Luncai Emas ini menampakkan mereka serius dan komited untuk menambat hati seluruh peminat muzik tanah air dengan kelainan yang dibawa mereka.

Walaupun boleh dikatakan masih hijau dalam industri muzik tanah air, setahun sudah cukup untuk mereka menghasilkan sebuah album perdana bertajuk Fonetik Anak Candal.


PITA HATI percaya aktiviti jelajah bertemu peminat di seluruh negara merupakan langkah paling efisien bagi memperkenalkan muzik mereka kepada peminat.


Apabila ditanya konsep dan pendekatan yang dibawa oleh Pita Hati, lima orang anak muda itu mempunyai jawapan dalam menentukan haluan tuju yang konkrit untuk menempa nama dalam industri muzik tanah air.

"Apabila bercakap mengenai genre yang dibawa, kami lebih selesa dengan konsep yang bebas dan tidak terikat. Kami lebih menekankan kepada konsep pengisian lirik itu sendiri.

"Kami juga suka bereksperimentasi dengan pelbagai genre bagi membentuk sebuah aliran baharu ataupun revolusi dalam pembangunan arus muzik sekarang ini," ujar Ilham selaku vokalis Pita Hati pada sesi sidang akhbar di Studio Ara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fonetik Anak Candal

Bercerita mengenai Fonetik Anak Candal, Ilham menjelaskan, album tersebut memuatkan sebanyak 10 buah lagu termasuk Krisendo Slendro, Nafas, Cahaya Dalam Buta, Hati-Hati Ahmad, Olivia, Burung Dalam Kaca, Bicara Dan Susun kata dan Bintang Biru Kristal Salju.

Mereka juga mempunyai alasan sendiri sebab memilih tajuk tersebut untuk dilakarkan dalam album terbaharu mereka.

Jelas Ilham, Fonetik Anak Candal sememangnya membawa makna yang besar kepada kumpulan tersebut.

"Fonetik membawa maksud ilmu bahasa (linguistik) yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang menunjukkan sebutan manakala Anak Candal membawa maksud anak yang buruk.

"Secara maksud yang jelas, lagu yang disampaikan bermain dengan kata-kata dan lirik yang sangat mendalam dan mampu memberi kesan kepada pendengar," ujarnya.

Ketika ditanya cabaran ketika merakamkan album tersebut, Ilham menjelaskan, lagu Bicara merupakan lagu yang paling mencabar semasa sesi rakaman dilakukan. Lagu tersebut menyelitkan unsur melankolik.


ILHAM menegaskan dia mahu Pita Hati bergerak tanpa dibayangi populariti M. Nasir.


"Kami sangat menekankan pengisian kepada lirik itu sendiri, elemen seperti sindiran dan kritikan diselitkan untuk memberikan jiwa kepada lagu membuatkan lagu tersebut bukan biasa-biasa, malah mampu memberi input kepada pendengar.

"Lagu ini juga menceritakan tentang perjalanan minda. Ia seperti sebuah monolog kerana liriknya merupakan interaksi antara manusia," ujarnya.

Beritahu Masrin pula, sepanjang album itu dihasilkan, mereka cukup serius dan komited walaupun mempunyai masalah kekangan kewangan.

Katanya: "Kami harap album ini dapat diterima ramai. Hasil usaha kerja yang kami lakukan adalah untuk mendapatkan kualiti yang terbaik."

Siri jelajah

Sementara itu, kumpulan tersebut akan mengadakan siri jelajah ke 10 lokasi di seluruh negara termasuk Singapura bagi mempromosikan album mereka pada Jun depan.

Antara negeri yang sudah disenaraikan dalam jadual mereka termasuk Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor.

Ujar lham, di samping mempromosikan album, siri jelajah tersebut merupakan salah satu inisiatif supaya mereka lebih dikenali melalui penampilan di semua lokasi di seluruh Malaysia.

"Kami ingin memperbanyakkan penampilan supaya bukan orang di ibu kota sahaja mengenali kami, malah di seluruh Malaysia.

"Mungkin dengan penampilan kami juga, ia mampu memberi kami sedikit maklumat mengenai setakat mana muzik kami diterima oleh peminat muzik tempatan," ujarnya.

Ilham menambah, walaupun mengakui medium baharu menjadi pilihan utama masyarakat kini untuk mendengar muzik mereka tetapi dia merasakan ia tidak mampu memuaskan hati mereka bersama peminat.

"Jualan album kami juga banyak dijual melalui laman sosial Facebook dan Instagram, namun saya merasakan ia tidak cukup dan kami perlu turun padang untuk mempromosikan album kami supaya lebih dikenali, bukan sekadar di alam maya sahaja," katanya.

MASRIN merupakan salah seorang anak M. Nasir yang menganggotai Pita Hati, selain Yassin dan Hidayat.


Bukan M. Nasir

Kumpulan tersebut berasa gembira apabila muzik lagu yang dibawakan mereka tidak dibayangi populariti Datuk M. Nasir walaupun tiga anggotanya merupakan anak kepada seniman itu.

Ilham berkata, sejak menubuhkan Pita Hati dua tahun lalu, dia bersama dua saudara kandungnya, Yassin (dram) dan Hidayat (gitar) mahu mengelak daripada bayangan bapa mereka.

Katanya, penghasilan album EP berjudul Bintang Biru Kristal Salju sebelum ini sebagai bukti mereka langsung tidak mengaitkan nama M. Nasir dalam memberikan respons terhadap EP berkenaan.

"Kami memang sedaya upaya mahu mengelak daripada bayangan ayah kami kerana rasa tidak adil pula buat dua ahli lain.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kerana sejak muncul dengan album EP dua tahun lalu, respons yang diberikan tiada kaitan langsung dengan M.Nasir. Kiranya kami berjaya," kata Ilham sambil ketawa.

Siapa makan cili dia yang terasa pedas - Neelofa

Posted:

Siapa makan cili dia yang terasa pedas - Neelofa

Siapa makan cili dia yang terasa pedas - Neelofa

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

FiGURA jelita ini nekad menegur sikap segelintir artis yang terlalu terbuka meluahkan pendapat masing-masing menerusi laman sosial mereka.


BUKAN sahaja memperjudikan kecantikannya dalam persada seni tanah air, malah kebijaksanaan pengacara terkenal program MeleTOP, Neelofa, Mohd. Noor, 25, menjadi buah mulut seluruh peminat hiburan tanah air.

Mula terjun dalam dunia seni sejak memasuki Dewi Remaja 2010, Neelofa kini bukan sahaja menjadikan bidang seni sebagai sumber utama rezekinya, malah dia juga kini bergelar seorang usahawan dengan memiliki tiga buah syarikat sendiri iaitu Bellavita dan Naelofar Abaya, Bokkita Hijab dan Lofalens.

Selain berkecimpung dalam dunia seni dan perniagaan, pelakon yang pernah membintangi filem Lemak Kampung Santan turut mempunyai kolum penulisannya sendiri yang dikenali sebagai Nota Neelofa dalam sebuah akhbar tempatan.

Baru-baru ini melalui kolumnya itu, Neelofa telah menegur sikap segelintir artis yang terlalu terbuka meluahkan pendapat mereka melalui media sosial. Walaupun penulisannya itu bersifat umum, namun ia telah membangkitkan kemarahan sesetengah pihak.

Tampil untuk menjelaskan isu tersebut, Neelofa yang kelihatan tenang menjawab isu tersebut menyifatkan ia hanya cetusan rasanya terhadap industri hiburan tanah air.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama figura yang pernah membintangi filem Azura 2012 itu.

Kosmo!: Berikan sedikit penjelasan mengenai kolum khas Neelofa yang telah membangkitkan kemarahan segelintir artis yang lantang meluahkan pendapat mereka melalui laman sosial? Ada yang berpendapat anda masih mentah untuk memberi pandangan, sementelah sebagai artis, anda harus menyokong sesama artis.

NEELOFA: Apa yang saya sampaikan melalui ruangan nota saya ialah bersifat umum melalui penelitian saya sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tanah air. Saya juga membuat penulisan tersebut secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Bagi saya, biarlah pembaca menilai daripada perspektif mereka sendiri. Saya tidak berniat langsung untuk menyindir dan menyakitkan hati sesiapa.

Apakah reaksi anda apabila ada sesetengah pihak terasa hati dengan penulisan anda?

Saya diberi tugas untuk menulis. Jadi, saya hanya meluahkan pendapat saya berhubung sesuatu isu. Biarlah ada yang membenci dan membuat penilaian mereka sendiri, itu adalah hak mereka. Saya enggan mengulas dengan lebih lanjut kerana ia mungkin akan menyebabkan isu ini berpanjangan.

Beralih kepada perniagaan anda, ada sesetengah pihak menyifatkan anda hanya mengikut trend artis sekarang yang kebanyakannya mempunyai perniagaan sendiri, apakah pandangan anda?

Saya bukan sengaja mengikut orang untuk membuka perniagaan, sebaliknya saya memang seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai asas dalam bidang perniagaan dan sentiasa berfikiran ke arah itu. Saya mula serius berniaga ketika berumur 20 tahun. Duit hasil daripada iklan komersial, saya laburkan untuk perniagaan kasut secara dalam talian.

NEELOFA menegaskan, hubungannya dengan Hans Isaac berada dalam status yang disifatkannya sebagai sangat baik.


Sebagai seorang selebriti, mengapa anda menceburi bidang seni sedangkan minat anda terhadap bidang perniagaan lebih mendalam?

Saya ada empat produk iaitu Bellavita dan Naelofar Abaya yang diusahakan bersama kakak dan ibu saya manakala Bokkita Hijab dan Lofalens saya usahakannya sendiri.

Sebenarnya tujuan saya masuk dalam industri seni kerana saya mahu cari platform untuk mengangkat nama saya melalui produk yang dikeluarkan.

Mengapakah anda lebih meminati bidang perniagaan berbanding bidang seni?

Berbanding bidang lakonan, kepuasan dan cabaran dalam usaha membina empayar perniagaan sangat mengujakan.

Adakah anda bersedia untuk berhadapan dengan sebarang risiko apabila terlibat dalam perniagaan?

Saya sudah fikir tentang risiko dan perkara buruk yang boleh terjadi, oleh itu saya sudah bersedia dengan semua kemungkinan.

Bercerita tentang kehidupan peribadi, adakah anda merancang untuk berkahwin?

Selepas terlibat dalam kerjaya lakonan, kemudian bisnes, sasaran seterusnya ialah berkahwin. Namun, jika saya berkahwin sekarang, ia tidak adil kepada pasangan kerana saya terlalu sibuk dengan kerjaya dan perniagaan.

Maksudnya, saya tidak akan berkahwin pada tahun ini.

Bagaimanakah hubungan anda dengan Hans Isaac, mungkin anda ada perancangan untuk berkahwin dengan dia (Hans Isaac) pada masa akan datang?

Buat masa sekarang, saya masih belum memikirkan soal jodoh kerana terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan dan perniagaan. Namun, apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah hubungan kami sangat baik. Bagaimanapun, restu keluarga amat penting apabila berbincang pasal hal perkahwinan.

Azad jadi pengurus peribadi Lara Dutta

Posted:

Azad jadi pengurus peribadi Lara Dutta

Azad jadi pengurus peribadi Lara Dutta

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

AZAD mendapat tawaran berlakon di dalam filem Bollywood. Jika semuanya berjalan lancar, dia akan terbabit dengan 22 buah babak bersama Lara Dutta.


BUKAN mudah rasanya buat artis tempatan untuk mendapat peluang berlakon dengan produksi dari luar negara sama ada di Hollywood atau Bollywood tetapi lain pula nasibnya dengan pelakon Azad Jasmin.

Azad yang ditemui semasa majlis pelancaran filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 di pejabat outLOUD Studios, Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini mendedahkan, dia mendapat peluang berlakon dalam sebuah filem Bollywood.

"Ada pihak daripada sebuah syarikat produksi di Bollywood telah menghubungi isteri saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk membintangi filem yang bakal diterbitkan oleh mereka.

"Apabila isteri memberitahu kepada saya tentang tawaran ini, saya sangka ia sekadar watak sampingan yang membabitkan satu atau dua babak sahaja. Namun begitu, saya diberitahu akan terbabit dengan 22 buah babak," jelas suami kepada pelakon Eira Syazira itu.

Menurut Azad, apa yang membuatkan dirinya berasa lebih teruja dengan tawaran yang diterima kerana dia bakal digandingkan dengan seorang pelakon popular Bollywood iaitu Lara Dutta.

Ujarnya, dalam filem berkenaan dia diberikan watak sebagai pengurus peribadi Lara dan buat masa ini pihak produksi berkenaan masih lagi dalam proses perbincangan dengan pelakon berkenaan.

"Pada mulanya saya hairan bagaimana pihak produksi tersebut mengenali diri saya. Kemudian saya diberitahu bahawa mereka telah menonton lakonan saya sebagai seorang lelaki India dalam filem Kolumpo ketika ditayangkan di sebuah festival filem di luar negara sebelum ini.

"Jika semuanya berjalan dengan lancar, pihak produksi berkenaan akan datang ke Malaysia dan kami akan berbincang dengan lebih lanjut.

"Kalau ditanya tentang perasaan pula, sudah tentu saya sangat gembira kerana ia satu peluang keemasan untuk mengembangkan bakat di luar negara," jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan bahawa timbul sedikit kerisauan sekiranya jadual penggambaran untuk filem berkenaan akan bertembung dengan komitmennya dalam filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

PELAKON Bollywood Lara Dutta akan terbabit dengan filem baharu, namun semuanya masih dalam perancangan.


Jelas Azad, sebelum ini dia sudah mengikat kontrak dengan GBSB untuk berlakon lima buah filem bersama syarikat tersebut dan ketika ini dia baru sahaja selesai berlakon tiga buah filem.

"Sudah tentu saya risau kalau jadual penggambaran filem Bollwood saya nanti bertembung dengan filem lakonan saya bersama GBSB. Jadi, saya akan berbincang dengan pihak GBSB sekiranya tawaran berlakon filem Bollywood ini menjadi kenyataan," luahnya.

Selain mendapat peluang untuk tampil di pentas Bollywood, Azad memberitahu, dia juga mendapat tawaran daripada sebuah syarikat untuk berlakon drama tentang pengembaraan Marco Polo yang akan ditayangkan di saluran BBC.

Raja Lawak

Ketika ditanya perkembangannya dalam dunia lakonan pula, Azad yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kelip Kelip memberitahu, dia akan ke Itali selepas Hari Raya Aidilfitri untuk penggambaran filem Poskad Dari Itali bersama Keith Foo.

Ujarnya, ketika ini terdapat beberapa buah filem lakonannya yang lain juga sedang menanti untuk ditayangkan di pawagam seperti Mama Cupcake, Tujuh, Showdown, Suatu Malam Kubur Berasap 2 dan Kelip Kelip.

"Berkenaan dengan filem terbaharu saya, Suatu Malam Kubur Berasap 2 yang akan ditayangkan pada 12 Jun ini, saya membawakan watak sebagai Chot yang merupakan kawan baik kepada Ajak dan Shahrol yang menganggotai kumpulan Shiro.

"Saya bersetuju berlakon dalam filem ini kerana sudah lama saya berkeinginan untuk berganding dengan peserta yang lahir daripada program Raja Lawak. Pengalaman dapat berlakon bersama Ajak dan Shahrol turut memberi satu pengalaman yang menarik," ujarnya.

Selain Azad, Ajak dan Shahrol, pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem terbitan outLOUD Studios itu antaranya seperti Rahim Sepahtu, Mr. Os dan Soo Wincci.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved