Ahad, 11 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta kulinari Nik Michael

Posted:

Cinta kulinari Nik Michael

Cinta kulinari Nik Michael

BERJALAN melintasi gelanggang badminton yang biasanya menjadi ruang riadah kakitangan di Sri Pentas, Bandar Utama, Nik Michael Imran, 24, sempat menendang sebiji bola lusuh yang ditinggalkan tersadai di situ.

Dia berlari-lari mengejar bola tersebut dan beraksi ibarat sedang berada di padang futsal padahal ada urusan fotografi hendak disegerakan.

Tanpa topi koki, apron atau jaket putih yang biasanya menjadi uniform rasmi para chef di dapur, jika tidak mengenalinya sebagai Chef Nik Michael Imran, tukang masak selebriti itu juga tidak lebih daripada seorang personaliti televisyen biasa yang gemar ketawa.

"Saya ada banyak misi lagi, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Memasak atau bidang kulinari akan sentiasa jadi kecintaan saya, tapi pada masa yang sama, saya juga nak buat benda lain. Macam buat pengacaraan program dan sudah tentunya, saya perlu menghabiskan pengajian saya di Universiti Multimedia," katanya yang kini mengusahakan restoran sendiri, PickNik di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Pada rembang petang tempoh hari, cuaca panas terik. Hujan yang biasanya turun menjelang petang sedikit merisaukan apabila fotografi ini dilakukan di kawasan tidak berbumbung. Nik yang masih menuntut dalam bidang perniagaan itu bagaimanapun menunjukkan reaksi biasa-biasa sahaja, tidak terlalu hendak cepat atau merungut kepanasan.

Mungkin kepanasan sudah terlalu biasa buatnya. Bukan kerana saban hari di dapur menyediakan masakan untuk pelanggan, dia bahkan pernah bergelar pengacara program berjudul Remaja Ekstrem, yang sering masuk hutan dan meredah laut demi tuntutan sebagai pengacara.

"Sekarang saya cuba untuk mengurangkan program masakan yang melibatkan saya sebagai tukang masak solo. Program macam Dapur Panas sudah masuk musim ketiga. Saya mahu fokus dengan restoran dan habis belajar nanti, saya mahu ke Perancis untuk dalami pengajian dalam bidang masakan. Saya mahu ambil diploma kulinari pula," katanya yang pernah menyertai MasterChef Malaysia musim pertama.

Dikritik Chef Wan

Februari lalu, nama chef muda itu memanas gara-gara satu kritikan yang dihamburkan oleh Datuk Chef Wan mengenai kualiti program masakan di Malaysia. Soal kredibiliti, pengalaman cetek yang dihalalkan stesen televisyen yang sewenang-wenangnya memilih sesiapa sahaja sebagai chef disebut oleh Chef Wan. Wajah jambu juga menjadi isu bagi ikon dunia masakan tempatan itu dengan merujuk kepada Nik menerusi program Dapur Panas.

Mengulas lanjut soal kredibiliti, jejaka berdarah kacukan Melayu-Australia itu sekadar bersahaja. Wajah jambu hanyalah satu kelebihan buatnya namun usaha dan pembelajaran harus jadi asas jika mahu diterima ramai.

"Saya teringatkan kisah Nigella Lawson yang mencapai populariti dalam bidang kulinari biarpun dia bukannya mendapat pendidikan formal dalam bidang kulinari. Jadi, soal cukup kredibiliti atau tidak, itu subjektif asalkan penonton gemar lakukan.

Suka belacan

"Kalau ada orang mempertikaikan saya, maknanya orang itu belum mengenali saya.

"Saya masih dalam proses belajar walaupun sebelum ini saya ada belajar memasak dan belajar juga daripada ayah saya, tetapi itu tak bermakna saya cukup bagus. Saya buka restoran dengan bapa saya, itu juga tak bermakna saya dah habis belajar untuk jadi lebih baik. Di restoran saya, ada tukang masak yang lebih tinggi jawatannya daripada saya.

MASIH meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan, pemilik restoran PickNik ini bercita-cita mahu mendalami bidang kulinari di Perancis.


"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, jika tanpa kehadiran saya pun, program kulinari tempatan berjalan macam biasa juga. Sekarang, bidang kulinari sudah diterima, ia jadi sesuatu yang orang suka," katanya yang selesa jika diminati wanita kerana handal di dapur.

Tambahnya berseloroh: "Kalau itu yang gadis-gadis suka, saya akan tambah bermotivasi. Sekarang orang sudah tidak kisah bermenantukan tukang masak. Tapi, kalau sudah berkahwin, lebih enak rasanya kalau dapat makan hasil tangan isteri. Jika sudah seharian di restoran, takkanlah balik rumah pun saya yang kena memasak lagi. Sekarang, dalam peti sejuk rumah saya tiada apa-apa yang boleh dimasak.

"Jadi tukang masak juga, buat saya lebih menghargai kerja tukang masak di restoran. Bila memesan makanan di mana-mana restoran, saya lebih suka pesan menu yang ringkas-ringkas."

Mengakui menggemari segala jenis masakan Melayu termasuklah masak lemak sambal tempoyak, belacan atau ulam-ulaman seperti petai, pemuda berdarah kacukan itu bangga menjadi lelaki Melayu.

Namun dalam agenda kulinari, secara peribadinya chef yang pernah menjadi hos program Tea Twist di saluran Asian Food Channel (AFC) itu lebih terarah kepada masakan barat.

"Saya boleh katakan, masakan Itali dan Perancis sebagai kepakaran saya. Umumnya, masakan Itali dan Perancis ialah asas kepada masakan barat.

"Dalam bidang kulinari juga, saya mahu beri pendedahan kepada masyarakat Malaysia tentang asas penyediaan masakan barat. Saya tiada falsafah tertentu, tapi perkara paling penting dalam masakan Barat ialah teknik dan cara-cara penyediaannya bukan hanya kepada resipi yang nampak genius. Macam kalau masakan Melayu, kita kembali kepada asas contohnya macam mana hendak sediakan kerisik," lenturnya bersemangat.

Jejak bapa

Seronok bercerita tentang dunia kulinari yang menjadi sebahagian daripada hidupnya, anak pertama daripada enam beradik itu juga mengakui, cinta dan kekagumannya terhadap dunia masakan berpunca daripada bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia, juga seorang chef.

"Saya memang kagum sangat dengan dia, tapi sekarang saya sudah boleh tidak bersetuju dengan cara ayah. Macam dalam penyediaan menu baharu di restoran, pilihan dia tidak salah, tapi pendapat kami selalu bercanggah. Mungkin sebab saya bukan jenis chef yang ikut cara lama.

"Tapi, seronoknya, kami adik beradik memang pandai bab makan. Adik bongsu saya yang berusia lima tahun cukup handal bab memesan makanan di restoran," kongsinya sambil ketawa.

Semakin dikenali dengan gaya tersendiri, Nik bagaimanapun mengakui dia masih mencari rentak untuk mencorak sisi karakternya di kaca televisyen. Mungkin itu sebab mengapa Nik masih belum berani menerima tawaran lakonan yang sudah mula memujuk penglibatannya sejak kebelakangan ini.

"Di belakang kamera, saya masih seorang gila-gila, tapi dalam televisyen, saya lebih sopan. Masih takut-takut hendak jadi diri sendiri. Perkara itu berlaku secara natural sebab asalnya saya yang pemalu depan kamera," katanya yang kini bertindak sebagai juri untuk sebuah program masakan di 8TV yang berjudul Kang-Cheong Kitchen.

Kecoh, riuh-rendah dan mendebarkan, program yang ke udara setiap Rabu pukul 9.30 bermula 2 April lalu itu disifatkan Nik sebagai satu program yang harus dibanggakan.

Selepas Hello Bro…Tolong Masak dan Dapur Panas, Nik meraih satu lagi kepercayaan sebagai juri pula.

"Untuk program seperti Kang-Cheong Kitchen, kalaupun bukan sebagai juri, dipanggil sebagai peserta pun saya sanggup. Dalam program itu, kita boleh lihat karakter setiap peserta yang bertanding, sama ada dia ada bakat memasak atau tidak.

"Konsep program itu sangat menarik, lagipun ia bukan sebuah program yang mengambil konsep program dari luar, ia seronok dan terhasil dari pasukan produksi yang cukup kreatif," katanya yang semakin melakar nama sebagai chef selebriti muda dan berpengaruh ketika ini.

Wali Band sedar diri

Posted:

Wali Band sedar diri

Wali Band sedar diri

WALI memilih negara ini untuk melancarkan album ke-4 berjudul Doain Ya Penonton sebagai hadiah buat peminat di Malaysia.


NAMA kumpulan muzik dari Indonesia, Wali Band sememangnya sudah dikenali umum. Terkenal menerusi lagu-lagu berunsurkan nasihat dan ketuhanan, band yang dianggotai oleh empat orang itu juga memiliki variasi kelompok peminatnya tersendiri.

Daripada kanak-kanak sehinggalah kepada orang dewasa, band yang popular menerusi lagu Cari Jodoh itu dilihat bagaikan ada auranya tersendiri.

Biarpun ada ratusan band baharu yang muncul di Indonesia, kumpulan yang selesa digelar band kampung itu masih mampu berdiri sehingga kini.

Bukan sahaja di negaranya sendiri, nama Wali Band turut meniti di bibir peminat di Malaysia dan Singapura.

Jika dilihat daripada segi rangka masa, tempoh 15 tahun bertapak dalam industri hiburan, nyata sudah membuatkan kumpulan yang dibarisi oleh empat sahabat, Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan Ovie (pemain keyboard) itu, sudah boleh dianggap matang.

"Kami sebenarnya tak pernah anggap yang kami ini semua sebagai sebuah band, tetapi kami lebih kepada sebuah keluarga.

"Syukur sehingga kini kami masih diterima umum. Semoga perjuangan yang kami bawa untuk menyampaikan mesej-mesej berguna menerusi karya lagu ini mendapat sokongan daripada semua pihak," ujar Fannk.

Melihat kepada suasana industri hiburan antara dua buah negara, Malaysia-Indonesia, celah Apoy, dia mengakui ramai yang dari seberang cuba membina nama di negara ini.


WALI Band yang dianggotai Ovie (dari kiri), Faank, Apoy dan Tomi sudah bertapak dalam industri muzik selama 15 tahun dengan membawakan lagu-lagu berunsurkan nasihat dan ketuhanan.


Biarpun begitu, katanya, Wali Band masih lagi sedar kedudukan dirinya sebagai 'orang luar.'

"Kami juga harus sedar diri. Datang ke sini (Malaysia) pun atas jemputan yang kami terima. Jika tiada permintaan daripada peminat di Malaysia, kami mungkin tak ke sini.

"Sungguhpun mempunyai ramai peminat di negara ini, Wali tidak pernah terfikir untuk menjadikan Malaysia seperti rumah sendiri.

"Sekalipun peminat kami ramai di sini, kami tidak pernah lagi terfikir nak berkampung di sini untuk mengembangkan muzik.

"Kami juga kena menghormati band-band yang ada di Malaysia yang mencari rezeki seperti kami," jelas Apoy ketika ditemui baru-baru ini sewaktu bertandang ke Kuala Lumpur sempena pelancaran album baharu mereka berjudul Doain Ya Penonton.

Bercerita mengenai album ke empat mereka itu, Fannk menyifatkan karya terbaharu mereka cukup istimewa apabila memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk menyaksikan majlis pelancaran album berkenaan.

"Atas sambutan yang memberangsangkan di sini, kami telah bersetuju untuk memilih Malaysia bagi melancarkan album baharu kami itu.

"Ia juga sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kami kepada peminat-peminat di Malaysia yang banyak memberi sokongan selama ini," tuturnya yang mengakui pemilihan lokasi juga berdasarkan permintaan daripada peminat sendiri.

Tambah Apoy, dia yakin peminat di Indonesia tidak akan berkecil hati dengan tindakan mereka melancarkan album di negara jiran.

"Tak mungkin timbul isu berkecil hati ini kerana kami akan buat persembahan besar di Indonesia nanti," katanya yang menaruhkan Jamin Rasaku sebagai lagu hit dalam album itu.

Album yang mengandungi 11 buah lagu itu mengetengahkan rangkaian lagu bergenre dangdut selain penghasilan lirik lagu yang mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu yang mudah difahami oleh negara jiran termasuk Malaysia sendiri.

Misi penjajahan Pita Hati

Posted:

Misi penjajahan Pita Hati

Misi penjajahan Pita Hati

KUMPULAN Pita Hati (dari kiri) Zahar, Yasin, Ilham, Masrin dan Hidayat.


NAMA Pita Hati itu simbolik kepada perjuangan suara hati mereka. Lama menunggu, dua tahun setelah menzahirkan sebuah EP pada tahun 2012, kini sebuah pita lengkap tentang hati dan ideologi lima kepala anak muda itu juga sudahpun dilancarkan secara rasminya untuk mengisi pendengaran peminat muzik.

Tanpa mendengar keseluruhan isi bunyi, matlamat pemberian judul Fonetik Anak Candal kepada album pertama yang akan membawa jenama mereka itu mudah ditebak. Diksi yang hanya ditemui dalam pengajian bahasa Melayu itu terpampang kemas pada kulit album pertama mereka. Diksi itu membayangkan sebuah hasil yang mengandungi citra sastera tinggi yang sedang menunggu untuk dinilai menerusi lirik dalam melodi mereka.

"Kami main muzik dengan jiwa. Misi kami ialah mahu perkayakan lagi budaya dalam muzik kami. Ia semacam satu evolusi juga. Macam dulu semasa zaman pop yeh yeh, disko dan 1970-an, ketika itu ciri-ciri Melayu sangat kuat dalam lagu-lagu," kata Ilham, sang vokalis yang juga merupakan anak sulung komposer ternama, Datuk M. Nasir.

Selain Ilham, Pita Hati turut dianggotai dua lagi anak M. Nasir iaitu Yasin dan Hidayat. Masing-masing bermain drum dan gitar. Dua lagi anggota yang menyatu menyempurnakan Pita Hati sebagai sebuah band ialah Zahar yang juga bermain gitar dan Masrin di posisi bass.

"Masa mula-mula dahulu, Pita Hati hanyalah saya dan Yasin. Zahar dan Masrin pula dari kumpulan lain, kemudian Hidayat akhirnya menyertai kami, maka jadilah Pita Hati," kata Ilham.

Sudah adat membesar bernaungkan legasi muzik M. Nasir, sama ada Ilham, Yasin atau Hidayat, tiga beradik itu tidak dapat mengelak daripada persoalan klise, adakah muzik mereka dibayangi muzik si bapa yang sudah merentasi nusantara.

Ditanya lagi persoalan yang sudah didengari mereka sejak memperkenalkan EP Bintang Biru Kristal Salju dua tahun lalu, tiga beradik itu sudah dapat mengagak.


ILHAM anak sulung M. Nasir yang bertindak sebagai vokalis bahkan perintis yang menggerakkan muzik Pita Hati.


"Setakat ini masih belum ada yang mendakwa muzik kami sebagai bayangan muzik M. Nasir.

"Kalau itu juga yang mahu didakwa, saya anggap hal itu tidak adil kepada dua lagi anggota kami (Masrin dan Zahar). Misi kami, harap bayang kami akan lebih besar daripada bayang dia (M. Nasir)," jawab Ilham (ketawa).

Album sudah pun dilancarkan, selain misi untuk menyebarkan ideologi muzik yang masih berlagu dalam rentak rock itu, Pita Hati yang kini mempertaruhkan 10 buah lagu itu ada agenda yang lebih padu.

"Kami dalam rencana membawa Fonetik Anak Candal menjelajah ke seluruh Malaysia. Tidak hanya untuk peminat muzik di bandar, kami mahu album ini masuk ke pendengaran peminat muzik di luar bandar," kata Masrin pula.

Menamakan misi itu sebagai Merapah Fonetik Anak Tanah Semenanjung 2014, jelajah lunak yang mengalunkan tajuk-tajuk seperti Krisendo Slendro, Nafas, Cahaya Dalam Buta, Hati-Hati Ahmad, Olivia, Burung Dalam Kaca dan Akhirnya Kita Sendiri itu telah bermula sejak awal Mei lagi. Mereka telah disaksikan peminat di Kulim Kedah, George Town pada 2 Mei, Pulau Pinang (3 Mei), Khizanat, Ipoh (9 Mei) dan Black Box, Publika, Kuala Lumpur (10 Mei).

Lagu-lagu lain yang turut dimainkan dalam misi menjajah pancaindera khalayak itu termasuklah Bicara Dan Susunkata, Melayar serta lagu daripada EP seperti Bintang Biru Kristal Salju yang turut dimasukkan dalam album pertama mereka.

Akan datang, Pita Hati akan berada di Dungun, Terengganu pada 16 Mei, Kuantan (18 Mei), Subang Jaya (31 Mei), Aliwal Street, Singapura (31 Mei) dan Alor Setar (13 Jun). Siri jelajah itu akan berakhir pada kunjungan mereka ke Taman Botani, Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang pada 14 Jun nanti.

"Kami sedang bersedia untuk mendekati peminat muzik bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kelompok khalayak sahaja," jelas Hidayat pula.

Celah Ilham, mereka yakin ada pendengar setia yang mengikuti perkembangan kumpulan itu dari semasa ke semasa.

"Kami juga beruntung sebab dapat bekerjasama dengan penganjur-penganjur setempat. Mereka turut mendapat pulangan hasil jualan tiket dan kami pula dapat bertemu pendengar," tambah Ilham.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved