Khamis, 1 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Gambit, Afiq sedar diri

Posted:

Gambit, Afiq sedar diri

Gambit, Afiq sedar diri

KACAK, berbakat dan sarat dengan kontroversi adalah pakej yang diusung oleh dua pelakon, Gambit Saifullah dan Afiq Muiz. Gambit dipandang negatif sebelum ini kerana sikap keras kepalanya, memaki peminat di laman sosial, kontroversi muzik video penyanyi Prema Yin arahannya yang didakwa berunsur lucah dan dibenci peminat gara-gara sikap antagonis yang dibawanya dalam program realiti Fear Factor.

Wajah Afiq Muiz pula terkenal satu Malaysia gara-gara pergaduhan dengan ibu kandungnya sendiri, bahkan dia digelar si Tanggang moden.

Bertemu dengan kedua-dua mereka pada majlis pelanca- ran wajah baharu sebuah portal hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! sempat menggali isi hati mereka selepas episod kontroversi yang melanda mereka berakhir.

Gambit lebih matang

Dua tahun tempoh Gambit hilang daripada direktori dunia hiburan tempatan. Bukan merajuk, sebaliknya dia merehatkan diri dan baru kembali daripada bercuti di Eropah selama sebulan.

Lama tidak bersua dengan dirinya, imej Gambit kini telah berubah. Tidak lagi dengan imej rambut panjang paras bahu, sebaliknya dia kini selesa tampil dengan rambut pendek yang dipotong kemas. Sejujurnya, Gambit tampak lebih segak. Namun, imej lelaki nakal dan antagonis tidak dapat dipisahkan daripadanya.

Gambit atau nama sebenarnya, Mohd. Saifullah Rosli, 29, tidak melatah saat diajukan soalan berhubung kontroversi yang pernah melandanya, sebaliknya mengakui kontroversi itu telah banyak mematangkan dirinya.

"Kontroversi telah banyak mematangkan diri saya. Walaupun begitu, saya masih lagi Gambit yang dahulu, tidak pernah berubah, cuma saya menjadi lebih dewasa.

"Sebelum ini mungkin faktor darah muda, emosi dan ego menyebabkan saya dengan lantangnya bersuara mengeluarkan pendapat tanpa berfikir kesannya terhadap saya," ujar pemegang diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Automotif itu.

Satu hal yang ingin dijelaskan, kontroversi yang berlaku kebanyakannya disebabkan salah faham. Bagaimanapun, sebagai artis Gambit sedar itulah asam garam dunia seni yang harus dihadapinya.

"Saya dibesarkan dengan pendidikan supaya menjadi lebih berani dalam semua perkara termasuk dalam meluahkan pendapat.

"Jika diluar negara, tidak ada masalah jika saya lantang bersuara dalam segala hal tetapi tidak di Malaysia kerana kita mempunyai budaya dan adat untuk cakap berlapik. Saya terlupa tentang perkara itu.

"Sekarang, sebagai artis saya sedar setiap apa yang ditulis, dituturkan dan sikap semuanya menjadi bahan perhatian. Selepas apa yang berlaku, saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara," katanya.

Mengakui dirinya seorang lelaki yang pemalu bukannya sombong seperti dicap oleh peminat dan pihak media sebelum ini, dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap peminat yang mengkritiknya sebelum ini.

"Tidaklah, sebagai artis, saya perlukan peminat. -Apa yang telah berlaku itu saya simpan sebagai ingatan dan pengajaran berguna untuk saya," balasnya.

GAMBIT akan berehat sehingga bulan Jun kerana menjalani pembedahan sendi lutut.


Jalani pembedahan

Kini, Gambit dalam proses rehat yang panjang akibat kecederaan meniskus (meniscus) di sendi lutut kanannya. Dalam minggu ini dia akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor untuk merawat kecederaannya itu.

"Saya seorang yang aktif bersukan dan kecederaan ini biasa berlaku ke atas atlet. Meniskus lutut saya tidak berada di posisi yang betul dan mengakibatkan saya rasa sakit apabila melakukan aktiviti lasak.

"Selepas pembedahan, saya diarahkan oleh doktor untuk berehat dan tidak bekerja sehingga bulan Jun," ujarnya.

Sambungnya, meskipun berehat tetapi dia masih lagi meneruskan kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn. Bhd.

"Mungkin orang lihat saya tidak aktif berlakon, sebaliknya saya aktif menerbit beberapa program di bawah syarikat sendiri.

"Alhamdulillah, rezeki masih ada dan tidak pernah putus untuk saya. Walaupun bergelar penerbit, saya tidak akan berhenti berlakon dan masih menerima tawaran lakonan daripada syarikat produksi yang lain," ucapnya.

Afiq kembali kepada ibu

Sekitar Mei tahun lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan kontroversi anak derhaka yang melibatkan pelakon Afiq Muiz atau nama sebenarnya, Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 22, dengan ibunya Hasliza Mohd. 49.

Kontroversi pergaduhan antara ibu dan anak itu akhirnya selesai apabila Afiq memberitahu yang dia telah berbaik dengan ibunya pada awal Januari lalu. Bahkan kini, dia juga telah kembali menetap bersama ibunya.

"Saya telah insaf dan memohon ampun daripada ibu. Syukurlah ibu telah memaafkan saya dan sekarang kami tinggal bersama.

"Kontroversi itu telah mematangkan saya sebagai seorang anak dan seorang lelaki. Sebelum ini, saya cepat melenting dan lantang bersuara tanpa berfikir panjang.

"Sekarang saya lebih lega, tenang dan berfikir panjang dalam melakukan sesuatu perkara. Kembali bersama ibu umpama beban yang berat telah jatuh daripada bahu saya," ujarnya yang enggan dikaitkan lagi dengan pelakon Eina Azman.

Apabila diminta berkongsi pengalamannya apabila digelar orang ramai sebagai anak derhaka, Afiq terdiam sebentar mencari jawapan yang tepat barangkali.

Lama dia berfikir kemudian bersuara: "Ini ujian Allah kepada saya yang ketika itu nama sedang meningkat naik. Saya bersyukur Allah berikan ujian itu kepada saya ketika muda supaya saya lebih berpijak di bumi yang nyata.

"Sepanjang kontroversi itu, saya mengakui fikiran saya agak kusut dan jiwa tidak tenteram. Mungkin dengan ujian itu, tidak secara langsung telah menyedarkan orang lain yang membaca cerita tentang saya supaya kembali kepada ibu mereka.

"Nasihat saya kepada mereka yang mungkin lupa dan bergaduh dengan ibu, sila kembali dan mohon maaf pada ibu. Mereka yang melahirkan kita, tidak mungkin mereka membenci anak mereka sendiri," katanya yang berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

BERBAIK semula dengan ibunya merupakan suatu rahmat buat Afiq dan dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya.


Simpan niat

Walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan, Afiq memberitahu, dia telah menyimpan niat untuk membawa ibunya menunaikan ibadah umrah sekitar Januari tahun depan.

"Sekarang saya sedang menyimpan wang untuk membawa ibu saya menunaikan umrah. Saya pun tidak pernah menjejakkan kaki ke Mekah.

"Jika ada rezeki dan dimakbulkan Allah, saya bersama ibu akan menunaikan umrah pada Januari depan. Rasanya itu hadiah terbaik daripada saya kepada ibu," ucapnya.

Selain itu, sempena dengan sambutan Hari Ibu, Mei ini, Afiq merancang untuk menyambut hari lahir bersama ibunya.

"Saya lahir pada 1 Mei manakala ibu pada 14 Mei. Tarikh hari lahir kami tidak jauh, rasanya saya akan sambut bersama ibu.

"Tidak perlu sambutan yang besar, sebaliknya hanya kami sekeluarga, pengisian itu lebih bermakna daripada sebuah majlis yang gah," tuturnya.

Bercakap tentang kerjaya lakonannya meskipun namanya pernah dibenci khalayak buat seketika, namun, rezekinya tidak pernah putus.

Akuinya, walaupun ketika namanya sedang panas dengan kontroversi, dia masih menerima tawaran lakonan dan terbaharu dia bakal ke New Zealand untuk menjalani penggambaran sebuah drama di sana.

"Alhamdulillah, masih banyak produksi percayakan bakat lakonan saya dan saya juga tidak memilih tawaran yang diberikan asalkan ia sesuai dengan saya.

"Kontrak sebagai artis residen syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. yang tersekat sebelum ini juga telah di sambung dan saya akan terlibat dengan beberapa buah projek bermula Jun," bicaranya yang bakal muncul dengan drama seperti Gerimis Salju Demi Ana dan Dingin Sahara.

Isu saman

Menjawab isu bakal disaman oleh syarikat pengurusannya, Afiq berkata, tiada sebarang masalah antaranya dengan syarikat milik Datin Zaiton Mohd. Jiwa itu.

Malahan ketika Kosmo! menghubunginya, Afiq sedang berada dalam mesyuarat bersama Datin Zaiton di pejabat Global Station.

"Tidak ada apa yang berlaku. Semuanya baik sahaja antara saya dan Global Station," jelasnya.

Sementara itu, Datin Zaiton turut memberitahu, pihaknya tidak akan menyaman Afiq dan menyifatkan apa yang berlaku disebabkan salah faham.

"Afiq masih lagi artis kami. Seka- rang kami sedang berbincang projek seterusnya bersama Afiq.

"Apa yang berlaku hanya salah faham. Sekarang Afiq terikat penggambaran dengan produksi lain. Jadi, pihak Global harus tunggu giliran untuk projek seterusnya," ujarnya.

Tambah Zaiton, Afiq masih mempunyai baki projek yang harus diselesaikan mengikut kontrak yang ditandatangani.

Alyah tiada kuasa

Posted:

Alyah tiada kuasa

Alyah tiada kuasa

Oleh IZWAN MOHD. ISA

ALYAH memegang prinsip arwah bapanya yang pernah berpesan supaya jangan keterlaluan dalam bercinta.


GOSIP cinta antara penyanyi Alyah dan maestro muzik terkemuka, Datuk Ramli M.S bukan suatu perkara yang baharu.

Malah, gelombang hangat kisah cinta mereka itu telah lama dibualkan sejak timbulnya ura-ura mengenai dua individu itu pada pertengahan tahun lepas.

Bahkan, ada pihak yang mendakwa, Alyah atau nama sebenarnya, Norhasliah Abu Hassan, 33, telah pun mendirikan rumah tangga bersama penggubah lagu dan pemuzik terkenal itu.

Kosmo! cuba mendapatkan Ramli untuk memberikan kenyataan mengenai isu tersebut, namun bekas pengetua Akademi Fantasia musim kedua dan kenam itu selesa untuk mengunci mulut.

Katanya: "Cerita ini sudah basi. Jika saya dengar perkara ini, ia seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Lebih baik ia tidak ditulis."

Bagaimanapun, ketika berpeluang menemu bual Alyah pada majlis pelancaran program Ceria Popstar Musim Kedua di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini, pelantun lagu Kisah Hati itu mempunyai sebab yang tersendiri mengapa dia masih enggan mengiya atau menafikan setiap spekulasi yang dihamburkan kepadanya. Ikuti temu bual selanjutnya.

Kosmo!: Bilakah anda mahu menjelaskan tentang status hubungan cinta anda kepada umum?

ALYAH: Jika sudah sampai masanya nanti, saya akan membuat pengumuman. Buat masa ini, saya lebih selesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.

Mengapakah anda tidak mahu berterus terang tentang status sebenar hubungan anda dengan Datuk Ramli M.S?

Saya sangat suka kalau dapat berkongsi kisah gembira dengan semua orang. Saya tahu, semua orang teruja tentang perkara ini. Namun, arwah ayah saya pernah berpesan supaya jangan keterlaluan ketika bercinta.

Walaupun kita hidup dalam zaman yang serba moden, kesopanan diri serta rasa malu seorang wanita itu perlu ada. Jika saya berada di posisi lelaki, mungkin memberitahu tentang hubungan cinta bukan satu masalah yang besar.

Adakah disebabkan isu ini anda seperti menjauhkan diri daripada media dan sering pulang awal ketika menghadiri jemputan majlis?

Tidak sama sekali. Saya sangat baik dengan rakan-rakan media. Kadangkala saya terpaksa pulang awal kerana ada temu janji lain pada hari yang sama. Jika ada kelapangan, saya akan tunggu untuk ditemu bual.

ALYAH baru sahaja dilantik sebagai duta jenama Aalia untuk gedung pakaian Gulatis.


Anda dilihat tidak cepat melenting walaupun kisah cinta anda menjadi bahan jajaan umum. Apakah yang membuatkan anda kelihatan tenang menghadapi setiap gosip yang melanda karier anda?

Bagi saya, tempoh 14 tahun bergelar anak seni banyak mematangkan diri. Sepanjang tempoh itu, gosip sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya. Saya sedar, itu adalah harga yang perlu dibayar apabila saya bergelar seorang selebriti.

Apakah itu merupakan perkara normal bagi anda?

Walaupun saya sering menjadi bahan jenaka, saya tidak kisah. Kenapa? Sebab orang masih sedar kehadiran saya dalam industri. Apa yang boleh saya katakan, doakanlah yang terbaik untuk saya.

Anda telah terpilih sebagai guru untuk peserta Ceria Popstar musim kedua. Apakah pendekatan yang ingin anda terapkan kepada para peserta?

Sebagai seorang penyanyi yang bermula pada awal tahun 2000, saya melihat ramai artis-artis baharu yang cukup berbakat. Namun, mereka ada masalah dengan perangai dan disiplin, terutamanya kepada artis senior dan pihak media. Itu perkara asas yang saya mahu terapkan kepada mereka.

Mengapakah anda memilih asas disiplin sebagai perkara utama dalam proses pembelajaran di Ceria Popstar?

Itu merupakan akar kepada perjalanan seni mereka. Jika bakat sahaja yang dipertaruhkan tanpa pengurusan mental dan disiplin yang betul, penyanyi itu tidak akan ke mana.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Selain sibuk mempromosikan single berjudul Sesal Separuh Nyawa, saya baru sahaja dilantik sebagai duta tudung jenama Aalia untuk gedung pakaian Gulatis.

Apakah perasaan anda apabila terpilih untuk menjadi duta tudung?

Saya rasa sangat bersyukur kerana ini merupakan pelantikan pertama sebagai duta sepanjang saya bergelar penyanyi. Lagipun, nama tudung itu mirip dengan nama saya.

Spider-Man 2, manusia berkuasa elektrik

Posted:

Spider-Man 2, manusia berkuasa elektrik

Spider-Man 2, manusia berkuasa elektrik


SPIDER-MAN kini berhadapan dengan musuh baharu bernama Electro.


BAGI mereka yang sudah mengikuti siri filem Spider-Man sebelum ini seperti Spider-Man (2002), Spider- Man 2 (2004), Spider-Man 3 (2007) dan The Amazing Spider-Man (2012) pastinya perasan tentang kelainannya berbanding filem super hero lain.

Misalnya, setiap watak antagonis atau musuh kepada Spider-Man pada mulanya merupakan seorang individu yang baik tetapi akhirnya berubah menjadi makhluk aneh sehingga mengancam nyawa manusia.

Dalam filem The Amazing Spider- Man 2 yang memulakan tayangan di pawagam hari ini, konsep yang sama masih lagi dikekalkan apabila musuh Spider-Man kali ini iaitu Electro sebenarnya seorang lelaki lurus bendul bernama Max Dillon yang bekerja sebagai jurutera elektrik di syarikat Oscorp Industries.

Selain itu, Max juga merupakan seorang peminat tegar Spider-Man dan pada peringkat awal penceritaan turut dipaparkan aksi Spider-Man yang telah menyelamatkan Max daripada dilanggar kereta.

Cuma, nasib agak tidak menyebe- lahi Max apabila dia mengalami kejutan elektrik dan terjatuh dalam sebuah bekas yang dipenuhi dengan belut elektrik semasa cuba membaiki kerosakan yang berlaku di makmal tempatnya bekerja.

Kemudian pihak atasan cuba menyembunyikan jasad Max kerana bimbang saham syarikat akan jatuh serta semua rekod peribadi Max telah dipadam.

Bagaimanapun, Max yang kembali hidup dengan memiliki kuasa mampu menyerap tenaga elektrik, telah melepaskan diri dan merayau-rayau di kawasan tumpuan orang ramai.

Bagaimanapun, kemunculannya itu telah menimbulkan kebimbangan ramai sehinggalah Spider-Man datang untuk memberikan bantuan memandangkan keadaan mula huru-hara sehingga menimbulkan bahaya.

Pada mulanya Max cuba meminta pertolongan Spider-Man lantaran perubahan yang berlaku terhadap dirinya itu tetapi akibat tindakan tergesa-gesa seorang anggota polis yang melepaskan tembakan telah membuatkan Max marah dan beranggapan Spider-Man telah mengkhianati dirinya.


LAKONAN Emma Stone sebagai Gwen Stacy menyuntik elemen penuh dramatik dalam filem The Amazing Spider-Man 2.


Cinta pasangan

Itu merupakan antara sebahagian perjalanan cerita yang ditampilkan dalam filem arahan Marc Webb, seorang pengarah berusia 39 tahun yang sebelum ini pernah diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sekuel kedua selepas The Amazing Spider-Man dua tahun lalu.

Dalam filem ini, plotnya tidak tertumpu kepada kisah permusuhan antara Spider-Man dan Electro sahaja, malah ia menceritakan tentang kisah cinta antara Spider-Man atau Peter Parker yang dibintangi Andrew Garfield dengan kekasihnya, Gwen Stacy lakonan Emma Stone.

Hubungan cinta pasangan tersebut telah berakhir kerana Peter sering dibayangi oleh ayah Gwen yang telah mati dan melarangnya mendekati Gwen setelah mengetahui bahawa Peter merupakan Spider-Man.

Tidak ketinggalan juga paparan mengenai hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan antara Peter dan Harry Osborn, pewaris kepada Oscorp Industries.

Lari daripada bayangan

Namun begitu, Peter berdepan dengan konflik apabila sahabatnya itu meminta pertolongannya mendapatkan darah Spider-Man bagi merawati penyakit ganjil yang dihidapinya dan boleh membawa maut.

Namun, apabila permintaannya itu tidak dapat ditunaikan oleh Spider- Man, ia menyebabkan Harry berpakat dengan Electro untuk memusnahkan Spider-Man.

Selain ketiga-tiga plot tersebut, satu lagi tarikan dalam filem ini apabila penonton akan didedahkan tentang identiti sebenar ibu bapa Peter dan kaitannya dalam Oscorp Industries sehingga disingkirkan.

Masih menggunakan khidmat Marc untuk sekuel ini serta Andrew dan Emma sebagai teraju utama, The Amazing Spider-Man 2 turut dibintangi Jamie Foxx (Max Dillon/Electro), Dane DeHaan (Harry Osborn), Colm Feore (Donald Menken), Campbell Scott (Richard Parker) dan Embeth Davidtz (Mary Parker).

Melihat kepada lakonan yang ditampilkan oleh Andrew sebagai Spider-Man, ia wajar dipuji kerana lakonannya yang semakin bertambah baik berbanding filem terdahulu.

Ia nyata berjaya lari daripada bayangan watak Spider-Man yang pernah dibawakan oleh Tobey Maguire sebelum ini.

Secara keseluruhannya, filem ini tampil dengan aksi yang mendebarkan, terutamanya membabitkan pertarungan Spider-Man dengan kedua-dua musuhnya itu tetapi penamatnya mampu membuatkan penonton berasa sedih.- RONI HIDAYAT RIDWAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved