Isnin, 7 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Batu nisan di Lamreh bukti tamadun Islam

Posted:

Batu nisan di Lamreh bukti tamadun Islam

Batu nisan di Lamreh bukti tamadun Islam

Oleh MARZIANA MOHAMED ALIAS

PENEMUAN tapak Paleolitik di Bukit Bunuh dekat Kota Tampan, Perak antara bukti kejayaan arkeologi USM.


EKSKAVASI arkeologi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Universitas Syiah Kuala (UNSyiah) dan Universitas Sumatera Utara (USU) berjaya menemui bukti terbaharu kehadiran Islam di rantau ini.

Ia hasil penemuan batu nisan di Kampung Lamreh, Aceh Besar, Indonesia yang mendedahkan tarikh 200 tahun lebih awal berbanding Makam Malik Al-Saleh di Pasai pada kurun ke-11 Masihi.

Penemuan ini membetulkan sejarah awal Islam Nusantara berdasarkan bukti batu nisan bertulisan Arab ini yang dikatakan dimakamkan pada hari Jumaat 22 Safar 398 Hijrah.

Penyelidikan tersebut diketuai Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) USM, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin Mokhtar bersama-sama bekas pelajarnya dari USU dan UNSyiah pada tahun 2009.

Kedua-dua penyelidik tersebut adalah Ketua Pusat Penelitian Ilmu Sosial dan Budaya UNsyiah, Dr. Husaini Ibrahim dan Ketua Jurusan Sejarah USU, Dr. Suprayitno M. Hum.

Arkeologi Islam

Batu nisan ini pertama kali dipamerkan dalam Pameran Arkeologi Islam Asia Tenggara yang berlangsung di universiti itu baru-baru ini.

Mokhtar memberitahu, penemuan itu sangat penting dalam melihat sejarah awal Islam sehingga kini termasuk kemungkinan adanya hubung kait dengan tamadun di Semenanjung Tanah Melayu.

"Selama ini, pihak-pihak luar mendakwa kedudukan tamadun Islam terbelakang atau hampir sama usianya dengan tamadun-tamadun lain.

"Oleh itu, penemuan baharu ini memberi implikasi amat besar kepada penulisan sejarah Islam rantau ini," kata beliau.

Kejayaan ini juga adalah hasil daripada persefahaman yang dimeterai antara USM dan USU dalam kajian arkeologi Islam membolehkan penyelidikan yang lebih tersusun dan mantap.

Aceh dan Medan di Indonesia dikatakan mempunyai banyak bukti tentang arkeologi Islam yang tidak pernah dikaji sebelum ini melibatkan pelbagai bidang kemahiran arkeologi.

Ia membolehkan penulisan semula beberapa aspek 'Arkeologi Islam Nusantara' agar lebih jelas.

USM sebenarnya telah mendahului dalam bidang penyelidikan arkeologi Islam bermula tahun 2010 dengan Indonesia dan Pakistan yang menekankan kepada aspek penyelidikan saintifik.

BATU nisan bertulisan Arab bertarikh 22 Safar 398 Hijrah ini menjadi bukti terbaharu tamadun Islam di rantau ini.


Susulan kejayaan di Acheh, USM akan menghantar penyelidiknya ke Pakistan bulan depan bagi melaksanakan kerja-kerja ekskavasi di Gandhara Kashmir Smast di Peshawar, Pakistan.

Tapak sejarah yang terletak di utara Pakistan itu amat penting selain merupakan laluan perjalanan barat dan timur.

Kerajaan Gandhara yang wujud sekitar abad pertama Masihi merupakan pusat kebudayaan Buddha yang masyhur di bawah pemerintahan Raja Kushan.

Dengan ketinggian sekitar 1,200 hingga 2,000 meter dari paras laut, tapak arkeologi tersebut kaya dengan khazanah tamadun manusia.

Tapak Gandhara menjanjikan pulangan yang cukup tinggi dalam pembangunan ilmu serta penghasilan penerbitan berkualiti untuk dimuatkan dalam jurnal terkemuka dunia.

Tapak Ghandara

"Kepercayaan Pakistan terhadap kredibiliti PPAG turut menjadi penanda aras bahawa kepakaran kita sangat diiktiraf," ujar Mokhtar.

Namun jelasnya, pasukan mereka akan diberikan perlindungan maksimum di sana.

Katanya, pihak Barat turut mengetahui bahawa tapak di Gandhara adalah lubuk arkeologi yang menyimpan khazanah dunia.

"Bukan calang-calang negara yang dibenarkan berada di sana, inikan pula diberi kebenaran khas membuat penyelidikan penting di tapak yang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk Barat.

"Ekskavasi ini melalui kerjasama dengan Universiti Peshawar dan antara yang diberi tumpuan adalah mengumpul bukti-bukti prasejarah dan sejarah awal lokasi tersebut.

"Gandhara turut memberi peluang PPAG melahirkan modal insan terlatih dalam bidang arkeologi di samping membuka ruang lebih besar dalam aspek kajian saintifik," tambah beliau.

Sajian mewah Tanzini Upperdeck

Posted:

Sajian mewah Tanzini Upperdeck

Sajian mewah Tanzini Upperdeck


VALRHONA pencuci mulut yang enak untuk dicuba.


TERLETAK di tingkat 28, Hotel G Tower, Jalan Tun Razak berlatarkan pemandangan bandar raya metropolitan Kuala Lumpur, restoran Tanzini Upperdeck ternyata memberikan pengalaman gastronomi yang indah.

Lebih menarik, restoran tersebut kini menawarkan pelbagai menu baharu hasil tangan Cef Selebriti Eksekutif, Johnny Fua dan Cef Kanan Sous, Eugene Lee.

Antara menu baharu yang ditawarkan ialah Tougue N Cheeks. Ia adalah hidangan daging lembu wagyu yang dipanggang bersama hidangan sampingan lain iaitu lobak putih dan ceviche oren. Ceviche merupakan menu makanan laut popular yang terdiri daripada ikan mentah yang diperahkan jus sitrus seperti lemon atau limau.

Menu utama lain yang disediakan termasuklah daging, ikan kerapu bersama sos campuran terung, bawang, tomato yang dimasak selama enam jam. Hidangan ini turut dilengkapi dengan kacang hijau.

Pelanggan juga boleh menikmati confit burung puyuh bersama kentang kestrel, kulit tembikai dan sos, kekapis Hokkaido bersama udang galah dan stu kulat liar. Confit ialah makanan yang dimasak dengan minyak atau sirap.

Variasi itik

Ia diikuti isi kaki ketam yang disaluti cappellini iaitu pasta halus seperti rambut bersama hidangan tempatan otak-otak dan hati itik. Ketam yang diimport dari Perancis bersama cappellini membuka selera apabila digabungkan dengan otak-otak yang menggunakan hati itik untuk memberikan sentuhan serba baharu.

Chef Eugene Lee memberitahu, "Kedua-dua hidangan ini mempunyai tekstur dan rasa yang sangat berbeza."

KESEMUA hidangan kreatif Tanzini Upperdeck dihasilkan Johnny (duduk) dan Eugene (berdiri).


Variasi itik bersama lobak merah dengan sos Jepun menyerlahkan rasa krim lobak merah dengan perisa kari. Kepingan daging itik seperti bakon, daging itu masak berkiub dan daging itik bergaram menambahkan selera.

Ayam Capon en Croute yang dimampat sebelum dimasak dan dimampatkan semula sebelum ditekap ke dalam bingkai pastri. Lebih enak, ramuannya dicampurkan kiub keju cheddar, epal dan pesto edamame yang diperbuat daripada soya hijau Jepun.

Menu makan malam itu dilengkapi pencuci mulut yang disediakan menggunakan pelbagai teknik dan kaedah masakan yang rumit.

Mousse coklat dan coklat gelap pahit Valrhona manjari bersama kuning telur dan sirap gula merupakan pencuci mulut yang luar biasa. Penyediaannya yang menggunakan tekanan cecair nitrogen menjadikan ais krim lebih ringan dan berbuih.

"Kami sarankan anda makan segera kerana tekstur ais krim mudah cair. Ia melibatkan kerja penyediaan yang rumit, tetapi saya pasti ia berbaloi," kata-kata Eugene.

Ubi keladi bersama beberapa pilihan perisa ais krim perisa limau purut, kepingan kelapa, butir jeli bulat dan sos buah berangan antara pencuci mulut yang harus dicuba. - NIZHA PERIASWAMY

Mengukuhkan pertahanan Wilayah Timur

Posted:

Mengukuhkan pertahanan Wilayah Timur

Mengukuhkan pertahanan Wilayah Timur

Oleh ZAKI SALLEH


ANGGOTA tentera berkawaldi jeti Pulau Berhala, Sandakan, Sabah bagi memastikan keselamatan pulau itu daripada dicerobohi pengganas dan pendatang haram.


PENUBUHAN Markas Pemerintahan Wilayah Timur Tentera Darat (Mks Wil Timur) yang berpengkalan di Kuching, Sarawak bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan Tentera Darat di negeri berkenaan dan Sabah.

Markas ini menaungi dua ketumbukan utama iaitu Divisyen Pertama Infantri (1 Div) di Kuching dan sebuah divisyen baharu, iaitu Divisyen Ke-5 Infantri (5 Div) di Sabah.

Bagi tujuan itu juga, dua pasukan baharu akan diwujudkan di wilayah ini termasuk Briged Sempadan bagi mengawasi sempadan daratan kedua-dua negeri yang panjangnya kira-kira 2,000 kilometer.

Ketika ini Tentera Darat mempunyai empat buah divisyen infantri mengikut sektor tanggungjawab iaitu 1 Div, 2 Div (wilayah utara dan pantai timur Sememanjung), 3 Div (wilayah selatan) dan 4 Div (wilayah tengah).

Penubuhan Mks Wil Timur telah disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohammed Affandi Raja Mohammed Nor di padang kawad Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak pada 31 Mac lalu.

Panglima Medan Tentera Darat (PMTD), Leftenan Datuk Jeneral Zulkifle Kassim menyerahkan kawasan tanggungjawab Sabah dan Sarawak kepada Panglima Mks Wil Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Ia disusuli upacara menurunkan bendera PMTD, penyerahan bendera Pemerintahan Wil Timur, tongkat kuasa dan direktif tugas.

Mks Wil Timur telah ditubuhkan pada 1 Mac lalu bersama sebuah pasukan bertindak iaitu Task Force 450 (TF 450).

Pasukan bertindak ini adalah nukleus bagi penubuhan 5 Div di Kota Kinabalu, Sabah yang diketuai Brigadier Jeneral Datuk Ramjit Singh yang juga Panglima Briged Kelima Infantri.

Esscom

Pembesaran Tentera Darat ini adalah tambahan daripada pembentukan Pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang ditubuhkan April tahun lalu berikutan insiden serangan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Zon tanggungjawab Esscom meliputi kawasan sepanjang 1,733 kilometer dan keluasannya sekitar 100,000 km persegi termasuk 486 buah pulau.

Sekurang-kurangnya dua batalion infantri Tentera Darat ditugaskan mengikut giliran di kawasan tanggungjawab Esscom pada satu-satu masa.

ANGGOTA tentera bersiap siaga menjaga keselamatan di perairan Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.


Sebelum ini, 1 Div merupakan pasukan induk di wilayah Timur dengan tiga buah briged infantri iaitu Briged Ke-3 di Kuching, Briged Ke-5 (Kota Kinabalu) dan Briged Ke-9 (Sibu).

Sebuah pemerintahan iaitu Pasukan Angkatan Bersama II (PAB II) pula diwujudkan pada tahun 2000 bagi mengawasi perairan pantai timur Sabah berikutan insiden penculikan oleh kumpulan pemisah Abu Sayyaf di Pulau Sipadan.

Di samping itu, PDRM menerusi Pasukan Gerakan Am pula mempunyai dua buah briged infantri di wilayah timur iaitu Briged Sarawak dan Briged Sabah dengan kekuatan tujuh batalion.

Jika mengikut perkiraan biasa, pembesaran ini sudah pasti melibatkan pertambahan aset-aset tempur mengikut keperluan sesebuah divisyen infantri.

Antaranya pasukan artileri, armor, jurutera medan dan sekurang-kurangnya sebuah detasmen daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta logistik.

Selaras

Bagaimanapun, keperluan unit-unit organik ini boleh diselaraskan daripada aset-aset sedia ada mengikut penggunaan dalam operasi tertentu.

Sementara itu, Raja Mohammed Affandi berkata, penubuhan Mks Wil Timur adalah hasil langsung daripada insiden pencerobohan Lahad Datu awal tahun lalu.

Menurut beliau, ia juga sejajar dengan penyusunan kekuatan Tentera Darat agar selari mengikut keperluan pertahanan negara.

"Serangan di Lahad Datu memperlihatkan wujudnya sebuah markas pemerintahan medan di wilayah timur bagi memudahkan tugas dan koordinasi setelah mengambil kira kedudukan geografi.

"Namun begitu, ini bukanlah perancangan tergesa-gesa sebaliknya dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut jumlah perbelanjaan tertentu tanpa berkompromi dalam soal kesiapsiagaan," ujarnya.

Apa yang pasti, penubuhan markas pemerintahan baharu tersebut bakal menggandakan kekuatan Tentera Darat yang ketika ini dianggarkan berjumlah kira-kira 80,000 anggota.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved