Khamis, 3 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Peluang pengajian di luar negara

Posted:

Peluang pengajian di luar negara

Peluang pengajian di luar negara

Oleh NIZHA PERIASWAMY

PELAJAR perubatan boleh belajar dengan tenang tanpa memikirkan kos pengajian yang tinggi.


PENGUMUMAN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pastinya memberi harapan baharu kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sudah pastinya akan memilih kursus-kursus popular seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan.

Dalam hal ini, kos pengajian terutamanya kursus perubatan menjadi kebimbangan kepada ibu bapa dan pelajar kerana jumlahnya yang tinggi.

Bagaimanapun, syarikat Rutra Study Link Sdn. Bhd. (Rutra Medic) yang bertanggungjawab menyediakan platform kepada pelajar mengikuti pengajian perubatan dengan kos berpatutan.

Eksekutif Pemasaran Kanan Rutra Medic, Asmani Othman memberitahu, Rutra Medic yang beroperasi di Pusat Dagang Setia Jaya, Petaling Jaya, Selangor mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam menghantar lebih 100 pelajar melanjutkan pengajian perubatan setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.


ASMANI menunjukkan risalah pengajian yang ditawarkan oleh Rutra Medic.


Katanya, ia dibuktikan apabila pihaknya berjaya melahirkan doktor yang berkelayakan selepas enam tahun pengajian.

"Rutra Medic memberi jaminan akan memastikan segala urusan pelajar di luar negara berjalan lancar. Perkembangan pelajar juga akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga di Malaysia.

"Lazimnya, kami menawarkan tiga kursus utama iaitu perubatan, pergigian dan farmasi. Kami menyediakan tempat pengajian di luar negara dengan kos berpatutan dan suasana fleksibel kepada pelajar mahupun ibu bapa itu sendiri," kata Asmani.

Kelayakan

Bagaimanapun, Rutra Medic turut mengambil kira elemen kelayakan seseorang pelajar bagi memastikan impian mereka memperoleh keputusan cemerlang tercapai.


LAMAN web Rutra Medic menawarkan pelbagai maklumat tentang program pengambilan pelajar untuk pelbagai bidang pengajian.


"Di Rutra Medic, keputusan SPM dan STPM pelajar akan dinilai tetapi kelayakan tersebut tidak seketat di institusi pengajian tempatan.

"Selain itu, ibu bapa yang khuatir pengajian di luar negara boleh menelan belanja tinggi, mereka boleh menghubungi Rutra Medic untuk mendapatkan penjelasan," ujar Asmani lagi.

Sambil menunjukkan beberapa senarai institusi pengajian tinggi terkemuka terutama dalam bidang perubatan di luar negara seperti Indonesia, Rusia dan India, Rutra Medic menjamin bahawa semua universiti berkenaan mempunyai reputasi tinggi.

Antara institusi perubatan yang diiktiraf kerajaan Malaysia termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat ialah Universiti Perubatan Moscow dan Universiti Perubatan Kursk di Rusia.

Kedua-dua universiti tersebut diiktiraf secara global dalam bidang perubatan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain mengenakan yuran jauh lebih murah.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang medium pembelajaran kerana semua pengajaran dilakukan dalam bahasa Inggeris manakala bahasa Rusia diajar dalam kelas praperubatan untuk pemahaman ketika berada di negara tersebut.


PELAJAR-PELAJAR turut mewujudkan rangkaian perhubungan sosial dalam kalangan mereka.


Dipantau

Beliau menambah, semua pelajar akan dipantau oleh agensi tersebut yang mempunyai pejabat di negara berkenaan.

Selain Rusia, pusat pengajian yang menawarkan bidang perubatan dan mendapat permohonan tinggi ialah di Indonesia kerana kesamaan budaya dan bahasa.

Sehubungan itu, Rutra Medic menyarankan universiti terbaik dalam bidang tersebut di Indonesia ialah Universiti Gajah Mada di Jogjakarta dan Universiti Padjadjaran di Bandung.

"Kami menyenaraikan universiti terbaik dan diiktiraf secara global kepada para pelajar.

"Memandangkan keputusan SPM dan STPM telah diumumkan, pelajar-pelajar kini sudah boleh memohon dengan syarat asas iaitu lima kredit dalam SPM dan terlebih dahulu mereka akan terlibat dengan kursus praperubatan di dua kolej pilihan iaitu Kolej Suria di Sunway atau Kolej Geomatica di Setiawangsa," jelasnya.

Dalam pada itu, semua urusan dokumen, visa dan tiket akan diuruskan oleh Rutra Medic selaku ejen.

Selain pengajian perubatan, Rutra Medic turut mengambil pelajar untuk jurusan farmasi, kejuruteraan aeronautikal, pergigian, media digital, pengurusan hospitaliti, bioperubatan, sains vertinari dan lain-lain.

Kamen Rider OOO kini di Malaysia

Posted:

Kamen Rider OOO kini di Malaysia

Kamen Rider OOO kini di Malaysia

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


DARI kiri: Yusei, Tan, Shinsuke dan Yun bergambar bersama karakter Kamen Rider OOO (tengah) pada majlis pelancaran figura permainan dan siri televisyen adi wira itu di ibu negara baru-baru ini.


BERMULA sebagai sebuah siri televisyen di Jepun pada tahun 1971, Kamen Rider mula dikenali sebagai adi wira pujaan ramai kanak-kanak mahupun dewasa di negara Jepun. Sebelum siri televisyen, Kamen Rider merupakan komik yang diterbitkan secara mingguan oleh pelukis asal iaitu Shotaro Ishinomori.

Golongan remaja di Malaysia turut dilanda demam Kamen Rider sekitar tahun 1980-an dan 1990-an apabila tayangan siri televisyen itu dialih kepada bahasa Melayu. Selain dialih bahasa, siaran tersebut juga ditukar kepada Suria Perkasa Hitam.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 500 karakter Kamen Rider telah dihasilkan. Antaranya ialah Kamen Rider 1, Kamen Rider Black, Kamen Rider Kiva dan Kamen Rider Decade.

Namun, sepanjang perkembangan francais siri televisyen tersebut, karakter Kamen Rider OOO yang berwarna gabungan hitam, kuning, hijau dan merah pada sutnya berjaya mencatatkan rating tertinggi dalam sejarah siaran tersebut sejak 40 tahun lalu. Dianggarkan sebanyak 25 peratus penonton siri tersebut di Jepun terdiri daripada kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Seiring dengan kejayaan itu, syarikat pengedar permainan dari Jepun iaitu Bandai di Malaysia, Litt Tak (Litt Tak) Sdn. Bhd. memperkenalkan patung figura dan permainan Kamen Rider OOO dalam pasaran negara bermula April ini.

FIGURA permainan dan siri televisyen Kamen Rider OOO ini merupakan karakter paling mendapat sambutan di Jepun sepanjang 43 tahun francais adiwira itu diperkenalkan.


Sejuta unit

Pengarah Eksekutif Litt Tak, Tan Ee Chian memberitahu, pihaknya menyasarkan sejuta unit figura Kamen Rider OOO yang terdiri daripada pelbagai permainan aksi yang digunakan oleh karakter itu.

Menurutnya, sebagai permulaan, pihaknya akan mula mengedarkan sebanyak 30 jenis permainan di pasar raya utama.

"Litt Tak amat teruja terutama berjaya membawa karakter Kamen Rider menembusi prospek pasaran negara ini buat kali pertama. Pihak kami juga akan memastikan permainan Kamen Rider OOO akan memberi impak besar dalam pasaran tempatan.

"Pihak kami juga telah mengadakan sesi Bertemu Hero Anda di pasar raya utama untuk mempromosikan figura permainan dan siri televisyen Kamen Rider OOO yang bakal ditayangkan pada pertengahan tahun ini," ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran Kamen Rider OOO di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Jualan Bandai Co. Ltd. (Jepun), Shinsuke Kojima, Pengurus Jualan Bandai Co. Ltd. (Hong Kong), Yun Keichin dan Pengurus Toei Co. Ltd., Yusei Nagamatsu.

Siri televisyen 48 episod itu memaparkan kisah seorang jejaka, Eiji Hinio yang mengembara kerana tiada tempat tinggal selepas satu tragedi buruk berlaku kepadanya. Satu kuasa jahat yang dikenali sebagai Greeed telah bangkit dari tidur selama 800 tahun untuk menyerang manusia. Eiji yang merupakan Kamen Rider OOO bertindak sebagai individu penting untuk melawan kuasa jahat itu.


PERMAINAN tali pinggang pemacu dan syiling yang digunakan oleh Kamen Rider OOO ini dijual pada harga RM399.


Syiling

Menariknya, mengenai karakter Kamen Rider OOO ialah Eiji perlu memasukkan kepingan syiling pada pemacu sarung tangan untuk bertukar menjadi adi wira dan mendapatkan senjata. Perkataan OOO yang mewakili nama karakter itu juga merupakan tiga jenis syiling asas untuk bertukar menjadi Kamen Rider.

Sementara itu, Yusei memberitahu, figura permainan Kamen Rider OOO mempunyai 40 kelengkapan utama yang digunakan oleh karakter tersebut dalam siri televisyen itu.

"Senjata, kenderaan, set syiling dan fail besi merupakan antara kelengkapan yang digunakan oleh adi wira itu yang telah diadaptasi kepada figura permainan. Selain itu, sebanyak 24 syiling diperlukan untuk melengkapkan segala persenjataan dalam karakter Kamen Rider OOO," jelasnya.

Siri televisyen Kamen Rider OOO boleh ditonton di saluran NTV7, Astro Ceria dan Cartoon Network menjelang pertengahan tahun ini.

Permainan Kamen Rider OOO dijual di pasar raya utama di seluruh negara termasuk Toy "R" Us, Aeon, Isetan, Parkson dan Metrojaya. Harga figura permainan dan aksesori dijual pada harga RM9.90 hingga RM399.

Maklumat lanjut mengenai Kamen Rider OOO di Malaysia, sila layari laman web www.litttak.com.my atau e-mel ke litak007@tm.net.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved