Ahad, 27 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Gaya kontemporari dalam seni

Posted:

Gaya kontemporari dalam seni

Gaya kontemporari dalam seni

Oleh SOPI SAMAILE

SETIAP hasil seni kontemporari Suhaimi menyerlahkan daya kreativiti dan kehalusan.


MUNGKIN caranya mendefinisikan istilah perhubungan itu berbeza, namun ia diolah dan diterjemahkan dalam pendekatan menarik serta indah menerusi hasil karya.

Pengkarya terkemuka tanah air, Suhaimi Fadzir, dalam karya kontemporari terbaharunya menyerlahkan istilah tersebut menerusi pengaplikasian gaya triptych, lebih mudah difahami sebagai trilogi atau tiga dalam satu.

Menariknya, konsep mix media atau bahan-bahan campuran tiga dalam satu oleh Suhaimi menjadikan hasil karyanya menonjol, bahkan mencuri tumpuan ramai.

Bukan itu sahaja, aspirasi karya Suhaimi turut menyerlahkan daya kreativiti dan kehalusan dalam setiap sentuhan seni yang diceburi beliau sejak 30 tahun lalu.

"Tiga karya ini saya hasilkan dalam tempoh dua tahun dengan menekankan tema perhubungan atau cinta.

"Dengan pendekatan triptych, saya menghasilkan karya ini dengan bahan-bahan yang dijumpai seperti lampu neon, pisau cukur, lampu dan botol," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bagi karya kali ini, Suhaimi mengetengahkan medium lain berbanding yang biasa digunakan karyawan tempatan. Bukan sekadar kanvas, pewarna atau cat, namun Suhaimi melangkaui medium tersebut dengan menggunakan konsep yang dipanggil neon.

Suhaimi yang pernah mengadakan pameran bersama jurugambar terkemuka Amerika Syarikat (AS), Ansel Easton Adams di Tokyo, Jepun dan artis berpengaruh, Yoko Ono di Dublin, Ireland, telah mempersembahkan tiga karya uniknya itu pada pameran di Artcube.

Judul tiga karyanya yang menggunakan konsep sama ialah Red Marilyn (JFK and Marilyn); Red Shoes (AFK and Zena) dan Red Horns (Kapuki and King).

Karya

Kesemua karyanya ini menterjemahkan tentang perhubungan. Misalnya, karya berjudul Red Marilyn mengetengahkan kisah percintaan antara Presiden AS ke-35, John Fitzgerald Kennedy dengan artis, model dan penyanyi popular AS, Marilyn Monroe.


SUHAIMI mempertaruhkan karya-karya terbaiknya dalam pameran seni kontemporari ini.


"Karya berjudul Red Shoes menggambarkan hubungan antara pengumpul koleksi lukisan dengan pengkarya manakala karya Red Horns pula memperlihatkan hubungan ibu bapa dan anak. Simboliknya botol yang ada pada karya ini memberi maksud mudah pecah, seperti mudahnya keretakan dalam sesebuah hubungan jika tidak dipelihara.

"Memang tidak dinafikan, penampilan karya ini sedikit mengejutkan orang ramai pada awalnya, namun lama-kelamaan ia semakin diterima," ujarnya.

Sebenarnya Suhaimi telah menggunakan kaedah ini sekian lama, namun beliau semakin giat mengetengahkan karya berbentuk seumpama itu dalam karya-karya terbaharunya.

Beliau tidak mahu bidang seni tempatan berada di takuk lama tanpa ada anjakan untuk berada setaraf dengan seni luar negara.

Dalam pada itu, industri seni kontemporari Malaysia menunjukkan perkembangan pesat sejak kebelakangan ini.

Artis seni kontemporari negara telah mencapai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa dan dituruti dengan kejayaan komersial.

Selaras dengan permintaan yang tinggi oleh pengumpul karya persendirian mahupun organisasi, karya-karya baharu juga dikenali sebagai pasaran utama daripada artis-artis seperti Suhaimi, Ahmad Shukri Mohamed, Husin Hourmain, Tan Chin Kuan, Eng Hwee Chu atau Zulkifli Yusoff amat sukar diperoleh.

Pasaran kedua adalah penyelesaian terbaik untuk permasalahan ini.

Justeru, bagi mengukuhkan lagi pembangunan pasaran sekunder seni kontemporari Malaysia, Artcube telah mengambil inisiatif untuk memberi bimbingan kepada penggemar seni melalui kajian menyeluruh.

Sejak dirasmikan pada tahun lalu dan dalam masa yang singkat, Artcube berjaya mendominasi pasaran seni kontemporari yang bertaraf tinggi.

Larian perangi gejala rasuah

Posted:

Larian perangi gejala rasuah

Larian perangi gejala rasuah

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN


KEHADIRAN Perdana Menteri bukti kesungguhan kerajaan memerangi rasuah.


PERANAN masyarakat dalam membendung dan memerangi jenayah rasuah amat diperlukan kerana rasuah tidak akan berlaku sekiranya tidak ada pemberi dan juga penerima.

Meletak tanggungjawab ini sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata tidak akan berkesan sekiranya masih ada masyarakat yang masih menyokong jenayah kolar putih ini.

Menyedari hal itu, buat julung-julung kalinya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) terpanggil untuk menganjurkan larian khas bagi menyuburkan kesedaran mengenai keburukan rasuah dalam masyarakat.

Larian Hapuskan Rasuah, Jangan Beri Jangan Terima yang berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 20 April lalu berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta untuk sama-sama berlari di sepanjang laluan di sekitar padang tersebut sejauh tiga kilometer (km).

Ia juga diadakan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti SPRM serta Kementerian Belia dan Sukan.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menunjukkan komitmen untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.

Sebelum memulakan larian, para peserta melakukan senamrobik selama 10 minit mengikut rentak lagu tiga kaum utama di negara ini dan lagu 1Malaysia.

Najib kemudian melepaskan para peserta kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum larian tamat kira-kira sejam kemudian.

Suasana di Padang Merbok pada pagi itu juga bertukar menjadi pesta apabila para peserta turut dihiburkan dengan persembahan pentas.

Acara turut digamatkan dengan celoteh artis-artis terkenal tanah air seperti Watie Elite, Azza Elite, Ani Mayuni, Roslan Shah, Fazli Zainal, Erry Putra dan Joey Exists.

Integriti

Larian tersebut akan berlangsung di 14 lokasi di seluruh negara bermula di ibu kota dan akan berakhir di Taman Wawasan, Puchong, Selangor pada 11 November depan.

Ia juga akan dijadikan acara tahunan bagi membolehkan kesedaran orang ramai untuk tidak memberi dan menerima rasuah dapat dipupuk dari semasa ke semasa.


ACARA ini dapat melahirkan semangat integriti.


Salah seorang peserta, Wong Sze Yong, 18, berkata, acara tersebut memberi manfaat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai gejala rasuah.

"Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita perlu menyokong pelbagai usaha yang dilakukan bagi menjadikan negara menjadi lebih baik pada masa depan.

"Saya mengharapkan larian ini dapat diterus dan diperbanyakkan bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran mengenai rasuah malah, menggalakkan cara hidup sihat," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila dapat menyertai larian berkenaan bersama-sama dengan Perdana Menteri dan mengagumi kesungguhan beliau menghabiskan larian bersama para peserta.

Sementara itu, pengerusi penganjur larian berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, objektif utama larian tersebut adalah untuk mengajak semua lapisan rakyat menyokong usaha murni dalam menghapuskan gejala rasuah.

Menurut Ketua Wanita Gerakan itu, rasuah bukanlah budaya rakyat Malaysia dan ia tidak memberi apa-apa faedah, malah boleh melumpuhkan serta melemahkan kestabilan ekonomi negara.

"Menjadi tanggungjawab semua pihak berganding bahu membanteras gejala tidak sihat ini kerana ia akan terus berlaku sekiranya terdapat individu yang memberi dan menerima di luar sana.

"Menerusi larian seperti ini dapat melahirkan semangat dan integriti dalam diri orang ramai sekali gus membantu mewujudkan sebuah negara yang benar-benar bebas rasuah," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved