Khamis, 24 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Posted:

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional


ISLAM itu indah malah tidak mengenal erti sempadan dalam menghubungkan umatnya di muka bumi ini.

Bahkan, Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dipilih sebagai destinasi sembilan belia Islam Antwerp, Belgium mengadakan lawatan muhibah ke Terengganu baru-baru ini.

Kunjungan mereka ke Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu itu terjalin hasil inisiatif Kelab Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama UMNO cawangan Kuala Terengganu dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Lebih membanggakan belia Islam Antwerp, Belgium merancang melaksanakan program pertukaran belia dengan komuniti kampung itu dalam masa terdekat bagi mengeratkan ukhwah kedua-dua negara.

Pertukaran belia

Penasihat Kelab Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan UNESCO UMT, Madzli Harun berkata, hasrat berkenaan telah dimaklumkan salah seorang wakil komuniti itu yang berpendapat inisiatif tersebut dapat meningkatkan integrasi dalam kalangan penduduk Islam Malaysia-Belgium.

"Dalam masa terdekat, mereka bercadang membawa seramai 30 orang lagi penduduk Islam Antwerp ke Terengganu dan berkunjung ke kampung tersebut sebelum program pertukaran belia dilaksanakan.

"Melalui program sebegini, penduduk Islam di Belgium dapat mengenali dan mengetahui keperluan budaya serta kaitannya dengan masyarakat Islam setempat," katanya.

Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail.

Dalam lawatan muhibah itu, penduduk Islam Antwerp, Belgium yang pertama kali menjejak kaki di Terengganu dipersembahkan dengan demonstrasi silat.

Selain itu, mereka juga berkesempatan merasai juadah tradisional tempatan seperti nasi dagang, kuih tepung pelita, keropok lekor dan lain-lain lagi.


SEBAHAGIAN daripada kumpulan belia Islam Belgium bergambar bersama Mohd. Sabri (empat dari kanan) ketika melawat Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu baru-baru ini.


Penduduk kampung yang teruja dengan kedatangan belia Islam Belgium itu turut menampilkan pameran songket, wau dan batik dalam memperkenalkan budaya tradisional tempatan.

Terdapat kira-kira 450,000 masyarakat Islam di Belgium atau empat peratus daripada jumlah rakyatnya. Majoritinya berketurunan Turki dan Maghribi dengan sebahagian besarnya memegang kerakyatan Belgium.

Wakil Pertubuhan Islam Carpe Deen Antwerp, Walid Bouyouzan, 28, berkata, kunjungan komunitinya itu secara tidak langsung dapat memberi pemahaman berhubung ajaran Islam di Eropah dan di Malaysia.

"Malaysia merupakan negara Islam pertama yang dikunjungi dan kami amat berbesar hati dapat datang ke sini.

"Melalui usaha ini secara tidak langsung penduduk Islam yang merupakan kumpulan minoriti di Belgium dapat memahami, belajar dan mengetengahkan imej Islam," katanya.

Saudara seagama

Walid yang merupakan seorang guru memberitahu, pihaknya akan mengunjungi Terengganu lagi pada masa hadapan dengan membawa lebih ramai masyarakat Islam Antwerp.

Katanya, dia ingin memberi pendedahan kepada masyarakat Islam Belgium mengenai Malaysia terutama budaya Islam.

Sementara itu, Mohd. Hanafiah, memberitahu, dia teruja dengan kedatangan saudara seagama dari Belgium ke kampung itu.

"Ini merupakan kali pertama masyarakat luar negara mengunjungi kampung kami.

"Ia merupakan satu penghormatan kepada penduduk kampung apatah lagi mereka semua ingin mendekati budaya Islam negara ini," ujarnya.

Justeru, penduduk kampung amat mengalu-alukan kedatangan saudara-saudara kita masyarakat Islam Antwerp ke kampung berkenaan dalam masa terdekat.

Kelainan terapi urutan atlet

Posted:

Kelainan terapi urutan atlet

Kelainan terapi urutan atlet

Oleh ADLAN JAAFAR


PUSAT terapi yang dibuka pada tahun 2011 itu adalah idea daripada pelanggan.


SEPERTI pusat-pusat terapi lain, suasana sebuah pusat yang serupa di Seksyen 13, Shah Alam juga mempunyai ambien yang sama iaitu pencahayaan yang suram tetapi menenangkan minda para pengunjung.

Terletak di tingkat dua kawasan rumah kedai di Jalan Renang, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam memberikan kelainan dari segi jenis urutan terapi yang ditawarkan untuk atlet dalam keadaan spa kecantikan biasa.

Pusat itu menggunakan konsep gabungan moden dan tradisional melalui penggunaan perabot-perabot dengan rekaan terkini digabungkan bersama kain-kain batik menjadi pelapik tilam menyerlahkan lagi rasa seperti berada di rumah.

Ketika ditemui, pemiliknya yang juga seorang ahli urut terapi profesional, Rezafarish Yusof Khan, 34 baru sahaja mengurut seorang pelanggan yang mendapatkan terapi urut sukan untuk masalah cakera teranjak.

"Urut terapi sukan boleh mengendurkan otot-otot sebelum bersukan maka dapat mengurangkan sedikit kesakitan yang berlaku selepas habis bersukan.

"Kami akan meminta laporan kesihatan pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan urut terapi sukan terlebih dulu," katanya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.

Bukan setakat perkhidmatan yang baru sahaja ditawarkan itu, Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam turut menyediakan urutan terapi bagi frozen shoulder, tennis elbow dan refleksologi kaki.

Seperti spa-spa lain, ia turut menyediakan perkhidmatan urutan untuk wanita seperti urutan selepas bersalin dan batu panas selain rawatan wajah.

Hilang penglihatan

Pemilik pusat urutan ini pada mulanya bukan seorang ahli terapi jauh sekali menjadikan pekerjaan itu sebagai cita-cita yang diimpikan.

"Saya seorang cef lulusan Kolej Damansara Utama, Pulau Pinang dan dapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara," kenang Rezafarish.

Namun, segala-galanya berubah suatu pagi apabila beliau mahu membasuh muka dan mendapati penglihatan kabur.

Dengan keadaan begitu, dia memandu ke hospital dan diberitahu menghidap glukoma dan mata kanan rosak disebabkan saraf optikalnya pecah. Penglihatan mata kirinya pula kabur.


PELAPIK tilam kain batik menghidupkan suasana seperti berada di kediaman sendiri.


Lelaki yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu sangat kuat semangat kerana mengakui berasa tertekan. Dia melalui kehidupan seterusnya dengan tabah dan tetap meneruskan pengajian ke luar negara.

Sekembali ke tanahair pada tahun 2008, Rezafarish bekerja di Institut Makanan Malaysia (FIM) sebelum belajar membaca Braille, menggunakan tongkat dan mengurut di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields sehingga November 2009.

"Saya membuat kerja sambilan di Kedai Cikgu Mat di Brickfields untuk cari pengalaman sebelum bekerja di beberapa tempat di Puchong, Mid Valley dan di majlis sukan," katanya.

Kemudian, Rezafarish bekerja sebagai pembantu fisioterapi di Seksyen 7, Shah Alam sepenuh masa dalam usahanya mencari pengalaman dan pengetahuan dalam bidang urut terapi sukan.

Sekitar tahun 2011, dengan cadangan seorang pelanggan supaya membuka sebuah pusat terapi di premis sekarang yang berdekatan dengan Stadium Shah Alam, lelaki itu merealisasikan Pusat Urut Terapi dan Refleksologi OKU Shah Alam.

Pusat ini turut menawarkan khidmat serupa kepada pelanggan wanita yang dijalankan oleh seorang tukang urut OKU terlatih, Suzana Othman, 30. Beliau yang berasal dari Bota Kanan, Perak, mempunyai pengalaman 10 bekerja di pusat kecantikan.

Menurut Rezafarish, dia juga banyak belajar daripada Suzana terutama dalam kemahiran membuat rawatan wajah dan urutan batu panas.

"Kebiasaanya para pelanggan akan membuat temujanji dulu bagi menetapkan tarikh dan masa.

"Hasrat saya ingin menjadikan premis ini sebagai pusat urut sehenti kepada pelanggan lelaki dan wanita," ujar beliau.

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi

Posted:

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi

Tenaga kerja mahir tiada diskriminasi


PEMILIHAN dan sistem rekrut di perbankan Islam adalah lebih menyeluruh. - Gambar hiasan


KEPESATAN pembangunan dalam sistem kewangan Islam telah menjadi suatu fenomena. Salah satu prasyarat utama dalam menyokong pembangunan kewangan Islam yang progresif adalah dengan membina kumpulan tenaga kerja mahir.

Dalam rangka menyokong memartabatkan sistem perbankan Islam, Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuk turut menyaksikan sumbangan tenaga kerja mahir hatta daripada golongan bukan Islam yang turut berperanan dalam membangunkan sistem perbankan ini di tanah air.

Walaupun dasar perbankan Islam itu berdiri atas landasan ajaran Islam yang patuh syariah, namun pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja yang lebih bersifat teknikal seharusnya diserahkan hanya kepada mereka yang layak.

Pemilihan tugas itu dilihat kepada tahap pengetahuan dan kemampuan yang telahpun disimpulkan dalam al-Quran melalui dua sifat umum yakni sifat amanah (jujur) dan kuat (kemampuan).

Al-Quran ada menyebut kisah Nabi Syuaib yang memilih Nabi Musa atas dua kriteria penting berikut:

"Salah seorang antara dua perempuan itu berkata: Wahai ayahku, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah." (Surah al-Qashash: 26)

Ayat ini menggambarkan bahawa antara kriteria asas dalam pemilihan pekerja itu ialah kuat dan amanah. Syariat Islam memerintahkan agar pemilihan setiap suatu perkara atau pekerjaan itu hendaklah berdasarkan sejauh mana kekuatan dan keamanahan yang diperlukan.

Umur atau kekananan seseorang bukanlah satu syarat wajib seseorang itu dinaikkan atau diberikan sesuatu jawatan.

Rasulullah SAW juga pernah memberi amaran supaya hanya memberikan tugas kepada mereka yang layak. Baginda bersabda: "Sesiapa yang dilantik menguruskan mana-mana urusan orang-orang Islam, lalu dia melantik pula seorang lelaki, sedangkan dia boleh melantik orang lain yang lebih layak untuk kepentingan umat Islam berbanding lelaki berkenaan, maka dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman." (Hadis riwayat al-Hakim).

Malah Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar RA mengupah seorang lelaki Bani Dil daripada sekutu keluarga 'As Bin Wa'il as-Sahmi yang masih beragama kaum Quraisy untuk tujuan sebagai pemandu perjalanannya dalam peristiwa sepenting peristiwa hijrah (Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554).

Sehubungan itu, tidak timbul isu diskriminasi dalam pemilihan gerak kerja dalam usaha membangunkan sistem kewangan Islam.

Pemilihan dan sistem rekrut di perbankan Islam adalah lebih menyeluruh dalam menghadapi situasi industri kewangan Islam yang sangat memerlukan sumber manusia daripada kumpulan tenaga kerja yang mahir dan terlatih.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved