Rabu, 16 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Perisa baharu Tiger Biskuat

Posted:

Perisa baharu Tiger Biskuat

Perisa baharu Tiger Biskuat

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

TIGER Biskuat Nutrifruit terdapat dalam dua perisa baharu iaitu coklat strawberi dan coklat pisang.


PEMAKANAN merupakan antara elemen penting dalam tumbesaran mental dan fizikal kanak-kanak. Pemakanan yang menyihatkan mampu mempertajamkan minda dan membantu pembelajaran mereka.

Merupakan biskut kegemaran kanak-kanak, Tiger Biskuat keluaran Mondelez Malaysia, memperkenalkan dua jenis biskut baharu iaitu Tiger Biskuat Nutrifruit Strawberry Choc dan Banana Choc yang memahami kehendak dan keperluan tumbesaran mereka.

Ketua Bahagian Biskut, Mondelez Malaysia, Jean Ler memberitahu, pengenalan biskut perisa baharu itu merupakan satu langkah terbaik dalam usaha untuk mendidik ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan kepada anak-anak.

Menurutnya, kedua-dua produk baharu itu dihasilkan setelah sesi penyelidikan dan pembangunan pemakanan kanak-kanak dijalankan selama 18 bulan.

"Kami sedar betapa pentingnya zat makanan seimbang dan peranannya dalam menyemai sikap ingin belajar serta ingin tahu kepada kanak-kanak. Pihak kami percaya sekolah terbaik adalah pada zaman kanak-kanak dan tiada guru sehebat sifat ingin tahu dalam diri mereka.

"Dengan pelancaran Tiger Biskuat NutriFruit perisa baharu ini, ia bukan sahaja membekalkan zat makanan bahkan, menyediakan platform kepada ibu menjadi rakan kepada anak-anak mereka," ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran produk tersebut di ibu negara baru-baru ini.

Dua perisa baharu itu mengandungi ramuan berkhasiat dengan kombinasi buah buah-buahan gandum, susu dan coklat yang lazat.


DARI kanan: Sharifah Sofia bersama Jean, Eric dan Annie pada majlis pelancaran perisa baharu Tiger Biskuat di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Perisa coklat strawberi mengandungi potongan buah strawberi dengan rasa coklat. Perisa coklat pisang pula mengandungi perahan puri pisang yang disaluti coklat yang rangup.

Selain rasa yang enak, kedua-dua biskut itu kaya dengan vitamin A, B dan C. Kombinasi pelbagai vitamin itu juga memberi kesihatan mata, tenaga dan membantu badan anak anda menyerap zat besi daripada makanan.

Tambah Jean, variasi baharu itu dibungkus dalam pek kecil mudah dibawa yang mengandungi dua keping biskut setiap satu.

"Pek ini membolehkan kanak-kanak membawa bekalan biskut ke mana-mana sahaja tanpa perlu memikirkan bekas simpanan untuk lebihan. Ia memudahkan kanak-kanak bergerak dan melakukan aktiviti harian sambil menikmati pemakanan yang sihat," jelasnya.

Tiger Biskuat merupakan antara jenama biskut utama daripada Mondelez Malaysia yang memahami kepentingan aspek ini dan telah memberi komitmen untuk merangsang tenaga dan minda kanak-kanak sejak 14 tahun lalu.

Aktiviti luar

Selain sesi pelancaran dua perisa baharu Tiger Biskuat, Mondelez Malaysia turut mengadakan sesi wawancara bertajuk Living an Adventurous Life with Your Child yang dikendalikan oleh Annie Joseph. Sesi itu menggandingkan Pengasas Yayasan Kits4Kids, Prof. Dr. Eric Lim bersama selebriti, pelakon dan ibu kepada dua orang cahaya mata, Sharifah Sofia.

Menurut Eric, kanak-kanak masa kini perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang mencabar seperti melakukan aktiviti luar dan tidak hanya bergantung kepada gajet canggih dalam kehidupan harian mereka.


SHARIFAH SOFIA yakin nutrisi yang baik membantu tumbesaran anak-anaknya.


Jelasnya, cabaran dalam kehidupan kanak-kanak hadir dalam pelbagai bentuk dan fungsinya dalam membina tumbesaran mereka.

"Cabaran merupakan satu perkara yang dilakukan tanpa mengetahui hasil di akhirnya. Kebanyakan ibu bapa dewasa ini tidak mempunyai pengetahuan mengenai cabaran dalam kehidupan anak-anak. Cabaran hadir dalam pelbagai cara tidak hanya melibatkan aktiviti fizikal.

"Ibu bapa merupakan watak utama dalam membentuk keperibadian, intelektual, fizikal dan emosi anak-anak. Sekiranya ibu bapa memberi perancangan dan pendedahan mengenai cabaran, ia merupakan kaedah terbaik dalam kehidupan anak-anak sebagai persediaan menempuhi alam remaja," ujarnya.

Menerusi sesi itu, Sharifah Sofia turut menceritakan kaedah, teknik dan pendekatan sebagai seorang ibu untuk membimbing dua cahaya matanya.

Menurutnya, pendekatan yang dilakukan itu memberi pendedahan kepada anak-anaknya belajar untuk mengatasi cabaran dan penyelesaian masalah menerusi aktiviti harian sama ada di dalam atau luar rumah.

Implikasi kesalahan bahasa

Posted:

Implikasi kesalahan bahasa

Implikasi kesalahan bahasa


PENGUASAAN bahasa Melayu dan Inggeris perlu seiring dalam mendidik anak-anak pada hari ini. - Gambar hiasan


SEKIRANYA membaca mesej pesanan ringkas atau kiriman e-mel yang dihantar oleh golongan remaja, pastinya terdapat banyak bahasa baharu yang sukar difahami maksudnya. Ayat dan perkataan telah diringkaskan menjadi kosa kata yang baharu.

Anehnya, walaupun ia sukar difahami oleh kebanyakan yang sudah berumur, generasi muda mudah memahami penggunaan bahasa ringkas itu.

Walaupun tiada alasan yang menghalang manusia menggunakan pelbagai bahasa atau istilah yang mereka fahami, tetapi penularan bahasa baharu harus menjadi kebimbangan. Ia bakal merosakkan keindahan bahasa.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masyarakat tidak lagi beranggapan bahawa bahasa merupakan suatu unsur penting dalam sesebuah budaya bangsa.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sesuatu bahasa juga akan pupus sekiranya tidak dipelihara. Ia bukanlah suatu hal yang aneh kerana banyak bahasa dunia telah pupus.

Seorang sarjana dalam bidang bahasa, Michael Krauss meramalkan bahawa separuh daripada 6,000 bahasa yang ada di dunia hari ini akan pupus dalam tempoh satu abad lagi.

Sebagai contoh, Marie Smith Jones adalah satu-satunya individu yang tahu berbahasa Eyak di Alaska, Amerika Syarikat. Bahasa Eyak merupakan satu daripada 20 bahasa yang ada di Alaska. Kematiannya pada Januari 2008 telah menyebabkan bahasa tersebut pupus ditelan zaman.

Sementara itu, hanya dua orang individu yang tahu berbahasa Warrwa di Kimberley, Australia Barat pada tahun 2009. Di selatan negara Vanuatu pula, hanya enam orang warga tua yang tahu dan fasih berbahasa Ura.


SEGELINTIR orang turut menukarkan struktur ejaan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu dengan sebutan perkataan yang sama.


Sekitar tahun 1992, Tefvic Esenc manusia terakhir yang diketahui fasih berbahasa Ubykh (bahasa yang dituturkan di satu wilayah Rusia) telah meninggal dunia. Kematiannya sekali gus menamatkan sejarah bahasa Ubykh.

Lihatlah, bagaimana keindahan bahasa boleh sama sekali pupus apabila ia tidak dijaga atau digunakan sebaik-baiknya.

Walaupun kita tidak beranggapan bahawa bahasa Melayu bakal menghadapi nasib yang sama seperti bahasa-bahasa lain yang telah pupus, tetapi ia mungkin terjadi sekiranya manusia mula mengabaikan keindahan bahasanya.

Proses kepupusan

Hakikatnya, banyak bahasa yang sedang mengalami proses kepupusan di dunia masa kini. Ethnologue misalnya menganggarkan bahawa terdapat 204 bahasa yang kini hanya dituturkan kurang daripada 10 pengguna, 34 bahasa yang dituturkan hanya kurang daripada 99 orang dan 548 bahasa yang dituturkan oleh lebih 99 orang. Semua bahasa itu berpotensi dan bakal pupus.

Salahkah sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul? Mengapa harus digubah bahasa Melayu menjadi satu bahasa lain dan tiada maknanya lagi?

Sekiranya, kita melihat kepada bahasa-bahasa besar dunia, ia terus kekal sepanjang zaman bukan sahaja kerana jumlah penggunanya yang besar, malah mereka juga sangat mencintai bahasa mereka. Bahkan, dalam masyarakat tertentu, mereka tidak melayan orang lain yang berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa asing.

Sayangnya, dalam masyarakat di Malaysia khususnya, kita beranggapan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dianggap bijak dan hebat. Secara realitinya, ia hanyalah sekadar satu daripada bahasa yang ada di dunia.

Tidak menjadi kesalahan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi bukanlah bermakna kita cenderung untuk tidak menghargai bahasa ibunda.


DIDIKAN bahasa Melayu oleh ibu bapa amat penting bagi memastikan penggunaan bahasa ibunda ini tidak pupus. – Gambar hiasan


Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa utama dunia. Seorang sarjana bahasa yang ternama, David Graddol meramalkan bahawa terdapat seramai 10.5 juta pengguna bahasa Melayu pada tahun 2050.

Bahasa Inggeris juga bukanlah bahasa terbesar dunia. Ia hanya dituturkan di kebanyakan negara. Sebenarnya bahasa terbesar yang dituturkan manusia ialah bahasa Mandarin, dengan jumlah sekitar 873 juta pengguna.

Bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh kira-kira 309 juta pengguna iaitu lebih rendah daripada penutur bahasa Sepanyol yang berjumlah kira-kira 322 juta manusia.

Ini bermakna, bahasa Melayu bukanlah suatu bahasa yang sepatutnya dipandang rendah. Pengguna bahasa Melayu bersamaan dengan pengguna bahasa Jerman.

Kesilapan

Oleh itu, kita tentu akan lebih gembira sekiranya anak muda di negara ini tidak melihat perbuatan mencipta istilah baharu atau meringkaskan sesetengah ayat sebagai sesuatu yang bersifat biasa sahaja.

Walaupun ia bukan satu bentuk kesalahan dalam konteks undang-undang, tetapi secara psikologikalnya kita mungkin sedang melakukan satu kesilapan. Masyarakat telah membiarkan khazanah pusaka bangsa diubah bentuk kepada sesuatu yang sangat aneh dan janggal.

Sayangilah bahasa kita. Janganlah hanya kerana ingin menjimatkan caj khidmat pesanan ringkas atau kesibukan melakukan perkara lain, kita telah melakukan sesuatu yang mencemarkan keindahan bahasa.

Mungkin kita tidak berasa apa-apa buat masa sekarang. Bayangkan dalam tempoh 100 tahun lagi, ada seorang sahaja manusia yang tahu dan boleh berbahasa Melayu. Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku sekiranya kita tidak menghargai penggunaan bahasa yang betul.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved