Jumaat, 11 April 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Keperluan memberi nafkah

Posted:

Keperluan memberi nafkah

Keperluan memberi nafkah

SEBAGAI ketua keluarga, seorang lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal buat isteri dan anak-anak. - Gambar hiasan


BEBERAPA minggu yang lepas, kita membincangkan mengenai kewajipan suami dan isteri dalam perkahwinan. Minggu ini kita akan memfokuskan kepada satu tajuk yang sangat penting dalam kewajipan berumah tangga.

Ia berkenaan memberi nafkah keluarga demi menjaga kelangsungan kehidupan dan juga mengelakkan daripada berlakunya darar iaitu kemudaratan disebabkan kesempitan hidup.

Oleh sebab itu, tanggungjawab memberi nafkah diletakkan di atas bahu ketua keluarga iaitu suami atau bapa sebagai tanggungjawab asasi.

Al-Quran telah meletakkan secara jelas tanggungjawab ini ke atas suami atau bapa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada).

"Kemudian jika kedua-duanya iaitu suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu lakukan."

Walaupun ayat di atas lebih menjurus tentang hubungan kekeluargaan selepas berlaku perceraian, apa yang menarik untuk dijadikan pengajaran ialah sikap tanggungjawab melengkapi keperluan anak, ibu dan juga kebajikan bapa tersebut adalah sangat dituntut walaupun telah berpisah.

Ibu juga berperanan untuk memastikan anak tersebut berterusan mendapat penyusuan daripadanya demi kelangsungan hidupnya dan tidak menyusahkan bapa untuk mengupah orang lain atau memaksanya mengeluarkan belanja di luar kemampuannya.

Nafkah anak

Begitu juga pihak bapa tidak boleh menyusahkan si ibu yang telah menyusukan anaknya atau melarang melihat anaknya selepas penyusuan.

Walaupun begitu, tanggungjawabnya memberi nafkah anak adalah berterusan sehingga anak tersebut mencapai umur tertentu dan boleh berdikari mencari rezekinya sendiri.

Bagi anak perempuan, tanggungjawab nafkah berterusan sehingga anak tersebut berkahwin. Jika bapa telah tiada tanggungjawab ini hendaklah dipikul oleh waris untuk memastikan kebajikan anak tersebut terpelihara sehingga mencapai umur tertentu.

Masih terdapat dalam kalangan masyarakat umum yang tidak memahami tentang makna nafkah. Nafkah merujuk kepada keperluan asas iaitu makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga khidmat pembantu rumah jika ada keperluan dan berkemampuan.

GOLONGAN wanita boleh menuntut hak nafkah mereka dan anak-anak di mahkamah syariah dari semasa ke semasa. - Gambar hiasan


Namun, keperluan tersebut hendaklah juga melihat kepada status sosial isteri dalam masyarakat. Ini bermakna keperluan tersebut hendaklah sempurna.

Sebagai contoh, keperluan kepada tempat tinggal hendaklah bersesuaian dengan status isteri dari segi keperluan yang ada dalam rumah tersebut seperti peralatan rumah dan apa-apa jua keperluan lain yang bersangkutan dengan keadaan dalam rumah tersebut seperti akses kepada bilik air dan juga mempunyai tempat untuk privasi.

Ini untuk mengelakkan sikap sambil lewa dan sikap acuh tidak acuh dalam memenuhi keperluan pasangan dalam perkahwinan.

Oleh kerana tanggungjawab nafkah ini adalah sangat penting dan asasi, tuntutan nafkah boleh dibuat walaupun tanpa kebenaran suami melalui perintah mahkamah.

Di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Hindun bt. Utbah telah berjumpa dengan Rasululullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suaminya) adalah seorang yang kedekut. Dia tidak memberi belanja yang cukup untuk saya dan anak-anak kami kecuali jika saya ambil dengan tidak diketahuinya."

Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah sekadar yang cukup untuk keperluan kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik."

Tuntutan nafkah

Undang-undang keluarga Islam negeri-negeri mempunyai peruntukan yang jelas terhadap tuntutan nafkah isteri. Seorang wanita yang telah berkahwin boleh memohon di mahkamah syariah dari semasa ke semasa untuk mendapatkan nafkah mengikut hak yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Diperuntukkan juga bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah jika ia tidak taat kepada suami dan suami boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapat perintah nusyuz. Kemudian, suami tidak lagi perlu untuk membayar nafkah kepada isteri selepas mendapat perintah mahkamah.

Perintah pembayaran nafkah yang dibuat oleh mahkamah syariah boleh dikuatkuasakan dengan membuat attachment of earnings orders iaitu mendapatkan perintah yang diserahkan kepada majikan untuk membuat pemotongan gaji suami.

Jika suami tidak berupaya membayar nafkah disebabkan kecacatan fizikal dan tidak mempunyai harta, isteri bolehlah memohon perintah tersebut dipindahkan kepada keluarga lelaki sebelah suami iaitu waris lelaki yang berhak mendapat harta pusaka.

Pameran pertahanan serantau terbesar

Posted:

Pameran pertahanan serantau terbesar

Pameran pertahanan serantau terbesar

Oleh ZAKI SALLEH


SALAH sebuah kenderaan perisai yang akan dipamerkan pada DSA 2014.


KUALA LUMPUR sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama empat hari bermula 14 April ini.

Sebagai pameran pertahanan dan keselamatan antara lima terbesar di dunia dan paling besar di Asia, DSA 2014 telah mengesahkan penyertaan sebanyak 1,000 syarikat pertahanan tempatan dan antarabangsa dari 50 buah negara.

Dengan keluasan tapak pameran kira-kira 41,000 meter persegi, edisi penganjuran DSA kali ke-14 ini merupakan yang terbesar selepas kali pertama DSA dianjurkan pada 1988.

Seramai 27,000 pelawat dijangka hadir merangkumi pegawai atasan Kementerian Pertahanan dari seluruh Asia termasuk ketua-ketua angkatan tentera serta pentadbir yang bertanggungjawab terhadap industri pertahanan dan perolehan teknologi terkini.

DIJANGKA seramai 27,000 pengunjung bakal memeriahkan DSA 2014.


Pameran tersebut menyaksikan sebanyak 27 Kumpulan Pavilion Negara termasuk Malaysia menyertainya dan Turki menjadi pavilion luar negara terbesar dengan penyertaan 50 buah syarikat.

Pavilion Malaysia pula seluas 1,700 meter persegi dengan penyertaan syarikat seperti DRB Hicom Defence Technologies (Deftech), Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., Nadi Defence dan SME Ordnance.

Pavilion negara lain seperti Austria, Brazil, Bulgaria, China, Perancis, Jerman, Indonesia, Pakistan, Poland, Rusia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Penganjuran DSA turut disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ia dianggap sebagai sebahagian saluran perolehan di rantau sebelah sini dan akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam rangkaian bekalan global bagi pengilang alat-alat pertahanan serantau.

Perolehan

Sebagai perbandingan, DSA pada tahun 2012 menyaksikan beberapa perjanjian perolehan utama dan kontrak bernilai lebih RM4.76 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimeterai.

Jumlah perolehan tertinggi pula direkodkan pada edisi DSA 2010 iaitu berjumlah RM10.35 bilion, antaranya pembelian 12 buah helikopter Eurocopter EC725 dan kenderaan perisai AV8.

DSA 2014 melibatkan pameran statik peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini termasuk beberapa kelengkapan perang milik ATM.

Beberapa acara lain turut diadakan termasuk Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat, forum Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Bahan Letupan serta bantuan kemanusiaan bencana.

Isu berkaitan keselamatan siber yang pernah melanda beberapa negara kuasa besar akan menjadi satu daripada fokus utama perbincangan dalam DSA kali ini.

Berbeza dengan penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), DSA mempunyai signifikan tersendiri kerana melibatkan pameran sistem pertahanan sepenuhnya ketiga-tiga cabang tentera darat, laut dan udara.


PAMERAN DSA telah meletakkan Kuala Lumpur dalam peta industri pertahanan global. - Gambar hiasan


LIMA pula hanya terhad kepada pameran pertahanan dan teknologi seumpamanya bagi segmen aeroangkasa dan maritim termasuk sektor komersial.

Penting

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, industri pertahanan tempatan memainkan peranan cukup penting yang menyokong keperluan ATM.

Katanya, hampir kebanyakan aset ketenteraan negara dibekalkan oleh syarikat tempatan seperti bahan letupan, kenderaan, sistem komunikasi dan sistem elektronik termaju.

"Secara tidak langsung, DSA telah mengukuhkan lagi pelbagai cabang dalam industri pertahanan negara sejak dua dekad lalu termasuk industri hilirannya selain menyumbang terhadap sumber tenaga manusia berkemahiran tinggi," ujar beliau.

Antara yang dijangka menjadi tarikan pada DSA kali ini ialah penyerahan kumpulan pertama kenderaan perisai beroda buatan tempatan iaitu AV8 oleh Deftech kepada Tentera Darat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved