Ahad, 27 April 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chelsea 'kacau daun' Liverpool

Posted:

Chelsea 'kacau daun' Liverpool

Chelsea 'kacau daun' Liverpool

Para pemain Chelsea meraikan kejayaan jaringan Demba Ba (tengah,bawah) yang berjaya membuka jaringan pada perlawanan Liga Perdana England antara Liverpool dan Chelsea di Anfield, semalam. Chelsea menang 2-0. - AFP


LIVERPOOL – Misi Liverpool untuk menjulang kejuaraan pertama Liga Perdana England sejak 1990 berdepan kesulitan selepas tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Chelsea malam tadi.

The Reds tampil selaku pendahulu liga gagal memanfaatkan kelebihan sendiri meskipun menyaksikan pengurus The Blues, Jose Mourinho menurunkan skuad kedua ketika berkunjung ke Stadium Anfield.

Dalam aksi hangat tersebut, anak-anak buah Brendan Rodgers mengasak benteng pertahanan Chelsea sebaik perlawanan dimulakan.

The Blues yang mempraktikkan corak bertahan mengejutkan pasukan tuan rumah apabila penyerang, Demba Ba membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama perlawanan.

Kejayaan itu hadir apabila Ba mengambil kesempatan sebaik kapten Liverpool, Steven Gerrard tergelincir ketika cuba melakukan hantaran dan pemain kelahiran Senegal itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gawang The Reds, Simon Mignolet.

Chelsea menghukum keghairahan Liverpool yang memburu jaringan penyamaan apabila bintang Brazil, Willian meledak gol kemenangan pasukan pelawat hasil hantaran daripada bintang Sepanyol, Fernando Torres pada masa kecederaan.

Selepas aksi menentang The Reds, The Blues bakal menentang Atletico Madrid untuk aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara pada Rabu ini disusuli pertemuan dengan Norwich City, Ahad ini. Liverpool pula akan berkunjung ke Crystal Palace dalam misi memburu kejuaraan liga, Selasa ini. – Agensi

Malaysia dirundung malang

Posted:

Malaysia dirundung malang

Malaysia dirundung malang

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my


PEMAIN Malaysia, Faiz Jali (kanan) diasak dua pemain Korea Selatan pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan malam tadi.


SKUAD hoki kebangsaan terus dirundung malang setelah tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan malam tadi.

Malaysia kini menghuni tangga tercorot Kumpulan B yang turut dianggotai Korea Selatan, Kanada dan Perancis setelah gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan.

Skuad negara turut tewas tipis 3-2 dalam perlawanan pembukaan menentang Perancis malam kelmarin.

Skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketinggalan seawal minit ke-20 menerusi jaringan Nam Hyun menerusi puku- lan sudut penalti.

Meskipun memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama segala-galanya bagaikan tidak menjadi buat skuad negara apabila dua cubaan pemain kebangsaan sekadar terkena tiang gol.

Kealpaan barisan pertahanan pasukan kebangsaan sekali lagi dihukum ketika masuk minit kedua separuh masa kedua menjadikan kedudukan 2-0 kali ini menerusi gol padang hasil jaringan You Hyo Sik.

Pada minit ke-50, Korea Selatan bertambah selesa menerusi jaringan Jang Jong Hyun untuk mendahului 3-0.

Skuad kebangsaan bagaimanapun tidak berputus asa dan terus mengasak sehingga minit-minit akhir perlawanan dan berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi gol padang Ismail Abu pada minit ke-69 yang sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan maruah negara.

Dalam perlawanan lain Kumpulan B semalam, Kanada menang tipis 3-2 menentang Perancis.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, New Zealand mengukuhkan cengkaman di tangga teratas kumpulan menerusi kemenangan bergaya 6-1 ke atas Jepun manakala Poland menang 2-1 menentang Ireland.

UniKL Young Guns menang bergaya

Posted:

UniKL Young Guns menang bergaya

UniKL Young Guns menang bergaya

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my


HAFIZ (kiri) menjaringkan hatrik bagi membantu UniKL Young Guns menewaskan Nur Insafi 9-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.


UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL Young Guns) menutup kempen Divisyen Satu Liga Hoki Kebangsaan (MHL) musim ini dengan penuh bergaya apabila mencatatkan kemenangan 9-1 ke atas Nur Insafi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Tiga mata berharga itu menyaksikan UniKL Young Guns mengesahkan tangga ketiga Divisyen Satu MHL dengan 22 mata, kelebihan tiga mata ke atas Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang berada di tangga keempat.

Pengurus pasukan UniKL Young Guns, Mohd. Faiz Isa mengakui gembira dengan keseluruhan prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya dalam saingan musim ini.

Lebih menggembirakan, UniKL Young Guns yang dibimbing ketua jurulatih skuad remaja negara, Arul Selvaraj berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selain mencatatkan enam kemenangan dan empat seri sepanjang 10 perlawanan liga.

"Saya gembira dengan keseluruhan prestasi semua pemain. Objektif utama UniKL (Young Guns) dalam aksi liga ialah untuk pembangunan pemain, terutamanya kepada Skuad Projek 2016.

"Setiap pemain menunjukkan tahap positif. Setiap perlawanan ada kemajuan yang berlaku dan ia menepati objektif kami.

"Jurulatih (Arul) juga gembira dengan tahap prestasi dipamerkan setiap pemain bukan setakat menang 9-1 tetapi dari segi keseluruhan musim ini.

"Saya harap kami dapat kekalkan momentum baik ini dan cuba sedaya upaya untuk perlawanan kalah mati (Piala Presiden) selepas ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Gol-gol UnikL Young Guns diperoleh menerusi jaringan Muhamad Hafiz Zainol (kedua, ke-22, ke-36), Mohd. Nor Aqmal Abd Ghaffar (kesembilan, ke-25, ke-62), Muhammad Haziq Samsul (ke-16, ke-70) dan Muhammad Azwar Abdul Rahman minit ke-46.

Gol sagu hati Nur Insafi diperoleh menerusi jaringan padang Mohammad Noor Azrain Adnan pada minit ke-33.

Sementara itu, lapan pasukan Divisyen Satu MHL telah mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala Presiden (Overall Championship) - juara Divisyen Satu MHL musim ini, Sapura, TNB Thunderbolt (naib juara), UniKL Young Guns, SSTMI, PHT-MSNT, Nur Insafi, MBI dan ATM Airod.

Undian pusingan kalah mati itu akan dilakukan di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved