Rabu, 23 April 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


United pecat Moyes

Posted:

United pecat Moyes

United pecat Moyes

MANCHESTER - Manchester United mengambil keputusan drastik untuk memecat pengurus, David Moyes selepas 10 bulan menggantikan tempat Alex Ferguson yang bersara.

Pemain tengah, Ryan Giggs dipilih untuk mengambil-alih tugas yang ditinggalkan Moyes sehingga United menemui pengganti sebenar.

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal, Juergen Klopp (Borussia Dortmund) dan Diego Simeone (Atletico Madrid) antara calon hangat untuk menduduki kerusi hangat itu.

Moyes, 50, dari Scotland dilaporkan menerima pampasan mencecah £10 juta (RM54.5 juta) daripada pihak pengurusan The Red Devils.

Bagaimanapun, United tetap memberikan penghargaan di atas kerja keras, kejujuran dan integriti yang ditampilkan Moyes sepanjang bersama United.

Keputusan untuk memecat Moyes dilakukan Timbalan Pengerusi United, Ed Woodward dalam satu mesyuarat pasukan di padang latihan pagi semalam.

Masa depan Moyes di Old Trafford mula mencetuskan persoalan selepas United diabkan dengan kekalahan 0-2 kepada Everton pada aksi Liga Perdana England di Stadium Goodison Park, Ahad lalu.

Kekalahan itu menyebabkan United gagal melayakkan ke kempen Liga Juara-Juara buat pertama kalinya dalam tempoh 19 tahun selepas sekadar menghuni tangga ketujuh liga.

Kedudukan itu merupakan yang terburuk buat United dalam saingan liga sejak 1990 meskipun muncul juara musim lalu.

Moyes mendapat sokongan Ferguson yang membuat keputusan untuk bersara selepas 27 tahun bersama United.

Namun, beliau gagal meneruskan legasi Ferguson biarpun berjaya membantu United mara ke suku akhir kempen Liga Juara-Juara sebelum ditewaskan Bayern Munich.

Biarpun bakal mendapat suntikan dana yang besar untuk membentuk semula skuad musim depan, pemilik United iaitu Glazer tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau terutamanya selepas membelanjakan lebih £65 juta (RM354.6 juta) musim ini untuk membeli pemain baharu iaitu Marouane Fellaini dan Juan Mata.

Kegagalan United mara ke kempen Liga Juara-Juara musim depan juga pastinya menjejaskan usaha memburu pemain-pemain baharu. - AP

PBNJ lucut jawatan On serta-merta

Posted:

PBNJ lucut jawatan On serta-merta

PBNJ lucut jawatan On serta-merta


ON (bertali leher) hadir ke IPD Seri Alam di Pasir Gudang, Johor semalam untuk memberi keterangan.


TIGA hari selepas insiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengambil tindakan drastik apabila melucutkan jawatan On Jabbar sebagai pengurus Johor Darul Takzim II (Johor DT II).

Hukuman yang dibuat PBNJ itu dipercayai ekoran tindakan On yang didakwa menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman ketika aksi Liga Premier antara Johor DT II dan UiTM FC di Pasir Gudang, Sabtu lalu yang berkesudahan seri 2-2.

PBNJ menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam memaklumkan bahawa On telah dilucutkan daripada jawatan tersebut kerana berkelakuan kurang sopan pada perlawanan tersebut.

"Dukacitanya dimaklumkan Tuan (On) telah dilucutkan daripada memegang jawatan sebagai Pengurus Pasukan Johor DT II berkuat kuasa serta-merta daripada tarikh surat ini (22 April 2014).

"Tuan juga dikenakan denda sebanyak RM25,000 berikutan insiden yang berlaku ketika perlawanan menentang UiTM dalam saingan liga di Stadium MPPG, 19 April (Sabtu) lalu.

"Bagaimanapun, Tuan masih lagi kekal sebagai ahli Exco PBNJ. Sehubungan itu, pihak PBNJ mengucapkan terima kasih atas kerjasama, sokongan dan komitmen diberikan kepada pasukan Johor DT II selama ini," kata PBNJ menerusi kenyataan semalam.

Terdahulu, On tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Pasir Gudang, Johor kira-kira pukul 10 pagi semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

Kosmo! semalam melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat komisioner perlawanan serta pegawai penilai dan mendapati ia konsisten dengan laporan dibuat Sukri.

Justeru itu, On kini disiasat mengikut Perkara 2.4 Kod Tatatertib Liga Malaysia kerana didakwa menyerang dan memukul mana-mana pemain atau pegawai tanpa mendatangkan kecederaan dan boleh dikenakan hukuman penggantungan enam perlawanan jika sabit kesalahan.

On turut disiasat mengikut Perkara 2.5 kod yang sama dan boleh dihukum maksimum penggantungan seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pada aksi Sabtu lalu, On didakwa telah menumbuk muka Sukri selepas berang dengan beberapa keputusan yang disifatkan berat sebelah oleh pengadil terbabit selain menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Johor DT II.

Difahamkan, Sukri telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu pada hari kejadian.

Polis mula buat siasatan insiden tumbuk pengadil

Posted:

Polis mula buat siasatan insiden tumbuk pengadil

Polis mula buat siasatan insiden tumbuk pengadil

POLIS telah mengambil keterangan pengurus pasukan Johor Darul Takzim II (Johor DT II), On Jabbar berhubung insiden kekasaran terhadap pengadil, Sukri Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, pihaknya memulakan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera selepas menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Mengikut seksyen tersebut, ia membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kita juga akan panggil beberapa saksi bagi membantu siasatan, ada saksi dari negeri lain.

"Jadi kita akan bekerjasama dengan polis di Kedah dan Terengganu," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru semalam.

Dalam insiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu, On dilapor menumbuk muka Sukri selepas tamat aksi Liga Premier antara Johor DT II dan UiTM FC yang berkesudahan seri 2-2.

On didakwa berbuat demikian ketika pemain kedua-dua pasukan keluar meninggalkan padang kerana beliau dikatakan berang terhadap beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak munasabah.

Dalam pada itu, On dilihat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di Pasir Gudang, Johor kira-kira pukul 10 pagi semalam.

"Saya hadir ke sini (IPD Seri Alam) selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis. Proses itu mengambil masa kira-kira 45 minit," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang insiden tersebut. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved