Isnin, 14 April 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Posted:

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Oleh ALIF ABU BAKAR

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.


MENERAPKAN konsep Islamik dalam genre fesyen jalanan ada risikonya. Sinikal masyarakat terhadap gaya keagamaan sedemikian belum berubah. Pada pandangan mereka, baju-T bercoret kata-kata dakwah tidak menepati suasana pluralisme di negara ini.

Memang kebanyakan baju-T dengan rekaan Islamik bertujuan untuk mengajak orang Muslim di Malaysia berbangga dengan Islam. Apakan daya, penggunaan corak, warna, material dan pendekatan lapuk membuatkan ia kurang diminati.

Lokasi jualan di sekitar masjid dan tapak-tapak majlis keagamaan juga mengehadkan sesi pendakwahan langsung kepada masyarakat.

Jika dibandingkan bersama label antarabangsa seperti Design Molvi dan Justmuslim, kita masih ketinggalan dari segi teknik penyebaran ideologi agama menerusi fesyen.

Dua jenama dari United Kingdom itu bijak bermain dengan cetakan kreatif menggunakan frasa-frasa ringkas tetapi cukup magnetik untuk membangkitkan kebanggaan diri seorang Muslim.

Untuk permulaan, Malaysia kini mempunyai Stereostar Clothing (Stereostar). Diperkenalkan pada awal tahun 2013, label itu berusaha menampilkan fesyen jalanan berkonsep Islamik yang urban dan moden. Eksperimen sederhana mereka kini meraih minat Muslim tempatan khususnya remaja.

Pereka Stereostar, Hafizal Nasir membangunkan label itu secara solo pada awalnya. Dia banyak melibatkan diri dengan majlis-majlis agama seperti kuliah dan ceramah di masjid. Ketika itu, Hafizal, 32, hanya membekalkan rekaannya kepada peniaga-peniaga baju-T.

Penampilan sulung Hafizal di bawah jenama Stereostar adalah di bazar fesyen jalanan terbesar tanah air, Tempatan Fest 3.0 di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur hujung tahun lalu.

"Eksperimen awal saya adalah dengan mengeluarkan 100 helai baju-T edisi terhad dengan rekaan Islamik yang agak sarat mesejnya. Namun, ia habis dijual dan menerima sambutan di luar dugaan.

"Dari situ saya sedar bahawa konsep Islamik ada pasaran yang positif. Justeru, saya mengumpulkan beberapa ahli dan kini Stereostar diterajui empat individu," jelas Hafizal ketika ditemui Kosmo! di Studio Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rekaan

Dalam tempoh tidak mencecah setahun, Stereostar telah berjaya membariskan 10 hingga 12 rekaan meliputi baju-T lengan pendek dan panjang, baju panas (sweatshirt), hoodie dan topi snapback.

Tiga warna teras iaitu hitam, putih dan merah pula mendukung falsafah eksklusif yang dikendong Stereostar. Dominan hitam dalam setiap rekaan membezakan mereka daripada pakaian Islamik lain yang menggemari rona-rona terang.

Pemilihan warna asas tersebut diharapkan dapat mengubah tanggapan masyarakat terhadap nilai eksklusif pakaian bercorak Islamik. Stereostar mengetengahkan prestij, moden dan urban dalam setiap rekaan mereka.

"Kami tidak meletakkan had usia pelanggan tetapi ia diharapkan mampu menarik ramai anak muda untuk membeli baju berkonsep Islamik.

"Kalau rekaan spesifik dakwah orang tak mahu pakai sebab agak konvensional dari segi rekaan, gaya dan tidak kelihatan trendy," ujar Hafizal.

Di sebalik kesungguhan Stereostar memperbaharui fesyen jalanan Islamik di negara ini, timbul teguran-teguran kurang manis daripada segelintir pihak. Ada pihak yang mempersoalkan arah dakwah yang cuba disebarkan Stereostar kepada anak-anak muda.


PEMILIHAN hitam dan putih sebagai warna teras jenama menyerlahkan sisi eksklusif Stereostar.


Mesej

Tegas Hafizal, pada peringkat pengenalan ini, Stereostar tidak berhajat untuk mengangkat label mereka sebagai jenama dakwah moden. Setiap helaian yang dikeluarkan mengandungi mesej keagamaan ringkas tetapi tidak condong berat kepada dakwah.

Sekiranya sambutan terhadap jenama mereka meningkat dari semasa ke semasa, barulah perancangan terhadap rekaan yang tinggi nilai Islamik dilancarkan.

Begitupun, tambah Hafizal, pihaknya telah mendapatkan nasihat dan penjelasan ilmiah daripada beberapa tokoh agama berkenaan fesyen berkonsep Islamik. Jelasnya, selagi ia berlandaskan Islam, ia tidak mengundang masalah malah dikira sebagai satu perjuangan ke arah dakwah.

"Jenama yang memfokuskan kepada usaha dakwah pun menyokong usaha kami. Mereka melihat ia sebagai satu pembaharuan dan secara tidak langsung membuka jalan kepada mereka untuk berkarya secara kreatif," dedah Hafizal.

Penggunaan perkataan campuran jawi dan rumi menjadi identiti Stereostar. Mereka mahu membuktikan bahawa baju bertulisan jawi bukan hanya dipakai di surau atau masjid. Ia juga sesuai dikenakan untuk pelbagai masa dan suasana.

Penggunaan frasa seperti Muslim Attitude, Muslim Proud dan I am Hamba pada baju-baju Stereostar membuatkan ia mudah menangkap minat remaja. Penetapan perkataan tersebut dibuat berdasarkan cerminan peribadi seorang Muslim. Hamba misalnya menggambarkan individu yang tawaduk dan tahu kedudukannya di sisi Allah.

Nombor-nombor yang ditampilkan juga ada makna tertentu. Nombor 99 contohnya mewakili 99 nama Allah manakala nombor tujuh boleh melambangkan variasi mesej dalam Islam seperti tujuh lapisan langit, lautan, syurga dan neraka serta ia merupakan nombor kegemaran Rasulullah SAW.

Simbol

Simbol ketara Islam iaitu bulan dan bintang pula diolah segar dalam rekaan moden. Secara realistik, penggunaan lambang Islamik adalah lebih baik berbanding logo ideologi Barat yang kurang jelas maknanya.

Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa konsep dakwah tidak semestinya muncul dalam bentuk potongan hadis atau ayat al-Quran. Menerusi fesyen, definisi dan medium dakwah dapat diperluaskan.

Sementara itu, untuk masa ini, Stereostar fokus kepada pakaian lelaki sahaja. Namun yang mengejutkan, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan. Begitupun, mereka tidak melarang sesiapa untuk membeli tetapi wanita perlu mengikut etika pemakaian yang tepat.

"Pakaian konsep Islamik agak sensitif. Sebagai pereka dan penjual kami berasa bertanggungjawab untuk mendidik Muslim di negara ini berpakaian menutup aurat dengan cara betul.

"Justeru, kami sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan koleksi Muslimah yang mematuhi potongan dan aurat wanita," ujar Hafizal yang juga memberitahu mereka juga mempunyai pelanggan dari Brunei dan Singapura.

Baju-baju Stereostar diperbuat menggunakan 100 peratus material kapas bersaiz XS hingga XXL.

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Posted:

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Elemen semula jadi jenama Arda Putra

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PRAFESTIVAL Hijab Sedunia dirancakkan dengan persembahan fesyen daripada rekaan Arda Putra.


JENAMA fesyen yang masih segar di pentas peragaan, Arda Putra baru-baru ini tampil membuat kemunculan dalam majlis kasual bersempena Festival Hijab Sedunia 2014 di Zebra Square, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pertunjukan yang mengetengahkan fesyen Koleksi Pengantin 2014 ini diilham dan dijayakan oleh Arda Putra dengan tema pilihan, Harmoni.

Seiring namanya, koleksi Harmoni dipersembahkan dalam latar muzik mendamaikan yang diinspirasikan daripada keindahan flora Malaysia dan unsur-unsur semula jadi iaitu tanah, air, angin, api dan besi.

Pengarah Urusan Arda Putra, Masera Shah berkata, konsep kesepaduan yang dipamerkan dalam setiap elemen alam semula jadi menjadi inspirasi fesyen yang diperagakan.

Katanya, ciri-ciri ini juga melambangkan pemuafakatan masyarakat negara ini walaupun berlainan budaya, agama dan latar belakang.

Tambah Masera lagi, koleksi Harmoni adalah peluang bagi Arda Putra untuk memainkan peranan kecil dalam menggalak perpaduan mengikut acuan Malaysia yang aman dan harmoni.

"Ibarat sekuntum bunga, ia hanya akan mekar dengan sempurna apabila tumbuh dalam keseimbangan dengan unsur-unsur asas.

"Oleh itu, rekaan Harmoni juga adalah tentang bagaimana kehidupan disesuaikan kepada segala yang ada di sekeliling kita dan alam semula jadi," katanya.

Sebanyak 16 rekaan fesyen pakaian yang menarik diperagakan dalam majlis itu. Lapan daripada rekaan tersebut berdasarkan unsur-unsur asas alam.


KELAINAN dalam rekaan dan potongan baju yang diperagakan menarik perhatian penonton.


"Rekaan dalam koleksi ini bermula dengan membentuk pemahaman akan kualiti unik setiap unsur alam dan kami menerapkannya kepada konsep pakaian, terutamanya bagi penggunaan jemeki-jemeki berwarna mengikut ciri-ciri unsur tersebut," ujar Pengurus Pembangunan Perniagaan Arda Putra, Syed Ihsanputra Syed Fudzan.

Lapan rekaan lagi, menurut Ihsanputra, mewakili ciri-ciri unik bunga dari seluruh dunia. Dalam rekaan tersebut, Arda Putra memilih untuk memberi kesan lapisan menggunakan fabrik mengikut konsep berlapik bagi mencipta efek yang dimahukan dalam rekaan.

"Bentuk yang merangkumi rekaan potongan A hingga hour glass direka dengan membuat lapisan sehingga empat jenis fabrik yang berbeza seperti satin, jemeki dengan renda, renda dan organza.

"Rekaan ini diakhiri dengan lipatan penuh teliti di bahagian hujung fabrikl," katanya yang bijak memainkan warna dengan si pemakai mengikut tema bersesuaian.

Bagi koleksi pengantin 2014 ini, Arda Putra menekankan tiga dimensi penambahan yang dibuat pada bahagian tangan seperti bulu, batu permata dan corak bunga yang dicipta khas.

Bunga-bunga tersebut dibuat dengan menggunakan tekstur fabrik dan dijahit ke beberapa bahagian pakaian.

Arda Putra selaku label fesyen rekaan sekumpulan bakat muda Malaysia mengakui akan turut komited dan bersedia menyediakan khidmat perundingan dan nasihat kepada pelanggan demi kepuasan bersama.

Untuk maklumat lanjut, penggemar fesyen boleh melayari laman sesawang www.ardaputra.com atau laman sosial www.fb.com/ardaputracom dan instagram @ardaputracom.

Kaca mata fungsional antialergi

Posted:

Kaca mata fungsional antialergi

Kaca mata fungsional antialergi

Oleh ALIF ABU BAKAR


KESEIMBANGAN fungsional dan reka bentuk menjadikan CEO Vision pilihan terbaik untuk golongan muda.


MEREKA yang bercermin mata pasti pernah tertinggal aksesori pembantu penglihatan itu di atas meja pejabat. Ada pula yang menggunakan tali atau rantai berjurai-jurai yang disambungkan pada tepi bingkai cermin mata untuk disangkutkan pada leher.

Begitupun, ia kurang praktikal dan tidak memberi keselesaan menyeluruh kepada si pemakai. Justeru, kaca mata koleksi baharu daripada CEO Vision (CEO.V), Vision 3 dicipta bagi mengatasi masalah tersebut.

Vision 3 mewakili kaca mata optikal khusus untuk golongan eksekutif muda. Kepanjangan sarung pemegangnya boleh dilaras dan dicantumkan bagi memudahkan ia digantung di leher.

"Penghujung sarung pemegang itu mempunyai magnet dan ia diperbuat daripada silikon antialergi.

"Penggunaan material berkualiti tinggi itu adalah bagi mereka yang mempunyai alahan kulit akibat perpeluhan dan sekali gus memberikan keselesaan maksimum kepada si pemakai," jelas Pengurus Jualan dan Pemasaran Eye Concept LTD, Clara Siu ketika ditemui pada majlis pelancaran Vision 3 dan Active 2 di Desa ParkCity Club, Kuala Lumpur.

Menerusi Vision 3, keletihan mata selepas menghadap komputer atau kertas-kertas kerja di pejabat dapat direhatkan dengan lebih mudah dan selesa.


VARIASI kaca mata hitam CEO Vision dilengkapi fungsi mengagumkan khusus untuk bergaya.


Anda tidak lagi perlu menggunakan tali atau rantai berselirat untuk digantung pada leher. Kebiasaan menanggalkan cermin mata juga boleh dielakkan sekali gus mengurangkan kemungkinan ia tertinggal di pejabat.

Sebenarnya, Vision 3 juga praktikal ketika bersolat. Justeru, anda tidak perlu bimbang terhadap risiko kaca mata dipijak orang atau tertinggal di surau atau masjid.

Direka untuk lelaki dan wanita berusia 30 hingga 40 tahun, Vision 3 berkebolehan untuk digantung atau dilipat. Jisimnya pula 30 peratus lebih ringan berbanding model dulu dan didatangkan dalam empat stail dengan masing-masing mempunyai tiga warna.

Active 2

Generasi muda dengan gaya hidup aktif pula pasti menyenangi rekaan di bawah koleksi Active 2. Berbeza dengan Vision 3, kaca mata ini tidak dihadkan pada usia tertentu dan disasarkan buat kaum Adam.

Ciri gelung keselamatan lanjutan berganda (DESL) pada kaca mata itu memberikan keselesaan ekstra ketika anda bersukan. Gelung dilapisi getahnya pula menukar fizikal kaca mata lasak anda kepada bingkai optikal yang bergaya.

Active 2 ditawarkan dengan 10 stail bersama tiga warna yang menawan. Kombinasi fleksibiliti bentuk dan fungsi menjadikan koleksi baharu tersebut satu aksesori wajib dimiliki lelaki aktif.

Kesemua bingkai kaca mata CEO.V boleh disimpan di dalam bekas pelindung ultra nipis yang bersesuaian dengan kontur badan anda. Ia juga disertakan bersama kain pembersih cengkaman jari bagi memastikan kebersihan kaca mata.

"CEO.V telah tiga tahun berada di dalam pasaran dan ini merupakan pelancaran kedua jenama ini di Malaysia. Kaca mata kami boleh didapati di lebih 30 buah negara dengan rekaan dan warna yang sama tetapi berbeza dari segi stail.

"Setakat ini, CEO.V mempunyai lebih 150 stail untuk keseluruhan koleksi," kongsi Clara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved