Rabu, 2 April 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Himpunan 18 butik bercita rasa moden

Posted:

Himpunan 18 butik bercita rasa moden

Himpunan 18 butik bercita rasa moden

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SEBAHAGIAN daripada 18 pemilik butik yang terdapat di Sohhor Street mengalu-alukan kedatangan pelanggan.


AURA busana Muslimah yang menampilkan rekaan patuh syariah tetapi berciri moden kontemporari semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama wanita berkerjaya.

Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kerana semakin ramai pengusaha sama ada secara kecil-kecilan atau sudah mempunyai nama perniagaan menawarkan koleksi pakaian sedemikian.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan, situasi ini membangkitkan suatu persaingan sihat, sekali gus memeriahkan lagi industri fesyen Islamik tanah air.

Terbaharu, pelancaran Butik Sohhor Street di Paragon Point, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 1 Mac lalu, menambahkan lagi destinasi beli-belah untuk rangkaian busana Muslimah yang menepati cita rasa pelanggan.

Lebih istimewa, Sohhor Street ini bukan hanya menawarkan satu koleksi jenama, sebaliknya menghimpunkan 18 buah butik di bawah satu bumbung.


SOHHOR Street menawarkan pengalaman beli-belah yang pasti mengujakan pelanggan.


Satu bumbung

Ia mengetengahkan konsep fesyen moden yang merangkumi pelbagai pilihan daripada busana Muslimah, pakaian kanak-kanak, persalinan lelaki, koleksi tudung atau selendang dan juga peralatan kosmetik.

Malah, terdapat juga butik yang menawarkan khidmat jahitan bagi mereka yang gemar membeli kain pasang berbanding pakaian siap di samping kelengkapan solat, haji dan umrah.

Salah seorang pemilik butik, Bintu Rasyada Abdul Rahman, 33, berkata, penubuhan Sohhor Street memberi manfaat kepada usahawan muda yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti dirinya.

Mengusahakan jenama byBintu yang menawarkan koleksi jubah, dres, skirt dan shawl, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui, butik tersebut menjadi platform buatnya untuk bergelar usahawan berjaya.

"Sejak kecil saya memang minat berniaga. Waktu sekolah, saya sering bawa kerepek yang mak buat untuk dijual kepada kawan-kawan. Begitu juga, ketika bekerja sebagai wartawan tidak lama dahulu, saya ada mengusahakan perniagaan menjual minyak wangi secara kecil-kecilan.

"Selepas berhenti tahun lalu, barulah saya serius untuk menceburi bidang ini. Alhamdulillah, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Pelanggan bukan hanya dari sekitar Bangi, bahkan ada yang datang dari Seremban, Nilai dan Putrajaya," ujar Bintu Rasyada yang mula berniaga di Sohhor Street sejak Januari lalu dengan modal RM50,000.

Tambah anak kelahiran Kedah ini, material yang digunakan untuk menghasilkan jubah adalah pelbagai seperti satin crepe, likra, kain kapas dan sifon yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Dia turut menjual pashmina yang diimport dari India selain minyak wangi sebagai tambahan kepada dua lot butik yang disewanya.

BUTIK byBintu menawarkan pelbagai koleksi jubah, dres dan selendang dari dalam dan luar negara.


Jenama eksklusif

Secara umumnya, butik ini telah mula beroperasi pada bulan November 2013. Ketika itu hanya ada beberapa peniaga yang mendaftar. Kini, terdapat 18 usahawan yang terlibat menjayakannya dalam usaha menambah pendapatan.

Antara jenama yang ada ialah Cinta Hawa Couture, JoeeShawls, Along Hijrah Collection, Fazalia Boutiqe, Sohhor Collection, Farrahdotcom, Dinar Barokah, Alwani, Busana Norka'iza, Farnia dan Fleur by D'Zuleykha.

Sementara itu, pemilik jenama JoeeShawls, Ernita Effendy berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki butik sendiri selepas menjalankan perniagaan secara dalam talian akhirnya tercapai.

"Sebelum ini, saya mengusahakan jualan shawl dan skaf Muslimah yang eksklusif, trendy dan unik melalui internet. Material yang digunakan seperti likra, renda Korea, kain kapas dan sebagainya.

"Sebenarnya, dulu saya tidak bertudung tetapi selepas berhijrah dan berhijab sepenuhnya, saya rasa terpanggil untuk menjalankan perniagaan ini. Niat saya untuk menggalakkan lebih ramai wanita Islam di Malaysia melaksanakan kewajipan berhijab dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

"Mungkin dengan melihat rekaan shawl atau skaf yang kami tawarkan, hati mereka terbuka untuk berubah ke arah yang lebih baik selaras dengan tuntutan agama," ungkap Ernita yang berharap JoeeShawls mampu menjadi satu jenama yang positif, indah, bergaya dan tinggi nilai budaya kepada masyarakat Malaysia.

Dalam pada itu, apabila berbicara tentang busana Muslimah, pastinya ramai yang menggemari satu rekaan pakaian yang bersifat dwifungsi. Sebagai contoh, selain sesuai digayakan untuk ke pejabat atau keluar rumah, pakaian itu juga boleh digunakan terus untuk bersolat.

Itu konsep yang dipilih oleh pengusaha butik jenama Cinta Hawa Couture, Nur Has Linas Bakar. Menerapkan ciri-ciri praktikal pada rekaan jubah dan abayanya, koleksi tersebut berjaya menarik perhatian pelanggan.

Menurut Nur Has Linas, dalam setiap rekaan, pihaknya mengutamakan aspek aurat yang perlu ditutup dengan sempurna. Justeru, dia memilih fabrik likra berkualiti tinggi yang tidak melekap pada badan untuk memberi hasil terbaik kepada pengguna.

"Sebagai pengusaha, ini merupakan tanggungjawab saya untuk menawarkan koleksi pakaian yang patuh syariah dan bukan sekadar fesyen semata-mata.

"Secara peribadi, saya merasakan penutupan aurat perlu dititikberatkan dan fesyen merupakan perkara kedua. Namun, saya tidak menolak bahawa rekaan yang seiring antara kedua-duanya mampu menyerlahkan keanggunan seorang wanita Muslimah," tutur Nur Has Linas penuh berhemah.

Destinasi ideal fesyen Muslimah

Posted:

Destinasi ideal fesyen Muslimah

Destinasi ideal fesyen Muslimah

CHE JAMILAH


BENAR kata sesetengah orang bahawa wanita Kelantan sangat berdikari dan berani mencuba perkara baharu untuk meraih kejayaan dalam kehidupan.

Selepas empat tahun menjalankan perniagaan butik di Shah Alam, Selangor, pengasas dan pemilik Sohhor Street, Che Jamilah Che Muhammad beralih angin ke bandar akademik, Bangi untuk meluaskan empayarnya.

Apa yang penting, beliau bukan mahu berjaya seorang diri, sebaliknya menyediakan satu platform terbaik untuk para peniaga muda yang mungkin tiada pengalaman dalam perniagaan, mengejar cita-cita mereka.

"Sohhor Street merupakan destinasi beli-belah fesyen yang ideal untuk seisi keluarga pada harga yang amat berpatutan. Konsep butik berhawa dingin yang disediakan pula lebih santai dan saling berhadapan di setiap blok membolehkan pengguna membuat pilihan masing-masing.

"Selain itu, kemudahan WiFi dan internet turut disediakan di samping bilik persalinan serta surau untuk menunaikan solat," kata Che Jamilah ketika ditemui sewaktu pelancaran Sohhor Street baru-baru ini.

Tambah beliau, pembukaan butik berkenaan adalah untuk menyediakan suasana beli-belah yang selesa dan mudah kerana semua keperluan berfesyen ada di sana.

"Alhamdulillah, sejak dibuka bermula November lalu, lokasi ini sentiasa dikunjungi orang ramai saban hari. Boleh dikatakan, setiap butik yang bernaung di Sohhor Street ini sudah mempunyai rangkaian pelanggan tetap masing-masing.

"Semoga rezeki para peniaga semakin bertambah, sekali gus merancakkan industri fesyen berkonsep Islamik yang dilihat sudah menjadi suatu keperluan buat masyarakat Muslim di negara ini," ujarnya yang mengakui, kedudukan strategik bandar itu membolehkan ramai pelanggan berkunjung ke sana.

Etika fesyen wanita Muslimah

Posted:

Etika fesyen wanita Muslimah

Etika fesyen wanita Muslimah

Penting memilih fesyen yang kita suka dan memastikan ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.


FESYEN Muslimah mula dilihat sebagai fesyen berpotensi di arena antarabangsa.- Gambar hiasan


PERKEMBANGAN fesyen memang mempengaruhi cara wanita berpakaian dalam apa jua lapangan. Bagi pereka busana Muslimah, paling penting bagi anda untuk memahami batas aurat dalam Islam sebelum melahirkan karya rekaan pakaian untuk wanita Islam.

Keistimewaan Islam sebagai cara hidup menyediakan panduan umatnya termasuk menggariskan etika berpakaian yang penuh keterampilan.

Oleh itu, dalam memperkatakan mengenai fesyen sesuai untuk Muslimah, kita tidak sepatutnya mengongkong fikiran dengan menggambarkan pilihan yang terhad kerana sudah jelas Islam tidak menentukan fesyen atau bentuk pakaian.

GAYA fesyen Muslimah juga dilanjutkan dalam fesyen pakaian sukan. - Gambar hiasan


Aspek yang penting dalam berpakaian ialah memilih fe syen yang kita suka dan memastikan ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Dalam membicarakan soal pakaian wanita kontemporari, Islam tidak menetapkan fesyen pakaian atau warna tertentu yang boleh dipakai wanita Muslim.

Hanya yang ditetapkan ialah aurat wanita adalah keseluruhan tubuh badannya, kecuali bahagian muka dan telapak tangan. Pakaian wanita Islam perlu mengikut garis panduan syarak antaranya:

* Pakaian itu hendaklah menutup aurat

* Pakaian hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan

* Pakaian itu diperbuat daripada kain yang tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan. Selain itu pakaian hendaklah dibuat daripada kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya.

Pakaian yang dibuat daripada kain jenis itu boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita dan mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

* Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang yang melihatnya serta mendatangkan fitnah

* Pakaian tidak menyerupai lelaki

* Memakai pakaian menutup aurat, menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita yang penuh keterampilan


PEMAKAIAN beretika mengikut peraturan Islam perlu dititik berat. - Gambar hiasan


Bijak berfesyen

Dalam konteks di Malaysia, kemunculan dan perkembangan fesyen yang cukup pesat dengan pelbagai jenama busana Muslimah memang boleh dibanggakan.

Perkembangan ini adalah suatu trend fesyen yang menjadi alternatif terbaik wanita Islam yang ingin menutup aurat mereka dengan gaya yang penuh berketerampilan untuk pelbagai tujuan, masa dan tempat.

Dengan adanya pilihan seperti ini, tidaklah lagi pakaian yang berciri- kan Islam itu dipandang konsevatif.

Pereka busana Muslimah juga perlu memperluaskan pandangan sedunia mereka dengan bukan hanya mereka pakaian yang bercirikan Islamik tetapi juga sejagat agar dapat diterima semua.

Bentuk rekaan seharusnya kontemporari tetapi labuh, longgar dan tidak jarang. Mungkin juga pereka perlu ketengahkan idea yang terkehadapan tetapi masih menutup badan, kreatif, praktikal, komersial dan sesuai dipakai oleh semua bangsa.

Perlu diingat, walau seindah manapun rekaan busana Muslimah yang dipakai, ia tidak akan memberi makna jika si pemakai gagal menggayakan busana tersebut. Daripada pakaian, tergambar juga kehebatan diri seseorang.

Paling penting kewibawaan dan pembawaan diri menjadi kunci utama dalam mendefinasikan imej dan personaliti positif yang dimiliki oleh seseorang itu.

Prinsip sopan wanita Muslimah juga menunjukkan bahawa tumpuan komunikasi mereka ialah dengan intelektualnya, bukan tubuh badan.

Isu fesyen pakaian wanita Islam dijuruskan kepada perkara lebih besar dan memberi manfaat seperti mengambil peluang itu untuk membuka perniagaan berasaskan fesyen busana Muslimah bagi memartabatkan wanita yang menutup aurat.

Ringkasnya, pembabitan pereka fesyen dalam menyediakan pakaian adalah termasuk dalam fardu kifayah.

Pada dasarnya, kerja pereka fe syen termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan yang diharuskan oleh hukum syarak. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya pereka busana Muslimah berusaha mengelakkan diri daripada menyediakan pakaian dan fesyen yang mendedahkan aurat.

Perlu ada usaha menjelaskan dengan tepat konsep aurat dan pakaian mengikut landasan Islam bagi mengelakkan berlaku salah faham atau pertikaian mengenainya.

Sebagai langkah permulaan, anak-anak perlu didedahkan dengan konsep berpakaian yang betul menepati hukum syarak dan budaya umat Islam. Pendapat anda bagaimana?

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved