Isnin, 28 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


KLIA2 lebih mesra alam dan pengguna

Posted:

KLIA2 lebih mesra alam dan pengguna

KLIA2 lebih mesra alam dan pengguna

GADIS itu melangkah laju menuju ke bangunan terminal utama setelah keluar dari perut pesawat jenis Airbus A320. Derapan langkahnya diiringi dengan bunyi enjin beberapa pesawat yang baru mendarat sambil disahut bunyi hujan yang menghempas bumbung laluan pejalan kaki tersebut yang sesekali memercik tempiasnya ke tubuh gadis genit itu.

Setibanya di bangunan terminal utama, matanya meliar mencari restoran yang dirasakannya sesuai untuk mengisi perutnya yang berkeroncong selepas kira-kira sejam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sepang itu.

Namun, selepas puas meninjau ke segenap sudut, dia berasa hampa kerana kebanyakan restoran penuh dengan pengunjung yang sedang asyik menikmati hidangan masing-masing.

Sambil melabuhkan punggungnya seketika bagi menghilangkan rasa penat, dia mengamati keadaan di sekitar ruang menunggu, kaunter daftar masuk dan balai ketibaan di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) itu.

"Saya rasa seperti berada di terminal bas Pudu yang lama," ujar Nur Fauziani Zainal Abidin, 26, menceritakan pengalamannya mengenai LCCT ketika mula-mula tiba di lapangan terbang itu suatu ketika dahulu. Jelas gadis yang berasal dari Pulau Pinang itu, baginya keadaan di LCCT dilihat saling tidak tumpah seperti terminal bas yang sesak dengan pengunjung sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Dia berpendapat, menambahbaik taraf lapangan terbang di negara ini adalah satu keperluan meskipun ia hanya sebuah terminal penerbangan tambang murah. Barangkali begitulah juga tanggapan kebanyakan pengguna yang menggunakan khidmat kemudahan LCCT.

Ia dianggap sesak dengan jumlah pengunjung yang terlalu ramai pada satu-satu masa selain kemudahan yang dirasakan kurang mesra pengguna. Perkara itu diakui oleh Pengurus Besar Kanan (Operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Menurut beliau, kapasiti pengunjung di LCCT pada tahun 2013 mencecah sehingga 22 juta orang berbanding kapasiti asal sebanyak 15 juta.

"Disebabkan pertumbuhan pengunjung yang terlalu pesat itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk kita membina sebuah lapangan terbang baharu untuk penerbangan tambang murah yang lebih besar bagi menampung skala tersebut.

"Pada masa yang sama, untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah di negara ini yang perlu menambahkan kekerapan penerbangan dan laluan destinasi mereka setiap hari," ujarnya KLIA2 boleh menampung 45 juta pengunjung berbanding LCCT sebanyak 15 juta penumpang setahun.

Kerja-kerja pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula sejak lima tahun lalu bagi menggantikan LCCT yang dibina pada 2006.

Setelah melalui beberapa episod kontroversi, KLIA2 akhirnya menjadi mercu tanda terbaharu bagi industri penerbangan dan pelancongan negara ini. Terminal penerbangan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari KLIA dijangka memulakan operasinya pada 2 Mei ini. KLIA2 juga menyediakan pelbagai lot kedai barangan berjenama popular tempatan dan antarabangsa selain deretan restoran-restoran terkemuka.

CIRI bangunan mesra alam dan lapangan terbang lestari diketengahkan melalui pelbagai kemudahan berkonsep hijau.


Teknologi hijau

"Perkara utama yang paling membanggakan kami dalam pembinaan KLIA2 ialah konsep mesra alam dan bangunan hijaunya yang menggunakan teknologi baharu serba canggih," ujar Azmi menjelaskan ciri-ciri unik yang terdapat pada terminal tersebut.

Menurutnya, bangunan tersebut direka sedemikian bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik dan air selain memulihara alam sekitar daripada tercemar dengan pelepasan sisa-sisa buangan yang tidak diingini.

Antara ciri-ciri tersebut termasuklah pengumpulan air hujan bagi tujuan landskap dan sistem mengepam tandas, penggunaan cahaya matahari dan sensor bagi mengurangkan kadar kegunaan tenaga, pemasangan tingkap khas serta penggunaan bahan-bahan pembinaan bagi pengurangan haba dalam bangunan.

Meninjau sistem bagasi yang terdiri daripada 128 kaunter, Azmi berkata, sistem daftar masuk bagasi direka secara bersepadu.

"Dengan sistem bersepadu yang digunakan, semua syarikat penerbangan boleh berkongsi kaunter dengan hanya perlu log masuk ke dalam sistem komputer yang disediakan.

"Bagi penumpang pula, mereka hanya dikehendaki mendaftar masuk sekali sahaja di kaunter tersebut dan boleh terus mendapatkan pas perlepasan tanpa perlu melalui pemeriksaan bagasi terlebih dulu seperti kebiasaannya," ujar beliau.

Tambah Azmi, selepas prosedur tersebut, pengunjung boleh terus masuk ke dalam ruang pelepasan mengikut jenis penerbangan, sama ada domestik atau antarabangsa.

Selepas melalui kaunter imigresen dan kastam, mereka hanya perlu berjalan menuju ke bangunan satelit melalui satu lagi binaan kebanggaan negara iaitu jambatan udara.

Berjalan menyelusuri jambatan udara sepanjang 300m dan setinggi 16.24m dari paras laluan apron iaitu laluan pesawat di landasan itu, Azmi menerangkan, ia merupakan kemudahan yang pertama seumpananya di Asia.


MENARA Kawalan Trafik Udara, Tower West diiktiraf sebagai yang tertinggi di dunia oleh Guinness World Records.


"Jika di KLIA, pengunjung dihubungkan dari bangunan terminal utama ke bangunan satelit menggunakan aerotren, di KLIA2, mereka boleh berjalan menggunakan jambatan udara ini sambil menikmati pemandangan ketiga-tiga landasan yang ada.

"Istimewanya jambatan udara ini ialah, ia boleh memuatkan dua pesawat sekali gus untuk melintas di bawahnya dan pastinya itu akan memberikan satu pengalaman menarik buat pengunjung kerana mereka seolah-olah berjalan di atas bumbung pesawat," katanya.

Dengan 68 pintu pelepasan, KLIA2 turut bercirikan mesra pengunjung termasuklah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas melalui kemudahan lif serta laluan gerak di sepanjang perjalanan.

Penumpang pelepasan dan ketibaan juga tidak akan bertembung kerana laluannya telah dibahagikan antara bahagian pelepasan di aras tiga serta ketibaan di aras dua.

Jarak dari pintu masuk utama ke pintu pelepasan paling hujung ialah 1.4km. "Jadi, pastikan jangan terlewat tiba kerana awak pasti akan kepenatan berlari jika penerbangan awak adalah di pintu 68," ujarnya sambil berseloroh.

Hotel Sama-Sama Express yang terletak di KLIA2 merupakan hotel yang disediakan untuk penumpang yang ingin berehat seketika bagi tujuan transit. Apa yang menarik, rekaan dalaman hotel tersebut serba mewah dan eksklusif.

Menawarkan 70 buah bilik pelbagai saiz dan jenis yang berbeza, keluasan sebuah bilik hotel tersebut antara 17 meter persegi hingga 48 meter persegi.

Memasuki salah sebuah bilik yang menghadap landasan pesawat dan pintu perlepasan, tetamu yang menginap berpeluang menjamu mata dengan pemandangan pesawat yang lalu-lalang.

Letak kenderaan

Seorang pengunjung, Idrul Fathi Idris, 49, merasakan pembukaan KLIA2 tepat pada masanya. "Dengan keadaan LCCT yang semakin sesak, kita memang memerlukan sebuah lapangan terbang yang lebih besar dan moden bagi memenuhi kehendak orang ramai.

"Dengan kawasan letak kereta berbumbung berkapasiti 6,000 petak, pengunjung tidak akan menghadapi masalah lagi untuk meletakkan kenderaan mereka," ujar pekerja sektor swasta tersebut.

Terminal yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion itu bakal menjadi kebanggaan rakyat negara ini, hab pelancongan dan pusat beli-belah terkemuka.

Kembiri kaedah kawal populasi kucing jalanan

Posted:

Kembiri kaedah kawal populasi kucing jalanan

Kembiri kaedah kawal populasi kucing jalanan


TNR bertujuan mengawal populasi kucing jalanan di Washington, AS.


MALAM Jumaat di lorong-lorong sunyi di Eckington, Washington DC, Amerika Syarikat (AS) sesak dengan puluhan kucing jalanan. Waktu itu digunakan sebaiknya seorang penjerat kucing, Marty King untuk menangkap haiwan tersebut.

Tidak susah untuk menangkapnya. Namun ada sebahagian kucing di sini sangat pintar.

"Ada seekor kucing betina yang saya cuba tangkap untuk bertahun-tahun masih bebas di luar sana," ujar King yang menggunakan perangkap besi berumpankan udang dan makanan kucing yang ditabur di atas surat khabar.

Dalam masa 20 minit, seekor kucing berwarna kelabu terpedaya dengan umpan itu. Menjelang Ahad, haiwan itu terkulai di atas meja pembedahan untuk dikembirikan di bawah operasi memerangkap, kembiri dan mengembalikan (TNR) ke lokasi ia ditangkap. TNR bertujuan mengawal populasi kucing jalanan Washington.

Kira-kira 2,000 kucing jalanan ditangkap, dikembiri dan divaksin setiap tahun di Washington. Sebelum dilepaskan semula, telinga kirinya akan diketip membentuk lubang kecil sebagai tanda telah melalui prosedur TNR.


PROSEDUR memandulkan kucing betina mengambil masa antara lima hingga tujuh minit manakala kucing jantan kurang 30 saat.


Prosedur

Alternatif itu adalah sebahagian daripada Program Kerjasama Kejiranan Kucing WHS (Cat NiPP). Prosedur memandulkan kucing betina mengambil masa lima hingga tujuh minit, manakala kucing jantan kurang daripada 30 saat.

Selain kembiri, kucing yang dibawa ke pusat tersebut juga menerima rawatan untuk pelbagai penyakit seperti luka-luka dan ada juga haiwan yang patah tulang tetapi telah sembuh.

Persatuan-persatuan kemanusiaan di AS pula menganggarkan terdapat 50 juta kucing jalanan. Mesra dirujuk sebagai kucing komuniti, jumlah itu adalah separuh daripada kucing yang dipelihara sebanyak 95.6 juta ekor.

Sejak puluhan tahun, populasi kucing jalanan dikawal prosedur standard dengan cara 'mematikan' menggunakan suntikan atau kaedah perubatan tertentu. Begitupun, trend tersebut digantikan dengan (TNR).

"Objektif utama kami adalah bagi memandulkan semua kucing terbiar dan jika perancangan kami berjaya, tidak akan ada lagi kucing jalanan," jelas Timbalan Presiden Hal Ehwal Luar di Persatuan Kemanusiaan Washington (WHS), Scott Giacoppo.

Giacoppo memberitahu, buku undang-undang tahun 1930-an yang menyatakan kepada persatuan-persatuan kemanusiaan bahawa ia adalah tugas masyarakat untuk mengumpulkan semua kucing jalanan dan membunuhnya.


KUCING yang telah dikembiri dilepaskan semula ke lokasi asal ia ditangkap.


Kaedah yang telah dilakukan sejak bertahun-tahun ini bagaimanapun, tidak berkesan berbanding menangkap haiwan ini dan memandulkannya bagi mengelakkan proses pembiakan.

Namun usaha ini tidak disenangi kumpulan pencinta burung dengan alasan pembiakan kucing jalanan sama ada telah dikembiri atau belum, mengancam spesies unggas.

Kumpulan tersebut memetik kajian Institut Pemuliharaan Biologi Smithsonian dan Perkhidmatan Ikan dan Haiwan Liar AS menganggarkan bahawa kucing terbiar domestik membunuh hampir 2.4 bilion burung dan 12.3 bilion mamalia setiap tahun.

Punca kematian

Kajian tahun 2013 itu mendedahkan bahawa kucing jalanan adalah penyebab utama kematian tersebut berbanding kucing peliharaan selain mendakwa prosedur TNR juga berpotensi membahayakan populasi haiwan liar.

Pusat Kawalan Penyakit pula baru-baru ini menegaskan, kucing di AS lebih cenderung menghidap penyakit anjing gila berbanding anjing. Terdapat dakwaan lain juga mengkategorikan kucing sebagai pembawa potensi infeksi dan parasit.

Pusat ini mencadangkan agar langkah terbaik bagi melindungi kedua-dua haiwan liar dan manusia adalah dengan menghapuskan semua kucing jalanan.

Tindakan tersebut ditolak wakil peguam bagi Perikatan Kucing Lorong, Elizabeth Holtz yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan berat sebelah.

Sebagai organisasi berpangkalan di Washington yang mempromosikan TNR, tambah Holtz, keberkesanan prosedur itu terbukti melalui penurunan drastik bilangan anak kucing yang dihantar ke rumah perlindungan dan dimatikan di Jacksonville Florida.

Kejayaan prosedur TNR di bawah skim dipanggil Feral Freedom itu dijalankan sejak tahun 2009.

Malangnya masih ramai dalam kalangan masyarakat di AS yang meneruskan tradisi menangkap dan membunuh kucing menyebabkan tiada penurunan jumlah haiwan ini yang dicatatkan di kawasan mereka.- AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved