Ahad, 20 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berat badan turun paling maksimum

Posted:

Berat badan turun paling maksimum

Berat badan turun paling maksimum

LAUNGAN semangat memecah kesunyian fajar di Central Park, Bandar Utama, Damansara. Saat kira-kira 30 Contender berada di barisan masing-masing, para jurulatih mula memantau barisan.

Contender merupakan gelaran kepada pelatih kelas latihan memperbaiki stamina Metconx diasaskan oleh bekas atlet taekwando negara, Daing Daniel Fitri, 28.

Ditubuhkan pada September 2012, Metconx yang juga singkatan kepada latihan kondisi metabolik (metabolic conditioning exercise) merupakan gabungan latihan tempur fizikal persediaan seni mempertahankan diri.

Bukan mudah mahu mengharungi tempoh sejam yang penuh tekanan menyaksikan Contender memerah setiap tenaga demi menghabiskan setiap sesi.

Kelebihan Metconx ialah gabungan senaman tempur seperti muay thai dan taekwando diolah kepada senaman berintensiti tinggi supaya mampu dilakukan orang biasa.

Lebih mengujakan dengan keupayaan menurunkan berat badan secara maksimum dalam tempoh sebulan termasuk pembakaran metabolisme sepanjang lapan jam selepas tempoh senaman. Ia adalah aktiviti fizikal yang tepat buat warga kota.

Alatan yang digunakan sepanjang senaman seperti beg taktikal seberat 20 dan 25 kilogram (kg), batang paip seberat lima kg, bola metcon, tali skip, beg pasir serta alatan lain yang menuntut tekanan abdomen yang tinggi.

Fizikal

Ketika peluh mula membasahi dahi ditambah pula baju yang lencun, rentak gerakan Contender masih seperti biasa. Graf momentum yang sekata itu disuntik daripada pemantauan jurulatih dan ahli peserta yang lain.

Walaupun ada yang hampir 'lunyai' dek melakukan senaman seperti hang clean dan ankle taps melibatkan hingga empat sesi dalam tempoh sejam, hubungan antara Contender bagaikan sebuah keluarga.

"Teruskan! Kita boleh lakukan, jangan putus asa, sikit sahaja lagi," jeritan semangat seorang Contender, Emran Qhalish Abd Qaiyum, 21.

Dilema Emran Qhalish yang juga penuntut di Diploma Komunikasi Massa di SEGi College ialah dia mengalami masalah obesiti.

Sering melakukan pelbagai jenis senaman seperti berjoging dan bersenam di gimnasium, ia gagal memberikan kesan yang diharapkan.

Mempunyai berat badan 93kg, dia hanya berjaya menurunkan berat badan maksimum tiga kg dalam tempoh tiga bulan selepas menghadiri gim secara konsisten.

Melalui kenalan rapat, dia mula membuat kajian mengenai Metconx yang dikhabarkan sejenis senaman menumpukan peningkatan metabolisme dan tekad mencuba senaman itu.

"Bayangkan dalam tempoh tiga bulan, saya sekadar berjaya menurunkan berat badan sebanyak tiga kg sahaja. Tetapi bersama Metconx dalam tempoh sebulan saya berat badan saya turun kepada 85kg.


JURULATIH memantau setiap latihan yang dijalankan.


"Perbezaan jumlah yang amat banyak berbanding pelbagai senaman biasa yang saya lakukan sebelum ini. Jika dahulu saya sentiasa berlapar kerana mahu diet, kini tidak lagi," katanya teruja.

Berbanding pemilik badan bersaiz besar yang lain, Emran berkata dia selesa dengan keadaan badannya. Faktor utama Emran memilih Metconx adalah demi mengejar cita-cita bergelar pramugara.

Benci berjalan

Kesan pertama daripada rutin latihan Metconx selama sejam dalam tempoh tiga kali seminggu, adalah kemampuan untuk berdiri dan berjalan dalam tempoh yang lama.

"Ketika berbadan besar dahulu aktiviti yang paling saya benci ialah riadah, berjalan di pasar malam dan berdiri dalam tempoh yang lama.

"Jika dengan keadaan tubuh sekarang selain berat badan yang ideal, walaupun berdiri dalam tempoh lapan jam, bukan lagi masalah bagi saya," selorohnya.

Lain pula cerita bagi peserta senior dalam Metconx. Mula terlibat dalam kelas tersebut sejak ia mula ditubuhkan, Faizul Zainol, 35, terpaksa bertarung dengan masalah berat badan tidak konsisten.

Aktif dalam pelbagai aktiviti sukan terutama ragbi ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford Brookes, United Kingdom, London, mimpi ngerinya bermula tatkala kembali bertugas di Malaysia pada tahun 2001.

"Berat badan dan fizikal tubuh saya sama seperti belia yang lain ketika melanjutkan pelajaran di luar negara. Mungkin kerana kehidupan yang aktif banyak membantu saya mengekalkan fizikal yang ideal.

"Namun selepas pulang ke Malaysia atas faktor tekanan kerja dan masa, berat badan saya semakin bertambah. Keadaan itu semakin teruk apabila saya sering memilih makanan sebagai medium mengurangkan tekanan," jelasnya.

Faizul memberitahu, kesedaran itu timbul selepas doktor sering memberi saranan supaya menurunkan berat badan. Antara peringatan doktor yang masih diingati ialah: "Jika mahu hidup kurang daripada usia 40 tahun, kekalkan berat badan awak."

Katanya, kata-kata doktor tersebut berjaya membuatkan dia tekad menurunkan berat badan ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

"Pada mulanya saya bergerak sendiri melakukan pelbagai senaman termasuk berenang yang dikatakan mampu menggerakkan setiap otot dalam badan.

"Saya juga turut mengawal pemakanan terutama mengurangkan kuantiti pengambilan nasi. Namun kesannya amat minimum," katanya kini mempunyai berat badan idea 104kg sesuai dengan ketinggiannya.

Faizul mengakui bukan mudah untuk melakukan rutin senaman Metconx kira-kira seminggu awal pembabitannya. Tambahan pula kebanyakan rutin senaman itu asing baginya.

Pengasas Metconx yang mesra dengan panggilan Coach Dann dalam kalangan Contender menjelaskan kelebihan senaman berintensiti tinggi.

Jelasnya, Metconx merupakan kombinasi daripada latihan larian, angkat berat, bina badan, rutin latihan asas dan olahraga.

Tambahnya, program latihan juga sentiasa berubah bagi memastikan otot badan sentiasa meneka pergerakan baharu melalui fungsi pergerakan pelbagai.

Sasaran rutin Metconx memberi kebaikan terhadap dua komponen iaitu kecergasan berkaitan kesihatan dan kemahiran.

"Kecergasan berkaitan kesihatan melibatkan komponen dalaman badan seperti jantung yang sihat, peratusan lemak yang bersesuai, kekuatan otot dan meningkatkan kelancaran seperti pengaliran darah serta nutrien dalam badan.


PESERTA dapat membiasakan diri dengan senanam berat ini selepas beberapa sesi.


"Kecergasan berkaitan kemahiran meliputi kemampuan dan keadaan fizikal. Antaranya kelajuan, ketangkasan, tindak balas, stamina, produktiviti dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan ketidakmampuan fizikal contohnya sakit kaki ketika berjalan lama," katanya.

Bakar metabolisme

Menurut beliau, kedua-dua komponen ini berkait rapat. Jika seseorang mahu kurus dan mempunyai otot yang cantik, inlah senamannya.

Beliau yang juga jurulatih taekwando mendedahkan kemampuan senaman tempur terhadap tubuh badan. Coach Dann memberitahu, kesan peningkatan metabolisme dalam badan meningkat sehingga lapan jam selepas sejam melalui program senaman Metconx.

Malah jumlah kalori yang mampu dibakar mencecah sehingga 1,000 kalori dalam sejam berbanding secara purata hanya 400 kalori sejam bagi aktiviti joging.

"Objektif kami untuk memanjangkan tempoh pembakaran metabolisme dan memaksimumkan pembakaran kalori sehingga 72 jam selepas latihan.

"Latihan berintensiti tinggi ini juga mendorong individu memperbaiki stamina sekali gus kualiti kesihatan. Ia berkemampuan menjana tenaga dalam diri supaya kekal cergas sepanjang hari, tuturnya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan Universiti Malaya.

Dalam perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama, beliau berkata, Metconx sengaja menyediakan rutin latihan selama sejam melibatkan tiga sesi sehari dalam enam hari kecuali pada hari Ahad.

Ujarnya, pelaksanaan sejam untuk sesi latihan begitu padat seperti kardio dan daya ketahanan. Bagi mendapatkan berat badan yang ideal, cukup sekadar mengikuti latihan sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.

Tetapi senaman Metconx menitikberatkan tempoh rehat yang cukup dalam kalangan Contender seperti tidur dalam tempoh maksimum lapan jam sehari.

"Dalam sehari latihan Metconx melibatkan tiga sesi dalam tempoh sejam sahaja. Ia bermula pada pukul 5.30 pagi hingga 6 pagi, diikuti pukul 6.40 hingga 7.40 pagi dan sesi terakhir pada pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam.

"Jadual senaman ini amat sesuai bagi warga kota yang bekerja dan pelajar. Mereka perlu memilih sebelum waktu melaksanakan tugas harian atau selepas tempoh bekerja,"ujarnya.

Mengulas mengenai rencananya pada masa hadapan, Metconx bakal memperkenalkan Metconx Kitchen yang menyediakan makanan kudapan menyihatkan dengan harga berpatutan.

Perkhidmatan tersebut bakal dibuka dalam tahun ini di kawasan Bandar Utama, Damansara.

Coach Dann berkata, penubuhan Metconx Kitchen melengkapkan lagi pakej Metconx selain latihan fizikal.

Bunga punca penyakit alahan

Posted:

Bunga punca penyakit alahan

Bunga punca penyakit alahan

PEMANDANGAN indah sebuah taman di Tokyo dihiasi bunga ceri yang sedang mekar.


KETIBAAN musim bunga di Jepun menyebabkan bunga daripada pokok ceri yang berwarna merah jambu dan putih berkembang mekar sehingga mewujudkan pemandangan indah di negara matahari terbit itu.

Namun, ia turut memberi petanda bahawa penduduk sekitar perlu memakai topeng muka dan penutup mata khas bagi menghalang serangan debunga yang menyebabkan hidung berair dan kegatalan mata.

"Saya mahu keluarkan bebola mata saya dan membasuhnya," ungkapan dalam laman web yang mengiklankan klinik mata dan ubat-ubatan untuk penghidap alahan rinitis.

Bagi kebanyakan orang, hidung berair dan bersin adalah masalah kecil, namun bagi sesetengah individu, alahan boleh menyebabkan sesak nafas, sakit kepala dan batuk. Bagi yang alah pula boleh mendapat penyakit asma dan radang paru-paru.

Menurut kaji selidik, setiap seorang daripada empat orang dalam kalangan 128 juta orang penduduk Jepun mengalami kafun-sho iaitu istilah tempatan bagi penyakit alahan rinitis.

Alahan ini menyebabkan jualan topeng muka di farmasi juga meningkat sebanyak lima kali ganda di samping tisu, cermin mata dan ubat-ubatan.

Turut mendapat permintaan tinggi ialah alat pembersih udara, pembersih katil dan penyerap debunga. Dianggarkan jualan barang-barangan mencecah $1.5 bilion Yen (RM47 bilion) setahun.


ALAT perlindungan kafun blocker yang dapat menghalang debunga.


Antara barangan terkini yang mendapat sambutan ramai ialah kafun blocker iaitu alat perlindungan nilon berkuasa bateri seperti yang digunakan oleh penternak lebah.

Alat tersebut dipercayai dapat menghalang 99.99 peratus debunga kerana dilengkapi kipas dan penapis di atasnya.

Menurut seorang pengurus kedai di Tokyo, Takahiro Sasaki, alat itu sangat popular dalam kalangan individu yang bekerja di luar rumah seperti petani.

Alahan rinitis dipercayai disebabkan debunga daripada pokok sugi atau nama saintifiknya Cryptomeria japonica yang ditanam di seluruh Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Debunga

Kerajaan Jepun ketika itu mengambil keputusan menanam pokok sugi dan hinoki untuk menampung permintaan industri kayu berkualiti tinggi yang meningkat.

Namun selepas liberalisasi mengimport kayu pada tahun 1964, ia menyebabkan produk kayu sugi domestik semakin berkurangan.

Akibatnya, banyak hutan dengan ribuan pokok sugi ditinggalkan sejak beberapa dekad tanpa dibalak atau ditanam semula.

Menurut Kimihiro Okubo dari Sekolah Perubatan Nippon, pokok-pokok ini akan mengeluarkan debunga selepas pokok mencapai tahap matang iaitu pada usia 30 tahun.

Katanya, debunga halus pokok-pokok ini yang tidak dibalak berterbangan sehingga sejauh 300 kilometer sejam selepas perang.

"Pokok sugi menghuni kira-kira 18 peratus hutan di Jepun manakala hutan hinoki pula meliputi 10 peratus.

"Saya percaya alahan debunga sugi akan mengambil masa antara 100 hingga 200 tahun untuk dihapuskan," kata Okubo.

Kaedah merawat alahan debunga sugi semakin baik sejak kes pertama dilaporkan pada tahun 1963 melalui imunoterapi sublingual iaitu dengan menitiskan ekstrak alergi di bawah lidah untuk diserap.


DAUN pokok sugi daripada baka yang kurang menghasilkan debunga.


Hampir satu pertiga daripada pesakit menggunakan kaedah tersebut bagi mengatasi alahan dan 50 peratus lagi menganggap masalah yang dihadapi adalah ringan.

Sejak tahun 1999, kerajaan Jepun telah memperkenalkan projek menanam anak pokok sugi yang mengeluarkan debunga yang sedikit dan hasilnya baka baharu berjaya ditemui.

Pegawai Agensi Perhutanan Jepun, Kiyohito Onuma berkata, sebanyak 15.2 juta anak pokok sugi baka ini baka debungan yang kecil telah ditanam pada tahun lalu, manakala 10.4 juta batang pada tahun sebelumnya.

Tambahnya lagi, eksperimen turut dijalankan di makmal kejuruteraan genetik untuk membangunkan anak pokok yang tidak menghasilkan debunga.

"Hutan sugi telah memberi pelbagai kebaikan kepada masyarakat antaranya pemuliharaan tanah negara dan pencegah pemanasan global.

"Sugi tumbuh cepat. Pokok ini mudah digunakan sebagai bahan binaan. Saya tidak fikir pengeluaran sugi akan berhenti," kata Onuma juga menghidap penyakit alahan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved