Selasa, 1 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Saksi terakhir nahas pesawat

Posted:

Saksi terakhir nahas pesawat

Saksi terakhir nahas pesawat

WALAUPUN dipanggil kotak hitam, namun warna peralatan itu adalah oren terang agar ia mudah dicari.


"HABIS LAH! Kita akan terhempas. Ini tidak mungkin terjadi!" kata salah seorang pembantu juruterbang.

"Tapi, apa yang berlaku?" balas seorang lagi pembantu juruterbang, beberapa saat sebelum pesawat 330 Airbus milik Air France menjunam ke Lautan Antlantik, yang mengorbankan 228 nyawa pada 1 Jun 2009.

Perbualan akhir dalam kokpit dengan situasi cemas dan takut itu diperoleh hasil transkrip daripada kotak hitam pesawat yang ditemui selepas dua tahun kejadian tersebut berlaku.

Menerusi analisis terhadap kotak hitam tersebut, Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) menggambarkan keadaan di dalam kokpit Pesawat 447 Air France itu dalam situasi huru-hara serta kekeliruan juruterbang hingga membawa kepada kemalangan.

Pesawat 447 yang sepatutnya terbang selama 11 jam ke Paris dengan membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal itu terhempas semasa merentasi kawasan ribut di Lautan Atlantik setelah empat jam berlepas dari Lapangan Terbang Tom Jobimi, Rio de Janeiro, Brazil.

Sehingga kini, hanya perbualan antara juruterbang, Kapten Marc Dubois, 58, dan dua pembantu juruterbang, David Robert, 37 tahun dan Pierre Cedric Bonin, 32, berjaya dianalisis keluar dari kotak hitam.

Analisis ke atas kotak hitam pesawat 447 Air France tersebut telah membawa kepada penemuan antara punca kejadian nahas udara berkenaan di samping mengambil kira faktor-faktor lain.

Merakam

Kotak hitam bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kepada teori-teori tentang kehilangan atau nahas sesebuah pesawat, namun ia merupakan saksi akhir yang penting dalam menemukan jawapan tentang apa sebenarnya berlaku ke atas pesawat.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad memberitahu, kotak hitam adalah satu istilah yang dialih bahasa daripada bahasa Inggeris iaitu black box dan ia juga istilah untuk dua peralatan penting yang wajib ada dalam pesawat.

Peralatan pertama dalam kotak hitam adalah perakam suara kokpit (CVR) manakala satu lagi ialah perakam data pesawat (FDR).

Peralatan CVR yang ada dalam sistem pesawat mempunyai mikrofon dan ia dipasang di bahagian tengah panel kawalan dalam kokpit. Selain itu, ia turut dipasang pada mikrofon komunikasi juruterbang dan pembantu juruterbang.

"Jadi, CVR akan memainkan peranan merakam segala perbualan dalam kokpit dan juga segala bunyi daripada sekecil-kecil bunyi termasuk ketika memadam suis sehingga kepada bunyi penggera amaran apabila pesawat hilang kawalan.



"Bagaimanapun, lazimnya CVR merakamkan bunyi bagi tempoh dua jam terakhir tamatnya sesuatu penerbangan tersebut. Ini bermaksud, dalam tempoh itu sama ada pesawat itu selamat mendarat atau terhempas," katanya.

Mengambil contoh kejadian MH370 yang berakhir di Lautan Hindi, Kamarul menambah, kemungkinan rakaman perbualan yang berlaku di Laut Cina Selatan sebelum itu tidak dapat diperoleh memandangkan jarak dan tempoh masa kejadian telah melebihi dua jam terakhir.

Mengupas lebih lanjut, beliau memberitahu, dahulunya kotak hitam menggunakan sistem analog (pita rakaman seperti kaset) dan ia boleh membuat rakaman dalam setiap 30 minit terakhir sahaja.

Namun selepas beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh rakaman tersebut telah ditingkatkan kepada dua jam terakhir.

Analisis

"Dalam tempoh dua jam berkenaan (tempoh kecemasan), juruterbang yang mengendalikan pesawat akan cuba berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan atau sebaliknya ditimpa musibah iaitu terhempas," ujarnya.

Berbeza dengan FDR pula, Kamarul menjelaskan, sistem itu berupaya merakamkan data sepanjang penerbangan dengan kapasiti 24 jam.

Katanya, ada banyak data akan tersimpan menerusi sistem FDR. Antara data terpenting ialah kelajuan pesawat, ketinggian pesawat dari aras laut selain kedudukan terkini pesawat tersebut.

Pada masa sama, FDR turut merakam data seperti status atau jumlah minyak pesawat, kedudukan kawalan sayap (daya angkat pesawat) sama ada berlaku pembelokan atau kenaikan dan penurunan.

Daripada data FDR tersebut, jelas Kamarul, analisis dan siasatan akan dapat mengetahui secara tepat bagaimana pesawat tersebut terhempas mahupun mendarat.

"Bagaimanapun, bagi mengetahui bagaimana kejadian menimpa sesebuah pesawat itu bukan bergantung kepada kotak hitam sahaja tetapi ada faktor lain turut diambil kira, misalnya latar belakang juruterbang, kru dan para penumpang," jelas beliau.

Sementara itu, Kamarul memberitahu, hanya beberapa negara sahaja yang memiliki sistem penerima peranti lokasi dalam air (ULD) bagi mengesan kotak hitam.

Katanya, sistem ULD ini akan mengeluarkan isyarat bunyi (beep) setiap satu saat, namun ia ada kekangan kerana mempunyai had jarak iaitu lingkungan 3.5 kilometer sahaja.

"Kita harapkan kedalaman Lautan Hindi hampir 4,000 meter dengan puratanya 3.5 kilometer, jika sistem ULD betul-betul berada di atas kotak hitam, maka ia boleh menerima isyarat bunyi tersebut.

"Disebabkan itu, kita perlu tahu terlebih dulu kedudukan sebenar pesawat itu terhempas bagi memastikan kotak hitam berkenaan sememangnya ada di sekitar kawasan pencarian," ujarnya sambil menambah kotak hitam sebenarnya berwarna oren supaya ia mudah dikesan.

Mengenai MH370, kata Kamarul, sebenarnya banyak kemungkinan tetapi semuanya 'atas meja' yang tidak boleh dipastikan, namun ini bukan spekulasi tetapi dipanggil sebagai jangkaan secara ilmiah berdasarkan kepada petunjuk dan seterusnya apa akan berlaku.

Meskipun sistem transponder dan peranti komunikasi dalam pesawat MH370 telah dimatikan menyebabkan ia hilang dari radar sekunder (utama) ATC, namun juruterbang boleh berhubung kembali dengan menara kawalan menerusi radio.


PESAWAT sentiasa diselenggara mengikut jadual bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.


Ujian

Malangnya dalam kes MH370, komunikasi tersebut tidak berlaku dan antara kemungkinan tidak adanya komunikasi itu adalah disebabkan berlakunya kebakaran dalam pesawat.

"Sebagai juruterbang, kita diajar untuk memadam semua suis elektronik bagi mengelak kebakaran daripada terus merebak.

"Persoalannya, apabila suis dipadam, kenapa tidak dilaporkan kepada ATC?"

Sementara itu, pakar sistem pesawat, Prof. Madya Dr. Mohd. Harridon Mohammed Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) memberitahu, sistem kotak hitam ini wajib dipasang pada pesawat komersial oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Katanya, sebelum dipasang, kotak hitam itu telah melalui pelbagai ujian seperti ketahanan impak berkapasiti 3,200 G (graviti bumi), tahan suhu lebih 1,000 darjah Celsius serta tekanan kedalaman laut lebih 6,000 meter.

Jelas beliau, apabila telah siap diuji dan lulus, kotak hitam akan dipasangkan di bahagian ekor pesawat yang biasanya terakhir menyentuh tanah ketika jatuh atau terhempas, secara tidak langsung ia akan mengurangkan impak atau kerosakan pada kotak hitam.

"Kotak hitam ini dibuat daripada besi aluminium dan titanium yang tahan hentakan sehingga 3,200 G dan ia akan mengeluarkan isyarat jika ada hentakan kuat, maknanya pesawat itu meletup atau terhempas. Secara automatik isyarat akan aktif supaya ia mudah dikesan.

"Lazimnya, kotak hitam akan diperiksa dan diuji setiap tahun bagi memastikan ia masih berfungsi dengan baik termasuk pemeriksaan terhadap baterinya yang mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 35 hari," kata Mohd. Harridon.

Katanya, menerusi rakaman data dan suara daripada kotak hitam tersebut, pasukan penyiasat dan penganalisis akan melakukan simulasi berdasarkan maklumat tadi bagi mengenalpasti punca sesebuah pesawat itu terhempas.

"Mereka akan cuba melakonkan semula kejadian pesawat terhempas itu dengan menggunakan teknologi grafik bagi memahami kejadian berlaku dan ia akan dibentangkan kepada DCA.

"Selain pesawat, kotak hitam juga ada dipasang pada kenderaan pengangkutan yang lain seperti bas ekspres dan kapal-kapal laut," katanya.

Kotak hitam bantu disiplinkan juruterbang

Posted:

Kotak hitam bantu disiplinkan juruterbang

Kotak hitam bantu disiplinkan juruterbang

SEBAIK memasuki ruang kokpit, juruterbang dan pembantunya akan menjadi seorang yang begitu profesional dan berintergriti.

Dengan kata lain, apabila bertugas mengendalikan sesebuah pesawat, juruterbang akan menjaga segala tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.

Juruterbang West Star Aviation, Kamarul Ariffin Abdul Aziz berkata, juruterbang akan menjadi seorang yang amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai ketika mengendalikan pesawat.

Jelas beliau, setiap percakapan, tindakan, perbuatan dan disiplin di dalam kokpit ketika penerbangan akan dirakam serta direkodkan oleh sistem yang dinamakan kotak hitam.

"Bukan ingin memperkecilkan kredibiliti intergriti dan profesionalisme seseorang juruterbang, tapi kotak hitam sememangnya mempunyai karakter dalam mendisiplinkan juruterbang ketika bertugas.

"Juruterbang tidak boleh berbohong atau mencarut yang bukan-bukan ketika berada dalam kokpit memandangkan semuanya akan dirakam dan direkodkan," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kamarul Ariffin menambah, menerusi data yang dirakam pada kotak hitam, seseorang juruterbang yang melanggar etika dan disiplin ketika bertugas akan diambil tindakan tegas.

Mereka tidak boleh menipu atau menyorok kesilapan atau kecuaian yang berlaku sekiranya berlaku sesuatu kepada pesawat yang diterbangkan, kecuali kesilapan itu datangnya daripada masalah teknikal.

"Walaupun juruterbang itu berkeras mengatakan dirinya tidak bersalah (jika berlaku insiden dalam penerbangan), sesebuah organisasi penerbangan akan merujuk kotak hitam bagi mengenalpasti puncanya.

"Meskipun mulut akan menipu untuk menyelamatkan diri, tapi adalah sukar untuk menipu kotak hitam dan teknologi itu juga tidak mungkin dapat dimanipulasi," ujarnya.

Periuk panas kulinari tradisi China

Posted:

Periuk panas kulinari tradisi China

Periuk panas kulinari tradisi China

Berasal dari bandar besar Chongqing, kulinari periuk panas mendapat perhatian dari seluruh China dan kini menjadi ikutan beberapa buah negara asing.


GANRU berdiri di samping periuk-periuk panas yang mempunyai nilai sejarah.


BERIBU-RIBU tong periuk panas perasa yang terletak di sekitar rumah Nie Ganru menyebabkan keadaan udara tidak menyenangkan dengan bau-bauan pedas daripada pes cili dan minyak.

Suasana tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada Ganru memandangkan dia merupakan pengusaha makanan tradisi orang Cina itu. Malah, lelaki berusia 70 tahun itu telah membina sebuah muzium enam tingkat sebagai dedikasinya kepada periuk panas atau dikenali sebagai hotpot.

Berasal dari bandar besar Chongqing, periuk panas mendapat perhatian seluruh China dan menjadi ikutan di beberapa buah negara asing.


Tong periuk panas yang terletak di sekitar rumah Ganru yang turut dijadikan muzium periuk panas.


"Ia membuatkan anda berasa kebas, kepanasan tetapi sedap. Disebabkan itu, ramai yang menggemarinya," ujar Ganru yang menjadikan hidangan periuk panas sebagai makanan hariannya.

Duduk di atas meja kayu yang terhimpun pelbagai pilihan bahan mencelup, Ganru meletakkan kapsul darah itik ke dalam periuk panas. Ramuan kuah turut ditambah dengan minyak, cili dan lada Sichuan. Bagi mengurangkan kepedasan, beberapa hirisan akar teratai dan jeruk sayur-sayuran turut dimasukkan.

"Pengunjung akan duduk mengelilingi meja sambil beramah mesra mewujudkan suasana harmoni," kata Ganru.

Di dalam muzium itu, Ganru menyimpan periuk-periuk yang berusia lebih sedekad termasuk satu jenis periuk yang sepatutnya digunakan di Istana Dinasti Qing ketika pemerintahan Maharaja Qianlong sekitar tahun 1700-an. Sebuah lagi periuk bertarikh 1046-771 Sebelum Masihi (SM) ketika Dinasti Zhou Barat masih dalam simpanannya.


TRADISI periuk panas dikekalkan sehingga ke hari ini dan terus menjadi kegemaran masyarakat di China.


Golongan petani

Periuk panas wujud sejak berabad lamanya sebagai hidangan untuk golongan petani yang tinggal di tebing sungai. Mereka menggunakan periuk panas untuk memasak organ-organ haiwan seperti perut lembu.

Perubahan masa telah menukar kelompok penggemar masakan itu. Restoran pertama yang dibuka pada tahun 1930-an mendapat respons positif. Keenakan makanan yang dimasak menggunakan periuk panas terus tersebar ke seluruh China apabila Chongqing menjadi ibu negara ketika Perang Dunia Kedua.

Perkembangan ekonomi China beberapa abad kebelakangan ini turut meningkatkan populariti periuk panas dengan menawarkan beberapa pilihan menu baharu. Antaranya termasuklah daging kambing, buah pinggang arnab, udang dan cendawan.

Menurut Ganru, periuk panas turut memainkan peranan penting dalam sejarah moden China. Kesemua catatan sejarah itu disimpan rapi di muzium yang dibina oleh Ganru.

Sebagai contoh, Ketua Komunis Mao Zedong dicatatkan pernah berkongsi hidangan periuk panas bersama musuhnya, Chiang Kai-shek sebelum berlakunya perang saudara pada tahun 1949.

Satu lagi contoh ialah sebuah mural yang menggambarkan pemimpin hebat China, Deng Xiaoping yang merawat pegawai-pegawai dengan hidangan periuk panas pada tahun 1970-an.


PELBAGAI ramuan dicampurkan hingga menghasilkan kuah periuk panas yang pedas.


Populariti Chongqing

Selain itu, terdapat juga contoh hidangan yang pernah disajikan kepada Maharaja Confucius, garam dari telaga purba Zigong dan bebola kuih beras yang dibuat sekitar tahun 1800-an.

Chongqing merupakan salah sebuah bandar yang cuba menarik perhatian umum dengan mengangkat hidangan tempatan.

"Periuk panas dari Chongqing terkenal dengan cara tersendiri dan dikenali ramai. Ia dipenuhi dengan pelbagai perasa pedas yang boleh menyebabkan pengunjung berasa kehangatannya," ujar pakar makanan Cina, Fuchsia Dunlop.

Dunlop menambah, apabila ada usaha cuba melabel sesuatu warisan negara, ia perlu diteruskan kerana banyak lagi kulinari tradisional yang boleh diperkenalkan kepada umum.

Setakat ini, bandar Chongqing berjaya mendapat pengiktirafan Bandar Periuk Panas China pada tahun 2007 oleh Persatuan Makanan China.

Persatuan Periuk Panas Chongqing kini dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa menerusi Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

UNESCO hanya mengiktiraf beberapa jenis makanan warisan seperti washoku iaitu makanan tradisi dari Jepun.

"Makan menu periuk panas membuatkan seseorang berasa panas dan ia sangat baik untuk kesihatan tubuh dengan membantu proses perkumuhan melalui peluh," ujar penduduk Chongqing, Li Yao, 20.

Bagi Zhang Jingnan, 44, dia turut menggemari periuk panas tetapi tidak menyarankan ia diambil secara berlebihan.

"Tiada bukti perubatan yang menyatakan ia bagus untuk kesihatan seseorang," ujarnya yang bekerja sebagai pegawai perubatan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved