Jumaat, 18 April 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Latih penari untuk persembahan

Posted:

Latih penari untuk persembahan

Latih penari untuk persembahan

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

BELUMPUN tiba bulan Ramadan, lagu Hari Raya sudah berkumandang di Studio Penari Sazlan, di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Bukan kerana meminati lagu raya tersebut atau tidak sabar menyambut bulan kemenangan umat Islam, tetapi irama itu dipasang bagi tujuan menyusun langkah tari yang akan dirakamkan sempena program bulan Syawal nanti.

Itulah aktiviti yang menghidupkan studio berkenaan sejak ia dibuka pada tahun 2008. Selain menyediakan tempat dan tenaga pengajar untuk kelas tarian, studio tersebut merupakan salah sebuah pusat melahirkan barisan pelapis dan kumpulan penari terbaik tanah air.

Pengasasnya yang juga koreografer terkenal, Sazlan Mat Adnan, 40, berkata, tujuan asal studio berkenaan dibuka adalah bagi melatih penari-penari terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja bagi tujuan persembahan.

"Studio ini adalah tempat saya melatih anak-anak muda untuk menjadi penari yang hebat untuk persembahan tarian. Antara tarian yang diajar termasuklah tarian moden, tradisional Melayu, hip-hop, salsa, balet dan jazz.

"Jenis-jenis tarian ini akan diperhalusi mengikut permintaan daripada pihak menguruskan program televisyen, iklan atau majlis," jelasnya ketika ditemui di baru-baru ini.

Terdahulu, Sazlan merupakan anak didik penari hebat, Allahyarham Bad Latiff.

Meskipun lebih tertumpu kepada produk penari latar, studio tersebut tetap meneruskan perkhidmatan pembelajaran tarian yang ditawarkan kepada peserta yang datang secara terus dan pelajar tetap.

Bayaran untuk orang ramai yang datang 'singgah' ke kelas berkenaan adalah antara RM15 hingga RM30 bergantung kepada jenis tarian, manakala yuran bulanan untuk pelajar tetap mencecah RM120 untuk setiap bulan bagi satu jenis tarian.

Meninjau ruang sekeliling, kelihatan sekumpulan anak-anak muda sedang sibuk merenggangkan otot-otot badan mereka sambil 'menghadam' lagu raya yang akan ditarikan.


SETIAP penari perlu membuat regangan sebelum memulakan latihan bagi mengelakkan risiko tercedera.


Bakat

Rata-rata riak muka anak muda yang dalam lingkungan 20-an itu kelihatan sangat bersemangat, malah seperti tidak kisah waktu lepak di kedai mamak bersama rakan-rakan diisi dengan latihan menari tarian tradisional dan kontemporari.

Sazlan memberitahu, sesi latihan tersebut diadakan lebih awal supaya dapat membuat persiapan secukupnya bagi menyajikan persembahan yang terbaik untuk penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tambahnya, walaupun sebilangan mereka masih bergelar siswa dan siswi, namun atas dasar komitmen, penat belajar pada siang hari lebur dalam minat dunia tarian yang mendalam.

Seorang penuntut diploma di Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Emma Ahmad Yazid Wyder, 21, berkata, dia meminati dunia tari sejak masih menggalas beg sekolah.

"Saya mula mempelajari tarian salsa sejak berusia 13 tahun dan aktif dalam bidang tarian semasa di tingkatan empat. Pada waktu itu saya hanya memasuki kelab tarian di sekolah. Selepas tamat pengajian saya mula memasuki kelas tarian yang diuruskan oleh koreografer terkenal, Linda Jasmine.

"Namun, selepas Linda berkahwin, dia lebih fokus kepada keluarganya dan saya menjadi pelajar Sazlan pada 2009. Berbeza di kelas Linda yang feminin, di sini saya lebih terbuka dengan tarian-tarian moden," jelas anak campuran darah Scotland ini.

Antara persembahan-persembahan yang pernah disertainya termasuklah persembahan program Jom Heboh dan RTM.

Bagaimanapun, di sebalik kepuasan dan keseronokan melenturkan badan, Emma memberitahu, dia berhadapan risiko tercedera terutama di bahagian kaki.

Menurutnya, dia pernah tercedera di bahagian buku lali sebanyak dua kali dan mengambil masa sebulan untuk sembuh.


STUDIO ini menjadi tempat Sazlan melatih pelapis baharu bidang tarian.


"Ini kerana, saya diberitahu oleh doktor, bahagian yang pernah mengalami kecederaan berpotensi tinggi untuk berhadapan dengan kemalangan sama disebabkan ia tidak lagi kuat.

"Justeru, walaupun seronok menari ikut rentak lagu, saya juga perlu berhati-hati ketika melakukan gaya melompat atau teknik yang memerlukan sokongan kaki," jelasnya.

Berkongsi kisah dorongan, anak bandar ini berkata, pada permulaan ibu bapanya tidak bersetuju dengan pilihan yang dibuat kerana khuatir tidak mempunyai jaminan masa hadapan. Ibu bapanya hanya akur selepas melihat progres tarian dan persembahan disertainya.

Memahami perasaan ibu bapa Emma, Sazlan mengakui masa depan profesion sebagai penari latar masih kabur, malah survival studio miliknya juga bergantung kepada jemputan acara serta jenis persembahan.

Jika persembahan yang diminta adalah bagi mengiringi penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Norhaliza atau klip video lagu serta iklan televisyen, maka bayaran yang diterima adalah lebih tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

Wakil negara

Bayaran yang diterima itu digunakan untuk menampung kos studio tersebut dan diagihkan kepada setiap penari latar yang telah berusaha keras dalam memberikan persembahan terbaik.

Walaubagaimanapun, anak kelahiran Klang, Selangor itu tidak pernah berputus asa atau penat berkongsi jenis lenggok dan berharap bidang seni tari akan dikenali sebagai salah satu profesion profesional pada masa hadapan.

Sementara itu, rakan seperjuangan Emma, Muhammad Shukri Kamal, 23, memberitahu bidang tarian telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Tambahnya, sepanjang 10 tahun terlibat dalam seni tari bersama Sazlan dan lima tahun bersama Aswara, pelbagai pengalaman telah ditempuhinya. Antara pencapaian yang diraihnya ialah mewakili Malaysia untuk acara Sekolah Seni seluruh Asia di China.

Ujarnya, dia telah menyampaikan persembahan tradisional seperti tarian Mak Yong dan tarian Joget sebagai lambang kebudayaan Malaysia.


STUDIO ini turut melatih bakat-bakat muda seawal usia tujuh tahun.


Selain itu, Muhammad Shukri juga merupakan antara penari yang sering membuat persembahan untuk iklan komersial dan program realiti seperti Akademi Fantasia serta Mentor.

Bercerita tentang penglibatannya dalam bidang tarian, dia memberitahu ianya bermula sejak di bangku sekolah.

"Saya meminati dunia tarian dan menjadi anak murid Sazlan sewaktu berada di tingkatan empat lagi. Sehingga hari ini minat itu tidak pernah luntur dan saya sedang meneruskan pengajian dalam seni tari di Aswara.

"Dengan pengalaman serta bakat yang digilap di institusi dan studio ini, saya berharap dapat menjadi tenaga pengajar profesional satu hari nanti," ujarnya yang merupakan penuntut ijazah sarjana muda di Aswara.

Dalam pada itu, Muhammad Shukri turut berkongsi rasa kecewa dengan perkembangan bidang tari dalam negara yang masih ketinggalan berbanding negara luar.

Luahnya, hanya terdapat tiga institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus seni tari, iaitu Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Aswara. Selebihnya adalah seni pementasan yang meliputi seni lakonan, tarian, nyanyian dan sebagainya.

Keadaan tersebut berbeza daripada negara-negara barat yang mempunyai pelbagai pilihan institusi dan universiti untuk program seni tari. Di New York sendiri terdapat lebih daripada 40 buah universiti yang menyediakan bidang tari termasuklah Kolej Bard, Kolej Barnard, Universiti Adelphi dan Universiti Cornell.

Ninja Turtles ceriakan kanak-kanak

Posted:

Ninja Turtles ceriakan kanak-kanak

Ninja Turtles ceriakan kanak-kanak

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


POPULARITI adi wira kelahiran era 1990-an ini masih menebal dalam kalangan kanak-kanak.


BUKAN senang untuk bertemu dan beramah mesra dengan keempat-empat karakter kartun klasik, Teenage Mutant Ninja Turtles yang menjadi kegilaan ramai satu ketika dahulu.

Hasil jemputan pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sempena musim cuti sekolah lalu, sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Shelter mendapat peluang keemasan bertemu adi wira kegemaran mereka.

Ketibaan 22 penghuni kanak-kanak rumah kebajikan serta penjaga mereka telah disambut mesra oleh pihak pengurusan dan kakitangan The Curve.

Sebagai acara pembuka tirai, kanak-kanak itu telah diberi masa untuk bermain permainan Kraang Ko yang menyeronokkan. Mereka bersorak gembira apabila berjaya memukul kelapa Kraang menggunakan senjata Ninja Turtles.

Kemudian, mereka mencuba permainan Mutagen Madness. Dalam permainan ini, mereka telah menyerlahkan gaya ninja masing-masing dengan melontarkan bintang ninja ke arah beberapa watak jahat dalam kartun itu.

Setelah puas bermain, kumpulan kanak-kanak itu dibawa berkumpul di Centre Court sambil menunggu kemunculan empat adi wira penyu kegemaran mereka iaitu Leonardo selaku Sang Pemimpin; Donatello (Si Ahli Fikir), Raphael (Yang Terkuat) dan Michelangelo (Yang Gila-Gila).

Aksi tersendiri

Kanak-kanak ini diberi peluang bergambar dengan Ninja Turtles yang tampil dengan aksi tersendiri dalam menceriakan peminat cilik mereka.

Bagi Sashi Dharan, 11, peluang menyertai program tersebut sangat menggembirakan hatinya kerana dia memang meminati kartun klasik tersebut.


PARA penghuni Rumah Shelter teruja menjawab kuiz berkenaan Ninja Turtle yang diberikan oleh pengacara.


"Seronok apabila dapat bertemu dengan karakter kartun ini. Paling gembira apabila dapat memukul kepala Kraang, salah satu watak jahat dalam siri kartun tersebut," ujar Sashi yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis apabila dewasa kelak.

Sementara itu, wakil Rumah Shelter, Marian Ramirez merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan The Curve kerana mengundang anak-anak dari rumah berkenaan.

"Bukan sahaja kanak-kanak, tetapi saya juga teruja berjumpa Ninja Turtles kerana saya membesar bersama watak-watak dalam kartun tersebut. Ia kartun yang sangat klasik," kata Marian.

Selain beramah mesra dengan Ninja Turtles, kumpulan kanak-kanak itu juga menerima hadiah berupa cenderahati kartun Ninja Turtles.

Selepas majlis berakhir, mereka disajikan dengan jamuan teh di restoran Bubba Gump Shrimp Co.

Dalam pada itu, Pengurus Kompleks The Curve, Jazmi Kamarudin mengakui gembira kerana dapat membawakan keempat-empat watak Ninja Turtles pada musim cuti sekolah baru-baru ini.

"Ini merupakan peluang keemasan bagi tetamu-tetamu cilik kami untuk bertemu idola mereka. Buat pertama kalinya, Leonardo, Donatello, Raphael dan Michelangelo muncul di pentas di Malaysia.

"Saya rasa matlamat kami untuk mengukir satu kenangan manis bagi kanak-kanak ini sambil menyertai pelbagai aktiviti bertemakan Ninja Turtles telah tercapai," terangnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penganjuran aktiviti di The Curve, sila layari laman www.thecurve.com.my atau laman Facebook www.facebook.com/theCurveShoppingMall.

Haram amal, pelajari sihir

Posted:

Haram amal, pelajari sihir

Haram amal, pelajari sihir


PERALATAN ini dipercayai digunakan dalam upacara pemujaan.


SOALAN:
Sihir sering digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Maka, apakah pandangan Islam mengenai hukum belajar dan mengamalkan sihir?

JAWAPAN: Hukumnya haram berdasarkan firman Allah dan peringatan dari Nabi SAW. Buktinya apabila Allah mengibaratkan sihir dengan kekufuran seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)."

Sihir termasuk dalam kategori dosa-dosa yang mencelakakan sebagaimana ditegaskan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim: "Jauhilah tujuh perkara besar yang membawa kerosakan."

Para sahabat bertanya: "Apakah tujuh perkara itu ya Rasulullah?"

Jawab Baginda: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah melainkan yang patut dibunuh, makan harta riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh perempuan-perempuan baik melakukan kejahatan sedangkan mereka adalah wanita yang terjaga dan beriman."

Fuqaha seperti Imam Malik berpendapat, ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat daripada bahaya sihir. Imam Syafie pula berpandangan, pengamal sihir yang ditahan diwajibkan bertaubat jika amalan sihirnya itu bersifat kufur. Jika dia enggan maka, hukumannya adalah bunuh.

Justeru, saya menyeru agar hentikanlah perbuatan sihir, ia mengundang perpecahan dan kehancuran kepada masyarakat, dan kembalilah kepada ajaran al-Quran dan sunah. Wallahualam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved