Jumaat, 11 April 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Wanita peneraju Standards Malaysia

Posted:

Wanita peneraju Standards Malaysia

Wanita peneraju Standards Malaysia

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

WANITA berusia 53 tahun ini gemar membaca pelbagai genre buku yang tersusun rapi di dalam pejabatnya untuk menambah pengetahuan.


BERGELAR Ketua Pengarah Jabatan Standards Malaysia (Standards Malaysia), Fadilah Baharin, 53, membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi pemimpin yang baik dalam menerajui sesuatu organisasi.

Malah, kejayaan beliau sebagai wanita pertama yang dilantik untuk mewakili Malaysia dalam Majlis Tertinggi International Organization for Standardization (ISO Council) bagi sesi 2013-2015 merupakan satu pencapaian yang membanggakan negara.

Justeru, sukar untuk menafikan keupayaan anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu dalam melaksanakan setiap amanah yang terpikul di bahunya. Ia perlu dicontohi bukan sahaja kaum Hawa tetapi juga kaum Adam di luar sana.

Peluang menyusuri liku-liku kehidupan yang dilalui Fadilah dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya yang terletak di Cyberjaya pertengahan Mac lalu, membuka ruang untuk mengenali figura hebat ini.

Istimewa

Merupakan anak ketiga daripada lima beradik, Fadilah sering dianggap ibunya, Allahyarhamah Minah Mokhtar sebagai seorang anak yang istimewa sejak kecil.

Sifat ingin tahu dan keberanian yang dimiliki membuatkan Fadilah rajin bertanya jika ada sesuatu yang membelenggu fikirannya.

Menurut beliau, perwatakannya itu sebenarnya dipengaruhi dengan corak kehidupan ketika dibesarkan di Singapura kerana mengikut ayahnya, Allahyarham Baharin Mohamad yang bertugas sebagai anggota polis.

"Persekitaran di sana amat berbeza. Radius kehidupan saya disekelilingi orang-orang Cina. Tanpa ada pilihan, kami perlu bercakap dalam bahasa Inggeris untuk sebarang komunikasi kerana tidak ada yang faham jika saya bertutur dalam bahasa Melayu.


BEKAS survivor kanser payudara ini berjaya membuktikan kemampuannya mengemudi sebuah organisasi tinggi seperti Standards Malaysia.


"Di rumah juga, kami lebih senang berbahasa Inggeris dalam kalangan ahli keluarga kecuali emak. Kadang-kadang bila bercakap dengan emak ibarat seperti perbualan ayam dan itik.

"Saya cakap 'orang putih' emak balas dalam bahasa Melayu. Memang kelakar bila difikirkan. Tetapi lama-kelamaan ia jadi satu kebiasaan buat kami sekeluarga," imbau Fadilah yang memanggil emak dan ayahnya sebagai Mommy dan Daddy kerana mengikut suasana di kota itu.

Tambah beliau, sejak dari tadika hingga darjah lima, semua rakan-rakannya terdiri daripada kaum Cina dan hubungan mereka sangat baik. Kawan Melayu pula, boleh dikira dengan jari.

Oleh itu, apabila pulang ke Malaysia pada usia 12 tahun, Fadilah mengalami satu tekanan yang hebat kerana perubahan budaya, persekolahan dan persekitaran hidup yang jelas berbeza.

"Di Singapura, saya telah pun menduduki Primary School Leave Examination (PSLE) yang membolehkan saya terus melanjutkan persekolahan ke peringkat menengah. Namun, di Malaysia selepas penilaian darjah lima, kita perlu menghabiskan pelajaran darjah enam sebelum ke sekolah menengah.

"Keadaan ini yang membuatkan saya tertekan dan kecewa kerana perlu mengulangi apa yang telah dipelajari. Kemudian, di kampung saya masih lagi berkawan dengan pelajar Cina hingga makan di restoran mereka menyebabkan saya dipandang serong oleh masyarakat," cerita Fadilah yang melalui pelbagai transformasi terutama budaya pada awal usianya.

Namun, bertitik tolak dari situlah Fadilah akhirnya menerima nasihat dari seorang guru bernama Long Chai Kok yang memujuknya agar kembali menjalani kehidupan asas sebagai seorang Muslim.

"Sejak itu, saya belajar bagaimana bergaul dengan orang, menanggapi perbezaan dan berkelakuan baik dengan masyarakat pelbagai kaum," kata Fadilah yang mengakui sering diejek rakan kerana tidak fasih berbahasa Melayu.

Atlet harapan

Sewaktu belajar di Sekolah Menengah Inggeris Alor Gajah dari tingkatan satu hingga tiga, Fadilah sangat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Beliau merupakan atlet harapan yang terlibat dalam sukan olahraga, hoki dan pertandingan debat hingga mewakili sekolah, zon dan negeri.

Malah, beliau juga pernah bergelar kapten pasukan hoki sekolahnya. Begitu juga apabila menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Melaka, Fadilah tetap aktif dalam pelbagai aktiviti.

Ketika di tingkatan empat, Fadilah merupakan pelajar kumpulan kedua di sekolah tersebut. Jadi, beliau dan rakan-rakan mencipta banyak perkara baharu seperti aktiviti walkaton untuk mengumpul duit dari orang kampung, maraton dan sebagainya.


KEBANGGAAN negara. Fadilah (tiga dari kanan) sewaktu dilantik mewakili Malaysia dalam Majlis Tertinggi ISO Council di San Diego, California, Amerika Syarikat pada tahun 2012.


"Walaupun aktif, tetapi Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan pencapaian akademik saya. Ini anugerah Allah buat saya yang amat disyukuri," jelasnya.

Sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, Fadilah telah dihantar melanjutkan pengajian di peringkat A-Level di Kolej Devon, Barnstaple, England pada tahun 1981.

Kemudian, beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Kesihatan & Fizik Alam Sekitar (fokus dalam perlindungan radiasi) di Universiti Salford, England selama tiga tahun.

Sebaik tamat pengajian, Fadilah nyaris-nyaris tidak mahu pulang ke Malaysia kerana mendapat tawaran bekerja di sana. Bagaimanapun, pesanan emak dan juga kata-kata daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu bergelar Menteri Pelajaran melembutkan hati Fadilah.

"Saya masih ingat emak menangis dalam telefon menyuruh saya pulang selepas mendapat segulung ijazah. Kemudian, amanat Tun kepada pelajar ketika datang ke London yang berbunyi, You are very selected to come here. So, if you love your country, please come back and serve meruntun jiwa saya.

"Hakikatnya ketika itu, kumpulan pelajar yang sama dengan saya semuanya pulang ke Malaysia dan berkhidmat untuk negara," ujar Fadilah yang merupakan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1984, Fadilah terpaksa menganggur selama tujuh bulan sebelum dipanggil bertugas sebagai pegawai penyelidik di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom yang ditubuhkan pada tahun 1985.

Tugas

Antara tugas yang dilakukan ialah mencipta peraturan pertama pengawalan mengenai standard asas keselamatan bagi penggunaan nuklear yang dikuatkuasakan pada tahun 1987.

Selepas itu, Fadilah dipinjamkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) yang kini dikenali sebagai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 1989 untuk membangunkan satu entiti baharu yang dinamakan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi (MASTIC).

Malah, beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab mencipta Laporan Indikator Sains & Teknologi Malaysia yang masih digunakan hingga sekarang serta menghasilkan klasifikasi baharu terhadap Definisi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

"Saya bersyukur kerana sepanjang kehidupan ini, saya selalu mencipta sesuatu yang baharu. Saya percaya apa jua kerja yang diberikan, perlu diambil sebagai satu amanah untuk dilaksanakan sebaik mungkin.

"Tidak perlu kita canangkan kepada khalayak tetapi orang akan nampak sendiri hasilnya. Di mana sahaja kita pergi, kita harus menjadi ejen pengubah yang membawa ke arah kebaikan," tegas Fadilah sekali gus memperlihatkan kewibawaannya sebagai pemimpin.

Badan tetap standard piawaian Malaysia

Posted:

Badan tetap standard piawaian Malaysia

Badan tetap standard piawaian Malaysia


FADILAH (dua dari kanan) menyampaikan Sijil Akreditasi Makmal ISO IEC 17025 kepada Universiti Teknologi Petronas di Perak baru-baru ini.


DITUBUHKAN pada 28 Ogos 1996, Jabatan Standards Malaysia (Standards Malaysia) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) serta merupakan Badan Standard dan Akreditasi Kebangsaan.

Ia bertanggungjawab membangunkan standard untuk kegunaan industri melibatkan aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Badan penguatkuasa boleh merujuk standard tersebut dalam peraturan atau undang-undang, contohnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk pensijilan kelulusan sesuatu produk.

Melalui aktiviti standardisasi dan perkhidmatan akreditasi yang berwibawa, Standards Malaysia memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan bagi peningkatan daya saing global.

"Peranan kami adalah untuk memastikan pengguna atau organisasi mendapat kualiti yang baik bagi setiap barangan mahupun perkhidmatan yang digunakan. Contohnya, produk halal atau barangan elektrik.

"Selain itu, kami juga membantu memudahkan perdagangan dalam negeri dan antarabangsa dengan mengurangkan halangan perdagangan antarabangsa demi memajukan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat dunia," ujar Ketua Pengarah Standards Malaysia, Fadilah Baharin.

Sepanjang 18 tahun ditubuhkan, Standards Malaysia telah berjaya membangunkan lebih daripada 6,300 Malaysian Standard (MS) dan menawarkan perkhidmatan akreditasi untuk menyumbang secara positif kepada ekonomi, masyarakat, alam sekitar dan kesejahteraan negara.

Menurut Fadilah, antara cabaran yang dihadapi ialah untuk memperkasakan budaya kualiti dalam kalangan warga jabatan di samping menjalin kerjasama dengan pihak lain terutama penguat kuasa bagi mempromosi dan menyelaraskan MS ini.

"Setakat ini, terdapat 438 standard yang telah dimandatori oleh penguat kuasa seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan , Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya.

"Saya berharap jumlah ini akan bertambah seiring dengan peningkatan kesedaran rakyat dan industri terhadap kepentingan standard dan kualiti," kata beliau sambil memberitahu pihaknya telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti Program Speak Up, Program Kesedaran Standard dan Jelajah Sekolah dalam usaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Bengkel mewarna batik sendiri

Posted:

Bengkel mewarna batik sendiri

Bengkel mewarna batik sendiri

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


DUA orang pelancong yang menyertai bengkel mewarna batik ini menunjukkan hasil kreativiti mereka.


KELOPAK demi kelopak bunga raya siap dicantingnya menggunakan bahan campuran lilin dan damar yang sentiasa dipanaskan di dalam periuk. Setiap lekukan dicoret sempurna tanpa getaran atau menampakkan kecacatan pada hasil seni batik tersebut.

Kecekapan Mohammad Nabil Iqbal, 25, menghasilkan corak batik berjaya memukau setiap pengunjung yang datang di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia mula mencanting batik sejak empat tahun lalu di Khaidani Batik, Selayang dan sejak itu berkongsi minat tersebut dengan orang ramai.

"Saya bekerja sebagai seorang pereka batik di C Work Design yang dibuka sejak dua tahun lalu. Kedai ini menjual pelbagai hasil batik dengan kebanyakan corak bermotifkan fauna.

"Selain menjual pelbagai bahan pameran batik, C Work Design turut menawarkan bengkel mewarna batik sendiri kepada pengunjung," jelasnya ketika ditemui di ruang legar Kompleks Pasar Seni berkenaan.

Harga bagi menyertai bengkel tersebut ialah RM20 merangkumi alatan mewarna batik dan kain hasil kreatif masing-masing untuk dibawa pulang.

Pengunjung juga akan diajar oleh Mohammad Nabil cara-cara untuk memilih warna dan menghasilkan tona yang berbeza.

Dalam pada itu, rakan sekerjanya, Fariha Mohd. Alias, 25, memberitahu, kebiasaanya kedai tersebut dikunjungi oleh pelancong dari luar negara seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.


ORANG ramai teruja menyaksikan kehebatan Mohammad Nabil mencanting batik termasuk dua peminat cilik ini.


Rebutan

Antara jenis batik yang menjadi rebutan mereka ialah batik bermotifkan haiwan seperti burung hantu dan anak gajah.

"Pengunjung lebih tertarik dengan corak burung hantu bermata bulat dan badan yang berwarna-warni.

"Walaupun corak batik ini lebih moden, kami tetap menyelitkan latar belakang pemandangan di kampung untuk menggambarkan suasana tradisi di Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Wijaya, 27, leka meneliti kehalusan seni batik dicanting Mohammad Nabil.

Pemuda dari Medan, Indonesia itu mengambil peluang meneliti corak yang dihasilkan oleh Muhammad Nabil untuk membezakannya dengan batik di negaranya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Ahmad Wijaya memberitahu, corak batik Jawa di Indonesia tidak jauh berbeza berbanding Malaysia iaitu masih menggunakan motif bunga dan haiwan.

"Beza antara kedua-dua jenis batik ini ialah batik Indonesia banyak menggunakan warna coklat dengan corak bunga lebih kecil dan padat," jelasnya yang datang ke negara ini untuk menziarahi adiknya yang menuntut di salah sebuah institusi pengajian swasta di ibu negara.


SALAH seorang pengunjung menyertai aktiviti mewarna batik yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.


Demonstrasi

Pengurus Kompleks Pasar Seni, Sheong Wai Mun berkata, demonstrasi batik itu adalah yang pertama kali dianjurkan pihaknya.

"Sebelum ini, kami tidak pernah menganjurkan demonstrasi batik dan ini merupakan aktiviti julung kalinya bagi menarik minat orang ramai untuk mengenal batik Malaysia.

"Selain batik, kami turut menganjurkan beberapa aktiviti seni lain seperti seni pembuatan barangan piuter dan jualan buku Art for Grab," katanya.

Pasar Seni merupakan kompleks penjualan pelbagai hasil seni dan kraftangan Malaysia. Antara yang dijual termasuklah batik, piuter, keris, hasil anyaman dan pelbagai buah tangan menarik yang melambangkan budaya di Malaysia

Bangunan Annexe yang merupakan sebahagian daripada kompleks tersebut pula menjadi antara pusat kegiatan seni paling aktif di Kuala Lumpur dan menarik lebih ramai pengunjung dari luar negara.

Kawasan di dalam bangunan tersebut dikategorikan mengikut lorong iaitu Lorong Melayu, Lorong Cina dan Lorong India.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved