Jumaat, 18 April 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Perodua menuju standard global

Posted:

Perodua menuju standard global

Perodua menuju standard global

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

ASPEK kebersihan menjadi amalan para pekerja Perodua.


PENUBUHAN Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) pada tahun 1993 yang merupakan kerjasama antara syarikat Malaysia dan Jepun membuka lembaran baharu dalam landskap industri automotif tempatan.

Setahun selepas kewujudannya, Perodua memperkenalkan produk pertamanya iaitu Perodua Kancil. Tindakan itu membuktikan kebijaksanaan Perodua memahami keperluan para pengguna tempatan. Perodua Kancil membolehkan lebih ramai pengguna memiliki sebuah kereta terutama dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana.

Tidak terhenti di situ sahaja, Perodua kemudiannya tampil dengan pelbagai model untuk kegunaan masyarakat berpendapatan rendah hingga tinggi. Sehingga kini, lebih kurang dua juta kenderaan Perodua berjaya menemui pemilik baharu. Syarikat automotif itu berjaya menyentuh, mengubah dan memudahkan kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia. Terima kasih Perodua.

Setelah berusia 20 tahun, Perodua mengumumkan hajat mahu mengubah perjalanan syarikat agar lebih berdaya saing dan mahu duduk sebaris di persada global. Hajat itu diterjemahkan menerusi pengumuman pelan Tahun Transformasi Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, transformasi itu amat penting kerana trend pasaran semasa sudah berubah sejak beberapa tahun lalu.

Dia memberitahu, Perodua dan Proton tidak lagi memiliki dominasi seperti mana yang pernah dikecapi sebelum ini dan pengumuman Dasar Automotif Negara (DAN) menjadikan landskap pasaran semakin berdaya saing.

Perkara itu diumumkan Aminar Rashid dalam satu taklimat khas bersama pengamal media di ibu pejabat Perodua di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Pelan tranformasi itu merangkumi rancangan holistik apabila merangkul beberapa perkara penting termasuk pembinaan kilang baharu, kecekapan pelaksanaan kerja, kos, pembangunan modal insan serta soal kebajikan para pekerja.


TEKNOLOGI robot akan membantu mengurangkan kadar kerosakan penghasilan kenderaan di fasiliti pengeluaran baharu milik Perodua.


"Bercakap mengenai transformasi, sebahagian daripadanya ialah kos. Apa yang penting ialah QCD iaitu kualiti, kos dan penghantaran. Kita memang sasarkan penjimatan tetapi ia adalah satu proses yang berterusan. Kos yang kita jimatkan sudah tentu kita turunkan kepada pengguna melalui model-model yang dikeluarkan," jelas Aminar Rashid.

Kilang bersih

Langkah transformasi pertama bermula dengan pengumuman pembinaan kilang baharu yang akan menghasilkan model-model terkini syarikat itu. Kilang yang menelan perbelanjaan sebanyak RM790 juta itu bakal dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. Fasiliti itu juga dilengkapi sebuah litar untuk melaksanakan ujian produk-produk baharu. Kilang itu dinamakan sebagai Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. (PGMSB).

Bagi mengoptimumkan kecekapan, kilang itu bakal menggunakan nisbah teknologi robot sebanyak 70 peratus berbanding dengan kilang sedia ada yang hanya mengguna pakai 30 peratus sahaja.

Penggunaan robot melibatkan tugas-tugas kimpalan kenderaan akan meningkatkan tahap kualiti sedia ada sekali gus membantu Perodua mencapai sasaran kadar kecacatan pada paras 0.005 seunit. Kilang baharu itu membuka peluang pekerjaan kepada 1,200 orang. Kilang lama pula menggunakan seramai 6,000 tenaga kerja buat masa ini.

Bagi memastikan aliran tempat kerja lebih berkualiti, Perodua mengutarakan idea menggunakan watak anime Pokemon, Pikachu sebagai maskot untuk melonjakkan semangat kerja dalam kalangan pekerjanya. Gambar maskot itu akan ditampal di bahagian-bahagian yang berjaya menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.


MASKOT Pikachu ditampal pada semua bahagian yang berjaya menepati piawaian kebersihan.


Pembangunan Modal Insan Pekerja

Perodua turut melabur bagi menzahirkan objektif Pembangunan Modal Insan para pekerjanya yang merangkumi pakaian, keselamatan dan kelakuan di tempat kerja. Bagi pekerja yang sudah disahkan jawatannya, mereka bakal mengikuti kursus Dojo.

Kursus Dojo akan mendedahkan perincian lanjut kepada setiap pekerja berhubung fungsi setiap bahagian dalam sebuah kereta dan apakah fungsinya selain mengenal pasti punca-punca kerosakan pada kenderaan.

Perodua bukan sebuah entiti yang tahu mengira untung rugi dalam akaun semata-mata. Syarikat itu sebenarnya menyayangi institusi kekeluargaan dan kebajikan para pekerjanya. Sifat itu dizahirkan dengan tindakan mendirikan sebuah masjid untuk kesenangan kakitangan dan masyarakat setempat. Selain itu, Perodua turut menyediakan sebuah pusat jagaan harian untuk anak-anak pekerjanya.

"Kos penjagaan harian itu diberikan subsidi dan saya rasa ia memberi ketenangan kepada pekerja kami apabila anak-anak kecil berada dekat dengan mereka.

"Jika ada kerja tertangguh, mereka tidak akan tertekan kerana lewat untuk menjemput anak-anak mereka di pusat jagaan swasta," kata Aminar Rashid.

Kenderaan cekap tenaga

Menyentuh status semasa kenderaan model baharu yang akan ditawarkan kelak, Aminar Rashid mendedahkan bahawa ia juga tergolong dalam kategori penjimatan bahan api. Pendek kata, ia sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) dan selari dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (DAN) 2014.

"Model baharu ini lebih menjimatkan berbanding model-model yang dikeluarkan sebelum ini. Walaupun kompak tetapi ia menawarkan ruang yang luas di samping reka bentuk yang menarik," katanya.

Jika diamati keseluruhan rancangan transformasi Perodua, ia jelas menggambarkan syarikat itu tidak mahu berada dalam liga persaingan sedia ada. Institusi itu mahu bangkit bersaing dengan lebih dinamik.

Grand Livina kenderaan keluarga

Posted:

Grand Livina kenderaan keluarga

Grand Livina kenderaan keluarga

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


REKAAN lampu, bampar dan gril baharu merupakan sebahagian daripada 50 sentuhan baharu pada model ini.


NISSAN Grand Livina yang membuat debut ke pasaran Malaysia sekitar tahun 2007 berjaya mencipta fenomena baharu dalam landskap kenderaan pelbagai guna (MPV) tempatan. Dalam tempoh beberapa tahun, model di bawah rangkaian Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) itu berjaya muncul sebagai MPV bukan nasional popular di Malaysia.

Grand Livina yang diperkenalkan tahun lalu itu menerima 50 penambahbaikan sekali gus mencerminkan komitmen ETCM untuk bersaing lebih serius dalam segmen berkenaan.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh ETCM untuk memandu uji varian Grand Livina 1.8 liter. Sesi pandu uji kali ini melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Mutiara.

Perjalanan yang merentasi lebuh raya PLUS membolehkan penulis menikmati hamburan kuasa melalui enjin berteknologi Drive-by-Wire.


PAPAN pemuka Grand Livina ini dihiasi dengan panel kayu yang memberikan imej mewah.


Berbekalkan perbezaan sesaran kira-kira 200cc, model kali ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan penulis sewaktu menguji varian 1.6 liter sebelum ini.

Lebih tenaga mendaki

Enjin Grand Livina 1.8 liter lebih berkuasa terutama dalam mendaki bukit berbanding model sebelumnya yang kerap semput terutama dalam mod memotong kenderaan di hadapan.

Perjalanan ke Pulau Pinang disertai bersama lima orang rakan penulis dan satu perkara berjaya dikenal pasti. Ruangan kabin Grand Livina ini sempit bagi penumpang berbadan sederhana pada barisan kedua dan ketiga. Mereka terpaksa berhimpit dan menyerongkan badan untuk membolehkan masing-masing duduk dengan sedikit selesa.

Bagi penulis, jika anda berhajat mahu bawa barangan banyak, sila pastikan penumpang dewasa dalam kabin tidak lebih tiga orang. Tujuannya untuk membolehkan simpanan barang dan memastikan keselesaan sederhana mampu dinikmati semua pihak bagi perjalanan jarak jauh. Ruang letak barang di bahagian belakang terlalu kecil dan langsung tidak praktikal untuk tujuh penumpang.


RUANG enjin 1.8 liter Grand Livina tampil kemas dan tersusun.


Tiada perehat tangan

Pun begitu, Grand Livina yang sedikit besar berbanding Perodua Alza tetap punya kelebihan. Material kulit pada bahagian tempat duduk menampakkan imej mewah dan pada masa sama mudah dibersihkan.

Suasana ruang kabin diselubungi tona warna cerah dan disulam dengan kepingan kayu di beberapa bahagian untuk memberikan sedikit rasa mewah.

Tempat duduk bahagian pemandu dan penumpang hadapan tidak didatangkan dengan perehat tangan sehingga terasa lenguh pemanduan lebih lima jam tempoh hari. Sepatutnya kemudahan itu perlu diadakan memandangkan ia sebuah MPV.

Varian 1.8 liter ini menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci i-Key, lampu isyarat membelok LED yang diadun pada bahagian cermin pandang sisi dan lampu kabus pada bahagian bampar hadapan.

Tiada keistimewaan pada model ini kecuali ia sebuah Grand Livina dengan enjin 1.8L dan ia adalah Nissan.

Evolusi FZ150i

Posted:

Evolusi FZ150i

Evolusi FZ150i


YAMAHA FZ150i masih mengekalkan sifat praktikal bagi kegunaan dalam bandar dan perjalanan jarak sederhana.


SEJARAH Yamaha FZ150i bermula pada tahun 2008 sebagai taruhan baharu Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dalam segmen 150cc tempatan selepas ketiadaan model dua lejang Yamaha TZM. FZ150i pada ketika itu tidak memerlukan masa lama untuk menarik perhatian pengguna ekoran ciri praktikal yang terdapat padanya.

HLYM kemudiannya memperbaharui momentum saingan apabila tampil dengan dua model FZ150i naik taraf masing-masing pada tahun 2010 dan 2012. Pembaharuan yang dilakukan sekadar tambahan beberapa komponen dan solekan warna baharu.

Setelah keberadaan hampir enam tahun dalam pasaran Malaysia, HLYM akhirnya memutuskan untuk memperkenalkan generasi kedua Yamaha FZ150i.


INSTRUMEN meter model baharu itu kini mengetengahkan paparan skrin digital.


Kali ini, ia bukan sekadar menyalin cover set semata-mata tetapi ia didatangkan bersama beberapa komponen baharu selain kejuruteraan semula unit rangkaian kuasa bagi menjayakan respons enjin yang lebih berprestasi.

FZ150i edisi 2014 didatangkan bersama set lampu utama dan lampu isyarat membelok baharu, set lampu belakang kompak dan reka bentuk tangki minyak yang berimej sporty. Motosikal itu turut dipasang dengan rim aloi rekaan baharu.

Tambahan komponen lain ialah pemasangan undercowl dan madgad belakang bagi melindungi bahagian enjin daripada pantulan batu-batu kecil atau objek keras. Sistem brek turut ditingkatkan menerusi aplikasi brek cakera pada kedua-dua roda. Model sebelum ini hanya didatangkan dengan set brek cakera pada roda hadapan.


SISTEM transmisi ditala semula untuk membolehkan hamburan kuasa yang lebih berprestasi.


Instrumen meter FZ150i 2014 menggabungkan paparan analog dan digital. Semua informasi berhubung kadar kelajuan, status bekalan bahan api serta jarak perjalanan disiarkan menerusi sebuah skrin digital manakala pergerakan jarum pusingan enjin seminit (rpm) ditayangkan menerusi meter analog.

Unit enjin yang digunakan adalah sama seperti generasi pertama. Kejuruteraan semula yang dilakukan hanya melibatkan penggantian komponen sistem penyampaian bahan api dan nisbah gear. Tindakan itu membolehkan FZ150i baharu menghasilkan kuasa kuda dan tork yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya.


RODA belakang dipasang dengan komponen sistem brek cakera untuk meningkatkan kadar kecekapan membrek.


Pengarah Urusan HLYM, Ng Choong Hai berkata, pihaknya mengunjurkan jualan sebanyak 800 unit sebulan bagi model baharu itu. Katanya, jumlah jualan terkumpul FZ150i generasi pertama bagi tempoh enam tahun adalah sebanyak 28,000 unit.

Berhubung kebolehdapatan alat ganti bagi model generasi pertama, Choong Hai menjelaskan, HLYM akan terus menawarkan komponen berkenaan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Yamaha FZ150i ditawarkan pada harga asas RM8,538 seunit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved