Khamis, 10 April 2014

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Kesan buruk Rave Party

Posted:

Kesan buruk Rave Party

Kesan buruk Rave Party

DADAH perangsang jenis amfetamin boleh merosakkan organ dalaman selain masalah ketagihan. - Gambar hiasan


KETIKA Malaysia diselubungi kejutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac lalu, negara sekali lagi dikejutkan sekali lagi pada pertengahan Mac lalu apabila enam belia mati hampir serentak di sebuah konsert kerana mengambil dadah secara berlebihan.

Dalam kejadian dikonsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil, tiga daripada mangsa adalah wanita yang berumur antara 21 hingga 27 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kesemuanya mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah ekstasi jenis terbaharu dalam pasaran yang kemungkinan sedang diuji sindiket dadah.

Hasil siasatan, kesemua mereka diuji positif bagi dadah perangsang jenis amfetamin (ATS), katanya memetik laporan berita Bernama pada 17 Mac lalu.

Ekoran insiden itu konsert pada hari terakhir iaitu pada Ahad 16 Mac dibatalkan.

Pil dijual

Bagi ahli keluarga, mereka menganggap mangsa sebagai anak yang baik dan tidak pernah menunjukkan kecenderungan kepada aktiviti kurang bermoral apatah lagi melibatkan dadah.

Ini menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang berlaku dalam konsert sedemikian dan bagaimanakah ekstasi diperoleh dengan begitu mudah?

Seorang eksekutif syarikat swasta yang dahulunya kerap menghadiri konsert bertemakan parti rave mirip FMFA menceritakan pengalaman beliau.

Hanya ingin dikenali sebagai Nina, 33, beliau mula berjinak dengan parti rave ketika menuntut di universiti sekitar lewat 1990-an.

Menurut Nina, dadah tidak diberi percuma oleh penganjur sebaliknya dijual oleh pihak tertentu dalam bentuk pil pada harga antara RM60 hingga RM100 sebiji.

Mereka yang hadir ke konsert seumpamanya bukan datang untuk berkhayal dengan dadah semata-mata, sebaliknya mahu bergembira bersama rakan dan menikmati muzik yang disajikan.

Antara pemuzik yang sinonim dengan konsert sebegini ialah dua orang DJ dari Belanda iaitu Armin van Buuren dan Tiesto yang membawa muzik trance iaitu keadaan bersawai atau muzik tarian.

Menurut Nina, pengunjung parti memilih dadah berbanding arak untuk berkhayal atau berada dalam keadaan ghairah kerana kesan sampingan yang lebih ringan.

"Alkohol akan menyebabkan anda berasa loya, pening dan kepala menjadi berat pada keesokannya. Pil pula memberi kesan yang lebih bersih. Ringan tetapi tetap dengan rasa high, sama seperti alkohol.

"Mereka lazimnya mempromosi dadah jenis baru di parti rave. Dadah parti ini memberi tenaga untuk mengiringi muzik ghairah," jelas Nina.

Nina turut menceritakan bagaimana kejadian terlebih dos atau dalam istilah ringkasnya OD boleh terjadi terutama kepada orang baharu atau newbies.

"Saya pernah mencuba ekstasi sebelum ini. Setengah pil sudah cukup untuk menyebabkan rasa ghairah. Jadi dalam kebanyakan kes apabila rasa ghairah itu mula berkurang, separuh lagi pil ditambah dan terus tambah sehingga minda tidak lagi dapat membuat keputusan waras untuk tambah banyak mana lagi.

"Itulah cara seseorang itu terlebih dos. Ia tindakan sendiri tetapi dalam keadaan minda yang tidak keruan," cerita Nina.

Nina yang baru mendirikan rumah tangga tahun ini mengakui dia sudah berhenti daripada menghadiri parti seumpamanya kerana sudah bosan dengan kegiatan sebegitu.

Jual ekstasi

"Sebenarnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghindari parti-parti seumpama ini dan mengambil dadah, lagipun saya bukan orang yang mudah bersosial, jadi saya rasa ia terhenti dengan sendiri dengan peningkatan usia dan tanggungjawab kerja, saya sendiri tidak banyak melakukan usaha untuk menghentikan tabiat itu.

"Saya tahu beberapa rakan saya yang telah berkeluarga masih pergi ke konsert seperti ini, tetapi mereka berbuat demikian lebih kerana DJ dan muzik, bukan untuk berghairah atau dadah," katanya.

Sementara itu, seorang bekas pekerja syarikat yang biasa menganjurkan konsert bersawai memberitahu adalah mustahil penganjur tidak mengetahui kewujudan pihak yang menjual ekstasi kepada pengunjung.

Beliau yang enggan dikenali berkata, penganjur mungkin tidak berbuat apa-apa kerana sukar untuk mengawal dan menyaring ribuan orang yang datang ke konsert, apatah lagi apabila dadah menjadi sebahagian daripada daya tarikan untuk mengumpan pengunjung khususnya remaja.

"Sebenarnya sukar untuk mengawal ribuan orang yang datang. Meskipun sistem keselamatan diketatkan, akan ada juga yang terlepas. Penganjur lebih senang meletakkan tanggungjawab kepada pengunjung dalam memilih sama ada nak mengambil dadah atau tidak.

"Mereka yang ke parti rave pun selalunya kumpulan sama yang sudah mengetahui keadaan sebenar konsert. Dahulu, berita parti rave ini tersebar dari mulut ke mulut. Sekarang sudah ada telefon bimbit, SMS, Facebook, Instagram, jadi majlis itu itu lebih ramai yang tahu," katanya.

Organ dalaman

Bagi pengunjung veteran, mereka tidak akan mengambil dadah jenis baharu kerana menyedari bahaya kesan sampingan yang tidak diketahui.

"Mereka juga tahu kena minum banyak air untuk mencegah dihidrasi. Malangnya, yang saya dengar, di FMFA tempoh hari tidak ada air disediakan pihak penganjur dan tempat konsert juga tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, pengambilan dadah seperti ekstasi yang tergolong dalam kumpulan ATS sememangnya boleh mengakibatkan dehidrasi melampau dan kerosakan organ dalaman seperti hati.

Dalam keadaan ekstrem iaitu apabila dadah itu diambil secara berlebihan atau mengandungi bahan berbahaya berlebihan, kesannya boleh menjurus kepada kematian.

Beliau juga menekankan bahaya pengambilan dadah jenis ATS secara berterusan.

"Terdapat dua jenis ketagihan dadah iaitu ketagihan fizikal dan ketagihan psikologi. Ketagihan fizikal mengakibatkan penagih mengalami kesan fizikal seperti menggigil dan sakit dada, dan ini biasanya dikaitkan dengan pengambilan dadah jenis tradisional seperti heroin.

"Dadah ATS menyebabkan ketagihan psikologi, yang menyebabkan perasaan murung, lemah, tidak bermotivasi, sukar fokus dan gelisah kepada pengambilnya," jelas beliau.

Bagi ketagihan fizikal ada ubat yang boleh kurangkan gian, namun untuk ketagihan psikologi tiada ubat yang jelas untuk mengelakkan ketagihan berulang. Apa yang diperlukan ialah strategi psikologi.

Berdasarkan pengalaman merawat penagih, Muhammad Muhsin berkata, pada peringkat permulaan penagih dadah jenis ATS akan berada dalam fasa penafian iaitu mereka tidak mengaku mereka sedang menagih dadah.

Penagih akan mengambil dadah setiap kali berasa muram dan ada antara mereka yang bergantung kepada dadah untuk kekal fokus bekerja.

"Secara keseluruhannya ketagihan psikologi lebih berbahaya daripada ketagihan fizikal. Ia meracuni otak dan menyebabkan halusinasi. Halusinasi inilah yang menjadi punca kepada jenayah berat seperti pembunuhan. Keadaan boleh jadi lebih teruk jika penagih sudah menanggung masalah peribadi yang berat," jelas beliau.

Malah Muhammad Muhsin mendedahkan, ada antara pesakitnya yang masih mengalami halusinasi meskipun sudah lama berhenti mengambil dadah.

"Dadah jenis ATS ini sememangnya sangat toksik. Mengambilnya seolah-olah kita menyebabkan otak mendapat penyakit mental," katanya memberi amaran akan bahaya dadah kepada mereka yang berniat mahu mencuba dadah.

Dalam mencari penyelesaian kepada masalah dadah yang tidak berkesudahan ini, Muhammad Muhsin berpendapat, apa yang penting ialah penerapan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan remaja.

Tanpa kemahiran ini, remaja atau golongan dewasa muda ini mudah terpengaruh untuk mencuba dadah bagi melupakan masalah mereka.

"Pada peringkat permulaan ia nampak seperti satu penyelesaian, tapi ia sebenarnya hanyalah penyelesaian jangka pendek. Kadang-kadang remaja juga mencuba dadah kerana pengaruh rakan sebaya, nak diterima oleh kawan-kawan. Sebab itu mereka perlu diberi didikan awal.

Tanggungjawab

"Selebihnya ialah kawal selia. Pihak berkuasa seboleh-bolehnya jangan buka ruang untuk pengambilan dadah ini berleluasa," tegas beliau.

Bagi Nina pula, ibu bapa perlu mengajar anak tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang tersayang bagi mengelak kejadian buruk seperti pengambilan dadah berlebihan menimpa mereka.

Beliau turut meluahkan rasa bertuah kerana tidak pernah mengalami insiden seumpama itu. "Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan beri peluang untuk saya bertaubat," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved