Selasa, 8 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bercuti di New York selepas kahwin

Posted:

Bercuti di New York selepas kahwin

Bercuti di New York selepas kahwin

MELIHAT senyuman yang terukir di wajah pasangan ini, ia menggambarkan segala-galanya.

Kemesraan Misha Omar, 32, dan tunangnya, Firos Ezzwan Rossly, 32, pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka di restoran Holly Smoke Shah Alam, Selangor, Sabtu lepas jelas membuktikan bahawa pasangan ini tidak sabar lagi untuk melangkah setapak ke hadapan bergelar pasangan suami isteri.

Pemilik nama sebenar Samiha @ Aisah Omar itu mengakui, pelbagai rintangan yang dihadapi ketika ingin mendirikan rumah tangga.

Misha bagaimanapun reda dengan setiap apa yang berlaku kepada dirinya. Baginya, hidup perlu diteruskan dan memori baharu perlu dicipta demi menggapai masa hadapan yang diimpikan.

Pemergian bapa tersayang pada Disember tahun lalu merupakan antara dugaan paling besar yang dihadapi oleh Misha.

Di sebalik senyuman, tersembunyi rasa sedih disebabkan bapanya tidak sempat untuk melihat persandingan mereka.

Hal tersebut sekali gus menyebabkan Misha terpaksa menangguhkan perkahwinannya. Pada majlis sidang akhbar yang serba ringkas itu, Misha turut berkongsi segala rintangan yang dihadapinya untuk membina sebuah mahligai rumah tangga.

"Sebelum ini pelbagai rintangan kami hadapi. Ada sahaja masalah yang mendatang, antaranya termasuk kesihatan saya, jadual kerja yang padat dan bakal suami saya yang begitu sukar untuk mendapat cuti tahunan.

"Namun, setelah penangguhan yang agak lama, kami bertekad untuk melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei depan.

"Walaupun tempoh persiapan perkahwinan kami singkat iaitu hanya tiga bulan tapi kali ini Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar," ujarya.

Tambah Misha, tarikh tersebut dipilih memandangkan ibunya ingin dia dan bakal suami untuk melangsungkan pernikahan pada bulan Rejab mengikut kalendar Islam.

"Tarikh tersebut dipilih atas permintaan ibu. Setelah berbincang dengan ibu yang baharu sahaja tamat edah, dia bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan secepat mungkin kerana dia akan menunaikan umrah pada bulan Julai nanti," ujarnya.

PASANGAN merpati dua sejoli ini sudah bulat kata dan hati untuk hidup bersama sebagai suami isteri.


Majlis perkahwinan

Bercerita mengenai majlis perkahwinannya yang akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, ujar Misha, ia bakal berlangsung secara sederhana dengan kehadiran kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara-mara terdekat dan teman rapat sahaja.

"Kami mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di Hotel Renaissance, Kota Bharu disebabkan permintaan ibu. Dia tidak mahu jauh dengan arwah ayah. Jadi, kami terpaksa bersetuju dengan permintaannya.

"Segala majlis akan diadakan dalam masa sehari sahaja. Kami bercadang untuk mengadakan majlis akad nikah pada sebelah pagi (pukul 9) dan majlis resepsi pada malam hari (pukul 8).

"Majlis resepsi juga diadakan di sana sahaja disebabkan kami masih berkabung dengan pemergian ayah," katanya yang pernah popular menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.

Gelang emas

Bercerita mengenai konsep yang akan diadakan pada majlis akad nikah dan resepsinya, Misha berkata, keseluruhan konsep majlis tersebut akan disediakan oleh pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim.

Namun, Misha tidak menetapkan sebarang konsep untuk majlis perkahwinannya itu.

Pada majlis resepsi dan acara memotong kek perkahwinan pula, Michael Ong merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta busana tersebut.

"Saya memilih Syaiful Baharim dan Michael Ong disebabkan saya telah biasa bekerjasama dengan mereka. Ia juga merupakan salah suatu penghargaan kepada mereka.

"Solekan pula dipertanggung- jawabkan kepada Chott dan Cicie yang menggunakan produk Shiseido. Kami juga akan menggunakan khidmat fotografi perkahwinan wearethejoezakaria," tuturnya.

Misha berkata, kad perkahwinan telah diedarkan bermula 4 April lalu dan beberapa rakan baiknya yang terdiri daripada penyanyi juga telah mengesahkan kedatangan mereka pada malam penuh bermakna tersebut.

"Ada beberapa artis yang menjadi kawan baik saya sebelum ini telah mengesahkan kedatangan mereka. Antaranya termasuk Adibah Noor, Salamiah Hassan, Fara Fauzana, Dina Nazir dan Jaclyn Victor.

"Menariknya, pada malam tersebut juga Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nazir akan bertindak sebagai pergiring dan pemegang dulang pada majlis akad nikah yang akan diadakan nanti," ujarnya.

Bagi pihak Firos pula, sebuah majlis resepsi akan diadakan pada 15 Mei di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Ia dilakukan untuk ahli keluarga terdekat bakal suaminya sahaja.

Mengulas mengenai wang hantaran mas kahwin, Misha berkata, seperti sebelum ini dia tidak mahu menerima wang hantaran, namun pihak lelaki telah berbesar hati untuk menghadiahkannya sepasang gelang emas.

"Gelang emas tersebut merupakan hadiah daripada pihak pengantin lelaki dan mengenai dulang hantaran pula, hanya lima hantaran sahaja daripada pihak saya dan dibalas lima juga daripada pihak pengantin lelaki," ujarnya.

SELEPAS dua kali tertangguh, laluan untuk Misha dan Firos untuk menuju ke bahtera perkahwinan kini sudah tersedia.


Pascaperkahwinan

Bercakap mengenai pasca perkahwinan Misha berkata, dia dan suami sudah mempunyai perancangan rapi. Namun, mereka masih belum pasti apabila ditebak soalan mengenai percutian selepas perkahwinan.

"Selepas berkahwin, saya akan berpindah ke rumah baharu yang terletak di Cheras.

"Namun, saya perlu menunggu anak angkat saya, Mohd. Adam Emir, 7, untuk menamatkan pengajiannya. Insya-Allah, kalau tidak ada aral-melintang, kami akan berpindah pada penghujung tahun ini," katanya.

Misha menyimpulkan senyumannya apabila ditanya mengenai percutian pascaperkahwinan mereka.

Namun bagi Firos, dia mempunyai perancangan tersendiri untuk bakal isterinya itu.

"Sebelum ini, Misha pernah menyatakan hasratnya ingin bercuti ke negara Eropah. Bagi memenuhi keinginannya, insya-Allah saya akan membawa- nya ke New York, Amerika Syarikat pada musim luruh.

"Saya juga bercadang untuk membawa dia (Misha) ke sebuah restoran makanan laut di Kanada dan makan hidangan ketam istimewa di sana," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai persediaannya untuk menjadi suami kepada penyanyi kesaya- ngan Malaysia itu, juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu memberitahu, dia bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja dugaan yang akan melanda.

"Sepanjang bergelar tunang Misha, saya telah pun belajar memahami situasi dan persekitaran kerjayanya. Saya rasa ia tidak akan menjadi masalah kepada saya.

"Di samping itu, jika dilihat sekarang ini, Misha juga sudah pandai menjaga dirinya sendiri," ujarnya berseloroh.

Tidak gelojoh terima tawaran

Posted:

Tidak gelojoh terima tawaran

Tidak gelojoh terima tawaran

Nama besar yang dimilikinya tidak menghalang Adibah daripada berkolaborasi dengan penyanyi baharu.


SEJAK menceburkan diri dalam bidang nyanyian, pelakon dan pengacara Adibah Noor, 44, gemar menghasilkan album dengan menggunakan hasil titik peluhnya sendiri.

Tanpa diikat oleh mana-mana syarikat rakaman, pemilik nama, Adibah Noor Mohamed Omar ini lebih selesa untuk memilih secara peribadi komposer yang terlibat bagi menggubah lagu-lagu yang terkandung di dalam album-albumnya.

Ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert An Evening of Glamour with Francesca Peters and Adibah Noor di Hugo's On 6, Hotel Best Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu masih menggunakan resipi yang sama untuk penghasilan album ketiganya.

Uniknya, album terbaharunya itu merupakan sebuah album duet dan bakal menampilkan beberapa penyanyi tempatan dari pelbagai generasi yang menjadi kegemarannya.

Dalam temu bual selanjutnya bersama Kosmo!, Adibah turut bercerita mengenai perasaan rindunya untuk menyanyi bersama band secara langsung (live band) serta pengurusan masa yang agak ketat sejak bergelar penyampai radio di Suria FM.

Kosmo!: Kenapakah anda merancang untuk menerbitkan sebuah album yang menampilkan lagu-lagu duet?

ADIBAH: Pada pendapat saya, album duet seperti ini tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Selalunya, album-album bertema seperti ini kerap dihasilkan oleh penyanyi antarabangsa.

Jadi, tidak salah rasanya menampilkan beberapa orang penyanyi kegemaran saya dalam album ketiga saya itu nanti.

Siapa antara artis yang terlibat dalam album itu nanti?

Setakat ini saya sudah menghasilkan tiga buah single bersama Dina Nadzir, Sam Innuendo dan Nizam. Dalam pada itu, saya merancang untuk menjemput Atilia dan Francesca Peters untuk merakam lagu bersama.

Kenapakah anda memilih artis baharu seperti Nizam untuk ditampilkan dalam album itu nanti?

Tidak salah rasanya saya membuka peluang kepada penyanyi-penyanyi ini untuk maju dalam bidang nyanyian. Mereka sudah lama menyanyi, cuma tidak berpeluang untuk dikenali. Selain Nizam, saya juga cuba untuk berkerjasama dengan penyanyi yang lahir daripada rancangan Akademi Fantasia iaitu Amir Jahari.

ADIBAH kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.


Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda untuk konsert bersama restoran Hugo's On 6?

Saya dipanggil untuk menjayakan sebuah persembahan secara santai oleh pihak hotel. Saya menerima pelawaan ini kerana tertarik dengan konsep live band yang akan mengiringi persembahan saya itu nanti.

Mengapakah anda lebih menggemari persembahan yang diiringi oleh live band berbanding minus one?

Sejujurnya, menyanyi di atas pentas secara berseorangan sangat membosankan (sambil ketawa). Selain berkomunikasi dengan penonton yang hadir, saya juga suka berinteraksi dengan live band. Berjayanya sesuatu persembahan itu turut bergantung pada keserasian penyanyi dan live band tersebut.

Bagaimana pula dengan pemilihan lagu-lagu dalam konsert itu nanti?

Selain membawa lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat, saya turut akan membawakan seleksi lagu-lagu yang ingin saya nyanyikan secara langsung.

Bagaimana peminat mahu mendapatkan tiket bagi persembahan itu nanti?

Saya bakal membuat persembahan di Hugo's On 6 pada 7 Jun depan. Peminat-peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM280++ dengan menghubungi talian 03-2272 8888 atau e-mel kepada fb2sentral@bestwestern.com.my. Paling istimewa, harga ini termasuk enam set menu untuk makan malam di restoran yang sama.

Sebagai seorang penyanyi yang juga bergelar penyampai radio, bagaimanakah anda membahagikan masa untuk menguruskan jadual kerjaya anda?

Saya akui, setelah bergelar penyampai radio, jadual saya sedikit padat. Namun, ini merupakan pilihan saya. Jadi, saya perlu bijak membahagikan masa antara dua bidang ini dan tidak terlalu gelojoh menerima tawaran untuk menyanyi mahupun mengacara.

Adakah anda selesa dengan kerjaya anda sebagai seorang penyampai radio?

Alhamdulillah, setelah setahun bergelar penyampai radio, kerjaya itu semakin dekat di hati saya. Selain dapat berinteraksi secara langsung bersama pendengar, saya turut menggunakan platform tersebut sebagai medium untuk menyebarkan info yang berguna kepada khalayak. - IZWAN MOHD. ISA

Buku panduan hos Azura Zainal

Posted:

Buku panduan hos Azura Zainal

Buku panduan hos Azura Zainal

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

AZURA ternyata bangga dengan kemunculan buku pertama karya tulisannya ini.


WALAUPUN telah mempelopori bidang pengacaraan sejak 15 tahun lalu, perasaan gemuruh ketika berada di konti radio dan semasa mengacarakan program televisyen masih dirasakan sehingga kini.

Perasaan tersebut diluahkan oleh pengacara TV dan radio, Azura Zainal, 31, ketika ditanya mengenai perasaannya ketika menjalankan tugasnya sebagai pengacara.

Mula melebarkan sayapnya daripada pengacara program TV kepada deejay radio, ujar Azura, dia kini lebih selesa dengan persekitaran pekerjaan tersebut.

"Sejak dahulu kehidupan saya berkisar mengenai bidang pengacaraan, jadi saya rasa ia merupakan sebahagian darah daging saya.

"Walaupun telah berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lalu tapi saya tidak pernah merasakan ia sebagai beban. Malah, setiap hari ketika hendak pergi ke tempat kerja, semangat sangat berkobar-kobar untuk bekerja," ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di sebalik kesibukannya bekerja, Azura bagaimanapun tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Berkahwin dengan jejaka kelahiran Brazil, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva, Azura mengakui, setelah memasuki alam kehidupan rumah tangga, dia memerlukan komitmen yang tinggi.

Sejak perkenalannya dengan Ibrahim sejak lima tahun lalu, kata Azura, suaminya itu sememangnya seorang yang memahami dan penyayang.

"Saya bahagia di sampingnya. Setakat perkenalan kami sejak 2009, dia tidak pernah berubah, malah kasih sayang dan komitmen yang diberikan membuatkan saya lebih bahagia bersamanya," jelas Azura.

Soal anak

Setiap pasangan suami isteri pasti menginginkan rumah tangga mereka dilengkapi dengan anak-anak.

Bercerita mengenai perkara itu, Azura berkata, buat masa sekarang, dia tidak bercadang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat memandangkan dia dan suami kini sibuk dengan karier masing-masing.

"Dia kini sibuk dengan kelas latihan pertahankan dirinya dan pada masa yang sama, saya juga sibuk dengan karier saya sebagai pengacara.

"Kami bercadang untuk memperoleh cahaya mata dalam tempoh dua tahun akan datang," ujar pengacara program Xplorasi itu.

Tambahnya, dalam jangka masa dua tahun tersebut, di samping memberi sepenuh komitmen kepada kerjaya masing-masing, Azura berkata, dia dan Ibrahim masih lagi dalam proses mengenal budaya masing-masing.

"Tidak adil jika saya meminta dia sahaja memahami budaya saya. Saya juga perlu belajar cara hidup dan budayanya supaya ia seimbang," ujarnya yang kini sedang mempelajari bahasa ibunda suaminya iaitu, Brazillian-Portugese.

Buku

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Azura kini memasuki dimensi baharu dalam kehidupannya apabila mula menceburkan diri dalam bidang penulisan.

Pengalaman lebih sedekad dalam bidang pengacaraan telah diterjemahkan dalam sebuah buku yang berjudul The Guide Book To Radio Host terbitan MPH Bookstores.

Menurut Azura, dia tergerak hati untuk menulis buku tersebut memandangkan buku panduan seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan kebanyakan buku panduan adalah dari luar negara.

"Jika dilihat buku seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan jika seseorang itu ingin mempelajari bidang pengacaraan melalui buku, mereka terpaksa merujuk karya luar negara.

"Buku karya luar negara tidak sesuai untuk dijadikan rujukan di Malaysia memandangkan persekitaran dan cabarannya tidak sama seperti di Malaysia," ujar Azura.

Tambahnya, perasaan tanggungjawabnya untuk berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaannya merupakan faktor lain yang mendorongnya menulis buku tersebut.

"Saya telah berkongsi segalanya termasuk pengalaman saya sehingga kepada aspek etika dan personaliti yang diperlukan untuk menjadi seorang pengacara yang berkaliber dan disegani.

"Melalui penulisan ini saya rasa ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan muda ataupun orang ramai yang berminat atau mahu berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan," ujar Azura yang menjadikan Oprah Winfrey dan Paula Malai Ali sebagai idolanya.

Tambah Azura, kandungan buku tersebut turut menekankan tentang aspek dalaman jiwa seseorang untuk bergelar pengacara dan ia bukan semata-mata berdasarkan teori.

Dalam perkembangan yang sama, Azura menambah, pada masa akan datang dia juga teringin untuk menerbitkan sebuah buku travelog bergambar mengenai pengalamannya sepanjang bergelar pengacara Xplorasi di TV1.

"Sepanjang menjadi pengacara untuk Xplorasi, saya telah berpeluang untuk menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia.

"Pengalaman tersebut digunakan dengan sebaiknya, malah saya sempat merakam detik-detik pengembaraan tersebut dan saya rasakan ia menarik untuk dikongsikan dengan orang ramai," ujarnya.

Bengkel pengacaraan

Dalam pada itu, penerbitan buku tersebut juga membuka ruang baharu kepada Azura untuk mengadakan bengkel pengacaraan dalam usaha mendidik golongan yang ingin berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

"Saya dan kakak saya, Zarina Zainal bercadang untuk mengadakan bengkel pengacaraan pada masa akan datang dan kebetulan buku ini boleh dijadikan sebagai medium pengajaran kepada pelajar.

"Kami juga amat berbesar hati jika mana-mana sekolah, kolej ataupun universiti ingin menjadikan buku ini sebagai salah satu silibus dalam sukatan pelajaran mereka," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved