Sabtu, 26 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kisah dongeng keluarga BCL

Posted:

Kisah dongeng keluarga BCL

Kisah dongeng keluarga BCL

ASHRAF dan Bunga memberitahu, kunci utama hubungan harmoni mereka ialah sering berkomunikasi dalam semua hal.


KELOPAK yang makin mekar mengharum, dalam taman cinta yang sarat rasa kasih dan sayang. Itu perumpamaan hubungan Bunga Cinta Lestari yang sedang leka menganyam impian dan harapan bersama dua arjuna hatinya, si suami Ashraf Sinclair dan anak mereka, Noah.

Noah, si putera sulung yang usianya mencecah tiga setengah tahun hasil perkongsian hidup enam tahun bersama Ashraf sudah tidak terkejar jika diajak bermain.

"Kalau diajak bermain memang dia tidak akan berhenti, kerana itu kami sendiri sebagai ibu bapa perlu pandai mencuri masa," demikian Bunga membuka cerita ketika diajak bersembang usai majlis pelancaran wangian terbaharu, Lux di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Duduk bersebelahan, adakalanya berdakapan mesra, nescaya pasangan itu masih dilimpahi kurnia rasa cinta yang membuak-buak.

Cinta dan keluarga

Percaya atau tidak, jelas Bunga, 31, rahsia untuk menyuburkan rasa cinta saban hari berteraskan usaha yang tidak berbelah-bahagi dan meletakkan posisi diri sebagai pasangan, bukannya peranan ibu dan bapa semata-mata.

"Orang selalu tanya saya kelihatan seperti tinggal dalam dunia dongeng, dapat saja apa yang dimahukan. Tapi percayalah, semuanya yang indah tidak datang bergolek.

"Saya perlu letakkan banyak usaha untuk mendapatkan apa yang saya perolehi sekarang. Saya bertuah dianugerahi seorang suami seperti Ashraf.

"Untuk membina hubungan selama enam tahun dan masih subur rasa cinta perlu ada banyak pengorbanan dan kebetulan pula karakter kami hampir serupa.

"Kami berkongsi minat yang sama, suka mengembara dan berjalan-jalan, cita rasa makanan yang sama malah fikiran untuk mendidik anak pun sama. Kadang-kadang apabila menjadi ibu bapa kita lupa peranan asal sebagai pasangan," singkapnya.

Hujah itu disokong kuat Ashraf, 35. Katanya setiap kisah dongeng itu perlu ada usaha dan penerimaan terhadap diri sendiri yang dilihatnya sebagai satu proses untuk berkembang.

"Kami menjadi pasangan bercinta dulu sebelum bergelar ibu dan bapa. Sudah pasti kami juga mahukan anak kami hidup dikelilingi keluarga yang harmoni, bahagia dan cinta satu sama lain," ceritanya lanjut.

Gosip, kontroversi

Magis cinta pasangan itu dikongsikan lebih mendalam. Perkara paling romantis yang pernah dilakukan Bunga kepada Ashraf adalah menyediakan sarapan pagi di atas katil sebelum pasangan itu keluar bekerja.

Pernahkah meletakkan sebarang syarat untuk salah seorang sesama pasangan? Jawab Ashraf, tiada syarat khusus melainkan mempraktik undang-undang komunikasi.

"Kami selalu berbincang dan meluangkan masa bersama. Paling penting adalah menjaga diri sendiri. Saya selalu berpesan pada Bunga, dia perlu menjaga diri sebab sekiranya dia sakit atau penat, bagaimana pula dia mahu menjaga kami berdua?

"Kami tidak pernah bergaduh kerana gosip tidak berasas. Percaya satu sama lain dan kami berkomunikasi. Saya ada Bunga untuk mempertahankan saya dan begitulah sebaliknya jika diancam gosip atau kontroversi," jelas Ashraf.

Bunga mencelah, baik dia mahupun suaminya, masing-masing tidak gusar untuk berkongsi kisah peribadi dan keluarga kepada masyarakat menerusi media sosial contohnya Instagram.

PASANGAN ini menjadi duta produk kecantikan Lux Indonesia untuk kempen keluaran terkini, Lux Reignite The Spark Couple sejak Februari tahun ini.


Kata Bunga, jika kehidupannya sebagai pasangan selebriti boleh memberikan inspirasi kepada orang ramai apa salahnya untuk dia bersifat terbuka.

Seperti mana orang kebanyakan, wanita itu mengakui adakalanya timbul juga perselisihan pendapat antara mereka, tetapi ditangani dengan berhemah.

"Kadang-kadang ada juga rasa tertekan dengan populariti, tapi Alhamdulillah itu bermakna karier kami berkembang baik. Orang pun selalu mahu tahu perkembangan kami, jadi kenapa perlu sorok-sorok," katanya.

Anak kedua

Populariti tidak terhad kepada Bunga dan Ashraf semata-mata. Turut terkesan, putera sulung pasangan itu, Noah.

"Mula-mula kami sangat defensif, terutamanya Ashraf. Seboleh-boleh kami mahu Noah tidak disimbah populariti tapi ini hidup kami dan dia sebahagian daripada kami.

"Mahu atau tidak, dia juga akan dikejar dan ke mana saja dia pergi, dia turut diburu media. Daripada kami menyembunyikan dia lebih baik kami mendidik dia tentang dunia kami," jelasnya.

Selepas Noah mencecah usia tiga tahun setengah, adakah mungkin Bunga dan Ashraf merancang untuk mendapatkan anak kedua pula?

"Tekanan untuk mendapatkan sosok tubuh seperti sebelum hamil itu sebenarnya yang selalu menghalang saya.

"Dek kerana terlalu sibuk kami tidak terfikir untuk mendapatkan anak kedua dalam tempoh terdekat. Tapi selepas kami melawat Aishah Sinclair (adik ipar Bunga) yang baru bersalin baru-baru ini, saya merindui perasaan dan momen mendukung bayi," jelasnya.

Tambah Ashraf: "Insya-Allah kalau ada rezeki kami terima. Selama ini pun kami tidak merancang."

Habibie & Ainun

Kejayaan filem Habibie & Ainun telah meletakkan Bunga pada satu peringkat lebih tinggi dan melonjakkan sahamnya sebagai salah seorang ikon pelakon berwibawa di Indonesia.

Habibie & Ainun telah berjaya merangkul Anugerah Filem Terbaik dan Runut Bunyi Terbaik sempena Indonesian Movie Awards (IMA Awards) 2013. Sementelah, Bunga juga menjadi pelakon wanita yang paling mahal di negaranya ketika ini.

"Saya pun tidak tahu, mungkin orang yang meletakkan tanggapan sedemikian. Mereka pun tidak tahu berapa saya dibayar bukan?

"Industri hiburan sukar diduga, adakalanya hari ini kita dipuja tapi kemudiannya kita dikeji pula. Bagi saya, itu cuma khabar angin dan saya tidak terjejas pun.

"Mungkin kerana filem itu yang menjadi filem nombor satu di Indonesia jadi orang lebih memandang serius. Kalau benar saya bersyukur," katanya.

Bunga yang baru usai melancarkan album ketiganya, Best Of BCL baru-baru ini memberitahu, dia bakal melancarkan album keempatnya tidak lama lagi di Indonesia.

"Album Best Of BCL mengandungi lagu terbaik saya daripada album pertama dan kedua selain single terbaharu Cinta Sejati, Tiga Salahmu, Jangan Gila dan Jangan Salahkan Dia.

"Untuk karier lakonan, saya belum bersedia lagi kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang nyanyian terlebih dulu.

"Lagipun belum ada skrip atau watak yang ditawarkan mampu menandingi kekuatan filem Habibie & Ainun. Mungkin kalau tawarannya berbeza dan orang sudah berhenti memanggil saya Ainun saya akan terima berlakon drama pula," katanya yang menantikan tawaran berbentuk muzikal.

Alif Satar kahwin September

Posted:

Alif Satar kahwin September

Alif Satar kahwin September

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


ALIF bersama rakan artis dari Singapura iaitu Sezairi dan Judika dari Indonesia bergabung dengan artis terkenal dunia, Ricky Martin dalam lagu tema Piala Dunia FIFA 2014, Vida.


PENYANYI Alif Satar, 24, telah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Sha Dila Halid, 30, pada 14 Januari lalu di kediaman keluarga Sha Dila di Rembau, Negeri Sembilan.

Bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan September ini, pelantun Lelaki Seperti Aku itu sudah mempunyai tarikh kahwin.

Namun, enggan mendedahkannya kepada umum dalam masa terdekat ini demi menghormati permintaan ibunya.

Alif juga berkongsi perasaan terujanya dapat berkolaborasi dengan penyanyi terkenal antarabangsa, Ricky Martin, menerusi lagu Piala Dunia FIFA 2014, Vida.

Mereka sempat berbual menerusi Skype ketika mengikuti lawatan bersama Sony Music ke Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Alif selanjutnya.

Kosmo!: Difahamkan Alif bakal mendirikan rumah tangga pada bulan September ini sempena sambutan ulang tahun anda dan Sha Dila? Sudah mempunyai tarikh?

ALIF: Sudah ada tarikh tetapi maaf saya tidak dapat dedahkan ia buat masa ini demi menghormati permintaan ibu.

Sudahkah anda bersedia berumah tangga pada usia yang baru mencecah 24 tahun?

Walaupun agak gementar tetapi saya sudah bersedia. Saya sudah ada rumah dan kereta sendiri. Apa lagi yang saya mahukan kalau bukan seorang isteri. Saya juga sudah bertemu dengan keluarga bakal mertua.

Ada yang beranggapan anda berkahwin pada usia muda kerana ingin menjaga hati Sha Dila yang enam tahun lebih berusia daripada anda? Benarkah?

Saya sememangnya sudah bersedia memperisterikan dia. Bukan sebab hendak menjaga hati. Lagipun, saya sudah usung dia ke hulu ke hilir. Lebih elok sekiranya berkahwin.

Bagaimanakah penerimaan keluarga terutama ibu pada mulanya apabila anda mengambil keputusan untuk berkahwin?

Mama (panggilan pada ibunya) dan peminat sangat menyokong. Saya akui dalam perhubungan kami selama empat tahun memang banyak cabaran. Cabaran sebab saya sibuk dengan karier nyanyian. Kadang-kadang sampai tiga minggu kami tidak berjumpa.

Bagaimana pula penerimaan kawan-kawan apabila anda menyuarakan hasrat ingin berkahwin?

Ada seorang kawan saya cakap tak takut ke selepas kahwin kerjaya jatuh. Saya sebenarnya tidak suka bila dia cakap macam itu. Bagi saya perkahwinan merupakan permulaan dalam hidup saya. Adakah dia tidak percaya pada rezeki Allah? Saya ambil contoh Faizal Tahir dan Aaron Aziz, walaupun mereka sudah berkahwin, mereka tetap dapat membina kerjaya.

Bagaimanakah persiapan perkahwinan, sudah selesai?

Sudah selesai semuanya. Lokasi pun sudah ada. Kami akan bernikah dan melangsungkan perkahwinan di Kuala Lumpur.

Ada dapat sebarang tajaan untuk perkahwinan anda?

Ada, tetapi saya tidak mahu menerimanya. Bukan sombong, sebaliknya saya mahu menggunakan duit saya sendiri.

Apakah keistimewaan Sha Dila sehingga dapat menambat hati anda?

Saya suka tengok dia ketawa. Dia juga pandai bawa diri dan pandai menjaga hati kanak-kanak serta orang tua.

Boleh kongsikan pula perasaan dapat berbual dan berkolaborasi dengan Ricky Martin menerusi lagu Vida?

Sebenarnya saya berharap sangat dapat bertemu dengan dia (Ricky). Saya bangga dapat berbual dengannya menerusi Skype. Malah, dapat turut sama berkolaborasi menerusi lagu Vida ini dengannya. Selain Ricky, saya juga teruja dapat bekerja sama dengan penyanyi popular Indonesia, Judika dan penyanyi Singapura iaitu Sezairi.

Selain daripada kolaborasi tersebut, apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang muzik?

November tahun lalu saya ada keluarkan album baharu berjudul Definisi. Album ketiga ini lain dengan album terdahulu saya seperti Nakal (2009) dan Lelaki Seperti Aku (2011). Album ini menunjukkan sisi matang saya. Sebanyak 90 peratus gaya lagu Bruno Mars dan Justin Timberlake ada dalam album baharu saya ini.

Lagu anda seperti Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku cukup popular dan diminati ramai. Tetapi kenapa nama anda belum cukup popular dan kukuh dalam industri?

Saya sedar hakikat itu. Bagaimanapun, falsafah saya, saya lebih rela berada dalam situasi konsisten daripada popular dan nama merudum. Kalau boleh saya mahu menyanyi lama seperti Amy (Search) dan Zamani (Slam).

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Posted:

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

LAGU duet berjudul Biar ternyata membawa tuah kepada Hanisah (kiri) dan Zuliana apabila menjadi pilihan pendengar Hot FM.


PROJEK EP Hot FM yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh stesen radio Hot FM telah menobatkan lagu berjudul Biar hasil ciptaan Hanisah Hasan dan Zuliana Eusoff sebagai pemenang.

Merupakan sebuah pertandingan yang memberi peluang kepada pencipta lagu amatur untuk mempertandingkan hasil ciptaan masing-masing, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pendengar stesen tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim berkata, sejak pertandingan tersebut dimulakan pada bulan Februari lalu, pihak Hot FM telah menerima sebanyak 1,052 penyertaan.

"Penyertaan pada peringkat pertama telah bermula pada 10 hingga 23 Februari yang lalu. Menerusi kesemua lagu yang dihantar itu, hanya enam lagu sahaja yang terpilih ke peringkat akhir.

"Keenam-enam lagu tersebut telah dimuat naik ke dalam laman web Hot FM bermula pada 1 Mac. Kemudian pendengar akan memilih lagu yang terbaik menerusi undian di laman web dalam tempoh selama seminggu," ujarnya dalam satu majlis pengumuman pemenang yang berlangsung di Talent Lounge, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Anida, pemilihan peringkat pertama dibuat oleh pihak Hot FM bersama komposer berbakat, AG Coco yang juga bertindak selaku penasihat, manakala pemenang utama pula dipilih 100 peratus menerusi undian pendengar.

Ujarnya, sepanjang tempoh seminggu undian dibuka, sebanyak 13,000 undian yang telah diterima dan lagu Biarlah dipilih sebagai pemenang setelah mendapat undi tertinggi iaitu 4,418.

"Pada mulanya kami mahu memilih lima lagu terbaik sahaja untuk ke peringkat akhir. Bagaimanapun, berdasarkan sambutan yang cukup menggalakkan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menambah lagi sebuah lagu.

"Selain itu, Projek EP Hot FM akan berlangsung dalam dua pusingan lagi. Pusingan yang kedua akan bermula pada 28 April ini dan pusingan ketiga dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri," jelasnya.

Menurutnya, hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut akan menerima penajaan sepenuhnya daripada Hot FM untuk menerbitkan single serta proses rakaman dan klip video.

Sementara itu, AG Coco yang turut terlibat secara langsung menyatakan bahawa lagu Biar itu sememangnya menjadi pilihan berdasarkan kepada susunan muzik dan liriknya yang memenuhi cita rasa pendengar.

Namun begitu, dia mengakui berhadapan dengan cabaran memandangkan penyertaan yang diterima agak banyak dan memang sukar buat dirinya dan pihak Hot FM membuat pilihan bagi mencari enam lagu terbaik untuk ke peringkat akhir.

"Bagi saya pendekatan yang dilakukan oleh Hot FM ini sesuatu yang sangat positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pencipta lagu yang berbakat. Jadi, pertandingan sebegini dapat menjadi platform kepada sesiapa sahaja yang mahu berkarya," ujarnya.

Ciptaan bersama

Berkenaan dengan kemenangan yang diraih oleh lagu Biar setelah mendapat undian yang tertinggi, Hanisah, 20, yang mencipta lagu tersebut bersama rakannya, Zuliana, 20, meluahkan rasa gembira dan tidak menyangka lagu berkenaan digemari ramai.

Ujar Hanisah, lagu tersebut telah dihasilkan oleh mereka berdua sejak masing-masing berusia 16 tahun, tetapi ia tidak siap sepenuhnya sehinggalah mereka kembali menyambungnya pada awal tahun ini.

"Penyertaan kami dalam Projek EP Hot FM berlaku secara kebetulan apabila ada rakan yang menyarankan supaya menyertainya apabila mengetahui yang kami baru sahaja menyiapkan lagu ini.

"Walaupun sudah agak lama lagu ini terperap setelah mula dihasilkan empat tahun lalu, kami berpuas hati kerana ia menjadi pilihan ramai," ungkapnya yang turut menyanyikan lagu berkenaan secara duet bersama Zuliana.

Atas kemenangan tersebut, Hanisah menyatakan bahawa dia dan Zuliana berminat mencipta lagu untuk penyanyi lain, namun mahu meraih lebih banyak pengalaman dalam bidang penciptaan lagu terlebih dahulu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved