Jumaat, 25 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta Sharnaaz, Nelydia berakhir

Posted:

Cinta Sharnaaz, Nelydia berakhir

Cinta Sharnaaz, Nelydia berakhir

CERITA cinta antara Sharnaaz Ahmad yang memegang watak Jebat dan Nelydia Senrose yang memegang watak Mastura dalam drama bersiri 60 episod Bukan Kerana Aku Tak Cinta telah berakhir pada malam Selasa lalu.

Meraih jumlah penonton yang tinggi melebihi angka 600,000 penonton, kedua-dua pelakon itu mampu tersenyum lebar dan menelan segala kontroversi yang melanda mereka berdua sepanjang penggambaran drama yang mula ditayangkan pada 9 Disember tahun lalu di saluran Mustika HD.

Sharnaaz yang sempat menimbulkan kontroversi apabila memuat naik gambar mesranya bersama Nelydia di laman Instagram sehingga menimbulkan api cemburu kekasih Nelydia, Qi Razali mengakui tidak ada masalah andai mereka berdua digandingkan sekali lagi dalam projek seterusnya.

Selain itu dia juga ingin menamatkan persengketaan antara dia dengan salah seorang pelakon drama tersebut, Lisdawati. Sementelah mereka bergaduh kerana hal yang remeh pada hari terakhir penggambaran drama tersebut.

Nelydia pula enggan mengambil pusing soal kontroversi dia dikatakan sedang bercinta dengan Sharnaaz dan memberitahu hanya menjalankan tugasnya sebagai pelakon untuk menjayakan drama terbitan Pena Creative Sdn. Bhd. milik penerbit terkenal, Ziela Jalil.

Sharnaaz adalah Jebat

Bertemu dengan Sharnaaz pada majlis tayangan episod terakhir drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di pusat membeli-belah Encorp Strand di Kota Damansara, Selangor pada Selasa lalu, pelbagai perasaan jelas kelihatan pada wajahnya.

Gembira dan teruja kerana drama tersebut mendapat sambutan hangat penonton serta lega kerana selepas ini dia bebas daripada segala kontroversi yang timbul sepanjang penggambaran drama yang diadaptasi daripada novel itu.

Bagaimanapun, katanya, dia bukan sengaja mencipta kontroversi untuk menarik perhatian penonton dengan memuat naik gambar mesranya bersama Nelydia, tetapi perkara tersebut dilakukan untuk mempromosikan drama lakonan mereka.

"Beginilah, ini penjelasan tentang saya dan Nelydia. Saya ambil duit orang, jadi saya harus buat kerja. Sudah menjadi tugas saya untuk mempromosikan drama tersebut. Saya berlakon dengan ikhlas dan memberi sepenuh jiwa saya dalam drama ini.

"Hal gambar itu sudah pun selesai. Tidak ada yang perlu diungkitkan lagi. Kami profesional sebagai pelakon dan bagi saya Nelydia seorang pelakon yang bagus," katanya tegas.

SHARNAAZ mengaku watak Jebat di dalam drama ini amat dekat dan sesuai dengan dirinya.


Menjawab kontroversi perbalahannya bersama pelakon Lisdawati yang berlaku pada hari terakhir penggambaran drama tersebut pula, jelas Sharnaaz, jika boleh dia mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin.

Katanya: "Perkara itu berlaku kerana hal yang kecil. Apa yang berlaku biarlah ia berlalu tetapi apa yang patut diselesaikan harus diselesaikan secepat mungkin. Saya tidak mahu nanti jika saya mati, mata saya tidak tertutup rapat kerana hal ini".

Dalam pada itu, Sharnaaz tidak henti mengucapkan rasa syukurnya atas sambutan hangat peminat memandangkan pada awal namanya disebut untuk memegang watak Jebat ada segelintir pihak yang tidak setuju dengan pemilihannya.

"Alhamdulilah, saya bersyukur dengan sambutan yang diberi peminat. Sejujurnya, saya tidak menyangka sambutannya begini hebat dan ramai peminat yang datang untuk menonton episod akhir bersama kami.

"Kerja keras saya berbaloi. Bukan saya yang menjadikan watak ini hebat tetapi kru produksi yang bertungkus lumus siang malam bagi memastikan watak ini berjaya di kaca televisyen.

"Saya amat menghargai pada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Jujur saya katakan saya bimbang andai penonton drama ini tidak konsisten untuk setiap episod tetapi kebimbangan saya meleset apabila jumlah penonton semakin meningkat," ujarnya.

Tutur Sharnaaz lagi, penyumbang kejayaan kepada kecemerlangannya membawa watak Jebat mungkin kerana watak itu cukup dekat dengan dirinya di alam realiti.

"Jebat adalah saya seratus peratus. Ada masa naik angin, keras kepala, suka berlawak dan jujur dalam apa yang dikatakan. Kiranya saya membawa watak lelaki Melayu tulen. Apabila saya botakkan kepala, ramai yang menyoal tindakan saya tetapi itu cara saya untuk membawa watak Jebat dengan cara saya sendiri," ulasnya gembira kerana Jebat diterima ramai.

Enggan tonton lakonan sendiri

Apabila ditanya adakah dia sempat menonton lakonannya sendiri, Sharnaaz hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Selain kekangan masa, akuinya, dia sebenarnya cukup takut untuk melihat lakonannya sendiri.

Jelas lelaki kelahiran Pulau Pinang itu: "Sebenarnya saya cukup sibuk sampai tiada masa untuk tonton televisyen walaupun saya merakam setiap episod drama ini. Ramai yang tidak tahu yang saya cukup takut melihat lakonan sendiri.

"Sebabnya, saya takut tidak berpuas hati dan timbul perasaan kecewa dalam hati saya. Untuk menggelak perkara itu berlaku saya tidak pernah menonton satu episod pun lakonan saya dalam drama ini. Biarlah penonton yang menilai."

NELYDIA mengaku mahu melakonkan babak sebagai wanita hamil kerana belum mempunyai pengalaman sebenar seperti itu.


Qi sokong Nelydia

Tuah mungkin menyebelahi aktres berusia 19 tahun ini. Apa sahaja karya yang dapat di tangannya pasti menjadi fenomena. Namun, serupa dengan Sharnaaz, Nelydia juga terasa tempias kontroversi gambar mesranya bersama Sharnaaz.

Enggan mengambil pusing dan memberitahu cerita itu sudah basi, tegas Nelydia, meskipun pernah berlaku kontroversi disebabkan gambar mesra dia tidak kekok andai digandingkan sekali lagi bersama Sharnaaz.

Walaupun kekasihnya, pelakon dan pengacara, Qi Razali dikatakan sempat cemburu kemesraannya bersama Sharnaaz, tetapi lelaki itu tidak berhak mencorakkan masa depannya.

"Saya belum berkahwin. Jadi, sekarang ini ibu bapa saya yang berhak sepenuhnya terhadap apa yang saya lakukan. Justeru, saya rasa tidak timbul isu sama ada Qi memberi kebenaran kepada saya berlakon dengan Sharnaaz atau pun tidak.

"Semuanya terpulang kepada saya sendiri. Saya berhak sepenuhnya untuk mencorak masa hadapan dan menerima tawaran lakonan. Mengapa saya perlu minta kebenaran orang lain, jika saya rasa selasa saya akan terima tawaran itu," jelasnya panjang lebar.

Sungguhpun begitu, akui Nelydia, kekasihnya itu sentiasa memberi sokongan dan amat memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Saya tidak tahu Qi tonton atau tidak drama lakonan saya ini, tetapi rasanya tidak kerana dia juga sibuk dengan kerjayanya. Walaupun keluar bermacam cerita kurang enak sebelum ini, Qi sentiasa memberi sokongan kepada saya.

"Dia tidak mengawal saya malah amat menghormati setiap keputusan yang saya buat. Setakat ini saya cukup senang bersamanya," katanya.

Bercakap soal masa depannya bersama Qi yang telah mencecah usia 37 tahun, Nelydia menyerahkan semuanya kepada takdir kerana buat masa ini dia tidak merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.

Jelasnya: "Soal tentang bertunang atau kahwin itu berada di luar kawalan saya kerana itu soal jodoh. Tidak semestinya saya bercinta dengan seseorang saya pasti berkahwin dengannya.

"Benar, kami ada berbincang tentang perkahwinan tetapi buat masa ini saya selesa begini. Jika ingin berkahwin haruslah meminta kebenaran ibu saya terlebih dahulu bukannya saya,"

Namun, sebagai wanita, Nelydia tidak menolak andai dia dipertemukan jodoh pada usia yang muda kerana sasarannya untuk menamatkan zaman bujang adalah pada usia 24 atau 25 tahun.

"Saya tahu Qi lebih berusia daripada saya dan dia sangat matang kerana sudah melalui pelbagai pengalaman hidup. Usia hubungan kami pun baru setahun lebih, jadi saya tidak berani cakap yang dia adalah lelaki pilihan untuk berkahwin.

"Kalau dipertemukan jodoh awal saya tidak kisah, saya juga tidak mahu berkahwin dalam usia terlalu lewat. Umur 24 atau 25 itu sedang elok untuk saya berkahwin," katanya tanpa berselindung.

SHARNAAZ dan Nelydia sekali lagi akan berganding di dalam drama rantaian berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.


Malu berlakon adegan romantis

Walaupun berpengalaman dan sudah berlakon dalam beberapa buah drama popular, Nelydia mengakui dia masih berasa kekok dan malu apabila berlakon dalam adegan romantis dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Ujarnya, apabila dia menonton drama tersebut ada beberapa adegan yang dirasakan keterlaluan baginya, namun masih ada batas sesuai dengan adat dan budaya masyarakat Malaysia.

Ujarnya: "Ada juga beberapa adegan yang agak keterlaluan dan malu untuk saya lakonkan. Antaranya adegan saya sedang hamil sambil mengusap-usap perut. Adegan itu bagi saya paling sukar kerana saya tidak pernah mempunyai pengalaman hamil jadi adegan itu agak pelik untuk saya.

"Lama juga masa yang saya ambil untuk selesaikan adegan itu. Mana tidaknya baru mula dialog saya sudah ketawa. Selain itu babak romantis saya bersama Sharnaaz juga yang membuat saya sangat segan untuk berlakon."

Meskipun memberi lakonan yang terbaik dalam drama itu, Nelydia mengakui dia masih bimbang dengan penerimaan penonton terutamanya pembaca setia novel tersebut.

Dia memberitahu membaca novel tersebut sebelum penggambaran bermula dan telah memasukkan sebanyak mungkin input di dalam watak yang dimainkan. Bagaimanapun, akuinya dia masih bimbang adakah lakonannya sebaik imaginasi pembaca novel itu?

"Sebenarnya, saya takut terlebih gedik atau mengada-ngada kerana watak Mastura memang begitu. Bagaimanapun, selepas melihat kepada sambutan yang diberikan, saya yakin telah membawa watak itu dengan baik," balasnya yang bakal terbang ke Perancis tidak lama lagi untuk penggambaran sebuah drama.

Fauzi mahu bersemuka segera

Posted:

Fauzi mahu bersemuka segera

Fauzi mahu bersemuka segera

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SEBAGAI seorang suami, Fauzi amat mengambil berat soal isterinya, Lisdawati lebih-lebih lagi apabila dia hamil sewaktu diherdik Sharnaaz.


PADA bulan Februari lalu, kecoh seketika berhubung kontroversi yang membabitkan pelakon drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta iaitu Sharnaaz Ahmad dan Lisdawati ketika menjalani penggambaran.

Lisdawati yang juga isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, telah diherdik oleh Sharnaaz ketika penggambaran berlangsung sehingga dia dan suami terpaksa membuat laporan polis.

Berdasarkan laporan tersebut, Sharnaaz pula mendakwa, Fauzi telah menghina ibu bapanya dan telah memberi peringatan kepada pasangan suami isteri itu untuk menyaman mereka.

Berkesempatan bertemu dengan Fauzi sewaktu majlis pratonton filem Sang Pemberani di Cathay Cineplex, Petaling Jaya, Selangor semalam, dia ditanya mengenai perkembangan kontroversi tersebut.

Ini kerana Sharnaaz yang ditemui media pada majlis tayangan episod akhir drama rantaian tersebut awal minggu ini menyatakan, mahu menyelesaikan kontroversi tersebut segera dan melupakan apa yang telah terjadi.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan perkembangan kes yang berlaku antara Fauzi dan Sharnaaz sekarang ini?

FAUZI: Sebelum saya pergi menunaikan ibadah umrah bulan lalu, Sharnaaz ada mengatakan yang dia ingin menyaman saya. Setelah saya kembali ke Malaysia, saya masih belum menerima sebarang surat saman atau dihubungi oleh peguamnya. Kalau ditanya tentang perasaan saya, sudah tentu kontroversi ini sesuatu yang sangat mengecewakan. Sepanjang 17 tahun bergelar anak seni, belum ada kes lagi seorang pelakon lelaki yang mengherdik wanita hamil.

Apakah tujuan anda membuat laporan polis setelah kontroversi tersebut timbul?

Pertama sekali, ia sebagai tindakan untuk melindungi isteri saya yang sedang sarat mengandung, bukan semata-mata mahu mengejar publisiti. Setelah laporan dibuat, saya terus bawa isteri ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan memastikan kandungan isteri saya tidak ada apa-apa. Mengenai tuduhan yang mengatakan saya menghina ibu bapa dia itu sudah tentu tidak benar sama sekali. Kalau dia mengaku ada mempunyai bukti, tunjukkan sahaja bukti tersebut.

SHARNAAZ memberitahu, dia mahu menyelesaikan kontroversi bersama Fauzi dan Lisdawati dengan segera.


Sharnaaz baru-baru ini sudah membuat permohonan maaf atas masalah yang telah berlaku. Kalau boleh dia kata tidak mahu meninggal dunia dengan mata tidak tertutup rapat kerana kontroversi ini belum selesai. Bolehkah anda komen mengenai perkara tersebut?

Kenapa baru sekarang dia membuat kenyataan untuk meminta maaf pula, sedangkan ia sepatutnya diselesaikan sejak awal lagi? Apabila sudah menjadi kecoh, baru dia ingin memohon maaf pula. Sekarang saya masih mahu bersemuka dengannya untuk menyelesaikan masalah ini. Sebelum ini dia pernah berkata mahu berjumpa selepas isteri saya bersalin, tetapi saya rasa itu tidak perlu (tunggu sehingga lepas bersalin) kerana saya dan isteri bersedia pada bila-bila masa sahaja.

Adakah anda akan memberi kebenaran untuk isteri berlakon dalam sesebuah penerbitan sekiranya ia turut membabitkan Sharnaaz?

Sebenarnya saya tidak ada masalah memberi keizinan kepada isteri untuk dia berlakon dengan sesiapa sahaja, termasuk Sharnaaz. Cuma saya mahu masalah dengan Sharnaaz ini perlu diselesaikan terlebih dulu dan kami mahu bersemuka dengannya. Dalam industri hiburan kita yang tidak terlalu besar ini, rasanya kurang sesuai pula kalau saya mahu menghalang isteri. Lagipun saya percaya isteri dapat menjaga dirinya dengan baik.

Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang ini?

Ketika ini saya sedang menjalani penggambaran dua buah drama bersiri iaitu Fajar Aiman terbitan Suhan Movies dan Kudus yang diterbitkan oleh A. Aida Production yang akan disiarkan di TV3. Filem pertama arahan saya berjudul Pak Pung pula berkemungkinan besar akan ditayangkan pada tahun ini. Selain itu, saya turut terbabit dengan syarikat MAFIcomm Resources Sdn. Bhd. yang menerbitkan filem di Indonesia.

Hafiz tak pakai bomoh

Posted:

Hafiz tak pakai bomoh

Hafiz tak pakai bomoh

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

HAFIZ menafikan dirinya terlibat dengan perbuatan khurafat dan terjebak dengan gejala sosial.


POPULARITI dan kejayaan yang diraih Hafiz membenarkan pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya. Ada yang mendakwa penyanyi kelahiran Sarawak itu mengamalkan ilmu hitam untuk kekal bertahan dalam industri.

Menjawab dakwaan itu Hafiz sama sekali menyangkal tuduhan berkenaan dan percaya rezeki yang diterimanya hingga kini berkat usaha dan niat yang baik.

"Mengarutlah! Siapa kata kalau mahu berjaya perlu pakai ilmu hitam? Malah dalam apa jua perkara pun amalan itu ditegah agama dan tidak elok.

"Kalau betul saya pakai ilmu hitam saya tidak menjadi diri saya sekarang, sudah tentu saya dihina dan dicaci. Saya percaya setiap apa yang dilakukan berlandaskan berkat dan niat yang baik.

"Memang hasad dengki itu sentiasa ada dan tentunya ada saja pihak yang cuba mereka cerita yang boleh menjatuhkan orang. Saya berani kerana benar!" tegasnya yang ditemui usai mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ambil dadah?

Tidak terlepas daripada dakwaan nakal yang kurang berasas, penurunan berat badan daripada 70 kilogram kepada 55 kilogram penyanyi itu juga mengundang persepsi negatif, bahawa Hafiz mengambil dadah.

"Apabila orang nampak kita gembira orang tidak senang. Pastinya kalau saya mengambil dadah saya bukan seperti yang dilihat sekarang.

"Saya akan menyendiri dan tidak bergaul dengan orang. Saya belajar keburukan pengambilan dadah kerana bagi saya itu adalah pembunuh karier saya.

"Saya cintakan kehidupan saya sekarang dan mahu teruskan masa depan saya," jelasnya yang cuba mengelak daripada terjebak dengan gejala sosial, maksiat, dadah dan arak.


DUET dua buah lagu bersama Adira termasuk lagu Ombak Rindu membuat tetamu teruja.


Tak berbaloi

Sementara itu, sempena Minggu Setiausaha Coop Matrade, Hafiz cuma mendendangkan empat buah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi undangan, Adira Suhaimi.

Dengan bayaran yang dikenakan bermula RM580 hingga RM780, ada yang menyifatkan persembahan itu tidak berbaloi dengan nilai yang dikenakan.

"Kalau boleh memang saya mahukan lebih daripada itu tapi jumlah lagu telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan saya menurut saja apa yang telah diberikan.

"Alhamdulillah untuk pertama kali mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha tahun ini sambutan yang diterima amat memberangsangkan," katanya.

Risaukah dengan kesan yang bakal dihadapi kelak apabila kadar bayaran yang terlalu tinggi dikenakan untuk menyaksikan persembahan Hafiz hingga mungkin ada syarikat yang takut untuk mengundang selepas ini?

Ini jawapan Hafiz: "Saya tiada masalah. Sebarang proses perbincangan mengenai bayaran bergantung pada pengurusan saya. Memang apabila difikirkan kembali bayaran itu mahal tapi berdasarkan tema A Golden Moment With Hafiz sudah tentu bayaran itu berbaloi."

Pada majlis tersebut, dia menghiburkan lebih 400 tetamu yang hadir menerusi lagu hitnya Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, medley Pelangi Petang, Terasing dan Salam Terakhir.

Sebelum itu, Adira membuka majlis dengan dua buah lagu popularnya Ilusi dan Dewi Cinta sebelum berduet bersama Hafiz menerusi lagu Ombak Rindu dan Muara Hati.

Penyanyi itu juga telah mencuri tumpuan apabila menyanyikan lagu All Of Me (nyanyian asal John Legend) sambil bermain piano buat pertama kalinya ketika beraksi di pentas.

Kata Hafiz: "Saya mahu memberikan kelainan dengan bermain instrumen muzik yang saya pelajari menerusi Youtube saja beberapa bulan sebelum ini."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved