Isnin, 21 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ziana Zain selepas 23 tahun

Posted:

Ziana Zain selepas 23 tahun

Ziana Zain selepas 23 tahun

BEZANYA Siti Roziana Zain pada tahun 1991 dan 2014 jelas sekali dari segi penampilan dan keupayaan vokal lantangnya. Walaupun pada awal pembabitan figura empunya nama pentas Ziana Zain itu kalah dari segi imej, namun keunggulan vokalnya tiada tandingan dengan mana-mana artis.

Seiring dengan pertambahan usia dan kematangan, Ziana tidak terlepas daripada kritikan vokal yang sudah tidak sekencang zaman mudanya.

Paling jelas, ketika beliau beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-23 pada 2008 menerusi lagu Dingin yang menduga Ziana sebagai penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Voice Of Asia 1995.

Mungkin ada yang melihat bisa Ziana tidak lagi setanding dahulu apatah pula untuk mengadakan sebuah konsert mega pada usia yang memasuki angka 46 tahun ini.

Mudah bagi Ziana kerana prinsipnya, ukurlah baju di badan sendiri. Menyanyi mengikut kudrat dan kemampuannya tanpa perlu memaksa diri menjadi terlalu mencuba hingga akhirnya gagal.

"Asasnya saya menyanyi dengan stamina yang ada pada usia sekarang dan tidak seperti usia muda.

"Syukur Alhamdulillah, saya diberikan julat vokal yang besar maka jika diturunkan satu not pun tidak jauh bezanya selagi masih kedengaran enak dan tidak mencacatkan," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert I Am Ziana Zain di Hotel Royale Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

I Am Ziana Zain

Atas dasar kematangan, tambah Ziana, seiring dengan peningkatan usia, beliau sudah arif dengan selok-belok dunia hiburan dan tahu apa yang dimahukan.

"Pemikiran dan penampilan pun berbeza. Sejujurnya, industri seni telah mematangkan saya sebagai Ziana Zain dan membuka mata saya. Terhasilnya saya kerana cara saya sendiri mengikut peredaran masa," ujarnya.


ZIANA ZAIN teruja untuk mengadakan Konsert I Am Ziana Zain yang bakal berlangsung pada 27 September depan di MITC, Melaka.


Bercerita lebih lanjut mengenai konsep persembahan Konsert I Am Ziana Zain yang bakal berlangsung pada 27 September depan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka, kata Ziana beliau hanya akan menyanyikan lagu-lagu miliknya saja sepanjang tempoh dua jam konsert berlangsung.

"Konsep persembahan saya adalah I Am Ziana Zain maka lagu-lagu pun seharusnya lagu nyanyian saya. Dari segi pemilihan lagu rasanya terlalu banyak lagu yang belum pernah saya nyanyikan sebelum ini untuk saya rangkumkan sempena konsert ini.

"Contohnya, lagu-lagu daripada album kedua saya (Ziana Zain, 1993) yang teringin untuk saya nyanyikan, malah album itu pun saya sendiri tiada dalam simpanan," ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut konsep yang diinginkan untuk Konsert I Am Ziana Zain, kata Ziana, dia inginkan sebuah persembahan pelbagai warna sepanjang perjalanan kariernya termasuk sebuah slot tribute kepada komposer dan penulis lirik kegemarannya seperti Zuraini Khalid dan Adnan Abu Hassan.

Ziana memberitahu, konsert yang dibawakan oleh Gold Earth Pictures Sdn. Bhd. itu akan menampilkan artis undangan yang dirahsiakan terlebih dahulu.

Konsert itu diberi judul sempena nama yang digunakan untuk akaun Twitter dan Instagram peribadi Ziana (@iamzianazain).

Anjak tarikh

Dalam pada itu, konsert yang asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan April ini sebenarnya telah ditunda ke tarikh berkenaan untuk menghormati tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH307.

"Penundaan ini sekurang-kurangnya memberikan saya dan produksi terbabit lebih masa untuk bersedia dalam banyak hal selain menghormati tragedi pilu yang melibatkan negara kita," jelasnya.


ZIANA sedar kemampuan vokalnya sudah tidak sehebat zaman muda.


Ziana meletakkan konsert adiknya, Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari tahun lalu sebagai garis panduan dan ukuran untuk kejayaan konsertnya nanti.

Tambah Ziana, beliau mementingkan tiga perkara sepanjang perjalanan konsertnya iaitu pencahayaan, sistem bunyi dan susunan muzik.

Lantas penyanyi lagu Madah Berhelah itu melantik Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik yang akan mengemudi lebih 22 buah lagu sepanjang konsert itu.

"Malah, saya menjadikan Konsert Teaterikal Suara Kita sebagai pembakar semangat untuk mengadakan konsert ini.

"Bayangkan, dengan usia saya sekarang saya mampu berlari ke sana sini menggunakan kasut tumit tinggi, menukar pakaian seperti persembahan di Las Vegas dan kembali semula ke pentas untuk menyanyi dan berlakon.

"Maknanya, saya masih boleh melakukannya tapi kena menjaga pernafasan dan stamina," tambahnya.

Balik Melaka

Berbeza daripada kebanyakan konsert mega yang memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi ideal untuk mengumpulkan semua peminat, Ziana pula sebaliknya. Dia memilih untuk pulang ke kampung halaman di Melaka.

"Melaka ada kelainan kerana ramai peminat saya terdiri daripada orang kampung halaman. Kalau boleh saya mahu melakukan konsert di lokasi yang lagi jauh.

"Bajet berbeza-beza kalau di Kuala Lumpur dan Melaka. Insya-Allah, saya rasa ia dapat dikurangkan serba sedikit kalau dilakukan di luar bandar tapi tidak bermakna konsert yang berskala kecil tidak mampu kelihatan mega," ujarnya optimis.

Tiket Konsert I Am Ziana Zain dijual pada harga RM325 (platinum), RM255 (diamond), RM155 (gold) dan RM95 (silver). Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.ticketpro.com.my atau pembelian terus di pejabat urusan Gold Earth Pictures Sdn. Bhd..

Aset Gisele Bundchen disiasat

Posted:

Aset Gisele Bundchen disiasat

Aset Gisele Bundchen disiasat


GISELE BUNDCHEN kesal dirinya sering dinobatkan sebagai supermodel terkaya di dunia.


EKORAN namanya sudah tujuh tahun berturut-turut dinobatkan sebagai supermodel yang meraih pendapatan tertinggi di dunia oleh majalah Forbes, Gisele Bundchen telah meraih perhatian jabatan cukai Amerika Syarikat.

Siasatan terhadap aset kekayaan yang dimilik figura jelita kelahiran Brazil itu telah dilakukan oleh pihak IRS (America's Internal Revenue Service).

Gisele dalam kenyataannya kepada laman web, Mdemulher berkata: "Sangat menyedihkan apabila ada pihak yang menulis tentang pendapatan saya tetapi sebenarnya tidak pasti tentang perincian akaun bank saya."

Tambahnya: "Sememangnya pendapatan hasil kerjaya saya sebagai model memberangsangkan tetapi jumlahnya tidaklah setinggi seperti yang dilaporkan (Forbes).

"Pihak IRS sudah pun melakukan siasatan terhadap pendapatan saya ekoran nama saya sering dipaparkan sebagai nombor satu dalam senarai supermodel terkaya di dunia."

Gisele mengakui kesal kerana namanya diletakkan sebagai juara carta tersebut.

"Saya juga manusia biasa, seorang wanita, isteri dan ibu yang sedang membesarkan anak-anak, kenapa pula isu tentang pendapatan tahunan yang diraih saya diperbesar-besarkan?" getus Gisele.

Syamsul, Syafiq tak sangka sanding serentak

Posted:

Syamsul, Syafiq tak sangka sanding serentak

Syamsul, Syafiq tak sangka sanding serentak

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


DARI kiri: Syamsul, Sarah, Aeisha dan Syafiq gembira dapat meraikan bersama hari bahagia mereka di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MAJLIS persandingan anak lelaki penerbit filem terkenal, Datuk Mohd. Yusof Haslam, Syamsul dan Syafiq bertambah meriah apabila mereka berdua naik pelamin serentak.

Tidak pernah merancang dan menyangka perkara tersebut menjadi kenyataan, menurut Syamsul, 30, yang segak bertanjak di samping isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 29, bersyukur kerana persandingan serentak itu merupakan impian ibu dan bapanya.

"Sebenarnya, saya tahu Syafiq akan berkahwin dahulu sebab dia sudah lama bertunang. Tidak sangka pula hari ini kami duduk atas pelamin bersama. Sebenarnya dua tiga tahun lepas saya pernah bergurau ingin bersanding sekali. Tidak sangka pula gurauan itu menjadi kenyataan.

"Ikutkan memang ayah dan ibu kami paling gembira kerana mereka menyimpan impian untuk melihat kami bersanding bersama. Saya bersyukur kerana perkahwinan kami cukup menggembirakan mereka," kata Syamsul.

Tambah Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul, kehadiran Sarah sebagai isteri telah melengkapkan kehidupannya.

"Sebelum ini saya rasa ada perkara yang tidak lengkap dalam hidup. Selepas berkahwin, baru saya sedar perkahwinanlah yang saya perlukan. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan orang yang sangat memahami saya," ujarnya.

Bulan madu

Bercakap tentang bulan madu, kata Syamsul, beberapa hari selepas dinikahkan pada 8 Mac lalu, mereka telah bercuti di Pulau Pinang.

"Itu kira bulan madu untuk kami. Tidak semestinya berbulan madu harus ke luar negara," ucap Syamsul yang menyerahkan rezeki anak kepada Allah.

Apabila disoal tentang masa depan kerjayanya selepas filem KL Gangster 2 yang menelan belanja RM4.5 juta dicetak rompak sebelum tayangannya, Syamsul terdiam sebentar.

"Apa yang berlaku saya biarkan ia berlalu. Saya percaya dalam hidup seseorang tidak kira sesiapa pun, kita akan diberi satu ujian yang besar. Saya bersyukur ujian besar diberi kepada saya ketika saya berusia 29 tahun bukannya 39 tahun. Lebih baik ujian datang awal daripada lewat," jawabnya.


IMPIAN Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail untuk melihat dua anak lelaki mereka bersanding serentak terlaksana.


Meskipun kecewa dengan apa yang telah berlaku, Syamsul tetap akan terus berkarya sebagai pengarah. Terbaharu, dia kini dalam proses menulis skrip filem seram keduanya yang berjudul Munafik.

"Sekarang, saya bekerja dengan bijak kerana sudah ada keluarga yang harus dijaga. Tidak boleh bekerja teruk seperti dahulu. Kesihatan harus diutamakan.

"Ada tiga buah filem yang masih dalam proses perbincangan. Cuma buat masa ini saya fokus kepada filem seram terlebih dahulu," katanya sambil ditemani Sarah yang tidak bersuara sedikit pun ketika temu bual dijalankan.

Nikah muda

Beralih kepada Syafiq, 22, dan pasa- ngan seusianya, Aeisha Zainal yang telah dinikahkan pada 5 April lalu di Surau Tabung Haji, Kuala Lumpur, mereka cukup gembira apabila dapat bersanding serentak.

"Saya cukup seronok kerana dalam majlis persandingan ini, saya dapat jumpa ramai rakan dan artis lama yang sebelum ini saya jumpa ketika kecil. Selain itu, saya cukup terharu apabila kakak saya, Nursyamin membacakan sajak buat kami berdua," ujarnya.

Soal berkahwin pada usia yang muda, tegas Syafiq, itu bukanlah satu masalah, sebaliknya rahmat kerana dikurniakan isteri pada usia muda.

"Kami bukan ikut trend, sebaliknya sudah ditentukan jodoh kami pada usia muda. Kami berkahwin selepas empat tahun bercinta dan bertunang ketika tempoh perkenalan masuk usia dua setengah tahun. Bagi saya, Aeisha seorang yang kelakar dan cukup memahami kerja saya," balas Syafiq.

Menurut Aeisha, mereka berkenalan ketika menuntut di kolej dan sangat tertarik dengan sikap baik hati suaminya itu.

"Saya sukakan Syafiq kerana dia seorang yang baik hati dan suka tolong orang. Dia tidak boleh lihat kawannya ditimpa kesusahan pasti dia akan tolong," kata Aiesha yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Meskipun masih muda, Syafiq dan Aiesha tidak merancang keluarga, sebaliknya andai dikurniakan cahaya mata segera, mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

Menyentuh tentang kerjaya Syafiq, kini dia sedang sibuk dengan proses akhir filem arahannya berjudul Abang Long Fadil yang akan ditayangkan pada 29 Mei depan.

"Banyak kerja yang harus dilunaskan sebelum filem Abang Long Fadil ditayangkan. Selain itu, saya juga sedang sibuk dengan proses suntingan filem Vila Nabila yang belum tahu tarikh tayangannya," beritahu Syafiq yang akan menetap bersama ibu bapanya selepas berkahwin.

Dalam majlis persandingan yang berlangsung pada malam Jumaat lalu di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian daripada Ziana Zain, Mawi, AC Mizal, Hail Amir dan Uji Rashid.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved