Ahad, 20 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tempoh dua tahun Maya Karin

Posted:

Tempoh dua tahun Maya Karin

Tempoh dua tahun Maya Karin

MAYA KARIN tidak perlu terlalu beria-ia untuk menampakkan sisi yang sempurna. Santai dan bersahaja, namun itu sudah cukup memberikan efek pesona.

Wanita berumur 34 tahun itu kelihatan lebih segar, muda dan ceria di sebalik potongan rambut paras bahu sejak awal tahun. Dia kini tampak lebih muda. Malah pelakon yang baru sahaja muncul dengan filem Sejoli itu semakin serasi dengan penampilannya.

"Sengaja saya potong rambut agak pendek. Ini gaya rambut paling pendek sejak tujuh tahun lalu. Lagi pun kontrak saya sebagai jurucakap satu jenama kosmetik antarabangsa sudah tamat hujung tahun lalu, saya pun dah rimas sangat asyik kena simpan rambut panjang," katanya yang bergelar duta produk itu sejak 2006.

Dari satu sisi yang lain, produk atau material di pasaran ialah bukti kelangsungan karier seseorang artis. Material yang paling mengesankan dalam karier Maya pula bukanlah produk yang dijajanya sebagai duta mahupun jurucakap, sebalik persembahan bakat yang mendapat tempat mata khalayak.

Lebih dikenali sebagai pelakon, kali ini Maya mahu dilihat sesegar kelopak yang kembang di pagi hari. Dia mahu penampilannya itu turut bercerita tentang Teka-Teki yang melantun-lantun di corong-corong radio ketika ini.

Kembali menyanyi

"Sebenarnya ini penampilan saya untuk album terbaharu saya, Teka-Teki yang baru sahaja dilancarkan, Jumaat lalu," ungkap Maya tersenyum.

Dia lega kerana akhirnya setelah sekian lama menanti, sebuah album yang dicita-citakan berjaya juga diterbitkan. Dalam tempoh sejak 24 Mac lalu, Maya hanya mampu bersabar dan menghitung waktu untuk membuktikan keseriusan bergelar penyanyi.

"Ikut perancangan asal, album dan persembahan Teka-Teki dilancarkan pada 24 Mac, tetapi sebagai masyarakat Malaysia, kita perlu akur dan menunjuk rasa hormat dan sensitif dengan kesedihan ramai akibat MH370.

MAYA KARIN mengakui karier nyanyiannya tidak sama tinggi dengan lakonan. Dia juga berasa kerdil berbanding penyanyi lain, namun sokongan serta dorongan daripada nama-nama besar dalam seni muzik menjadikan semangat dan keyakinannya meneruskan bidang nyanyian semakin menebal.


"Sebelum Jumaat lalu, kita juga rancang untuk lancarkan pada 1 April, tetapi ditunda juga. Penundaan itu agak merisaukan sebab single Teka-Teki sudah dilancarkan. Semasa lagu itu mula hendak dapat perhatian, suasana pula jadi gelap, tapi tak mengapa, saya mendapat keyakinan yang tinggi daripada peminat dan pendengar," katanya tentang keresahan awalnya sebelum Teka-Teki semakin mendapat tempat pada telinga pendengar.

Memilih Teka-Teki untuk mengembalikan ingatan peminat bahawa Maya Karin juga seorang penyanyi, penerima anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik serta dua kali menyandang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia itu akur, karier nyanyiannya jauh terkebelakang berbanding lakonan.

Kehadiran Teka-Teki menjadikan karya itu album ketiga Maya Karin sejak dia bertapak dalam industri hiburan tanah air kira-kira 11 tahun lalu. Namun, setiap kali hendak kembali menyanyi, dia harus mencuba dan mengumpulkan segala tenaga bermula dari 'kosong'.

"Dahulu saya pernah rasa kecewa, sekarang saya faham bahawa inilah ketentuan karier walaupun saya sebenarnya bermula dengan nyanyian. Saya membesar dengan lagu-lagu klasik, jazz, belajar piano sejak kecil.

"Semasa mula-mula bertandang di Kuala Lumpur semasa umur 18 tahun, saya pernah menyanyi di kelab-kelab jazz. Tapi entah bagaimana, lakonan pula yang menonjol," katanya memperoleh keyakinan untuk menyanyi hasil tunjuk ajar nama-nama besar dalam industri seperti Audi Mok dan Michael Veerappan.

Tunggu lamaran kekasih

Kongsi Maya lagi, biarpun sudah lama bergelar penyanyi, rasa kekok ada ketikanya bersarang dalam hati. Aktiviti seni yang lebih fokus ke arah lakonan juga menjadikan Maya lebih berhati-hati di atas pentas.

"Dahulu saya menyanyi tanpa rasa takut langsung, kemudian saya masuk ke dunia artis. Ketika itu, perhatian yang datang kepada saya lebih besar berbanding pencapaian. Hal-hal begitu yang memberi tekanan. Sekarang saya okey, lebih-lebih lagi selepas terlibat dengan Super Mokh The Musical. Saya kena berlakon dan menyanyi dengan Awie atas panggung Istana Budaya. Dua hari sebelum pementasan, saya macam hendak pitam, berdebar dan takut. Tapi selepas Michael Veerappan kata okey, barulah saya lega," ceritanya teruja.

Semakin meningkat usia, semakin matang juga dalam industri, selebriti berdarah kacukan Melayu-Jerman itu berasakan kehidupan tidak semestinya memihak ke arah kebahagiaan semata-mata.

Kegagalan dalam perkahwinan bersama Muhammad Ali Abdullah atau nama asalnya Steven David Shorthose juga antara titik penting kepada kehidupan Maya. Sejak bercerai pada 2010, empat tahun menjanda, status yang diusung oleh 'Izzah Ombak Rindu' itu juga membuatkan Maya tidak terlepas daripada persoalan cinta dan jodoh.

"Saya pun macam dalam lirik lagu saya juga, lagu Teka-Teki itu tentang pencarian hidup, tentang rahsia-rahsia yang belum menemukan jawapan.

"Saya mengaku, saya memang sedang memiliki 'si dia', tetapi siapa dia dan dari mana asalnya, saya mahu zip mulut dulu. Cukup setakat itu," laju sahaja Maya mengiakan dan menutup desas-desus tentang perhubungan istimewa yang sedang dijalin bersama seseorang ketika ini.

Bicara cinta ternyata tidak mahu dipanjangkan. Maya sendiri pernah menafikan bahawa lelaki Inggeris yang dilihat bersamanya dalam sebuah acara di ibu kota baru-baru ini sebagai kekasih baharunya seperti yang dimaksud selama ini.

Di sebalik privasi yang masih dikunci kemas, Maya berkongsi sebuah harapan.

"Kita tengoklah sejauh mana hubungan ini akan berterusan. Saya tunggu sehingga dua tahun sahaja lagi, kalau masih tidak ke mana, saya akan cari bahagia yang lain. Nak tunggu sampai umur berapa lagi, saya pun mahu kahwin," terang dan bernas jawab Maya saat ditanya tentang tempoh 'solo' serta keseriusan perhubungan dengan 'si dia' itu.

Nina tepis kisah silam kekasih

Posted:

Nina tepis kisah silam kekasih

Nina tepis kisah silam kekasih


HEIKAL enggan memberi sebarang komen tentang hubungan akrabnya dengan pelakon Yana Samsudin.


TIADA angin, masakan pohon boleh bergoyang. Itulah perumpamaan yang boleh diberikan terhadap hubungan pelakon Nina Iskandar dan bakal suaminya, Ahmad Heikal yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan.

Portal perkongsian berita Cari.com pernah melaporkan Heikal dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Hanis Zalikha dan Yana Samsudin.

Bukan sekadar gosip, beberapa keping gambar Heikal bersama Hanis dan Yana turut dimuat naik oleh ahli forum sebagai bukti ampuh.

Bagi mendapat kepastian, Nina, 23, yang ditemui pada majlis pelancaran kereta mewah Mini Cooper S di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini ditembak dengan perihal sikap buaya darat kekasihnya itu. Nina yang berasal dari Brunei itu ternyata tidak melatah dengan komen-komen pengguna forum.

Nina dalam nada defensif mempertahankan Heikal sampil mendakwa teman lelakinya itu telus dalam hal masa lampau. Katanya, mereka sama-sama berkongsi mengenai kisah peribadi masing-masing. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Nina.

Kosmo!: Adakah anda mengetahui Heikal pernah ada hubungan dengan Hanis Zalikha dan Yana Samsudin?

NINA: Ya, saya tahu tentang perkara tersebut. Saya dan Heikal mengamalkan sikap telus sesama sendiri. Saya tahu tentang masa silamnya dan dia juga tahu tentang gosip berkaitan dengan saya. Lagipun dia memang mempunyai ramai kawan dan ada antara mereka merupakan artis popular.


PELAKON Hanis Zalikha merupakan salah seorang selebriti wanita yang didakwa pengguna forum Cari.com pernah akrab dengan Heikal.


Apakah reaksi anda apabila ada individu cuba mengungkit kisah lama kekasih anda?

Semua orang ada masa silam masing-masing. Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang tidak berfaedah jika kita terus mengenang kisah-kisah tersebut. Apa yang telah berlaku biar berlalu.

Jawapan itu memberi bayangan anda sebenarnya perempuan perampas.

Itu tidak benar sama sekali. Orang luar boleh berkata apa sahaja yang mereka suka. Apa yang penting sekarang ialah saya sentiasa positif dengan apa yang berlaku.

Apakah pengajaran yang anda dapat apabila berhadapan dengan perkara-perkara sebegini?

Sebagai seorang pelakon baharu, saya tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Jika saya dilanda kontroversi dalam masa lima tahun lagi, mungkin perkara ini dapat mematangkan saya dalam menghadapi sebarang dugaan.

Adakah benar Heikal melarang untuk berlakon sebaik anda berdua mendirikan rumah tangga kelak?

Sebenarnya ia satu salah faham. Perkara ini masih boleh dibawa berbincang. Saya masih mahu berlakon dan niat saya datang ke sini (Malaysia) adalah untuk mengasah bakat dan melebarkan karier saya dalam bidang lakonan. Lagipun, kontrak lima tahun saya bersama Metrowelth masih berjalan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal membintangi sebuah telemovie Raya Ni Mesti Kahwin bersama Shah Iskandar. Ia akan ditayangkan pada hari raya Aidilfitri tahun ini.

Dynas nafi bercerai

Posted:

Dynas nafi bercerai

Dynas nafi bercerai

MENGAKUI isu cerai itu pernah dibangkitkan sejak empat tahun lalu, Dynas menegaskan hubungannya dengan suami (Hafizy) masih baik.


TANPA ribut, perkahwinan pelakon Dynas Mokhtar bersama suaminya Hafizy Hafiz dilaporkan hancur berkecai. Tanpa diperkukuhkan dengan kelibat mereka ke mahkamah, rekod permohonan cerai Dynas tidak dapat dipastikan.

Angin panas yang dimulakan sebuah portal hiburan itu akhirnya menjadi persoalan ramai. Benarkah kontroversi kencang perceraian Dynas yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008 itu sahih atau sekadar permainan gosip?

Berminggu-minggu mendiamkan isu itu sehingga reda, Dynas yang muncul dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini seperti menyerah diri kepada media. Bertubi-tubi diasak pelbagai soalan, dalam nada tenang, pelakon drama Di Bawah Ketiak Isteri itu membuat permintaan.

"Saya rasa tidak sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini kerana anak-anak ada di sini. Saya minta maaf. Saya tidak akan menjawab apa saja soalan mengenai perkara tersebut sebab hal ini akan memberi kesan kepada penganjur acara. Lain kali saya akan jawab," pinta pelakon tinggi lampai itu dalam wajah yang membayangkan sesuatu.

DYNAS MOKHTAR dan Hafizy Hafiz telah berkahwin pada tahun 2008.


Ditanya tentang kebenaran khabar perceraiannya, Dynas, 31, bagaimanapun menafikan cerita yang digembar-gemburkan itu. Demi menjaga hati dua keluarga dan mertua, Dynas terus membiarkan gosip portal itu tidak menjawab sekali gus hampir mengiakan dia kini berstatus janda.

"Isu ini melibatkan seluruh keluarga saya. Saya hanya boleh jelaskan bahawa hubungan saya dan suami (Hafizy) masih dalam keadaan baik. Kami masih berhubung seperti biasa.

"Biarlah orang luar bercakap tentang kami, asalkan hubungan saya bersama keluarga dan anak-anak tidak terjejas," tegas bunyi kenyataan ibu kepada dua cahaya mata, Khyra Khalyssa, 5, dan Mohamed Haqaish, 2, itu.

Tambah Dynas, dia masih bersama dengan anak-anak dan suaminya pula masih menghubunginya.

"Isu ini sudah diperkatakan sejak empat tahun lalu lagi. Ketika mendengar gosip ini saya dan suami tersenyum dan berasa agak lucu.


DYNAS bersama dua orang anaknya, Khyra Khalyssa dan Mohamed Haqaish.


"Bagi saya apa yang berlaku di rumah biar kekal di rumah sahaja sebab seingat saya, semasa akad nikah dahulu, tok kadi sendiri ingatkan dan menasihatkan kami begitu," katanya cuba berselindung.

Menganggap cerita-cerita pergolakan perkahwinannya di internet sebagai mengarut, Dynas bagaimanapun tidak mahu melatah. Sebagai selebriti, dia sedar, rela atau tidak, dia harus berdepan situasi begitu.

"Saya lihat apa yang tersebar di internet itu mengarut tapi sebagai orang dalam industri, inilah realiti yang perlu saya harungi," katanya yang baru selesai menjayakan drama berjudul Silir Kasih Bela terbitan RTM.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved