Rabu, 2 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Riuh musim kedua Kan-Cheong Kitchen

Posted:

Riuh musim kedua Kan-Cheong Kitchen

Riuh musim kedua Kan-Cheong Kitchen

TERBAHAGI kepada dua kumpulan, peserta Kan-Cheong Kitchen perlu memasak pelbagai hidangan sebelum dinilai para juri.


LAZIMNYA, setiap program realiti masakan yang disajikan sebelum ini adalah berbentuk formal dan serius. Namun, segalannya berbeza dalam sebuah program masakan terbitan 8TV iaitu Kan-Cheong Kitchen. Ingin lari daripada konsep stereotaip sebuah program masakan, Kan-Cheong Kitchen pasti membuatkan penonton teruja dek keriuhan para peserta.

Berpeluang melihat sendiri proses rakaman program masakan tersebut di Green Cow Studio, Bandar Sri Damansara baru-baru ini, suasana riuh-rendah disebabkan teriakan penonton amat mengujakan. Suasana yang dipenuhi dengan drama dan kelam-kabut itu sekali gus menyebabkan setengah jam proses penggambaran tersebut bagaikan tidak terasa.

Perjalanan program masakan tersebut bermula apabila dua pasukan diberi tugas untuk memasak tiga resipi dengan peruntukan masa 30 minit. Cabaran sebenar program masakan tersebut ialah apabila salah seorang anggota setiap pasukan diletakkan dalam sebuah bilik dan hanya dibenarkan menggunakan suara untuk mengarah rakan sepasukannya.

Menariknya, ahli pasukan yang diarah oleh rakannya itu tidak tahu-menahu langsung mengenai ilmu masakan. Hal tersebut menyebabkan segalanya menjadi kelam-kabut. Ahli pasukan yang ditugaskan memasak itu perlu peka terhadap arahan ahli pasukannya dalam bilik tersebut supaya dapat melakukan tugas dengan sempurna.

Di dalam bilik tersebut, sebuah kamera mini diletakkan di kepala ahli pasukan yang diarah untuk membolehkan rakan yang mengarah melihat setiap pergerakan ahli pasukannya melalui sebuah monitor yang tersedia di dalam bilik tersebut.

Hanya teriakan sahaja yang menjadi kekuatan setiap pasukan untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Namun, kekeliruan dek teriakan kedua-dua pasukan tersebut menyebabkan kekeliruan dan daripada situlah timbul pelbagai konflik dan detik yang mencemaskan.

Apabila orang ramai melihat program masakan sebegini, mesti terdetik di hati penonton dengan mengatakan ia merupakan sebuah program yang ditiru konsepnya daripada program masakan Jepun dan Korea. Namun siapa sangka, ia merupakan hasil idea asal daripada seorang produser muda.

Produser muda yang dimaksudkan ialah Muhammad Helmi Yahya. Pengalaman mengendalikan program-program besar dalam stesen televisyen 8TV sebelum ini termasuk 8TV Quickie dan Duit For Duit digunakan sepenuhnya oleh Helmi untuk mengendalikan program tersebut.

Mengulas mengenai sebab pihak produksi memilih nama yang agak unik untuk program tersebut, Helmi menjelaskan, nama tersebut merupakan istilah Mandarin yang membawa maksud riuh-rendah sesuai dengan suasana program masakan ini.

Tambahnya, musim kedua Kan-Cheong Kitchen juga akan disiarkan bermula hari ini sebanyak 10 episod manakala musim kedua yang menjalani sesi rakaman secara berterusan akan disiarkan menjelang penghujung tahun ini.

CEF NIK MICHAEL tidak mahu melepaskan peluang menjadi juri tetap Kan-Cheong Kitchen yang dianggap unik.


Kelainan

Bercerita mengenai kelainan yang terdapat pada program masakan yang masuk musim kedua ini Helmi berkata, terdapat banyak pembaharuan yang diselitkan pada musim baharu ini. Namun, pada masa sama masih mengekalkan konsep yang sama.

"Terdapat beberapa kelainan pada musim kali ini. Ini termasuklah penyediaan beberapa resipi yang agak sukar berbanding episod sebelumnya dan meminta para peserta untuk menyiapkan tiga hidangan dalam tempoh 30 minit yang ditetapkan.

"Hidangan juga tidak spesifik kepada masakan Malaysia sahaja dan jenis hidangan juga termasuk dari negara lain iaitu Jepun dan masakan Barat lain," ujarnya usai rakaman program tersebut berlangsung.

Tambah Helmi, kelainan juga dapat dilihat dengan kehadiran chef selebriti iaitu Cef Anis dan Cef Nik Michael.

Pihak produksi ingin membuatkan para peserta merasai debaran apabila diadili oleh cef yang bertaraf profesional.

"Walaupun program masakan ini berbentuk santai, kami ingin para peserta mengalami pengalaman sebenar diadili oleh cef profesional. Pada episod kali ini kami juga menambah seorang lagi juri khas iaitu penasihat pemakanan, Lilian atau lebih dikenali sebagai Auntie Lilian.

"Tugas bagi kesemua juri ini ialah memberi markah mengikut keenakan masakan yang telah disediakan oleh para peserta, namun Auntie Lilian diberi kuasa istimewa apabila dibenarkan untuk menolak markah peserta.

"Dari segi pemberian markah, ia bukan hanya melihat kepada hidangan sahaja, malah dari segi kebersihan dapur dan cara penyediaan masakan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, program ini juga digamatkan lagi dengan dua orang pengacara 8TV yang tidak asing lagi iaitu Prem Shankar dan Megan Tan.

Helmi berkata, pasangan pengacara tersebut dilihat sangat serasi dan selesa mengacarakan program tersebut sekali gus menjadi salah satu kekuatan kepada program masakan ini.

"Setakat ini komitmen yang mereka berikan sangat memberangsangkan. Kita tidak akan kering gusi dengan keletah mereka mengusik para peserta," ujarnya.

CEF ANIS teruja diberi kesempatan menilai masakan peserta yang tidak mempunyai kemahiran memasak.


Nik Michael sakit perut

Cef Nik Michael Imran, 25, yang ditemui usai proses rakaman tersebut menyimpulkan senyuman apabila diminta untuk berkongsi pengalamannya bergelar salah seorang juri program masakan tersebut.

"Seperti yang kita tahu, peserta yang diarah untuk memasak sememangnya seseorang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan. Jadi, sesetengah hidangan yang disediakan mereka kadangkala tidak sempurna.

"Disebabkan merasai makanan tersebut, perut saya pernah meragam dan sekali gus menyebabkan saya berulang-alik ke tandas," ujarnya berseloroh.

Bagaimanapun Nik berkata, dia sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh semua peserta dan memahami kesuntukan masa, ditambah pula dengan keadaan yang huru-hara merupakan antara sebab peserta kurang memberi tumpuan kepada masakan.

"Saya melihat mereka mempunyai kesungguhan untuk memberikan yang terbaik kepada kami dan hal tersebut menyebabkan saya seronok untuk memberi kerjasama dalam setiap episod," ujarnya.

Apabila ditanya mengapa dia memilih untuk menjadi salah seorang tulang belakang kepada program tersebut, Nik berkata, program ini merupakan sesuatu yang baharu dan segar.

"Saya suka konsepnya kerana ia lain daripada lain. Hal tersebut menyebabkan saya teringin untuk menjadi sebahagian daripada program ini," ujarnya yang kini sibuk menguruskan restorannya iaitu Picknik Comfort Food Café yang terletak di Publika Solaris Dutamas.

Chef Anis senang bekerjasama

Dalam pada itu, Anis Nabilah Umaruddin, 25, atau lebih popular dipanggil Cef Anis berkata, dia sangat teruja dan gembira kerana diberi penghormatan untuk menjadi salah satu juri untuk program masakan ini.

"Saya sangat gembira apabila menerima tawaran untuk menjadi salah seorang juri program masakan ini. Sepanjang dua minggu sesi rakaman saya juga sangat selesa berkerjasama dengan pihak produksi.

"Apabila kerjasama yang erat diberikan daripada pihak produksi ia sekali gus melicinkan proses rakaman ini dan saya merasakan ia sangat santai dan seronok," ujarnya.

Anis juga mengakui kesukaran peserta yang menyertai program tersebut kerana dia bersama pihak produksi pernah cuba untuk melakukan apa yang dilakukan peserta sebelum ini.

"Kami pernah mencuba sebagai peserta sebelum ini dan ia ternyata sangat sukar untuk memberi arahan disebabkan gangguan bunyi daripada pihak lawan.

"Sebelum ini kami juga agak bingung mengapa agak susah untuk para peserta memberi arahan kepada rakan sepasukannya dengan hanya menggunakan suara yang lantang, namun segalanya terjawab apabila kami mencubanya sendiri," ujarnya yang pernah menjadi hos dalam program masakan Icip-Icip terbitan Asian Food Channel's (AFC).

Noryn 'tutup dapur' tiga bulan

Posted:

Noryn 'tutup dapur' tiga bulan

Noryn 'tutup dapur' tiga bulan

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

WALAUPUN hamil empat bulan, Noryn tetap aktif menerima undangan nyanyian.


SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga bersama arkitek tersohor, Datuk Raja Bahrin Shah, penyanyi Jazz Noryn Aziz akhirnya mendapat khabar gembira bahawa dia bakal bergelar ibu tidak lama lagi.

Barangkali berdepan dengan kegusaran mengenai risiko hamil pada usia lewat 30-an, Noryn, 37, menjelaskan, dia cuba mengamalkan petua yang diberikan oleh teman-teman rapatnya dalam industri.

Sementelah sedang hamil, Noryn juga memberitahu, dia masih aktif mengadakan persembahan nyanyian dan bakal terbabit menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC) pada 16 dan 17 April ini.

Ikuti temu bual lanjut bersama Noryn Aziz yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha PICC di Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO!: Empat tahun mendirikan rumah tangga akhirnya impian Noryn untuk bergelar ibu tertunai. Sudikah sekiranya dikongsikan sedikit perasaan gembira anda?

NORYN AZIZ: Alhamdulillah, ini hadiah tahun baru yang paling bermakna buat saya dan suami. Saya mendapat tahu bahawa saya mengandung tepat pada 1 Januari lalu dan setinggi-tinggi syukur saya panjatkan. Usia kandungan saya kini sudah memasuki usia 18 minggu dan saya dijangka bersalin pada bulan September nanti.

Adakah sepanjang tempoh empat tahun itu anda ada merancang untuk hamil?

Ya, kami tidak putus-putus berdoa dan berusaha sejak empat tahun lalu dan pelbagai ikhtiar telah kami lakukan. Memang saya mahukan anak sejak dari awal berkahwin lagi dan pastinya ini impian tertinggi setiap insan yang bergelar wanita. Insya-Allah anugerah ini pelengkap rumah tangga kami.

Bagaimanakah momen pertama mendapat tahu berita kehamilan itu dan apakah reaksi suami anda?

Pada mulanya saya tidak percaya sehingga saya membeli lebih 10 alat penguji kehamilan pelbagai jenama untuk membuat pemeriksaan sendiri. Akhirnya saya bertemu doktor dan mengesahkan berita ini.

Sudah pasti dia (suami) menjadi individu paling gembira dan rasa lega kerana penantian kami selama ini berbaloi.

Apakah usaha yang anda lakukan sepanjang tempoh empat tahun itu?

Paling penting adalah pemeriksaan dalaman diri sendiri. Pada awalnya doktor memaklumkan bahawa saya kurang darah jadi saya melebihkan pengambilan zat besi. Kemudian, saya mengikut nasihat Nurul Depp yang banyak memberikan petua berguna pada awal kehamilan. Dia juga memberi saranan agar saya membuat rawatan akupuntur setiap minggu selama empat bulan tanpa henti.

Bagaimanakah kerisauan anda apabila hamil pada usia lewat 30-an?

Memang gementar tapi Alhamdulillah selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan kandungan saya normal. Saya tidak mengalami alahan yang terlalu teruk. Memang pada mulanya saya akan rasa loya-loya apabila terhidu bau masakan. Sampaikan saya langsung tidak boleh memasak pada tiga bulan pertama, itu sebab saya 'tutup dapur' sekejap melainkan sarapan ringan untuk suami saja yang saya sediakan.

Adakah anda akan membataskan pergerakan dan mengurangkan aktiviti menyanyi selepas ini?

Sejak hamil saya semakin suka berjalan tapi saya mengurangkan pemakaian kasut tumit tinggi. Saya tetap aktif mengadakan persembahan, malah bulan Mac saja saya sudah membuat tiga persembahan pentas. Insya-Allah pada bulan April saya akan terbabit dengan Minggu Setiausaha Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pula.

Bercakap mengenai persembahan pada Minggu Setiausaha Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, bagaimanakah konsep persembahan anda?

Saya akan berkongsi pentas bersama Kris Dayanti, Afgan dan Awi Rafael pada 16 dan 17 April nanti. Untuk persembahan itu saya akan mendendangkan empat atau lima buah lagu popular saya.

Selain itu, apakah perkembangan terbaharu anda selain aktif dalam bidang nyanyian?

Saya sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan insya-Allah pada bulan Mei depan saya akan melancarkan produk kecantikan dan kesihatan, Delima Bella.

Debaran Stanza Cinta, Jaclyn Victor dan Adira

Posted:

Debaran Stanza Cinta, Jaclyn Victor dan Adira

Debaran Stanza Cinta, Jaclyn Victor dan Adira

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

JACLYN dan Adira yang terlibat dalam Konsert Stanza Cinta pada 4 dan 5 April ini bakal berduet untuk lagu Cinta.


DEBARAN Konsert Stanza Cinta semakin sampai ke kemuncak apabila senarai lagu yang akan dinyanyikan oleh lima nama besar dalam industri hiburan tempatan iaitu Amy Search, Noh Hujan, Haziq dan Adira telah ditetapkan.

Debaran tersebut juga turut dikongsikan oleh dua daripada lima bintang yang akan menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya pada 4 dan 5 April ini iaitu Jaclyn Victor dan Adira.

Berbincang mengenai persiapan, Jaclyn bercerita, perasaan gusarnya berkurangan memandangkan empat lagu yang akan disampaikan merupakan lagunya sendiri. Bagaimanapun, dia tetap melakukan persiapan sama ada dari segi fizikal dan mental untuk konsert tersebut.

"Lagu yang akan dinyanyikan kelak merupakan lagu yang sudah biasa saya nyanyikan, namun pada masa yang sama saya juga agak gemuruh berkongsi pentas dengan nama besar seperti Amy Search dan Noh Hujan.

"Buat masa sekarang segala persiapan berjalan dengan lancar dan pada malam tersebut saya juga akan melakukan sesuatu yang berbeza apabila akan berkolaborasi dengan Adira menerusi lagu Cinta," ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Istana Budaya baru-baru ini.

Tambah Jaclyn, dia juga sangat teruja apabila kumpulan orkestra yang tidak asing lagi iaitu Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) akan mengiringi nyanyiannya sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung.

"Menyanyi diiringi dengan orkestra dan minus one sangat berbeza perasaannya. Saya merasakan lebih bertenaga dan yakin melontarkan vokal apabila diiringi oleh orkestra, semangatnya juga lain," ujar Jaclyn yang enggan mendedahkan perkhabaran baik mengenai perkahwinannya yang dijangka akan berlangsung pada tahun ini.

Pada malam yang penuh gemilang tersebut, Jaclyn akan menyampaikan sebanyak empat buah lagu iaitu Bersama Kamu, I Always Love You, Jagalah Diri dan duetnya bersama Adira menerusi lagu Cinta.

Dalam pada itu, bekas finalis Akademi Fantasia yang popular menerusi lagu Ilusi, Adira juga turut berkongsi debaran yang sama apabila diberi tugas untuk menyanyikan tiga buah lagunya sendiri iaitu Dewi Cinta, Lara Lagi dan Aku Ada kamu.

Baginya, walaupun jadual nyanyian padat dan kesihatannya yang masih belum baik sepenuhnya akibat daripada keretakan sikunya, namun Adira berjanji akan memberikan yang terbaik pada malam tersebut.

"Saya mengakui kesibukan disebabkan jemputan menyanyi oleh beberapa badan korporat dan Minggu Setiausaha telah menyebabkan jadual saya padat. Bagaimanapun, saya tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik pada malam tersebut," ujarnya.

Bercerita mengenai persiapannya, Adira berkata, dia telah membuat persiapan awalnya sendiri, namun persiapan pada konsert tersebut masih belum sempurna.

"Saya masih belum membuat latihan bersama Jaclyn kerana kami akan berduet untuk menyampaikan lagu Cinta pada konsert itu nanti tetapi saya tidak risau kerana kami pernah berkolaborasi sebelum ini, jadi untuk mencari keserasian itu tidaklah memakan masa yang lama," ujarnya.

Dalam pada itu, Adira juga berkata, debaran pada malam tersebut sangat terasa apabila dia diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam industri muzik yang lain termasuk Amy Search dan Noh Hujan.

"Ia merupakan suatu penghormatan kepada saya. Mereka merupakan idola dan kepercayaan ini akan digalas sebaik mungkin oleh saya, insya-Allah," ujarnya.

Adira juga akan menyampaikan lagu hitnya, Ombak Rindu sebagai pembuka tirai pada konsert tersebut manakala lagu terakhir pula ialah medley Cinta Di Akhir Garisan dan Raikan Cinta oleh semua artis yang terlibat menjayakan Konsert Stanza Cinta.

Sementara itu, Noh akan menyampaikan lagu hit yang telah mengangkat namanya suatu ketika dahulu iaitu Kotak Hati, Bila Aku Sudah Tiada dan Angin Kencang manakala Haziq pula akan menyampaikan lagu Seraut Wajah dan Juwitaku Sayang.

Legenda rock tanah air, Amy Search pula akan mempersembahkan lagu fenomena iaitu Isabella, Gadisku dan Tiada Lagi.

Tiket telah mula dijual di kaunter Box Office, Istana Budaya dan juga boleh didapati secara dalam talian di laman web www.ticket2u.biz dengan harga serendah RM53 sehingga RM303.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved