Sabtu, 19 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kekasih hati Andrew Garfield

Posted:

Kekasih hati Andrew Garfield

Kekasih hati Andrew Garfield

EMMA mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang versatil.


EMMA STONE. Dengan sepasang mata bundar, sikap mesra dan dilabelkan sebagai cahaya atau pembakar semangat dalam produksi francais terbesar Spider-Man, wanita kelahiran Arizona, Amerika Syarikat ini pantas menjadi sebutir bintang bersinar dalam dunia hiburan Hollywood.

Ternyata, kepercayaan yang diberi pengarah terkenal Marc Webb untuk dia membintangi The Amazing Spider-Man (2012) bergandingan dengan Andrew Garfield membuahkan hasil.

Bagaimanapun, menjadi heroin selepas trilogi filem itu yang terlebih dahulu telah menjadi fenomena bukan kerja mudah dalam karier Emma.

Ini kerana penonton sudah terbiasa melihat kehadiran Kirsten Dunst yang memegang watak sebagai Mary Jane dalam francais Spider-Man sebelumnya.

Dalam penampilan pertamanya, Emma berjaya melakonkan wataknya dengan baik. Bagaimanapun, filem itu mendapat kritikan kerana dikatakan tidak begitu baik berbanding tiga francais sebelumnya di sebalik kutipan filem itu yang mencecah RM2.4 bilion selepas ditayangkan.

Terbaharu, Emma muncul lagi untuk mendokong watak sama di dalam filem The Amazing Spider-Man 2 yang bakal menemui peminat di negara ini bermula 1 Mei ini.

Kali ini penghayatannya sebagai kekasih Peter Parker dikatakan sangat baik.

Tentu sekali kesan watak Mary Jane yang digalas Kirsten sebagai heroin di dalam filem Spider-Man (2002), Spider-Man 2 (2004) dan Spider-Man 3 (2007) sukar dikikis tetapi Emma ternyata berjaya mencipta karakter untuk diingati penggemar filem adaptasi komik Marvel itu.

Kirsten Dunst

Menurut Emma, dia berasa teruja ketika pertama kali ditawarkan dan membintangi filem itu. Namun jelas figura ini, dalam musim kedua ini dia mendapat lebih banyak input.

Dia juga semakin memahami karakter adi wira itu serta apa yang berlaku di dalam dunia komik Marvel ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko.

"Bersama Spiderman dalam filem ini sangat berbeza dengan kehidupan peribadi saya, namun saya berbangga sebab filem ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Saya juga berbangga jika dapat bersama adi wira ini lagi di dalam filem selepas ini," katanya.

Emma ditemui Kosmo! di Singapura baru-baru ini bersempena pratonton dan jelajah promosi bersama kru produksi dan juga pelakon The Amazing Spider-Man 2, Andrew Garfield serta Jamie Foxx.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah filem itu, Marc Webb dan penerbit Avi Arad serta Matt Tolmach.

Tambah Emma, ketika kali pertama membintangi filem ini, dia mendapatkan nasihat daripada Kirsten Dunst yang memegang watak sebagai Mary Jane dalam trilogi Spider-Man sebelumnya untuk lebih memahami watak yang dipegangnya.

"Selepas ini saya tidak kisah sekiranya bukan saya yang dipilih untuk memegang watak sama.

"Pada masa sama, saya juga tidak lokek berkongsi pengalaman untuk heroin selepas ini," katanya yang turut menjelaskan, dia juga sangat berbesar hati sekiranya masih dipilih untuk memegang watak tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah kuasa ajaib yang ingin dimilikinya, menurut Emma, satu masa dahulu dia berangan untuk mempunyai kuasa telepati.

"Tetapi sekarang saya lebih berminat untuk mempunyai kuasa untuk menghaibkan diri sebab senang untuk saya menghilangkan diri pada bila-bila masa," katanya tergelak.

Kehidupan peribadi

Mengenai kehidupan peribadinya, Emma enggan terlalu terbuka untuk bercerita tentang kisah cinta.

Bagaimanapun, melihat kepada gerak-geri, perilaku serta cara pandangan antara dia dan Andrew tidak mampu menyembunyikan getaran cinta yang sedang mereka kongsi bersama.

Umum tahu, hubungan mereka mula bercambah ketika mereka sama-sama terlibat dalam filem The Amazing Spider-Man pada tahun 2011.

Keserasian antara mereka dibawa ke luar set penggambaran.

Ketika diaju mengenai hubungan mereka, pasangan selebriti itu tidak menidakkan, tetapi dalam masa sama tidak mengulas dengan lebih lanjut.

Emma juga dilihat bijak menepis persoalan tentang kisah cintanya. Pertanyaan yang dilontarkan kepadanya dialihkan dengan sikapnya yang begitu teruja bercerita tentang filem tersebut yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia 1 Mei ini.

Persoalan media hanya dibalas dengan tindakan spontan mereka.

Andrew dan Emma saling memandang antara satu sama lain. Andrew terus mencapai tangan Emma sebelum menarik manja hidung heroinnya.

EMMA dan Andrew masing-masing tidak memberi penjelasan tentang hubungan cinta mereka yang telah berputik sejak tiga tahun lalu.


Emma pula hanya tersenyum dan suasana itu dilihat wartawan dan sekitar seribu peminat terpilih yang dibenarkan untuk turut sama menyaksikan sidang media tersebut.

"Penulis skrip telah melakukan kerja yang sangat hebat kerana berjaya mencipta keserasian antara kami," katanya dalam satu sidang media lain yang diadakan sehari selepas itu.

Jelasnya, dia gembira untuk berlakon sebagai teman wanita adi wira seperti Spider-Man yang mana menerusi watak tersebut, dia menjadi wanita berdikari yang tidak bergantung kepada sesiapa termasuk Spider-Man sendiri.

Menurutnya lagi, dia melalui tempoh yang sangat menggembirakan sepanjang menjayakan filem francais adi wira itu kerana semua yang terlibat dalam produksi tersebut dapat bekerjasama dengan baik.

Katanya, semua yang terbabit dalam pembikinan filem tersebut saling membantu dan keadaan penggambaran kali ini disifatkannya lebih baik berbanding The Amazing Spider-Man kerana kebanyakan mereka telah belajar melalui pengalaman.

Emma pada mata Andrew

Buah hati Emma, Andrew Garfield turut menyifatkan Emma sebagai seorang pelakon yang sangat baik dan bijak membuat keputusan.

"Dia juga merupakan seorang gandingan yang sangat membantu dan sering mengingatkan saya untuk membuat persiapan supaya kerja kami dapat berjalan dengan lancar. Dia boleh hidup dalam semua keadaan kerana dia mampu berdikari," katanya.

Sementara penerbit The Amazing Spider-Man, Avi Arad memberitahu karakter Emma sama seperti yang dibawanya di dalam filem tersebut iaitu seoarang individu yang menakjubkan.

"Pelakon yang hebat, yang membawa cinta, cahaya dan semangat di dalam filem ini. Emma dan Gwen adalah wanita yang pintar, bercita-cita tinggi dan yang setia," katanya.

Sementara itu, jadual Emma agak padat tahun ini kerana selain The Amazing Spider-Man 2 dia turut terlibat dalam tiga lagi projek besar tahun ini.

Salah satunya ialah filem gandingannya bersama Bradley Cooper dan Alec Baldwin yang belum diberi tajuk. Ia dijangka menemui penonton pada Disember ini.

Selain itu, dia turut terlibat dengan filem Magic in the Moonlight bergandingan dengan Collin Firth serta filem lawak, Birdman bergandingan dengan Zack Galifinakis, Michael Keaton dan Edward Norton.

Mengimbas kembali mengenai kariernya, Emma mula terlibat dengan dunia lakonan ketika berusia 17 tahun dalam drama televisyen Medium dan Malcolm In The Middle.

Emma kemudiannya terlibat dalam filem Superbad (2007); The Rocker (2008); House Bunny (2008); Ghosts of Girlfriends (2009); Paper Man (2009); Abby Zombieland (2009); Marmaduke (2010) dan Easy A (2010).

Selain itu, dia turut berlakon dalam filem Friends With Benefits (2011); Crazy, Stupid, Love (2011); The Help (2011); Gangster Squad (2013); Movie 43 (2013) dan The Croods (2013).

Bintang ini semakin bersinar selepas mendapat anugerah pertama bagi kategori Pelakon Harapan Hollywood pada tahun 2008 dan seterusnya pada tahun 2010, dia dianugerahi Scream Awards Best Ensemble pada 2010.

Kerjaya Emma melonjak naik pada tahun 2011, apabila memenangi enam anugerah, manakala pada 2012 pelakon itu menggondol tujuh anugerah dalam beberapa majlis anugerah yang dijalankan.

Judika teruja duet dengan Amy Search

Posted:

Judika teruja duet dengan Amy Search

Judika teruja duet dengan Amy Search

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SEBANYAK 14 buah lagu yang dipersembahkan Judika sepanjang dua jam konsert berlangsung.


PERNAH meluahkan keinginannya untuk berduet dengan Amy Search yang juga merupakan legenda rock terkemuka Malaysia, akhirnya ia menjadi satu realiti buat penyanyi Judika.

Ia dapat disaksikan seramai 1,500 peminat tegar penyanyi kelahiran Indonesia itu dalam sebuah konsert Judika Mencari Cinta yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Judika yang ditemui sehari sebelum konsert berlangsung berkata, dia beranggapan kemunculan istimewa Amy dalam konsert berkenaan merupakan satu penghormatan yang tidak terhingga buat dirinya.

"Amy bukan sekadar popular di negara kelahirannya sendiri, malah namanya juga begitu besar dalam kalangan peminat muzik di Indonesia. Saya sendiri cukup meminati lagu-lagu nyanyiannya seperti Isabella.

"Jadi, persetujuannya untuk membuat kemunculan istimewa dalam konsert saya ini memang sangat menggembirakan dan ia membuatkan saya bertambah teruja untuk menghiburkan para peminat di sini," ujarnya yang menjadikan Amy sebagai inspirasinya dalam muzik rock.

Dalam konsert yang berlangsung sekitar pukul 9 malam, Judika membuka tirai persembahan dengan lagu yang telah mengangkat namanya dalam industri nyanyian berjudul Bukan Rayuan Gombal.

Sesuatu yang menarik tentang konsert berkenaan apabila Judika mempersembahkan lagu-lagu yang cukup dekat dengan peminat sehingga mereka yang datang dilihat turut sama-sama menyanyi.

Selepas mempersembahkan lagu Bukan Rayuan Gombal, penyanyi yang merupakan naib juara Indonesia Idol 2 itu menyanyikan beberapa buah lagu lagi seperti Malaikat, Bukan Dia Tapi Aku, Separuh Nafas dan sebuah lagu yang dipopularkan olehnya bersama kumpulan Mahadewa iaitu Immortal Love Song.

Hampir sejam peminat dihiburkan dengan persembahan solo Judika, akhirnya saat yang ditunggu telah tiba apabila penyanyi tersebut mengumumkan nama Amy Search untuk naik ke pentas.

Mendapat sorakan yang cukup gemuruh daripada peminat, Amy sempat mempersembahkan sebanyak tiga buah lagu dengan persembahan pertamanya secara solo menerusi lagu Kerja Gila.

Terhibur dengan aksi bertenaga yang ditampilkan oleh penyanyi rock berkenaan, Judika muncul semula di atas pentas

GABUNGAN vokal yang mantap antara Amy (kiri) dan Judika ketika menyanyikan lagu Tiada Lagi dan Isabella.


untuk berduet dengan idolanya itu menerusi dua buah lagu, Tiada Lagi dan Isabella.

"Sudah pasti ini adalah langkah permulaan dalam usaha kami berdua untuk menjalinkan kolaborasi bersama. Ketika ini kami masih lagi sedang mencari lagu yang sesuai untuk dinyanyikan secara duet," umumnya secara terbuka kepada peminat.

Setelah tampil menyanyi duet bersama Amy menerusi kedua-dua lagu berkenaan, Judika kembali tampil solo dengan mempersembahkan beberapa buah lagu seperti Apakah Ini Cinta, Setengan Mati Merindu, Mama Papa Larang dan sebuah lagu Inggeris yang dipopularkan oleh Adele iaitu Someone Like You.

Hampir dua jam suami kepada pengacara Duma Riris Silalahi itu menghiburkan peminat, akhirnya lagu berjudul Aku Yang Tersakiti menjadi penutup kepada konsert berkenaan.

Bakal bapa

Selain bercerita tentang konsertnya itu, Judika turut meluahkan rasa terujanya apabila isterinya yang dinikahi pada 31 Ogos 2013 telah disahkan hamil tiga bulan.

Ujarnya, ia merupakan hadiah yang paling istimewa buat dirinya dan Duma setelah mengharungi percintaan yang penuh dengan cabaran akibat halangan keluarga selama lima tahun.

"Sebenarnya agak sukar juga pada peringkat awal kehamilan isteri saya ini. Selain selalu muntah dan pening kepala, Duma kerap meminta makanan yang pelik-pelik.

"Bagaimanapun, saya anggap ia merupakan satu perkara yang normal bagi seorang wanita yang sedang hamil. Jadi, saya perlu berhadapan dengan perubahan yang dialaminya itu buat seketika," jelasnya yang tidak mengizinkan isterinya itu bekerja buat masa ini.

Berkenaan dengan kerjaya nyanyiannya pula, Judika memberitahu dia bakal muncul dengan album yang keempat dan akan dilancarkan pada bulan Jun ini. Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan ialah Apakah Ini Cinta yang telah dinyanyikan dalam konsertnya itu.

Itu agenda jatuhkan saya - Jep Sepahtu

Posted:

Itu agenda jatuhkan saya - Jep Sepahtu

Itu agenda jatuhkan saya - Jep Sepahtu

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

FIGURA lawak ini juga turut menceburkan diri dalam bidang pengacaraan.


SEJAK kebelakangan ini, terdapat pelbagai kontroversi yang menyelubungi karier pelawak yang sedang meningkat naik di negara ini, Jep Sepahtu (Jep).

Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin sendiri turut melahirkan kegusarannya mengenai perkara itu yang disebarkan tanpa henti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), internet dan sebagainya.

Antara gosip panas yang sering dikaitkan mengenai dirinya ketika ini ialah perang dingin dengan pelawak Sharol Shiro, gosip pertunangan dengan seorang gadis senegeri dengannya di Johor serta kes memaki hamun peminat dalam satu acara hiburan di Bukit Jalil baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jep ketika ditemui selepas membuat persembahan sesi Jelajah Komedi Sinar FM di Village Mall, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah perasaan Jep apabila berpeluang menghiburkan peminat bersama beberapa pelawak lain di Sungai Petani, Kedah dalam program ini?

JEP: Perasaan saya begitu gembira sekali kerana dapat bertemu dengan peminat dan saya amat terharu dengan sambutan diberikan.

Lagi pun, bukan mudah untuk berjumpa dengan peminat di kawasan Utara, saya lihat penonton begitu ceria sekali dan mereka sanggup menunggu hingga persembahan selesai.

Antara kerjaya pelawak dan pengacara, mana yang paling anda minati?

Kerjaya saya masih dalam bidang lawak. Ia tidak dapat dipisahkan walaupun kadangkala saya diundang menjadi pengacara dalam persembahan tertentu.

Bidang pengacaraan juga baik tetapi saya tetap teruskan bidang yang asal. Ini hala tuju saya pada masa hadapan.

Apakah komen Jep tentang konsep persembahan lawak pada hari ini?

Persembahan lawak sentiasa berubah. Ia berbeza dengan persembahan sebelum ini. Apabila kita dapat menyesuaikan diri, keadaan pasti menjadi bertambah meriah, mengeluarkan bahasa lucah (double meaning) pun boleh menjadi menarik jika kena gayanya.

Pernahkah anda di 'boo' atau dikutuk peminat-peminat yang tidak berpuas hati dengan lawak yang dipersembahkan?

Sehingga kini, saya belum pernah mengalami situasi sedemikian dan harap-harap ia tidak berlaku pada masa hadapan.

Saya bersyukur, kerana dalam setiap persembahan yang disertai di seluruh negara saya sentiasa mendapat sokongan padu peminat.

Lagi pun, pelawak-pelawak di negara ini tidaklah keterlaluan atau gemar memainkan isu-isu kontroversi yang boleh mengguris hati peminat.

Sebelum ini ada pihak-pihak tertentu mendakwa anda tidak sehaluan dengan Sharol Shiro?

Ini juga sebahagian dari fitnah dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk memburukkan diri saya. Perkara ini tentu menjadi bertambah buruk jika kita sendiri ambil serius. Sesungguhnya, tidak ada sebab, artis lawak perlu gaduh dengan artis lawak, banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan.

Anda juga dikatakan pernah memaki peminat semasa membuat persembahan di Bukit Jalil baru-baru ini?

Saya sendiri hairan, bagaimana kes seperti ini boleh timbul. Bagi saya, ini satu lagi kes fitnah yang sengaja direka-reka oleh pihak tertentu.

Saya amat menghargai peminat-peminat dan tanpa mereka tidak mungkin saya berada di sini, justeru, tidak mungkin saya akan bertindak sedemikian.

Sebolehnya, pihak-pihak berkenaan janganlah aibkan saya dalam isu-isu begini, jika mereka tidak puas hati jumpa saya sendiri dan jangan hantar SMS untuk memburukkan imej saya.

Saya masih ada maruah dan keluarga. Lagi pun, sejak melibatkan diri dalam industri ini saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan sentiasa berkawan dengan semua orang.

Ramai artis-artis lain mengenali saya sebelum ini dan tahu bagaimana saya menilai erti persahabatan.

Anda juga dikatakan pernah bertunang seorang gadis yang berasal dari Johor?

Gosip yang tersebar ini juga amat memeningkan, kerana orang luar lebih tahu berbanding diri saya sebagai empunya badan.

Lagi pun, saya masih ada keluarga, apabila ia melibatkan pasangan hidup saya, pastinya mereka akan lebih tahu mengenainya.

Tidak mungkin saya akan membelakangkan mereka. Saya percaya kepada putaran hidup, kalau boleh dalam perkara memilih isteri, biar mendapat restu dari keluarga sendiri, tidak payah melawan arus.

Soal kahwin pula, saya berserah segalanya kepada Allah untuk menentukan siapa jodoh saya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved