Khamis, 17 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tiada cinta hanya kerjaya - Miera

Posted:

Tiada cinta hanya kerjaya - Miera

Tiada cinta hanya kerjaya - Miera

SEBUT nama Miera Leyana pasti ramai akan menjurus ingatan terhadap bekas kekasihnya, Shahrizal Jaszle ataupun kontroversi gaun seksi yang disarung dalam sebuah majlis makan malam tiga tahun lalu.

Membuang segala kepahitan dan khilaf yang tidak disengajakan, kata Miera, dia kini dalam peringkat memulihkan kembali semangat dan kekecewaannya terdahulu.

Pencapaian tertingginya dalam industri hiburan tempatan menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) menerusi lakonannya dalam filem Pecah menandakan keseriusan Miera untuk bergelar artis.

"Cinta? Buat masa sekarang saya rasa kerjaya itu lebih penting. Memang dahulunya saya akui saya membuat kesilapan terhadap banyak perkara tapi sekarang setelah usia menginjak angka 21, pemikiran saya jauh berbeza.

"Biarlah saya berehat daripada memikirkan perkara yang menyerabutkan kepala. Kalau sudah sampai saya bercinta, biarlah cinta itu datang dengan sendirinya," ujarnya yang ditemui usai tayangan filem Apokalips X bersama media di Cathay Cineplex, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Qi Qi

Mungkin ramai yang tidak menjangka filem Apokalips X yang sedang hangat ditayangkan di pawagam kini telah dibikin empat tahun lalu.

Dalam filem itu, Miera menjayakan watak Qi Qi, seorang gadis daripada klan Sri Gala yang jatuh cinta dengan Aman Chai (Adam AF) daripada klan Merah Putih.

MIERA enggan membabitkan diri dengan hal yang boleh membuatkan fikirannya menjadi tidak tenang.


Bagaimanapun, cinta mereka terhalang kerana perbezaan dan pertelagahan dua klan yang tidak sefahaman.

Kata Miera, pentingnya peranan Qi Qi dalam Apokalips X kerana dia yang akan menggerakkan konflik dalam filem itu.

"Di sebalik pertempuran yang berlaku antara beberapa puak yang wujud ketika itu, watak Qi Qi melembutkan suasana dengan elemen cinta dan kasih sayang.

"Namun, hubungan itu malangnya tidak direstui oleh kedua-dua ketua klan Sri Gala dan Merah Putih sehingga Qi Qi hampir terbunuh apabila timbul kekacauan yang turut melibatkan klan Kala Jengking," ceritanya serba sedikit.

Menarik mengenai filem pertama lakonan Miera, dia diberikan peluang untuk mewarnakan karakternya mirip dengan karakter komik manga Jepun.

"Dari segi berpakaian dan babak berlawan, Mamat memberikan saya satu garis panduan dan sepenuhnya kebebasan untuk saya mencorakkan karakter Qi Qi.

"Saya cuma bayangkan semua karakter dalam filem ini tidak normal!" tambahnya.

Masuk ICU

Mengimbas kembali pengalaman menarik sepanjang penggambaran filem Apokalips X, kata Miera dia pernah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) gara-gara dihempap lebih 10 orang pelakon tambahan.

"Ketika penggambaran satu babak di dalam bilik kosong, keadaan hiruk-pikuk yang tidak terkawal telah menyebabkan saya terjatuh.

"Tidak cukup dengan itu saya dihempap pula lebih 10 orang pelakon tambahan yang kebanyakannya lelaki. Akibat dihempap, saya pengsan dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

MIERA LEYANA banyak menempuh pengalaman menarik sepanjang berada di lokasi penggambaran filem Apokalips X.


"Doktor mengesahkan tisu kaki saya terkoyak dan saya pengsan kerana tidak cukup oksigen. Selepas dirawat beberapa jam saya kembali ke set penggambaran untuk menyambung baki babak yang tidak sempat siap.

"Memang lucu tapi pada masa yang sama saya rasa ia mengerikan. Mujur tiada kecederaan serius tapi pengalaman itu amat berharga buat saya," katanya.

Apokalips X mengisahkan peradaban manusia yang hidup selepas Perang Nuklear meletus pada tahun 2047.

Saki-baki manusia yang terselamat daripada perang itu hidup dalam keadaan kacau-bilau, hilang arah tujuan dan menjadi ganas.

Lalu, muncul beberapa puak yang berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain demi untuk kelangsungan hidup dan bergelar ketua.

Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut ialah X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) dan Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka.

Selain itu, filem Apokalips X dibantu oleh Dazrin Kamarudin, Zoee Tan, Adam AF, Sarimah Ibrahim, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim dan Dayana Roza.

Menampilkan tema fantasi dan komik, filem ini telah mula ditayangkan di pawagam sejak 3 April yang lalu.

Digosip cerai, Dynas akui hubungan dengan Hafizy baik

Posted:

Digosip cerai, Dynas akui hubungan dengan Hafizy baik

Digosip cerai, Dynas akui hubungan dengan Hafizy baik

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

DYNAS enggan memberi pengesahan tentang berita perceraiannya. Dia juga bersikap agak dingin apabila isu perceraian tersebut diajukan kepadanya.


SELEPAS isu penceraian nama besar dalam industri hiburan, Erra Fazira dan Engku Imran pada Februari lalu menjadi bualan seluruh peminat hiburan tanah air, dunia seni sekali lagi dikejutkan dengan gosip penceraian melibatkan pelakon dan pengacara terkenal, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar, 31, atau lebih mesra disapa Dynas Mokhtar.

Khabar angin yang mengatakan bekas pelakon yang pernah membintangi filem Bisikan Syaitan itu dan suaminya, Hafizy Hafiz telah bercerai sejak 25 Februari lalu masih lagi menjadi tanda tanya.

Dynas yang kelihatan mesra bersama anak sulung kesayangannya, Khyra Khalyssa, 4, pada majlis pelancaran pertandingan bayi tahunan anjuran Johnson's Baby di One Utama, Bandar Damansara, Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Namun, pada riak muka pelakon tersebut ia menjelaskan ada sesuatu yang disembunyikannya.

Kosmo! meminta penjelasan daripada Dynas berhubung isu itu. Ikuti temu bual bersama duta produk rangkaian baharu Johnson Baby Milk and Rice itu.

Kosmo!: Boleh anda ceritakan sedikit situasi sebenar hubungan anda bersama suami, Hafizy Hafiz?

DYNAS: Saya enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana hal ini melibatkan seluruh keluarga besar kami. Bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah hubungan saya dan dia masih lagi dalam keadaan baik. Kami juga masih lagi berhubung antara satu sama lain.

Adakah isu ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan anak anda serta suami?

Alhamdulillah, buat masa sekarang semuanya baik sahaja. Biarlah orang ingin menyebarkan khabar angin, yang penting hubungan saya dan anak-anak tidak terjejas. Saya ingin melihat anak saya membesar dengan baik dan saya mahu sentiasa ada bersama mereka.

Melihat penglibatan anak-anak anda dalam dunia komersial sejak kecil lagi, adakah anda selesa dengan keadaan ini?

Saya menyokong setiap apa yang diminati oleh anak-anak saya. Anak sulung saya, Khyra Khalyssa, 4, sudah menunjukkan minat dalam bidang peragaan. Saya juga melalui perkara yang sama, sejak kecil lagi saya sudah terlibat dalam dunia pengiklanan.

Ia juga mendapat persetujuan daripada ayah mereka. Saya fikir ia tidak menjadi masalah memandangkan mereka juga dapat wang atas usaha mereka ini.

DYNAS dan Hafizy berkahwin pada tahun 2008. Desas-desus perceraian mereka tersebar sekitar Februari lalu.


Apakah perasaan anda apabila dilantik sebagai salah seorang juri dalam pertandingan bayi tahunan ini?

Saya sangat teruja sekali kerana ia merupakan kali pertama kali dilantik untuk menjadi juri. Berbanding tahun sebelumnya, pertandingan ini menjanjikan kelainan apabila bayi yang memasuki pertandingan akan dinilai daripada segala aspek, bukan sahaja dari segi fizikal, malah perkembangan bayi dan ikatan erat bersama kedua ibu bapanya.

Apakah kriteria yang ada pada diri anda sehingga menyebabkan pihak Johnson's Baby melantik anda sebagai salah seorang juri pertandingan tersebut?

Mungkin disebabkan sebelum ini saya banyak berkecimpung dalam bidang pengacaraan yang melibatkan program perkembangan bayi dan juga mempunyai perniagaan pakaian ibu mengandung iaitu Dynas Nursing Attire' (DNA).

Bagaimanakah perkembangan perniagaan Dynas Nursing Attire (DNA) anda?

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kini saya mempunyai dua cawangan iaitu di The Curve, Damansara dan Setia City Mall. Saya juga bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Sabah.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya kini baru sahaja selesai daripada penggambaran utuk drama, Silir Kasih Bella terbitan RTM. Drama ini memberi kelainan kepada saya kerana watak yang dilakonkan merupakan watak protagonis berbanding watak antagonis yang selalu diberikan kepada saya.

Matah Ati penuhi garis panduan

Posted:

Matah Ati penuhi garis panduan

Matah Ati penuhi garis panduan

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ATILAH (berdiri tiga dari kanan) dan Juhari (berdiri tiga dari kiri) di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERTAMA kali dalam sejarah Istana Budaya membenarkan kemasukan produksi teater dari luar negara untuk beraksi di pentas berprestij Panggung Sari.

Produksi Matah Ati yang mencuri hati penggemar budaya dan sejarah Kesultanan Jawa itu bakal menggegar Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 hingga 25 Mei depan.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, teater itu dipersembahkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan memberikan peluang kepada pencinta budaya tempatan menyaksikan naskhah hebat itu.

"Banyak produksi luar negara yang berhasrat untuk membuat persembahan di Istana Budaya tapi peluang diberikan kepada Matah Ati sebagai satu pendedahan kepada peminat di Malaysia.

"Sama seperti mana-mana produksi tempatan atau luar negara yang mahu membuat persembahan di Istana Budaya, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Antaranya, skrip yang digunakan tidak boleh menyentuh isu sensitiviti seperti perkauman dan agama, tiada perkara sensasi serta menjaga kesopanan dari segi berpakaian," katanya pada sidang akhbar Matah Ati di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, dua pelakon utama teater tersebut, Fajar Satriadi dan Rambat Yulianingsih yang turut mempersembahkan sedikit sedutan daripada pementasan itu.

Tentera wanita

Matah Ati pernah dipentaskan di Esplanade, Singapura (2010), Teater Jakarta, Taman Ismail Marzuki, Jakarta (2011, 2012) dan Pamedan Solo (2010).

Teater muzikal itu menceritakan kisah perjuangan dan percintaan seorang gadis kampung bernama Rubiyah yang menyertai pasukan tentera wanita untuk menentang penaklukan Belanda di Jawa.

Bersama kekasihnya, Putera Raden Mas Said yang turut dikenali sebagai Pangeran Sambernyowo, mereka membentuk satu batalion yang kuat sehingga menjadi sebahagian daripada sejarah Istana Mangkunegaran.

Lokasi yang sama juga menjadi saksi Rubiyah dan Raden Mas Said disatukan serta nama Rubiyah ditukarkan kepada Bandoro Raden Ayu Kusuma Matah Ati.

Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit teater itu, Atilah Soeryadjaya, Matah Ati diinspirasikan daripada persembahan tarian klasik Langendriyan yang berasal dari Istana Mangkunegaran ketika pemerintahan Mangkunegoro IV.

"Selama dua tahun setengah tempoh masa diambil untuk membuat penyelidikan dan menulis skrip teater ini sebelum betul-betul bersedia untuk dipentaskan.

"Naskhah ini unik kerana menceritakan perjuangan dan percintaan ketika Tanah Jawa sedang bergolak. Ia sebuah karya klasikal yang diterjemahkan ke pentas moden," ujarnya.

Prop mega

Tambah Atilah, produksinya akan dikecilkan daripada 350 kepada 100 orang penari yang akan beraksi di pentas pada satu-satu masa.

"Sepanjang pementasan berdurasi 90 minit itu, tidak akan ada waktu rehat sepertimana persembahan teater biasa. Sudah pasti kami akan menyelitkan gimik khusus kepada penonton di Malaysia.

"Produksi kami akan menerbangkan semua props gergasi seperti yang digunakan dalam pementasan terdahulu ke Istana Budaya nanti dan sesi latihan khusus untuk pementasan ini sudah dimulakan hingga ke tarikh pementasan," katanya.

Matah Ati akan turut dipentaskan di beberapa buah negara Asia lain seperti China, Taiwan dan Jepun pada ini selain merancang untuk terbang ke negara Eropah pada 2016.

Tiket dijual dengan harga RM70, RM120, RM160, RM220 dan RM280. Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang www.ezitix.net.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved