Rabu, 16 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Berjauhan demi karier

Posted:

Berjauhan demi karier

Berjauhan demi karier

BIASANYA seseorang artis yang ingin memperoleh pendapatan sampingan akan membuka perniagaan makanan sebagai pilihan utama. Ia dilihat sebagai antara jenis cabang perniagaan yang mudah untuk di- mulakan.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan penyanyi Ayu Damit yang memilih untuk menjalankan perusahaan ladang kelapa yang terletak di Kuala Kangsar, Perak bersama suaminya.

Bertemu dengan pemilik nama sebenar Norayu Damit dalam sebuah majlis minum petang di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia memberitahu, perusa- haan ladang berkenaan sudah dimulakan sejak tahun lalu lagi.

"Idea ini timbul sewaktu saya menyambut bulan puasa tahun lalu di kampung suami iaitu di Kuala Kangsar. Ketika itu saya dapati bekalan kelapa selalu berkurangan di kedai.

"Secara kebetulan pula terdapat tanah kosong yang dimiliki oleh keluarga suami dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk membuka sebuah ladang kelapa serta menanam nanas sebagai tanaman sampingan," ujar penyanyi berusia 25 tahun itu.

Menjelaskan lebih lanjut tentang pembabitannya dalam bidang pertanian, Ayu mengakui, dia dan suami tidak memiliki sebarang pengetahuan dan pengalaman tetapi dia banyak dibantu oleh pihak pembekal yang membekalkan benih kelapa dan nanas kepada mereka.

Selain itu, mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai langkah untuk mendapat hasil tanaman yang lebih baik dan berkualiti.

"Kami telah membelanjakan sekitar RM100,000 untuk memulakan perniagaan ini, termasuk membeli beberapa bidang tanah lain yang berhampiran dengan tanah milik keluarga suami.

"Kalau diikutkan, pokok kelapa mengambil masa beberapa tahun untuk berbuah tetapi pokok nanas yang kami tanam sudah mula berbuah.

"Mungkin pada bulan Julai atau Ogos nanti kami sudah boleh mula mengutip hasilnya," jelas isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin itu.

Memandangkan dia dan suami kini sudah memulakan perniagaan sendiri dalam bidang pertanian, Ayu turut ditanya tentang perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi.

Menurut Ayu, ketika ini perniagaan yang diusahakan itu diuruskan sepenuh- nya oleh suami manakala dia pula masih lagi turus bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

"Tidak dinafikan sekarang ini saya sudah mula berjauhan dengan suami dan anak-anak. Suami berada di Kuala Kangsar menguruskan ladang kami dan saya pula berada di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian yang diterima.

SEIRING karier seninya yang kembali rancak, Ayu optimis bisnes kelapa sawitnya akan memberi pulangan yang baik pada masa akan datang.


"Walaupun terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga, saya tidak kisah kerana masih boleh menghubungi mereka melalui telefon. Lagipun keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur semata-mata demi meneruskan karier saya," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Mengenai majlis minum petang yang berlangsung pula, Ayu meluahkan penghargaannya kepada pihak Hotel Royal berkenaan yang memberikan kesempatan kepadanya membuat persembahan untuk menghiburkan para peminatnya.

"Saya tidak sangka pula dengan undangan yang diterima ini tetapi saya diberitahu bahawa pihak hotel mengundang saya setelah melihat persembahan yang pernah saya buat di hotel ini pada bulan puasa yang lalu," ujarnya.

Saingan sihat

Berkenaan dengan karier nyanyian pula, Ayu menyatakan, peminat kini sudah mula nampak kehadirannya dalam industri hiburan sejak tahun lalu setelah kemunculan singlenya berjudul Hati Ini.

Namun begitu, dia menolak tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia sengaja menghilangkan diri buat seketika dan menegaskan bahawa dia masih terus aktif menyanyi seperti biasa.

"Tanggapan sebegitu wujud kerana cerita saya tidak kerap dipaparkan di media, jadi ramai yang menyangka saya tidak aktif menyanyi. Sedangkan tawaran untuk membuat persembahan menyanyi masih banyak lagi saya diterima.

"Kemudian dengan kemunculan single saya pada tahun lalu iaitu Hati Ini, barulah peminat tahu yang saya masih lagi menyanyi, termasuk dengan bantuan pihak media yang memberikan publisiti kepada saya," jelasnya.

Ujarnya, dalam masa terdekat ini dia bakal merakamkan dua buah single yang masih belum lagi diberi judul. Kedua-dua lagu berkenaan mendapat sentuhan daripada Ran Pahat dan Mohariz.

Mengenai persaingan yang wujud memandangkan semakin ramai penyanyi baharu yang muncul sekarang ini, Ayu melihat ia sebagai suatu perkembangan positif dan suatu persaingan yang sihat.

BAHAGIA... Ayu bersama suaminya, Syed Fauzi dan anak mereka, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 4.


Enggan hamil

Sudah memiliki dua cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 4, Ayu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia enggan hamil lagi dalam masa terdekat ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, keputusan itu dibuat agar dia mampu memberi lebih banyak tumpuan kepada kerjaya nyanyian serta membesarkan kedua-dua anaknya.

"Sebenarnya sejak dikurniakan anak pertama lagi saya sudah membuat kepu- tusan sebegini. Namun begitu, tidak sangka pula rezeki berpihak kepada saya dan suami apabila dikurniakan anak yang kedua.

"Jadi, kali ini saya memang mahu berehat seketika untuk hamil lagi tetapi kalau ditakdirkan mendapat cahaya mata yang ketiga kami tidak akan tolak dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh," ujarnya.

Biarpun mengambil keputusan tidak mahu menambah bilangan anak, Ayu memberitahu, baru-baru ini mereka baru sahaja mengambil seorang anak angkat dan diberi nama Nurqalisha Umaira yang kini berusia lima bulan.

"Kami mengambil Qalisha sejak dia mula dilahirkan lagi dan niat kami mengambilnya sebagai anak angkat untuk membantu seorang saudara sebelah suami saya yang berada dalam kesulitan," jelasnya mengakhiri bicara.

Raja Azmi tak kisah dikritik

Posted:

Raja Azmi tak kisah dikritik

Raja Azmi tak kisah dikritik

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

MENURUT Raja Azmi, dia mahu memperbetul dan melengkapkan soal lima waktu dahulu, berbanding memakai tudung.


HUJUNG minggu lalu, penerbit Raja Azmi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbunyi: "Kalau betul tak pakai tudung satu dosa yang amat besar sampai orang kata kalau orang perempuan tak tutup rambut akan masuk neraka, Kak Mi tak boleh terima semua itu."

Kenyataan yang dikeluarkan pada satu temu bual dalam sebuah program hiburan mengenai kesediaannya bertudung selepas menunaikan umrah baru-baru ini telah menerima pelbagai reaksi negatif.

Ada yang beranggapan, kenyataan Raja Azmi yang juga selesa dipanggil Kak Mi itu sebagai kurang waras dan cetek ilmu agama.

Sementelah memakai tudung atau menutup aurat itu merupakan suatu kewajipan yang nyata untuk setiap wanita beragama Islam.

Perintah memakai tudung sememangnya jelas seperti yang dinyatakan dalam suruh An-Nur ayat 31 yang menyatakan setiap wanita beragama Islam mestilah bertudung meliputi dada dan kedua telapak tangan.

Ulama juga telah bersepakat bahawa isu pemakaian tudung merupakan perkara wajib seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.

Namun, wanita berusia 55 tahun itu tetap dengan pendirian dan menegakkan kenyataannya sebagai tidak bersifat semborono.

Dia dengan tegas juga memberitahu lebih menitik beratkan soal solat lima waktu, berbanding memakai tudung atau menutup aurat.

Raja Azmi bercakap kepada Kosmo! tentang isu tersebut. Bagi penerbit filem ...Dalam Botol itu, dia mempunyai alasan dan prinsip sendiri untuk tidak memakai tudung walaupun dikecam hebat oleh orang ramai.

Kosmo!: Bagaimanakah pandangan Raja Azmi berhubung kecaman orang ramai mengenai kenyataan anda yang mengatakan isu pemakaian tudung itu tidak wajib?

RAJA AZMI: Saya tetap dengan pendirian saya, mungkin orang ramai salah faham berhubung isu tersebut.

Pemakaian tudung merupakan pilihan masing-masing tetapi hal ini melibatkan keikhlasan hati, kita perlu betulkan perkara asas seperti solat lima waktu dahulu.

Adakah anda tidak bersedia untuk memakai tudung?

Saya telah bersedia pada bila-bila masa untuk memakai tudung. Namun, buat masa ini saya akan bertudung pada masa tertentu sahaja. Insya-Allah, saya berusaha untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit demi kebaikan saya.

Apakah tindakan yang diambil untuk kebaikan diri anda pada masa akan datang?

Bagi saya, apa yang perlu ditekankan buat masa sekarang adalah perkara asas dahulu. Saya perlu tunaikan solat lima waktu dengan teratur terlebih dahulu. Kalau solat lima waktu pun compang-camping, macam mana hendak melakukan kebaikan lain.

RAJA Azmi berpendapat bahawa menutup aurat tidak boleh dipaksa, sebaliknya ia akan berlaku pada saat dia ikhlas melakukan perubahan itu.


Jadi sebenarnya apakah pendirian anda mengenai isu bertudung?

Ia merupakan pilihan masing-masing. Jika hanya memakai tudung pada luaran tapi hakikatnya berperangai tidak baik, saya kira itu tidak menjadi juga. Apa yang penting adalah keikhlasan hati dan kebersihan hati itu sendiri. Mungkin disebabkan saya seorang yang dikenali, perkara ini diperbesarkan.

Apakah nasihat anda kepada orang ramai yang mengecam pendirian anda itu?

Ya, saya akui isu tersebut merupakan isu yang sensitif. Cuma saya ingin katakan di sini ialah perbaiki dahulu perkara asas agama dan saya percaya, kemudian segalanya akan beransur ke arah kebaikan.

Adakah anda terkesan dengan kecaman daripada orang ramai mengenai isu tersebut?

Tidak, saya sedikit pun tidak terkesan dengan kecaman orang ramai. Mungkin mereka salah faham dengan kenyataan tersebut. Saya ingin membetulkan diri saya dahulu tapi mungkin ia memakan sedikit masa.

Adakah suami anda memarahi anda jika tidak bertudung?

Tidak, suami saya tidak pernah memarahi saya jika saya tidak bertudung. Dia merupakan seorang yang memahami diri saya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Kini saya sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program televisyen yang berbentuk realiti televisyen iaitu Main Masak-Masak. Saya juga ingin berehat daripada menerbit dan mengarahkan filem memandangkan industri filem sekarang dipenuhi dengan filem yang tidak berkualiti.

Nam Ron dominasi Cameronian Boh Award ke-11

Posted:

Nam Ron dominasi Cameronian Boh Award ke-11

Nam Ron dominasi Cameronian Boh Award ke-11

KARYA Teater Kompilasi Namron milik Namron telah tercalon dalam sembilan kategori Boh Cameronian Award ke-11.


ANUGERAH teater Boh Cameronian Award kali ini mula membuka tirainya untuk tahun ke-11 apabila mengumumkan senarai pencalonannya bertempat di Alexis Bistro@The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 36 pencalonan telah disenaraipendekkan. Ia termasuk tujuh kategori untuk teknikal muzikal teater, lima tarian, enam teater muzikal dan empat lagi pilihan penonton Kaki Seni.

Keputusan pencalonan itu ternyata mengejutkan seorang pengarah dan penulis skrip teater yang tidak asing lagi, Shahili Abdan atau lebih mesra dengan panggilan Nam Ron.

Dalam anugerah tersebut, Nam Ron telah dicalonkan bagi sembilan kategori termasuk Pengarah Terbaik melalui Teater Kompilasi Namron, Skrip Asal Terbaik dan Reka Bentuk Set Terbaik.

Bercerita mengenai perasaannya apabila tercalon dalam seluruh sembilan anugerah teater yang dipertandingkan, Nam Ron berkata, tidak terlintas langsung di hatinya untuk tercalon dan ia merupakan penghargaan besar kepadanya.

"Saya tidak pernah terfikir untuk dicalonkan memandangkan jika dilihat dari segi karya saya sebelum ini, ia biasa-biasa sahaja. Mungkin disebabkan tahun ini agak kurang persaingan seperti dahulu.

"Bagaimanapun, saya tetap mempersembahkan karya saya dengan sebaik mungkin dan saya harap tuah berpihak kepada saya kali ini," ujarnya yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik pada tahun 2003 menerusi anugerah yang sama.

Tambah Nam Ron, dua teater yang dicalonkan melalui produksi Rumah Anak Teater, Laut Lebih Dari Bulan dan Aku Nak Jadi Bintang akan turut dipentaskan di Singapura pada 17 dan 18 Mei depan.

Dalam pada itu, turut berkongsi keterujaan yang sama ialah seorang produser muda, Mohd. Amer Syafiq Khalip atau lebih mesra dipanggil Shawn Amir.

Walaupun boleh dikatakan masih 'hijau' dalam bidang seni teater, kehebatan pengarah muda itu tidak boleh dipertikaikan.

"Usia produksi saya iaitu Mask Team hanya tiga tahun dan ia masih terlalu mentah. Bagaimanapun dengan pencapaian sebegini rupa, saya rasa sangat teruja apabila turut tercalon dalam semua kategori teater yang dipertandingkan.


DEBARAN... Sebahagian pencalon yang akan berentap dalam Boh Cameronian Award ke-11 pada 27 April ini bergambar bersama pada majlis pencalonan baru-baru ini.


"Anugerah ini juga boleh dikatakan sebagai batu loncatan kepada kami untuk terus melebarkan saya dalam bidang teater.

"Pencalonan ini juga merupakan hadiah kepada beberapa rakan saya yang lain termasuk penulis skrip, Fasyali Fadzly Saipul Bahri yang kini sedang menyambung pengajiannya di Kanada," ujarnya yang kini sibuk dengan persiapan teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 hingga 14 Jun depan.

Produksi Shawn Amir, Mask Team melalui teater Teater Juta-Juta dan Madu Ku Kalut turut tercalon dalam kategori Skrip Asal Terbaik dan Anugerah Kumpulan Terbaik.

Pada majlis sama, pelakon yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dengan bidang pementasan teater, Aqasha tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik.

"Saya masih baharu dalam bidang ini, dicalonkan pun sudah membuatkan saya gembira dan bersemangat untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.

"Di samping itu, saya juga bersyukur kerana setelah menceburi bidang ini, saya dapat memperbaiki mutu lakonan dari segi teknikal dan dimensi. Nam Ron juga merupakan seorang mentor yang baik sepanjang pementasan Teater Kompilasi Nam Ron berlangsung," ujarnya

Sementara itu, Presiden Kaki Seni, Low Ngai Yuen berkata, selain daripada memberi pengiktirafan kepada penggiat seni teater pada masa kini, anugerah ini juga ingin mengenang jasa penggiat seni terdahulu termasuk legenda P. Ramlee, Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dan Dekan teater, mendiang Krisnen Jit.

"Kaki Seni selaku penganjur bersama ingin mengangkat martabat penggiat seni tanah air yang selama ini bersusah payah memperjuangkan seni. kami juga terpanggil untuk mengembalikan era kegemilangan seni," katanya.

Boh Cameronian Award ke-11 akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 27 April ini. - MOHD. IZUAN ROSELI

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved