Selasa, 15 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Teruja menanti kelahiran anak sulung

Posted:

Teruja menanti kelahiran anak sulung

Teruja menanti kelahiran anak sulung

KELUARGA besar Liyana turut tumpang gembira dengan bakal kelahiran dua cahaya mata sekali gus daripada pelakon itu dan kakaknya.


SUDAH menjadi suatu kebiasaan atau trend buat sebilangan pasangan artis menganjurkan majlis baby shower sempena menantikan kelahiran cahaya mata.

Bagaimanapun pelakon popular, Liyana Jasmay mengambil pendekatan yang agak berbeza apabila menganjurkan sebuah majlis doa selamat yang berlangsung di kediaman keluarganya di Kemensah Heights, Selangor.

Selain dihadiri saudara-mara terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan media, turut kelihatan ialah pasangan Awal Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya yang juga kini sedang sarat mengandung.

Liyana berkata, majlis doa selamat yang dianjurkan itu bukan sekadar meraikan dirinya seorang sahaja, malah turut dirai ialah kakaknya, Adriana yang sedang menunggu masa bersalin.

"Kalau diikutkan saya berkemungkinan besar akan melahirkan cahaya mata sulung pada bulan hadapan dan diikuti pula dengan kakak saya yang bakal bersalin pada Jun nanti.

"Jadi, kami telah sepakat untuk menganjurkan majlis ini bersama-sama dan pada kesempatan ini saya turut mengumumkan jantina anak saya," ujar isteri kepada Fathuddin Mazlan itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sudah merancang untuk melahirkan cahaya mata di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pelakon berusia 26 itu mendedahkan bahawa melalui pemeriksaan yang dilakukan, dia dan suami bakal dikurniakan cahaya mata perempuan.

Biarpun kini dia dan Fathuddin sudah mengetahui jantina bakal anak yang akan dilahirkannya itu, Liyana menyatakan, setakat ini mereka masih belum lagi memilih nama anak.

"Setakat ini segala persiapan telah siap dilakukan sepenuhnya, termasuk menyediakan sebuah bilik khas untuk anak saya nanti.

"Kalau diikutkan, segala kelengkapan barangan bayi yang lain semuanya sudah dibeli dan kini saya cuma menghitung hari sahaja untuk bersalin. Tidak dinafikan saya memang berada dalam keadaan yang sangat teruja," luahnya dengan nada gembira.

Bercerita lebih lanjut tentang keadaan dirinya sepanjang proses kehamilan, pelakon itu menjelaskan bahawa keadaan kesihatannya cukup baik, kecuali pada peringkat awal kehamilan.

Ujarnya, dalam tempoh tiga bulan pertama dia mengalami alahan yang agak teruk tetapi selepas tempoh tersebut semuanya kembali seperti biasa hinggalah sekarang.

"Pada mulanya agak teruk juga alahan yang saya lalui, namun itu adalah situasi yang biasa dilalui oleh seseorang wanita hamil. Selepas alahan saya beransur pulih, saya kembali meneruskan kerja-kerja saya dalam bidang seni," jelasnya.

SUAMI Liyana, Fathuddin sentiasa menyokong dirinya dalam bidang seni walaupun selepas bergelar ibu.


Terus aktif

Memandangkan Liyana bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi, dia turut ditanya sama ada akan terus aktif dalam bidang lakonan atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

Jelas Liyana, biarpun sudah memiliki anak nanti, dia akan meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburinya itu dan yakin dapat membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga.

"Setelah tamat tempoh berpantang, saya akan kembali semula berlakon dan bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie selepas Hari Raya Aidilfitri nanti serta terbabit dengan beberapa buah projek lain.

"Jadi, selepas mendapat cahaya mata saya akan meneruskan karier lakonan seperti biasa, cuma tidaklah terlalu kerap sangat berlakon. Lagipun projek yang membabitkan saya nanti kebanyakannya di bawah syarikat produksi saya sendiri iaitu Mermaid Studios," ujarnya.

Dalam pada itu, Liyana juga memberitahu, suaminya pula langsung tidak menghalang dirinya meneruskan kerjaya lakonan dan sentiasa memberikan sepenuh sokongan.

"Saya bersyukur kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami diri saya sebagai seorang pelakon, malah saya berasa sangat gembira kerana tidak dihalang untuk melakukan pekerjaan yang saya suka.

"Berkenaan dengan tawaran berlakon pula, ia bergantung kepada skrip yang sesuai dan jalan cerita yang mampu membuatkan saya teruja. Selain itu, watak pula haruslah bersesuaian dengan status saya sebagai seorang ibu," jelasnya.

Semakin berkembang

Selain aktif dalam bidang lakonan, umum sudah mengetahui tentang Liya- na yang turut memiliki sebuah syarikat produksi, Mermaid Studios yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana.

Cerita Liyana, dia bersyukur kerana syarikat produksi yang ditubuhkan bersama kakaknya itu sejak tahun 2010 kini semakin berkembang dan banyak menerbitkan program televisyen.

"Sudah tentu saya dan kakak sangat gembira kerana semakin mendapat kepercayaan daripada stesen-stesen televisyen dan sejujurnya ia bukanlah suatu usaha yang mudah.

"Bermula dengan sebuah produksi secara kecil-kecilan, kini semakin banyak projek yang diterima. Namun begitu, saya dan kakak tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan buat masa ini kerana masing-masing sedang hamil," ujarnya yang akan kembali fokus sepenuhnya terhadap syarikatnya itu selepas bersalin.

Mengenai perkembangan karier seninya pula, Liyana memberitahu, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah single baharu dan kini sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu buat dirinya.

Keith Foo nafi demand RM20,000

Posted:

Keith Foo nafi demand RM20,000

Keith Foo nafi demand RM20,000

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

KEITH FOO menganggap dakwaan dirinya demand sebagai satu berita tidak benar.


BARU-BARU ini menerusi sebuah akhbar tempatan, pelakon yang namanya melonjak naik menerusi drama rantaian Ariana Rose, Keith Foo didakwa meminta RM20,000 untuk berlakon dalam telefilem terbitan dan arahan seorang penerbit drama yang cukup aktif, Shahrul Ezad.

Akhbar tersebut melaporkan, Shahrul berang apabila pelakon yang terlebih dahulu membina nama dalam pasaran filem Indonesia itu meminta bayaran yang tidak masuk akal.

Apa yang membuatkan penerbit itu lebih sakit hati apabila ada pula penerbit lain yang membalas kenyataan dan berkata mampu membayar Keith seperti yang diminta.

Artikel itu juga menyebut, selama tiga tahun Keith berlakon di Malaysia, dia seharusnya sudah cukup arif bagaimana industri penerbitan filem dan drama tempatan bergerak. Bajet untuk sebuah telefilem yang diterima penerbit untuk sesebuah karya mereka pula hanya RM120,000. Bajet tersebut hanya diberi oleh stesen televisyen RTM.

Stesen televisyen lain, sama ada swasta atau berbayar, hanya memperuntukkan bayaran untuk satu telefilem sebanyak RM80,000. Malah, harga paling tinggi untuk pelakon gred A memegang watak utama seperti Fasha Sandha tidak lebih RM12,000.

Justeru, tindakan Keith meminta bayaran sehingga RM20,000 disifatkan sebagai tidak wajar.

Kosmo! menghubungi pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan itu bagi menjelaskan mengenai kontroversi dirinya sebagai sudah mula bersifat demand.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Keith.

Kosmo!: Adakah benar dakwaan bahawa Keith meminta bayaran sebanyak RM20,000 untuk berlakon dalam sebuah telefilem terbitan Shahrul Ezad?

KEITH: Tidak benar. Saya tidak pernah demand harga seperti itu. Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya tahu sama ada saya jenis yang demand atau tidak.

Adakah anda terkejut mengenai kenyataan yang disiarkan pada hujung minggu lalu itu?

Saya tidak terkejut. Benda seperti ini akan terjadi kepada semua artis.

Sejujurnya, adakah anda mengenali dan pernah berjumpa dengan dia (Shahrul)?

Saya tidak mengenalinya dan tidak pernah berjumpa dengan dia.

Adakah anda pernah membuat dia berasa kecil hati?

Tidak.

Shahrul juga mendakwa ada penerbit yang sanggup membayar anda jumlah sebesar RM20,000 itu. Bolehkah anda memberi penjelasan?

Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Saya bukan jenis orang yang suka cari kontroversi. Banyak penerbit yang ingin bekerjasama dengan saya. Mereka tahu siapa saya sebenarnya.

Adakah anda akan mengambil tindakan mengenai dakwaannya itu?

Saya tidak akan ambil tindakan. Dia (Shahrul) sendiri tahu perkara itu betul atau tidak.

Apabila perkara seperti ini ditimbulkan, adakah ia menjejaskan perjalanan karier anda yang baru ingin berkembang dengan baik di dalam industri?

(Tiada jawapan).

Apakah projek terbaharu anda dalam bidang lakonan?

Saya akan menjalani penggambaran filem Puteri Kelip-Kelip terbitan Grand Brilliance. Pada masa yang sama, saya juga terbabit dengan drama Kasih Berbisik gabungan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Transformasi novel ke teater

Posted:

Transformasi novel ke teater

Transformasi novel ke teater


TEATER Di Bawah Lindungan Kaabah yang dibarisi pelakon hebat tidak menjalani sebarang perubahan, sebaliknya ia dihasilkan mengikut acuan novel sedia ada.


ACAP kali rumah produksi yang mengadaptasi naskhah novel dalam format visual akan berdepan dengan kritikan intipati asli dan kehendak audiens yang mahukan seratus peratus persembahan serupa seperti dibaca.

Kerisauan itu turut didepani penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan yang berjanji akan mentransformasikan naskhah novel itu ke pentas teater tanpa mengubah karya agung tersebut.

"Tidak akan ada sebarang perubahan dari segi jalan cerita kerana teater ini adalah sebuah terjemahan penyampaian daripada novel ke pentas teater.

"Mesej juga akan disampaikan dalam bentuk lagu dan pergerakan tarian abstrak ringkas. Cerita ini juga tiada watak antagonis dan kami akan cuba memakai isi kandungan sama seperti dalam novel," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar teater itu di Bilik Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Siti Rohayah, teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan menggunakan perantaraan dialog dalam bahasa Melayu nusantara yang boleh difahami masyarakat gugusan kepulauan Melayu.

Bagaimanapun, produksi itu masih berdepan dengan kekangan kewangan memandangkan naskhah yang bakal dipertontonkan lebih bersifat Islamik.

"Itu masalah biasa yang dialami penerbit teater di Malaysia, tambahan pula genre naskhah yang dipersembahkan kali ini berbeza daripada sebelum ini.

"Insya-Allah dengan adanya beberapa penaja yang sudah memberikan 'lampu hijau' untuk terbabit dengan produksi ini, sedikit sebanyak menyuntik semangat kami untuk memberikan hasil terbaik.

"Namun, kami masih mengalu-alukan sumbangan dan penajaan daripada syarikat korporat yang sudi dan bermurah hati," jelasnya yang memerlukan dana sebanyak RM2.4 juta.

Teater itu telah memulakan sesi latihan pada 4 April lalu dan sebanyak 30 peratus gerak kerja menjelang pementasan telah dilaksanakan.

Teater terbitan CTRA Production itu dibintangi oleh Adi Putra, Nasha Aziz, Zahid, Fizo, Elfira Loy, Yasmin Hani dan Dafi.

Nasha taja kasut

Sementara itu, pada majlis sidang akhbar yang sama, aktres berbakat besar, Nasha Aziz telah mengumumkan untuk menaja 12 pasang kasut kepada pelakon wanita teater tersebut.

"Insya-Allah untuk pementasan kali ini saya akan menaja sebanyak 12 pasang kasut yang direka khas untuk pelakon wanita.

"Kasut tersebut direka mengikut kesesuaian watak, jalan cerita dan keadaan yang dilakonkan oleh pelakon. Kesemua kasut tersebut telah siap direka dan kini hanya tinggal proses pembuatan sahaja.

"Cabaran utama adalah rekaan corak kasut itu sendiri yang perlu dihasilkan melambangkan simbolik jalan cerita yang hendak disampaikan dan bagi keselesaan pergerakan setiap pelakon," kata pelakon itu.

Berbeza sosiobudaya

Di Bawah Lindungan Kaabah merupakan adaptasi novel yang dikarang oleh Hamka pada tahun 1938 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Novel itu mengisahkan tentang perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza.

Karya itu pernah difilemkan di Indonesia sekitar tahun 1978 dan 2011. Bagaimanapun, inilah pertama kali naskhah tersebut diadaptasi menjadi sebuah persembahan teater.

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan dipentaskan dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Peminat yang ingin menyaksikan sebuah karya terbitan CTRA Production dan Istana Budaya boleh membuat tempahan tiket menerusi www.AirAsiaRedTix.com. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved