Jumaat, 11 April 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Isyarat kotak hitam kelima dikesan pesawat Australia

Posted:

Isyarat kotak hitam kelima dikesan pesawat Australia

Isyarat kotak hitam kelima dikesan pesawat Australia

AFP
GAMBAR bertarikh 7 April ini menunjukkan tiga kru kapal HMAS Perth menggunakan teropong ketika misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.




Reuters
PESAWAT AP-3C Orion mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce selepas menyertai misi mencari MH370 kelmarin.


PERTH - Satu lagi isyarat detik baharu dipercayai daripada kotak hitam Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi berjaya dikesan oleh sebuah pesawat peninjau AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia semalam.

Isyarat itu merupakan yang kelima dikesan pasukan mencari sekali gus memberi harapan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu semakin hampir ditemui.

Ketua Penyelaras Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston memberitahu, isyarat terbaharu itu dikesan di kawasan yang sama di mana empat lagi isyarat di kesan sebelum ini.

Katanya, isyarat terbaharu itu dikesan oleh pesawat peninjau AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia pada tengah hari semalam.

"Pesawat mengesan isyarat tersebut melalui berpuluh-puluh alat pengesan bunyi yang dijatuhkan di permukaan air di satu lokasi di kawasan carian.

"Isyarat yang diperoleh oleh pesawat ini perlu dianalisis terlebih dahulu tetapi data menunjukkan ia berpotensi dikeluarkan dari alat buatan manusia," kata Houston.

Tambahnya, sebuah kapal milik Australia, HMAS Ocean Shield yang membawa alat pengesan kotak hitam, towed pinger locator kini memfokuskan carian di satu lagi lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat laut Perth.

Kapal HMAS Ocean Shield pada Selasa lalu mengesan dua isyarat dipercayai daripada kotak hitam MH370 di lokasi berkenaan.

Isyarat berkenaan kali pertama dikesan pada Sabtu lalu oleh kapal HMAS Ocean Shield sebelum sekali lagi dikesan pada Selasa lalu.

Isyarat baharu itu juga memberi harapan bahawa bateri di kotak hitam yang menyimpan data penerbangan dan rakaman suara kokpit pesawat MH370 masih lagi bertahan.

Kapal HMAS Ocean Shield mengesan isyarat itu di lokasi penerbangan MH370 diramalkan berakhir oleh penganalisis selepas pesawat Boeing 777-200 tersebut kehabisan minyak.

"Saya berpendapat kita kini mencari di kawasan yang betul tetapi saya tidak boleh membuat sebarang pengesahan sehingga kita menjumpai bangkai atau serpihan pesawat ini," tambah Houston.

Menurutnya, sebuah kapal selam kawalan jauh, Bluefin-21 mungkin diturunkan di lokasi isyarat itu dikesan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi mengesan bangkai pesawat berkenaan.

"Saya berharap dengan lebih banyak isyarat dikesan kita mampu mengecilkan kawasan carian.

"Saya menjangkakan dalam tempoh beberapa hari lagi kita mampu mengesan sesuatu di dasar lautan yang mengesahkan bahawa ia adalah pesawat MH370," katanya.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru terhempas di selatan Lautan Hindi selepas berpatah balik dari laluan penerbangan asal ke Beijing, China. - Agensi

Pesawat Jet Airways 'hilang' 30 minit

Posted:

Pesawat Jet Airways 'hilang' 30 minit

Pesawat Jet Airways 'hilang' 30 minit

NEW DELHI - Komunikasi antara sebuah pesawat Jet Airways dari India dengan menara kawalan trafik udara hilang selama 30 minit ketika berada di ruang udara Jerman pada bulan lalu selepas juruterbang menanggalkan fon kepala mereka, lapor akhbar semalam.

Pesawat itu yang dalam penerbangan dari London, Britain menuju ke Mumbai dilaporkan tidak menjawab panggilan radio dari menara kawalan selama 30 minit ketika terbang di ruang udara Jerman.

Kejadian yang berlaku pada 13 Mac lalu menyebabkan pihak berkuasa Jerman membuat aduan kepada India.

"Kejadian itu mencetuskan panik di menara kawalan trafik udara Jerman kerana situasi itu menyamai tragedi yang berlaku pada pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS)," kata seorang pegawai yang dipetik akhbar Indian Express.

Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai terhempas di Lautan Hindi selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 Mac lalu.

Seorang jurucakap Jet Airways berkata, komunikasi itu terputus selepas kru pesawat Boeing 777-300ER terlupa untuk meningkatkan bunyi pembesar suara selepas membuka fon kepala mereka.

Tambah jurucakap itu lagi, dua juruterbang pesawat berkenaan digantung selama dua minggu akibat insiden berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan awam India juga mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung tindakan juruterbang tersebut. - dpa

Jokowi gagal tepati ramalan

Posted:

Jokowi gagal tepati ramalan

Jokowi gagal tepati ramalan


SEORANG wanita membuang undi di Jakarta kelmarin. - AFP


JAKARTA - Pembangkang terbesar Indonesia, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) gagal menepati ramalan untuk mencatat kemenangan besar walaupun mendahului dalam keputusan awal pilihan raya (Pemilu) umum negara itu.

Prestasi lemah tersebut berlaku di sebalik populariti calonnya, Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang menjadi pilihan utama untuk memenangi pilihan raya Presiden, Julai depan.

Keputusan awal Pemilu semalam menunjukkan PDI-P memperoleh hampir 20 peratus undi.

Beberapa penganalisis politik berkata, Joko atau lebih popular sebagai Jokowi di Indonesia, perlu mendahului dengan 27 peratus undi bagi memudahkan laluannya memenangi pilihan raya Presiden beberapa bulan lagi.

"PDI-P gagal menggunakan populariti Jokowi sepanjang kempen Pemilu kali ini," kata Pengarah Eksekutif Institut Pol-Tracking, Hanta Yuda.

"Parti itu tidak sepenuhnya mengeskploitasi populariti Jokowi semasa berkempen di seluruh Indonesia dan menerusi iklan televisyen selain gagal menangkis komen-komen negatif parti lawan," tambahnya.

Keputusan awal kiraan undi menunjukkan Parti Golkar berada di kedudukan kedua apabila memperoleh 15 peratus undi, diikuti oleh Parti Gerindra di tempat ketiga dengan 12 peratus undi.


GABENOR Jakarta, Joko Widodo (kiri) dan isterinya, Iriana Widodo (kanan) berjalan pulang ke kediaman mereka selepas membuang undi pada pilihan raya umum Indonesia di Jakarta kelmarin. - AFP


Kedua-dua parti politik tersebut masing-masing mencalonkan ahli perniagaan, Aburizal Bakrie dan bekas jeneral, Prabowo Subianto untuk bertanding pada pilihan raya Presiden kali ini.

Sesebuah parti politik Indonesia perlu memenangi 20 peratus kerusi di Dewan Perwakilan atau 25 peratus undi keseluruhan Pemilu untuk mencalonkan wakil mereka pada pilihan raya Presiden.

Jika gagal, satu gabungan dengan sebuah atau lebih banyak parti politik perlu dibentuk bagi tujuan tersebut.

"Syukur kepada Tuhan, rakyat memilih PDI-P sebagai pemenang Pemilu," kata Jokowi.

"Saya fikir sukar untuk PDI-P bergerak sendiri. Kami perlu bekerjasama dengan parti politik yang sehaluan dan PDI-P terbuka untuk berbuat demikian," jelasnya.

Dalam pada itu, kira-kira 6,607 calon daripada 12 parti politik bertanding pada pilihan raya kali ini untuk merebut 560 kerusi Dewan Perwakilan.

Widodo yang merupakan seorang bekas pengusaha perabot merupakan muka baharu dalam senario politik Indonesia tetapi ramai penduduk menyokong gayanya yang sederhana, tidak sombong dan sanggup menziarahi dan bergaul dengan golongan miskin.

Keputusan rasmi Pemilu akan hanya diumumkan bulan depan tetapi pengiraan awal yang diumumkan beberapa organisasi kaji selidik dianggap boleh diguna pakai.

Indonesia yang memiliki seramai 240 juta penduduk merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.

Negara tersebut juga memiliki penduduk Islam paling ramai di dunia. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved