Selasa, 1 April 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kapal pengesan kotak hitam sertai latihan

Posted:

Kapal pengesan kotak hitam sertai latihan

Kapal pengesan kotak hitam sertai latihan

REUTERS
SEORANG kelasi, Matthew Oxley berdiri di atas kapal HMAS Success yang mengikuti misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi semalam.


PERTH - Sebuah kapal Australia yang dilengkapi alat pengesan denyutan elektronik atau 'ping', Ocean Shield dijadual melakukan operasi latihan di perairan di sini semalam.

Latihan tersebut sebagai persediaan untuk kapal berkenaan menyertai usaha mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.

Selain alat pengesan gelombang 'ping' atau denyut elektronik, Ocean Shield turut membawa dron dasar laut yang dilengkapi beberapa sensor pengesan isyarat kotak hitam pesawat itu.


REUTERS
SEBUAH pesawat Ilyushin Il-76 milik Tentera Udara China berada
di landasan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Perth semalam.


Namun, seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat, Kapten Mark Matthews memberitahu bahawa adalah penting untuk terlebih dulu mengesan lokasi pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi.

"Sehingga kini, kawasan pencarian kami pada dasarnya melibatkan keseluruhan Lautan Hindi yang akan mengambil masa yang lama," kata Matthews.

Kotak hitam yang berfungsi mengeluarkan isyarat untuk memberitahu tentang lokasi sesebuah pesawat terhempas biasanya mampu bertahan selama 30 hari.


AP
KAPAL Ocean Shield milik Australia berlabuh di Pangkalan Tentera Laut HMAS Stirling di Perth kelmarin.


Maklumat data penerbangan dan perbualan di kokpit pesawat terdapat pada kotak hitam tersebut.

Setakat ini, wujud kebimbangan bahawa usaha untuk mencari kotak hitam tersebut agak terlewat.

Ia berikutan kapal Ocean Shield memerlukan masa tiga hari untuk sampai ke lokasi pencarian di selatan Lautan Hindi sekitar 1,800 kilometer dari sini.

Namun, menurut Matthews isyarat kotak hitam tersebut mungkin boleh bertahan 15 hari lebih lama daripada jangkaan sebelum ini. - AFP

Akhbar minta China tangani kehilangan MH370 dengan rasional

Posted:

Akhbar minta China tangani kehilangan MH370 dengan rasional

Akhbar minta China tangani kehilangan MH370 dengan rasional


AFP
DUA saudara-mara penumpang pesawat MH370 menunggu
perkembangan berita tentang kehilangan pesawat itu di Hotel Metro Park, Lido, Beijing semalam.


BEIJING - China perlu menangani kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia secara rasional, menurut satu komentar yang disiar dalam media rasmi negara berkenaan semalam.

Komentar itu disiarkan beberapa hari selepas keluarga dan saudara-mara penumpang China dalam penerbangan tersebut membuat tuduhan liar ke atas Malaysia berhubung kehilangan MH370.

Mereka turut menegaskan bahawa anggota keluarga mereka mungkin masih hidup.

Menerusi tajuk Tangani Tragedi MH370 Secara Rasional, komentar dalam akhbar pemerintah, China Daily itu menyatakan: " Jelas bahawa penerbangan MH370 terhempas di Lautan Hindi dan tiada seorang pun yang terselamat."

"Kita tidak boleh membiarkan kemarahan mengatasi fakta dan sikap rasional," menurutnya.

"Kita perlu akur pada norma-norma yang menjadi asas masyarakat bertamadun untuk menunjukkan perilaku sebuah kuasa besar," tambahnya.

Menunjuk komentar sama, kata-kata dan perbuatan tidak munasabah tidak akan dapat membantu dalam situasi sekarang manakala mereka yang terlibat perlu membuat persediaan pengebumian.

"Walaupun cara kerajaan Malaysia mengendalikan krisis ini agak lembab, kita perlu faham bahawa ini merupakan insiden paling ganjil dalam sejarah penerbangan Asia. Kita juga faham sebagai sebuah negara membangun, kerajaan Malaysia hilang punca (dalam menghadapi tragedi tersebut)," jelasnya.

Menurut akhbar berkenaan, usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER itu dan menganalisis data teknikal memerlukan masayang lama.

"Mengapa kita tidak boleh bersabar dan menunggu sehingga mereka menemui bangkai MH370 dan bukti-bukti mengenainya," menurut komentar berkenaan.

Penulis komentar tersebut, Mei Xinyu, merupakan penyelidik di sebuah institut yang sebelum ini dikenali kerana analisisnya tentang beberapa pertelingkahan perdagangan antarabangsa.

Seramai 153 penumpang warga China menaiki penerbangan tersebut yang hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. - AFP

Objek oren tidak ada kaitan dengan MH370

Posted:

Objek oren tidak ada kaitan dengan MH370

Objek oren tidak ada kaitan dengan MH370


AP
SEORANG juruterbang pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand melihat Lautan Hindi dari tingkap bagi mencari pesawat MH370.


PERTH - Beberapa objek berwarna oren yang dilihat dari sebuah pesawat yang mencari Penerbangan MH370 didapati cuma peralatan memancing, kata beberapa pegawai Australia semalam.

Kru-kru pesawat P-3 Orion melihat sekurang-kurangnya empat objek oren bersaiz melebihi dua meter pada Ahad lalu.

Namun, jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), Jesse Platts berkata, semua objek itu telah dianalisis dan disahkan tiada kaitan dengan pesawat Boeing 727-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang.

Perkembangan terbaharu itu meningkatkan lagi kekecewaan berhubung pencarian pesawat tersebut.

Pesawat berkenaan hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Ketika kejadian, kapal terbang MAS tersebut membawa seramai 227 penumpang dan 12 kru.

Menerusi radar, pesawat tersebut didapati berpatah balik semasa ia sepatutnya menghubungi menara kawalan trafik Vietnam.


AFP
SATU serpihan terapung dilihat dari pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand semasa melakukan misi mencari kapal terbang MH370 di selatan Lautan Hindi semalam.


Sebelum ini, petugas-petugas penyelamat telah melihat pelbagai objek terapung di zon pencarian di selatan Lautan Hindi tetapi kesemua penemuan tersebut kemudian disahkan sebagai tiada kaitan dengan Penerbangan MH370.

Dalam pada itu, usaha mencari kapal terbang MAS itu mengalami beberapa perubahan sejak tiga minggu lalu apabila pakar-pakar menukar zon pencarian dari perairan Vietnam ke pantai Malaysia barat dan Indonesia sebelum berpindah ke koridor selatan di perairan barat Australia.

"Operasi itu jelas amat sukar. Kami mencari di lautan yang luas dan berdasarkan maklumat terhad," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.

Menurut Abbott, usaha mencari Penerbangan MH370 turut menggunakan teknologi tercanggih dan pakar-pakar terbaik dunia.

"Sekiranya misteri ini (kehilangan MH370) boleh dirungkai, kami akan merungkainya," tambah Abbott.


AFP
SEBUAH komputer di dalam pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand menunjukkan objek yang terapung itu.


Namun, katanya, sehingga kini pencarian pesawat yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu itu dibuat berdasarkan anggaran dan tekaan bermaklumat.

"(Modus operandi ini akan diteruskan) Sehingga kami mengesan serpihan sebenar Penerbangan MH370 dan melakukan analisis yang boleh memberi petunjuk tentang lokasi pesawat itu di lautan," jelas Perdana Menteri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 10 pesawat berada atau sedang menuju ke lokasi zon pencarian berkenaan di Lautan Hindi menjelang tengah hari semalam manakala 10 buah kapal turut meninjau di zon sama.

Zon pencarian tersebut terletak sekitar 1,850 kilometer ke barat Australia.

Lebih 100 kru melakukan tinjauan dari udara bersama 1,000 kelasi terlibat dalam operasi mencari pesawat hilang itu semalam.

Kawasan pencarian itu seluas 253,000 kilometer persegi itu.

Pesawat yang terlibat dalam operasi tersebut memerlukan masa dua setengah jam untuk ke lokasi berkenaan dan mempunyai masa mencari selama lima jam sebelum pulang ke Perth. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved