Rabu, 26 Mac 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Nilai komersial perbankan Islam

Posted:

Nilai komersial perbankan Islam

Nilai komersial perbankan Islam

KADAR penembusan perbankan Islam di negara ini dijangka meningkat kepada 25 peratus.


APAKAH pencapaian sistem perbankan Islam di Malaysia?

Sistem kewangan Islam kini dilihat sebagai satu komponen yang berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan negara.

Hal ini dapat dilihat melalui kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, kadar pertumbuhan aset kewangan Islam memberangsangkan saban tahun juga merupakan satu petanda positif sektor perbankan ini.

Secara tradisinya, institusi kewangan Islam seringkali merujuk kepada institusi zakat dan Baitulmal. Namun, seiring era globalisasi dan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan umat Islam, institusi kewangan Islam seperti institusi perbankan, pengendali takaful dan pengurusan dana Islam ditubuhkan dan berkembang dengan pesatnya.

Perkembangan ini jelas dilihat bukan hanya di negara bilangan penganut agama Islam lebih banyak, bahkan di negara-negara yang majoriti rakyatnya adalah bukan beragama Islam.

Di negara kita, walaupun usia industri kewangan Islam baru mencecah 31 tahun jika dibandingkan dengan model perbankan konvensional yang wujud sebelum Masihi, aset kewangan Islam sudah mencecah 23.8 peratus daripada jumlah aset dalam keseluruhan sistem perbankan.

Kadar penembusan perbankan Islam dijangka meningkat kepada 25 peratus berbanding dengan perbankan konvensional.

Maka, tidak hairanlah Malaysia pada hari ini diiktiraf sebagai peneraju kewangan Islam di dunia bukan hanya daripada sudut jumlah institusi perbankan Islam dan saiz asetnya tetapi juga merangkumi produk kewangan Islam yang lain terutamanya penawaran produk takaful dan pasaran modal Islam seperti sukuk.

Apakah beza perbankan Islam di Malaysia dengan negara-negara lain?

Berbeza dengan negara-negara yang berusaha menjadi hab kepada kewangan Islam terutamanya negara-negara teluk yang masih dalam proses mewujudkan kerangka undang-undang dan urus tadbir kewangan Islam, Malaysia dilihat mempunyai kerangka undang-undang kewangan Islam yang terbaik.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) yang telah digazet, memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri kewangan Islam tentang keutuhan dan kestabilan industri kewangan Islam di negara kita.

Di peringkat antarabangsa, setakat tahun 2012, jumlah aset kewangan Islam di peringkat global kini telah mencecah sehingga AS$1.329 trilion (RM4.39 trilion).

Walaupun industri perbankan Islam kini hanya menunjukkan 1.6 peratus daripada keseluruhan jumlah aset 50 bank terbesar dunia (yang berjumlah RM218.77 trilion), pencapaian industri perbankan Islam berada pada tahap yang membanggakan berdasarkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 21.1 peratus dari tahun 2007 hingga tahun 2011.

Kesemua angka yang merujuk kepada pertumbuhan ini diperoleh oleh industri perbankan Islam ketika aset kewangan global menurun ekoran krisis ekonomi global.


PURATA pertumbuhan tahunan industri perbankan Islam di seluruh dunia ialah 21.1 peratus dari tahun 2007 hingga tahun 2011.


Apakah perbezaan perbankan konvensional dan Islam?

Jika dibandingkan aktiviti utama perbankan konvensional dan perbankan Islam, ianya tidak jauh berbeza. Ini kerana kedua-dua institusi perbankan ini menguruskan liabiliti seperti deposit dan dana pemegang saham bank selain mengurus dan mengembangkan aset kewangan masing-masing. Perbezaan nyata ialah kerangka urus tadbir syariah (KUS) yang menjadi nadi sesebuah institusi kewangan Islam.

Sesebuah institusi kewangan Islam mengintegrasikan kehendak dan keperluan KUS dalam keseluruhan kerangka urus tadbir korporat yang diamalkan oleh institusi tersebut.

KUS adalah perkara terpenting bagi memastikan keseluruhan operasi sesebuah perbankan Islam itu benar-benar menepati kehendak syarak dan pada masa yang sama memelihara keyakinan ummah terhadap status produk dan perkhidmatan institusi perbankan Islam.

Apakah peranan jawatankuasa syariah?

Di bawah KUS, sesebuah institusi perbankan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa penasihat syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang pakar syariah dan kewangan Islam untuk memberikan khidmat nasihat dalam pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Jawatankuasa ini bukan hanya terlibat dalam proses sebelum sesebuah produk kewangan dilancarkan (pre execution stage) tetapi juga bertanggungjawab untuk mengaudit peringkat selepas penawaran sesuatu produk (post execution stage).

Disebabkan tanggungjawab jawatankuasa ini berat, institusi perbankan Islam diwajibkan oleh pihak Bank Negara untuk menubuhkan jabatan Syariah yang berfungsi untuk membantu jawatankuasa Syariah dari sudut melakukan penyelidikan syariah berkaitan isu-isu perbankan, di samping melaksanakan penilaian dan audit syariah.

Apakah peranan dan potensi sistem perbankan Islam di Malaysia?

Di samping mewujudkan sistem perbankan alternatif kepada masyarakat dengan bebas daripada elemen-elemen yang diharamkan di dalam ajaran Islam seperti faedah (riba), ketidakjelasan (gharar) dan perjudian (maysir), sistem perbankan Islam telah membuktikan bahawa ia mampu menjadi suatu usul komersial yang berdaya maju.

Menjadi suatu kewajipan juga untuk masyarakat mempromosi dan menyokong sistem perbankan Islam di negara kita.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba."

Walaupun perkembangan perbankan Islam di Malaysia sudah sampai ke tahap yang membanggakan, tahap kesedaran dan pengetahuan umat Islam terhadap aspek muamalat Islam dan produk perbankan Islam masih banyak yang boleh diperbaiki.

Ini kerana masih wujud segelintir masyarakat yang langsung tidak mengendahkan kewujudan solusi kewangan Islam di negara ini.

Lampu LED jimatkan elektrik

Posted:

Lampu LED jimatkan elektrik

Lampu LED jimatkan elektrik

SHAHRULANOOR ISHAK


LED ini tidak membebaskan haba yang banyak.


MENGGANTIKAN mentol biasa dan halogen dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di rumah mungkin menjadi antara petua penjimatan elektrik terbaik pada dekad ini.

Penggunaan LED sebagai lampu di rumah mampu menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus kerana ia menggunakan kapasiti tenaga paling minimum.

Lampu LED yang menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 12.5 watt mampu memberi pencahayaan sama terang dengan lampu biasa yang berkadar 80 watt.

Malah, cahaya dihasilkan LED lebih selamat kerana ia tidak membebaskan sinar ultra ungu yang berbahaya kepada kulit dan memberi keselesaan terhadap mata.

Selain itu, jangka hayat LED juga lebih lama sehingga 50,000 jam atau bersamaan 15 hingga 20 tahun berbanding lampu halogen dan kalimantang yang mudah rosak akibat kepanasan jika dipasang terlalu lama.

Pengurus Besar (Bahagian Produk Lampu) Philips Malaysia, Adrine Ong berkata, LED juga tidak menggunakan bahan berbahaya seperti plumbum dan raksa sebagaimana yang terdapat pada mentol lampu.

"Pengguna hari ini sentiasa mahu kepada produk yang selamat. Mereka juga lebih gemar untuk memilih produk yang mampu memberikan penjimatan.

"LED menawarkan penjimatan tenaga yang efisien untuk menerangi ruang rumah, pejabat dan tempat awam dengan lebih terang," kata Adrine.

Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenal produk inovasi lampu Philips LED the Way di Hotel Garden Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis itu, lebih 10 model lampu LED untuk kegunaan rumah, ruang pejabat dan tempat awam diperkenal.

Antara produk LED diperkenal ialah mentol, lampu tiub menggantikan kalimantang, variasi lampu siling, lampu jalan dan lampu hiasan di ruang tamu serta dapur rumah.


TEKNOLOGI lampu LED semakin meluas penggunaannya termasuk pada kenderaan.


Haba

Ujar Adrine lagi, penggunaan LED juga tidak menyebabkan ruang rumah atau pejabat menjadi panas akibat pembebasan haba.

"Lampu biasa yang kita guna sejak berpuluh tahun dahulu bukan sahaja menggunakan tenaga elektrik yang banyak, tetapi juga membebaskan banyak haba dan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa akibat panas.

"Pembebasan haba daripada lampu juga menyebabkan pendingin hawa menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjadikan ruang rumah atau pejabat sentiasa sejuk.

"Jadi, penggunaan lampu sebenarnya mempunyai fungsi yang tidak kurang penting terhadap langkah awal penjimatan elektrik," kata Adrine.

Menurut beliau lagi, meskipun kos untuk membeli dan memasang lampu LED lebih tinggi berbanding mentol biasa, ia sebaliknya menawarkan penjimatan jangka panjang.

Tambah Adrine, persekitaran di tempat awam yang gelap juga akan lebih selamat daripada bahaya sinaran ultra ungu sekiranya lampu-lampu jalan jenis mentol biasa diganti dengan LED.

"Di Philips, kita mendapati sebanyak 779 juta tong minyak diguna setiap hari untuk menjana elektrik dan 296 juta tan karbon dioksida dibebas sepanjang tahun disebabkan penggunaan lampu mentol biasa di seluruh dunia.

"Menyedari semua itu, LED menawarkan pilihan terbaik untuk penjimatan tenaga dan membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat pembebasan gas karbon dioksida," katanya.

Adrine menambah, produk lampu LED keluaran Philips menjalani proses inovasi untuk menawarkan penjimatan elektrik secara optimum dan efisien.

Dalam pada itu, Philips menyasarkan pilihan pengguna terhadap lampu LED di Malaysia melebihi penggunaan mentol biasa di premis pejabat dan rumah kediaman menjelang 2015.

"Persekitaran akan lebih selamat melalui penggunaan LED. Penggunaan tenaga untuk menjana elektrik seperti minyak dan arang batu juga boleh dijimatkan.

"Sudah tiba masanya untuk menggantikan lampu-lampu biasa yang banyak menggunakan tenaga kepada LED yang lebih efisien," kata Adrine.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved