Isnin, 31 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Misi tanam anak pokok secara santai

Posted:

Misi tanam anak pokok secara santai

Misi tanam anak pokok secara santai

SELAIN rakyat tempatan, SORR 2014 berjaya menerima penyertaan dalam kalangan pelancong luar negara.


KEHIDUPAN baharu bakal bermula buat lebih 1,000 anak pokok di Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak 118 tahun lalu.

Selepas berabad lama, hutan simpan kekal yang memegang rekod sebagai hutan terbesar dan paling lama wujud di Kuala Lumpur ini bergelut untuk meneruskan survival di sebalik kesibukan kota metropolitan itu.

Hutan yang diwartakan pada 8 April 1932 umpama berada di dua dunia berbeza antara perjuangan mengekalkan alam semula jadi dan asakan pembangunan di sekitar Sungai Besi, Cheras.

Mujur wujud kesedaran dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar berganding bahu bersama Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) mememulihara hutan di ibu kota agar ia terus gah membekalkan sumber seperti oksigen kepada seluruh hidupan di muka bumi.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), sebuah NGO yang terpanggil untuk meneruskan legasi kewujudan hutan di ibu kota mahu mendidik orang awam mengenai kecantikan dan kepentingan alam semula jadi terhadap manusia.

Pendekatan yang dipilih ialah melalui penganjuran Save Our Rainforest Race (SORR) 2014 iaitu maraton sejauh 10 kilometer (km) di dalam Hutan Simpan Sungai Besi dengan misi menanam anak pokok terpilih di hutan tersebut.

SORR 2014 menerima penyertaan sehingga 2,500 peserta.


Tanggungjawab

Acara yang berlangsung penuh jaya pada 29 Mac lalu berjaya mengumpulkan sehingga 2,500 peserta dalam kalangan pelajar mahasiswa, orang awam termasuk pelancong menyertai acara tahun kedua anjuran Peka itu.

Lazimnya pertandingan maraton yang menuntut peserta berlari menamatkan perlumbaan dalam tempoh yang pantas, SORR 2014 menasihatkan peserta berjalan sambil menghayati keindahan semula jadi di hutan berkenaan.

Seorang peserta bersama rakannya berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh satu jam sembilan minit berharap anak pokok yang ditanam tumbuh dengan sihat.

B. Suriya, 24, yang merupakan seorang anggota tentera berkata, tatkala menanam pokok itu hatinya turut berdoa supaya manusia sedar mengenai kepentingan tumbuhan buat hidupan di muka bumi ini.

"Ini adalah kali pertama saya mengikut program maraton seperti ini. Bayangkan kita dinasihatkan untuk tidak berlari tetapi hati mahu sahaja menamatkan misi dengan pantas.

"Bagaimanapun saat berada dalam hutan tersebut dan diberi peluang menanam anak pokok, ia umpama memegang tanggungjawab yang besar dan saya tenang ketika menamatkan tugasan ini," katanya.

Bagi pasangannya, Syamim Ismail, 21, berkata, melalui misi menanam anak pokok itu, ia seperti menebus semula kesalahan manusia yang rakus merobek keindahan alam semula jadi dek kerana keuntungan semata-mata.

"Ini adalah permulaan yang amat baik dan berharap terdapat lebih banyak NGO di luar sana menganjurkan pertandingan berkaitan kesedaran alam sekitar.

"Kadangkala dalam bergelar manusia, kita terlalu rakus dan alpa mengejar kemodenan sehingga melupakan tanpa hutan kita tidak mampu hidup," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Walaupun tujuan SORR 2014 ialah menanam anak pokok, sepanjang perjalanan menuju ke lokasi tapak semaian, melibatkan laluan yang mencabar.

Bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi ketika musim hujan di sekitar kawasan Kuala Lumpur menyebabkan laluan berbukit di Hutan Simpan Sungai Besi licin sehingga ada peserta yang tergelincir.

Setiap kumpulan terdiri daripada dua peserta berganding bahu menyelesaikan setiap kuiz selain mengumpulkan bahan seperti baja serta tanah di setiap titik semak.


TAPAK semaian anak pokok diharapkan mampu mengembalikan kehijauan alam flora dan fauna di Hutan Simpan Sungai Besi.


Keindahan alam

Tekad semua peserta hanya satu keterujaan untuk menanam anak pokok di hutan simpan tersebut. Mereka berpendapat ia adalah sedikit pengorbanan untuk menghargai sumbangan hutan terhadap manusia.

Tidak semua perkara berjalan seperti yang dirancang. Keazaman tinggi seorang orang kelainan upaya penglihatan menjadi sebahagian daripada program tersebut gagal.

P. Krushnan, 45, gagal menyertai maraton itu disebabkan ketiadaan pasangan, tetapi masih membayar yuran pendaftaran sebanyak RM80 sebagai tanda sokongan terhadap Peka dan SORR 2014.

Cacat penglihatan sejak sembilan tahun lalu rentetan daripada komplikasi kesihatan, Krushnan pernah aktif dalam aktiviti lasak terutama denai kembara.

Katanya, dia lebih menghargai keunikan dan keindahan alam semula jadi selepas deria penglihatannya hilang.

"Saya membesar di sekitar Lembah Klang dan menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Saban hari merasakan pelbagai jenis bangunan didirikan tetapi tiada usaha mengekalkan ekosistem semula jadi di kawasan sekitarnya.

"Kesannya pada masa kini, agak sukar kita mahu melihat keindahan alam semula jadi di tengah kota kecuali di kawasan hutan simpan.

"Kita sering berasa panas ketika berada di Kuala Lumpur. Jawapannya hanya satu ketiadaan tumbuhan untuk membuat udara di sekitar sini tenang," katanya yang percaya kini masyarakat semakin peka dengan ketandusan flora fauna di kota raya Kuala Lumpur. Turut hadir pada acara tersebut adalah Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan kakitangan Kosmo!.

Sementara itu, pasangan wanita pertama yang menjejakkan kaki digaris penamat menjadi milik Nor Hasniza Hassan, 33 dan Nornazatul Shima Mohd. Zin, 30.

Nor Hasniza ketika ditemui mengutarakan pendapat supaya setiap pemaju yang ingin membangunkan kawasan di Lembah Klang turut disaran membina taman mini di kawasan berdekatan.

"Saya ambil contoh mudah ialah di Suria KLCC terdapat taman di situ yang bukan sahaja memukau mata yang memandang tetapi menenangkan.

"Pada hakikatnya, kita semua boleh hidup dengan konsep tumbuhan hijau dalam bandar, cuma kita perlu bijak dalam merencanakan setiap pembangunan.

"Bohong sekiranya saya tidak berang melihat bukit yang gondol dan pokok yang ditebang, namun kita terpaksa akui itu adalah cara tunggal untuk membuka kawasan baru. Tetapi keputusan di tangan kita untuk mengimbangi antara pembangunan dan ekosistem," ujarnya panjang lebar.


BAHAROM (tiga dari kiri) bersama Shariffa Sabrina (lima dari kiri) menyempurnakan pelepasan SORR 2014.


Teruja

Jauh sekali menoleh ke belakang, apatah lagi menyerah kalah, Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yakin melalui maraton berkenaan, pihaknya mampu menyuntik sifat cintakan alam sekitar.

Beliau yang teruja apabila penganjuran kali kedua itu menerima sambutan dua kali ganda lebih ramai berbanding SORR 2013, program tersebut dalam perancangan menganjurkan SORR ke seluruh Malaysia.

"Ia masih di peringkat perbincangan tetapi kami optimis sekiranya menerima kerjasama baik daripada pelbagai pihak ia mampu.

"Kami sangat gembira kerana berdasarkan maklum balas yang diterima ramai dalam kalangan peserta sudah mula tahu nilai sebenar kewujudan flora dan fauna serta sumber air dalam kehidupan mereka.

"Oleh sebab itu, kami menyediakan pelbagai rintangan dalam usaha mereka untuk menanam anak pokok supaya ia menjadi momen yang bermakna," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Dalam program tersebut Peka berjaya menerima tajaan kira-kira 1,000 anak pokok daripada syarikat pemaju Leighton Contractors (Malaysia) terdiri daripada cengal, meranti dan pasak.

Selamat tinggal kereta kuda

Posted:

Selamat tinggal kereta kuda

Selamat tinggal kereta kuda


KERETA kuda yang beroperasi di sekitar Central Park, New York membawa elemen klasik kepada bandar raya itu.


BEBERAPA bandar raya di Amerika Syarikat mempunyai tarikan tersendiri. Antaranya, kereta kabel berloceng San Francisco, New Orleans, perarakan penuh meriah Mardi Gras dan budaya berpolitik di Washington.

Tidak ketinggalan, New York yang sarat dengan elemen kehidupan penuh warna-warni. Bagaimanapun, baru-baru ini Datuk Bandar New York, Bill de Blasio membuat pengumuman yang mengejutkan banyak pihak iaitu menamatkan perkhidmatan kereta kuda di Central Park.

Tindakan itu berikutan tanggapan bahawa sistem pengangkutan antara yang paling lama beroperasi di bandar raya itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Tegas de Blasio, tindakan menghentikan perkhidmatan itu akan dilakukan seberapa segera.

"Kereta kuda tidak lagi menjadi sebahagian daripada landskap bandar raya New York.

"Ia tidak berperikemanusiaan. Ia tidak lagi sesuai untuk tahun 2014. Ia sudah berakhir," kata beliau pada bulan Disember lalu iaitu sebulan selepas dia dilantik.

Bagaimanapun, beliau bersedia untuk berbincang bersama pengusaha perkhidmatan itu. Ketika ini terdapat 170 pemandu, 68 gerabak dan 220 ekor kuda di New York.

Sementara itu, kumpulan yang mahu perkhidmatan kereta kuda dihapuskan, NYClass pula terus memberi tekanan.

Kumpulan itu menderma AS$1.3 juta (RM4.3 juta) dalam kempen de Blasio dan calon-calon perbandaran lain yang menentang kewujudan gerabak kereta kuda yang menjadi tarikan dan diabadikan dalam kebanyakan filem romantik.

Jurucakapnya, Chelsie Schadt berkata, New York adalah salah satu bandar raya yang paling sesak di dunia dengan gerabak kuda mengganggu kelancaran lalu-lintas.


WALAUPUN teksi menjadi pilihan pengguna, kereta kuda turut mempunyai permintaan kerana elemen nostalgia.


Pusat kuda

"Sejak beberapa tahun lalu kira-kira 20 kemalangan berlaku melibatkan gerabak kuda. Tindakan ini untuk mempertahankan haiwan-hawain itu.

"Kuda-kuda ini bukan seperti manusia. Haiwan ini perlukan masa untuk berkelakuan seperti kuda sebenar, masa untuk meragut di padang dan berkeliaran bersama-sama kuda lain.

"Tapi haiwan ini pula hanya bergerak dari bangsal ke jalan-jalan di bandar raya New York dan kemudian kembali ke bangsal," tambah beliau.

Pengurus Clinton Park Stables, Conor McHugh pula memberitahu, dia bersedia membuka pusat kudanya di 52 Street yang dibina pada tahun 1860 agar orang ramai melihat sendiri operasi perkhidmatan kuda.

Pusat itu menempatkan ruang menyimpan beca di ruang bawah tanah, gerabak (tingkat bawah) dan sebanyak 79 ekor kuda pula ditempatkan di bangsal berasingan (tingkat atas) yang berukuran kira-kira 3 x 2.4 meter.

Pusat kuda itu mempunyai palung air, rumput kering, dan sistem pemadam api bagi mencegah kebakaran.

Tambah McHugh lagi, semua kuda yang berkhidmat di Central Park mesti berada sekurang-kurangnya lima minggu setiap tahun di ladang dan tidak boleh bekerja lebih dari sembilan jam sehari. Kiraan itu bermula ketika haiwan itu meninggalkan bangsal sehingga kembali.

Katanya, kuda-kuda itu juga tidak boleh bekerja pada suhu persekitaran melebihi 32 darjah Celsius atau di bawah -7 darjah Celsius.

"Mereka yang tidak mengenali atau bersetuju dengan konsep perniagaan kami menyatakan bahawa kuda-kuda ini tidak pernah berada di ladang, dibawa berjalan di padang dan tidak menjalani kehidupan kuda sebenar.

"Tetapi, mengikut undang-undang, kuda-kuda tersebut perlu melakukan semua perkara ini," katanya.

Sementara itu, Schadt membalas bahawa walaupun terdapat peraturan untuk melindungi kuda namun tidak ada cara sebenar untuk mengawal selia industri itu dalam memastikan pengendaliannya benar-benar berperikemanusiaan.

Katanya, NYClass mahu menggantikan gerabak kuda kepada kereta elektrik dengan rekaan awal abad ke-20 sekali gus menawarkan 'nostalgia' yang serupa.

Prototaip pertama kereta melibatkan kos sebanyak RM1.485 juta akan disediakan pada musim bunga ini.

Gerabak kuda akan ditamatkan secara berperingkat dan kereta elektrik akan digantikan dalam tempoh masa tiga tahun.

Hak asasi

Bagi jurucakap Persatuan Kuda dan Pengangkutan Gerabak New York, Christina Hansen, beliau berang dengan keputusan menghentikan perkhidmatan itu.

Katanya, kumpulan-kumpulan berkepentingan menghabiskan banyak masa dan wang untuk melantik de Blasio sebagai Datuk Bandar kerana dia berjanji untuk mengharamkan pengangkutan kuda.

"Mereka yang terlibat dengan hak asasi haiwan pula berpendapat sesiapa sahaja yang menggunakan haiwan untuk sebarang sebab adalah salah," katanya sambil mengerling ke arah gerabak kuda yang diletakkan berhampiran Plaza Hotel di hujung Central Park.

Katanya lagi, ejen hartanah melihat nilai kandang kuda yang terletak di sebelah barat Manhattan sebagai harta yang sangat berharga.

"Kami tidak akan menjualnya selagi masih memiliki kuda-kuda itu," katanya tegas. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved