Sabtu, 22 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hujan penyelamat suhu panas

Posted:

Hujan penyelamat suhu panas

Hujan penyelamat suhu panas

Oleh KHAIRIYAH HANAFI
khairiyah.hanafi@kosmo.com.my

SUHU panas mencecah 38 darjah Celcius yang melanda negara sejak awal Januari lalu mencetuskan situasi panik dalam kalangan orang ramai.

Senario tersebut memberi kesan kepada bekalan air bersih di Lembah Klang apabila paras air di tiga daripada tujuh buah empangan di Selangor, iaitu Empangan Klang Gate, Empangan Langat dan Empangan Selangor berkurangan secara drastik.

Kesan daripada perubahan cuaca tersebut turut menyebabkan bilik operasi bomba tidak sunyi daripada menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran hutan.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, pihaknya merekodkan kira-kira 2,122 kebakaran hutan pada bulan Januari dan Februari.

"Kebakaran ini meliputi hutan gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan lalang, belukar dan semak selain daripada kebun tanaman.

"Daripada pecahan tersebut, kebakaran lalang, belukar dan semak merekodkan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 196 kes pada Januari manakala 970 pada Februari," katanya.

Ujarnya, kes yang melibatkan kebakaran hutan menunjukkan peningkatan yang drastik pada pertengahan Januari sebelum angka tersebut terus meningkat sehingga akhir Februari lalu.

"Pada Januari, sebanyak 414 kebakaran direkodkan dengan pecahan 196 bagi lalang, belukar dan semak, 148 kes berkaitan kebakaran sampah, 50 bagi hutan gambut dan 20 kes melibatkan kebakaran kebun tanaman," ulasnya.

Tambah beliau, kebakaran yang banyak berlaku di sekitar Shah Alam, Bangi, Kajang, dan Hulu Klang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Namun, setelah hampir dua bulan fenomena cuaca panas tersebut berlangsung, orang ramai mampu menghela nafas lega apabila hujan mula membasahi beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selepas 15 minit aktiviti pembenihan awan dijalankan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, hasil pemantauan menerusi imej satelit mendapati, operasi itu bukan sahaja berjaya menurunkan hujan di Hulu Langat, Kuala Kubu Baharu, Hulu Klang dan Semenyih, malahan di beberapa kawasan lain yang berdekatan.

"Kejayaan operasi ini disebabkan cuaca yang sesuai untuk menjalankan pembenihan awan seperti atmosfera yang tidak stabil, kehadiran awan kumulus menjulang serta kandungan wap air yang banyak di kawasan tersebut.


SUHU kering menyebabkan paras air di beberapa empangan di Selangor terjejas sekali gus berlaku gangguan bekalan air.


"Selain itu, kami juga dapati awan di kawasan tersebut berpotensi untuk menghasilkan lebih daripada 80 peratus hujan," katanya.

Pada 3 Mac lalu, sebuah pesawat jenis C-130 Hercules, yang memuatkan kira-kira 1,000 liter air dan 150 kilogram garam digunakan dalam operasi pembenihan awan di Lembah Klang.

Operasi hasil kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia itu bermula pukul 2.20 petang dengan menelan perbelanjaan kira-kira RM100,000.

Pembentukan hujan

Pembenihan kering dan pembenihan basah merupakan dua kaedah yang sering digunakan di Malaysia.

Melalui pembenihan kering, katrij yang mengandungi bahan berbentuk solid akan dibakar menerusi kapal terbang sebelum awan dapat dibentuk melalui penyebaran garam.

Bagi pembenihan basah pula, larutan garam dan air akan dimasukkan ke dalam sebuah tangki di mana larutan tersebut akan di sebarkan oleh juruterbang sebaik tiba di kawasan pembenihan.

Hujan biasanya turun ke lokasi sasaran kira-kira 15 minit selepas teknik tersebut dijalankan.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi, Azhar Ishak, memberitahu, teknik pembenihan awan basah merupakan kaedah yang kerap digunakan di Malaysia memandangkan potensi untuk hujan turun lebih tinggi.

"Perkara ini sebenarnya bergantung kepada kestabilan awan dan juga atmosfera sekeliling memandangkan kedua-duanya saling berkait dalam penghasilan hujan.

"Jika kedua-dua keadaan wujud, tidak sampai 15 minit operasi dijalankan hujan akan turun," katanya.

Ujarnya, bagi setiap aliran hujan yang turun ke bumi, ia mengambil masa antara 30 hingga 60 minit sebelum berhenti.


OPERASI ini menggunakan pesawat tentera jenis C-130 Hercules manakala perbelanjaan keseluruhan untuk setiap operasi pembenihan awan kira-kira RM100,000.


"Pada tahun ini sahaja, kami telah menjalankan sebanyak dua kali kaedah pembenihan awan di Lembah Klang disebabkan cuaca yang terlalu panas.

"Jika hujan masih tidak turun pada pertengahan bulan Mac, suhu dijangka naik sehingga 40 darjah Celcius seperti yang berlaku di Chuping, Perlis pada tahun 1998," ulasnya.

Statistik daripada Jabatan Meteorologi menunjukkan sebanyak 1,053 operasi pembenihan awan yang melibatkan 1,170 penerbangan berjaya dijalankan di negara ini dalam tempoh 15 tahun iaitu dari 1998 hingga 2014.

Tambah Azhar, tahun 2005 mencatatkan peningkatan jumlah operasi secara mendadak iaitu sebanyak 188 kali.

"Ini kerana pada tahun tersebut, Malaysia mengalami cuaca kering yang teruk dan berpanjangan selain pengurangan paras air empangan. Pada masa yang sama, fenomena jerebu turut melanda.

"Bagaimanapun, pada tahun 2008, 2011 dan 2012, tiada operasi pembenihan awan dijalankan kerana tiada keperluan," jelasnya.

Azhar menjelaskan, rata-rata operasi pembenihan awan dibuat bagi mengatasi masalah jerebu, kemerosotan ketara paras air empangan, cuaca kering, kemarau dan krisis air.

Kompleks

Pembenihan awan memerlukan ketidakstabilan angin kerana kebarangkalian untuk wap air naik ke udara adalah tinggi sekali gus mempercepatkan proses tersebut.

"Selain aspek ketidakstabilan angin, ia memerlukan awan jenis kumulus menjulang yang bergerak dalam beberapa hala pada ketinggian sekurang-kurangnya 5,000 meter dari aras laut," ulasnya.

Lazimnya, operasi tersebut akan dilaksanakan di kawasan takungan air kerana ia merupakan lokasi yang strategik bagi orang ramai untuk mendapatkan air.

Dadah hiasi festival muzik

Posted:

Dadah hiasi festival muzik

Dadah hiasi festival muzik

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my


DADAH diagihkan kepada pengunjung ketika konsert berlangsung. - Gambar hiasan


INSIDEN kematian membabitkan enam remaja ekoran dipercayai mengambil dadah sintetik secara berlebihan di konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu menggemparkan negara.

Selain enam remaja berkenaan, tiga individu lain juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pengambilan bahan terlarang tersebut.

Jumlah mangsa yang menerima rawatan di beberapa hospital sekitar ibu negara juga dilaporkan meningkat kepada 14 orang dengan sembilan daripadanya warga Singapura manakala empat lagi masing-masing rakyat Malaysia, Taiwan, Iran dan Myanmar.

Dadah baharu

Berikutan kejadian tersebut, polis membatalkan serta-merta kemuncak konsert berentak disko itu yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu lalu.

Kes sebegini turut dilaporkan berlaku di luar negara.

Di Britain, lebih 100 remaja terpaksa menerima rawatan ketika penganjuran konsert DJ Hardwell yang berlangsung pada 6 Februari lalu di Royal Highland Centre di Edinburgh, Belfast.

Rata-rata mangsa jatuh sakit berpunca daripada penyalahgunaan dadah serta alkohol.

Menurut portal berita The Herald, konsert yang dijangka menerima 7,500 pengunjung itu turut dibatalkan atas faktor keselamatan.

Selain itu, festival muzik Electric Zoo yang berlangsung pada di Randall's Island, New York, Amerika Syarikat (AS) turut dibatalkan pada hari terakhir penganjurannya berikutan kematian dua pengunjung akibat pengambilan dadah secara berlebihan.

Empat individu lain turut dimasukkan ke hospital atas sebab yang sama.

Datuk Bandar Manchester, Ted Gatsas menerusi portal The Boston Globe berkata, kematian dua individu terbabit dikaitkan dengan pengambilan pil ekstasi dan dadah dalam bentuk serbuk putih yang dipanggil 'Molly'.

Ia dipercayai dadah campuran ekstasi dengan bahan kimia lain seperti amphetamine dan kokain.


PENGUNJUNG dari dalam dan luar negara membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena konsert Future Music Festival Asia baru-baru ini.


Empat lagi dimasukkan ke hospital atas sebab yang sama.

Dalam insiden yang berlaku di FMFA, siasatan polis mendapati beberapa jenis dadah disyaki dibawa masuk dari luar negara dan diagihkan ketika konsert berlangsung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dadah baharu itu didapati baru saja berada dalam pasaran Malaysia dipercayai awal tahun ini dan kemungkinan masih dalam peringkat ujian oleh sindiket dadah.

"Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis ekstasi, methampetamine dan amphetamine.

"Kami sedang menunggu laporan kimia untuk dibandingkan dengan pil ekstasi yang ada di negara ini sama ada ia mempunyai kandungan ekstasi yang sama atau menggunakan bahan-bahan baharu," katanya.

Sementara itu, menurut sumber polis, tindak balas dadah baharu itu boleh membawa maut apabila dicampur dengan dadah-dadah lain seperti eramin 5, ekstasi dan ketamin.

Menurutnya, mereka yang mengambil dadah itu juga dikatakan akan mengalami peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga boleh mengakibatkan tidak sedarkan diri di samping keluar darah menerusi hidung dan telinga.

"Kesan dadah ini di kawasan yang sesak seperti di stadium menyebabkan badan menjadi panas, kekejangan, mulut berbuih dan mangsa-mangsa mati dalam keadaan mata terbeliak.

"Pun begitu, kesan pengambilan dadah baharu itu terhadap individu berbeza-beza kerana bergantung kepada tahap kesihatan seseorang," ujarnya.

Pencegahan

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye meminta para penganjur menitikberatkan langkah pencegahan penyalahgunaan dadah ketika menganjurkan konsert bertaraf antarabangsa.

"Saya memandang serius terhadap apa yang berlaku pada FMFA 2014 dan meminta para penganjur konsert untuk mengambil iktibar daripada kejadian ini.

"Setiap pihak penganjur perlu ambil berat mengenai kawalan penyalahgunaan dadah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan insiden sedemikian berlaku pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara langkah yang akan diambil ialah mengadakan program khidmat masyarakat bagi menangani penyalahgunaan dadah.

"Tidak ada kewajaran untuk menyekat konsert sebegini pada masa akan datang, kita kena faham walaupun tahap penguatkuasaan dan keselamatan ditingkatkan namun perlu ada kesedaran dalam diri sendiri terlebih dahulu.

"Penonton konsert juga boleh mengambil dadah di luar premis sebelum ke konsert. Jadi kita perlu mengajar dan mendedahkan anak-anak muda kepada bahaya penggunaan dadah," jelasnya.

Latihan minum darah ular

Posted:

Latihan minum darah ular

Latihan minum darah ular


DARAH ular tedung diminum terus setelah dikelar.


MELIHAT kelibat ular tedung dari jauh pun sudah cukup untuk membuatkan ramai orang menjerit ketakutan, inikan pula jika dipaksa menggigit leher reptilia itu hidup-hidup dan menghirup darahnya.

Kedengaran ngeri dan menjijikkan, namun itulah cabaran yang perlu ditempuh oleh anggota-anggota tentera yang mengikuti program tahunan Cobra Gold 2014.

Cobra Gold yang sudah 13 kali diadakan merupakan program latihan ketenteraan tahunan yang menggabungkan tentera dari beberapa buah negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun.

Latihan terbaharu melibatkan 8,000 anggota tentera yang dijalankan di wilayah Chanthaburi, Thailand, Februari lalu manakala tahun sebelumnya di Sanapit, negara yang sama.


PELBAGAI kaedah digunakan oleh kalangan tentera untuk mendapatkan darah ular tedung.


Minum darah ular

Selain didedahkan dengan latihan daya kelangsungan hidup di dalam hutan, kesemua peserta yang dipilih oleh Pasukan Khas Tentera Diraja Thailand itu akan diajar dengan salah satu tradisi yang menjadi kebanggaan negara tersebut iaitu minum darah ular tedung sebaik haiwan tersebut ditangkap.

Ramai yang beranggapan darah ular tedung Asia Tenggara mempunyai penawar dan khasiat yang paling baik. Tidak hairanlah jika latihan ketenteraan tersebut turut diselitkan dengan cabaran memburu dan minum darah haiwan kategori pemangsa tersebut.

Darah ular sememangnya bernilai tinggi di sesetengah tempat. Di Jakarta, Indonesia, contohnya, arak yang dicampur darah ular dijual pada harga RM350 segelas.

Selain memburu ular tedung, tentera terbabit didedahkan dengan kaedah memburu dan memakan haiwan lain seperti serangga dan burung, begitu juga tumbuh-tumbuhan.

Bagaimanapun, latihan menangkap, membunuh dan minum darah ular tedung telah menerima pelbagai kritikan walaupun ia diakui lebih mencabar berbanding mencari sumber makanan lain di dalam hutan sewaktu darurat.


TENTERA turut diajar memakan serangga sewaktu Cobra Gold 2014.


Survival hutan

Menurut salah seorang tenaga pengajar Cobra Gold, Rittichai Soontorn, pelatih seharusnya diberi pendedahan yang mendalam terhadap kaedah daya ketahanan diri di dalam belantara dan bukan memfokuskan kepada perkara sebaliknya yang pelik-pelik.

"Perkara ini tidak logik memandangkan banyak lagi benda lain yang mereka boleh bergantung untuk terus hidup bersendirian.

"Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan kerana ia sumber yang paling mudah dan cepat untuk diperoleh di dalam hutan," katanya seperti dipetik ABC News.

Dalam pada itu, Pegawai Memerintah KD Sri Pinang, Komander Abau Endin Boon berkata, latihan seperti itu disifatkan sebagai aneh dan dipercayai tidak pernah dipraktikkan dalam latihan ketenteraan di Malaysia.

"Biasanya dalam latihan hutan, tentera diajar cara menjerat, memburu binatang dan menghidupkan api.

"Selain itu, mereka juga diajar cara untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan yang boleh di jadikan sumber makanan seperti ulam-ulaman dan sayur pucuk," katanya kepada Jurnal.

Tambah Abau, minum darah ular tedung bagaimanapun disifatkan normal dan sering dilakukan oleh sesetengah masyarakat di Malaysia.

"Saya pernah melihat sebuah gerai di pasar malam di Kuantan, Pahang yang menjual campuran darah ular tedung dan arak.

"Kecenderungan individu untuk minum minuman ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan bahawa minuman tersebut kaya dengan pelbagai khasiat, malah mampu menguatkan tenaga batin," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved