Ahad, 16 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


MAS di hati rakyat Malaysia

Posted:

MAS di hati rakyat Malaysia

MAS di hati rakyat Malaysia

SELAMAT datang ke Penerbangan Malaysia!!! Welcome to Malaysia Airlines!!! Sapaan penuh ramah dan mesra daripada pramugara serta pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) menyebabkan Vijaya Rani Sellapa, 30-an, berasa teruja dan dialu-alukan untuk menaiki pesawat tersebut.

Dengan langkah ceria, Pegawai Komunikasi Korporat sebuah syarikat penyiaran swasta tersebut memasuki ruang kabin sambil matanya ligat mencari tempat duduk mengikut nombor dan abjad yang tertera pada tiket penerbangannya.

Dalam keterujaan itu, tiba-tiba Vijaya berasa dirinya berdepan masalah untuk meletakkan beg di ruang simpanan bagasi yang jauh dari jangkauannya.

Belum sempat pun Vijaya memikirkan masalahnya itu, tanpa disedari datang seorang anak kapal menghampirinya lalu menghulurkan bantuan mengangkat beg yang agak berat itu ke ruang simpanan bagasi.

Kemudiannya dengan mesra dan senyuman, anak kapal itu memberi laluan bagi membolehkan Vijaya memasuki ruang tempat duduknya.

Layanan mesra dan kualiti perkhidmatan seumpama itu menyebabkan Vijaya sering memilih pesawat MAS untuk penerbangan ke luar negara.

"Penerbangan MAS mempunyai hospitaliti yang sangat bagus bahkan anak-anak kapalnya sentiasa bersopan santun, peka dan membantu para penumpang agar memperoleh keselesaan ketika berada dalam pesawat.

"Malah, mereka tidak pernah bermasam muka dengan pelbagai kerenah bahkan begitu ringan tangan untuk membantu para penumpang termasuk mengangkat bagasi yang berat," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Berpuas hati

Vijaya yang sering ke luar negara seperti India, Sri Lanka, Singapura, Jakarta dan Australia berkata, pengalamannya sejak kecil lagi bersama keluarganya menaiki MAS untuk penerbangan ke India menyebabkan dia terus memilih pesawat tersebut sehingga ke hari ini.


ANAK-ANAK kapal pesawat Malaysia Airlines mempunyai kredibiliti tersendiri daripada kaca mata rakyat Malaysia.


Katanya, meskipun menempuh perjalanan yang memakan masa panjang, dia berpuas hati dengan segala layanan yang diberikan dalam tempoh tersebut.

"Misalnya, selepas makan dalam pesawat, biasanya saya akan minum minuman panas dan saya kerap kali membuat permintaan daripada anak-anak kapal untuk minuman itu dan mereka tidak pernah merungut.

"Malah, ada dalam kalangan pramugari turut membantu membancuh air susu untuk penumpang bayi dalam penerbangan berkenaan jika ada ibu yang meminta bantuan," ujarnya.

Selain itu kata Vijaya, juruterbang MAS juga sentiasa memberi maklumat dan pengumuman dengan suara yang jelas dan berkeyakinan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris ketika penerbangan menyebabkan para penumpang berasa selamat menaiki pesawat tersebut.

Pada masa sama, sikap bertanggungjawab dan peka anak-anak kapal juga harus diberi pujian. Jika ada berlaku kes kecemasan semasa penerbangan, mereka akan bertindak dengan pantas tanpa menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penumpang.

"Pernah terjadi dalam satu penerbangan saya, seorang penumpang tiba-tiba diserang penyakit jantung, lalu dengan pantas anak-anak kapal mengalihkannya ke ruang kelas pertama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Meskipun dalam situasi berkenaan, anak-anak kapal masih mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang-penumpang yang lain walaupun terpaksa memberi tumpuan kepada pesakit tadi," ujarnya.

Bagi Ketua Komunikasi Korporat Menara Kuala Lumpur (MKL), Eliey Sahad, 39, dia berasa sangat selamat dan yakin dengan kemampuan penerbangan MAS untuk ke mana-mana destinasi sama ada di dalam atau ke luar negara.

Menurutnya, perasaan tersebut lahir secara semula jadi apabila melihat anak-anak kapal MAS yang cekap menjalankan tugas masing-masing memandangkan mereka begitu terlatih dan profesional.


SEBELUM bersara Dawek pernah menerbangkan pesawat Boeing 747dan berpengalaman membawa kapal terbang 20,000 jam.


Ikon penerbangan

"Anak-anak kapalnya terlatih malah mempunyai kelas tersendiri dan krew MAS adalah yang terbaik di dunia.

"MAS telah lama beroperasi di negara ini dan sudah menjadi ikon penerbangan bukan hanya dikenali di peringkat nasional sahaja bahkan antarabangsa," katanya yang sering berurusan di luar negara.

Perasaan bangga dan terharu turut terdetik di hati Eliey, apabila melihat pesawat yang tertera nama Malaysia mendarat di lapangan terbang negara asing.

"Setiap kali pesawat MAS mendarat di lapangan terbang di luar negara, semangat dan rasa patriotik itu hadir dalam diri meskipun jauh dari tanah air," ujarnya yang kali terakhir menaiki penerbangan MAS pada bulan lalu.

Sementara itu, bekas juruterbang MAS, Kapten Dawek Sabeli memberitahu, kepercayaan orang ramai terhadap penerbangan MAS tetap utuh walaupun dipalit misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu yang masih menjadi tanda tanya.

Dawek, 68, menegaskan, MAS cukup dikenali sebagai salah sebuah syarikat penerbangan yang berada dalam kelas tersendiri dan telah beroperasi sejak 1947.

Beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad sebagai juruterbang serta dua tahun sebagai pramugara MAS (dahulunya dikenali Malaysia-Singapore Airlines) sememangnya cukup masak dalam dunia penerbangan serta sangat mengenali bekas majikannya itu.

"MAS sangat menitikberatkan disiplin dalam kalangan kakitangannya terutama kepada para juruterbang.

"Para juruterbang MAS juga sangat dikenali di seluruh dunia, malah ramai juga bekas juruterbang syarikat itu dilamar syarikat penerbangan gergasi dunia yang lain seperti Etihad Airways, British Airways dan lain-lain," katanya.


JAKARTA salah satu destinasi yang pernah dikunjungi Vijaya dengan menaiki pesawat MAS.


Kata bapa kepada enam anak itu, memandu kapal terbang tidaklah sesukar memandu kenderaan lain kerana semua sistem di dalam kokpit kapal terbang sudah diselaraskan dengan komputer.

Dia yang berpengalaman membawa kapal terbang lebih 20,000 jam itu memberitahu, jika seseorang juruterbang mematuhi segala prosedur dan arahan, kejadian buruk tidak akan berlaku.

Dawek yang dilahirkan di Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak bermula dengan menerbangkan pesawat kecil Fokker Friendship 27. Sebelum bersara, dia membawa pesawat Boeing 747.

Selepas bersara, dia menyertai dunia penerbangan korporat dengan menjadi juruterbang di Hornbill Skyways dan membawa jet eksklusif, Cessna Citation X kemudian menjadi tenaga pengajar di GIFFA International College of Aviation.

Dalam pada itu, Dawek yang berkhidmat sebagai juruterbang MAS sejak tahun 1975 hingga 2005 itu memberitahu, kejadian kehilangan MH370 itu tidak menggugat kredibiliti MAS yang cukup terkenal di seluruh dunia terutama di Asia Timur.

"Syarikat penerbangan negara ini juga sangat tegas dan tiada peluang kedua buat juruterbangnya yang melakukan kesalahan dan akan terus memecat mereka.

"Cuma, akan timbul perasaan takut dalam hati para penumpang untuk menaiki kapal terbang selepas ini bukan sahaja menaiki MAS tetapi semua kapal terbang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Petra Jaya, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Permainan video untuk warga emas

Posted:

Permainan video untuk warga emas

Permainan video untuk warga emas


WANITA warga emas ini kelihatan gembira apabila bermain permainan video ini.


DI sebuah rumah kejururawatan di pinggir bandar Tokyo, jari Saburo Sakamoto yang berusia 88 tahun tangkas menangkap watak-watak yang muncul pada skrin sentuh di hadapannya.

Gelak tawa juga kedengaran dari sudut lain di dalam bilik dipenuhi warga tua itu apabila mereka berjaya membelasah buaya plastik yang muncul dari lubang-lubang kecil menggunakan pemukul selain menumpaskan katak.

"Wanita di sini sangat tangkas, hampir mustahil untuk saya menewaskan mereka," kata Sakamoto sambil menarik nafas panjang selepas melihat beberapa wanita memperoleh mata lebih tinggi dalam permainan tersebut berbanding dirinya.

Begitulah suasana rumah kejururawatan yang dikendalikan oleh anak syarikat di bawah Namco Bandai iaitu sebuah syarikat yang mencetuskan fenomena Arked Pacman pada 1980-an yang menampilkan aksi berani dan nakal menyebabkan permainan video tersebut popular dalam kalangan remaja.

Meskipun firma tersebut mengecil, namun ia semakin berkembang dalam membangunkan permainan video dan hiburan komputer rumah kepada golongan yang digelar generasi perak.

Golongan tua di Jepun mempunyai jangka hayat lebih lama dan sihat berbanding sebelum ini.

Populasi penduduk Jepun merosot sejak tahun 2007 dan negara itu semakin tua selepas mengalami kadar kelahiran paling rendah dan jangka hayat paling tinggi di dunia.

"Justeru, kami menawarkan hiburan supaya golongan tua menghabiskan waktu mereka dengan berseronok dan mendapat kepuasan sebelum kembali ke rumah," kata Yoshiaki Kawamura, Presiden Kaikaya Ltd., pemilik penuh unit Namco Bandai Holdings.

Sukarela

Pelawat harian, puratanya berusia 85 tahun mempunyai beberapa pilihan aktiviti di pusat yang diluluskan oleh pihak kerajaan itu. Antaranya bantuan mandi untuk golongan warga emas, fisioterapi, makan tengah hari, satu siri arked dan permainan video.

"Permainan video merupakan aktiviti sukarela di luar kokurikulum tetapi mereka kelihatan betul-betul gembira apabila bermain," kata Kawamura.

Sebenarnya, pekerja di pusat tersebut cuba menaikkan semangat daya saing golongan warga emas di pusat tersebut. Salah satu caranya ialah mempamerkan nama pemenang teratas pada papan notis di samping menganjurkan pertandingan pada setiap bulan bagi mengenal pasti individu paling bagus.

Antara pilihan permainan yang ditawarkan ialah Dokidoki Hebi Taiji II (Thrilling Snakebuster II), satu permainan yang dibangunkan oleh Namco Bandai dengan kerjasama Hospital Universiti Kyushu di barat Jepun.


KAWAMURA menunjukkan salah satu permainan yang popular di rumah kejururawatan yang terletak di pinggir bandar Tokyo, Jepun.


Seperti saiz sebenar Whack-a-Mole, seorang pemain akan duduk dan memukul kartun ular yang muncul secara tiba-tiba di sekeliling mereka.

Pencipta idea tersebut mengatakan bahawa permainan itu dapat menguatkan kaki dan otot pinggul manakala doktor menyatakan ia penting untuk membantu mengelakkan mereka terjatuh.

Pada masa sama, permainan itu juga mampu meningkatkan aliran darah serebrum ke otak yang berfungsi melambatkan kerosakan kognitif, kata doktor Universiti Kyushu, Shinichiro Takasugi.

"Secara praktikal, sangat sukar untuk mendapatkan bukti saintifik kesan positif permainan tersebut memandangkan ada faktor latihan lain turut mempengaruhinya.

"Tetapi kesan psikologikal tidak dapat dipertikaikan apabila wajah mereka berseri ketika bermain," kata Jururawat Kaikaya Muskuloskeletal, Miyuki Takahashi.

Takasugi bersetuju bahawa terdapat perubahan terhadap perasaan yang jelas selepas mereka bermain permainan tersebut berbanding keadaan biasa.

"Permainan ini adalah alat yang berkesan untuk mengubah minat golongan tua yang sebelum ini cenderung tinggal di rumah dan mengelak melakukan aktiviti sosial.

"Ia juga boleh membantu mengekalkan penglibatan mereka dalam aktiviti pemulihan yang sebelum ini agak membosankan," ujarnya.

Sejarah menunjukkan permainan video boleh menjadikan seseorang itu tidak aktif dan bersendirian, namun perkembangan teknologi terkini membolehkan kawalan ke atas karakter pada skrin tidak lagi diperlukan, sebaliknya hanya tekan atau menggoyangkan butang kawalan.

Kelengkapan tersebut sama dengan permainan komputer yang digunakan oleh golongan muda untuk menumbuk dan menyepak namun kini ia digunakan dalam proses pemulihan masalah kebosanan.

Perisian

Dengan menggunakan penderia gerakan Kinect yang dibangunkan oleh Microsoft dalam konsol permainan video Xbox, ahli terapi fizikal, Keizo Sato yang bekerja dengan kedua-dua syarikat telah membantu merangka perisian permainan khusus untuk meningkatkan kekuatan dan kelembutan.

Umpama perkataan rehact dalam bahasa Inggeris yang bermaksud pemulihan dan aktif bertujuan menyediakan latihan berkualiti tinggi kepada golongan tua di kawasan luar bandar yang jauh dari kemudahan perubatan.

"Kekurangan individu mahir dalam memberi latihan pemulihan untuk golongan tua di bandar-bandar kecil selain masalah kos merupakan cabaran utama kepada warga tua di Jepun," kata Sato ketika berucap di Universiti Fukushi Tohoku .

Dalam pada itu, terdapat empat permainan yang boleh dipilih, masing-masing mempunyai fungsi untuk otot-otot tertentu, kata Sato.

Namun, perisian itu bukan sahaja menawarkan motivasi untuk membantu manusia menikmati latihan tetapi ia juga menunjukkan cara yang betul untuk melakukan aktiviti tersebut tanpa memerlukan ahli terapi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved