Sabtu, 15 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Teori kehilangan MH370

Posted:

Teori kehilangan MH370

Teori kehilangan MH370

Oleh NOOR SYAHIDATOOL
AQMA MOHD. NOOR
dan KHAIRIYAH HANAFI

KEHILANGAN pesawat MH370 pada 8 Mac lalu telah mencetuskan misteri yang dikatakan belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan moden.

Pesawat Malaysia Airlines laluan Kuala Lumpur-Beijing yang membawa 239 penumpang hilang daripada radar selepas kira-kira dua jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.

Pesawat tersebut dijangka mendarat di destinasi yang dituju pada pukul 6.30 pagi.

Bagaimanapun, pada pukul 1.07 pagi, pesawat tersebut yang sedang menghampiri ruang udara Vietnam terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang, Selangor.

Tiga jam selepas pesawat MH370 gagal dijejaki, pasukan mencari dan menyelamat mula dikerahkan ke sempadan Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan, iaitu lokasi terakhir pesawat dilaporkan hilang.

Setelah lapan hari usaha mencari pesawat malang itu menemui kegagalan, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi harapan yang pesawat itu kemungkinan dapat ditemui tidak lama lagi.

Najib mengesahkan Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) pesawat itu tidak berfungsi sebelum ia tiba di pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Walaupun laporan media menyebut pesawat dirampas, pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan tentang apa yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan penerbangan asalnya.

"Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit berlaku di antara dua kawasan iaitu dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand atau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi," katanya.

Spekulasi

Sejak lebih seminggu lalu, pelbagai spekulasi ditimbulkan oleh pakar-pakar industri penerbangan bagi menjawab kemungkinan yang terjadi ke atas MH370.

Teori kehadiran pengganas di dalam pesawat sememangnya tidak dapat dielak. Pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sementara cuaca dalam keadaan baik.


MISI mencari dan menyelamat MH370 melibatkan 14 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan China.


Kehadiran dua penumpang dari Iran, Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan rakannya, Delavar Seyed Mohammadreza, 30, yang menaiki pesawat menggunakan pasport curi turut menimbulkan kemungkinan pesawat dirampas oleh pengganas.

Menurut Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, John Brennan, teori serangan pengganas tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Penganalisis Perunding Aeroangkasa dan Pertahanan, Frost & Sullivan Asia Pasifik, Ravikumar Madavaram pula berkata, data daripada sistem komunikasi penerbangan penting untuk mendapatkan maklumat tentang sebarang perkara yang terjadi ketika penerbangan.

Ujarnya, jika keseluruhan sistem komunikasi terhenti serentak, ia menjurus kepada kemungkinan pesawat meletup di udara.

"Namun, jika sistem ditutup secara berperingkat-peringkat, pesawat itu mungkin telah dirampas atau disabotaj oleh juruterbang itu sendiri.

"Jika benar pesawat itu terbang di luar laluan yang telah ditetapkan, ia juga menimbulkan persoalan mengenai teori rampasan pesawat dan menukar hala tuju pesawat atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Laporan tidak rasmi mengatakan bahawa dua sistem komunikasi utama pesawat dimatikan selang 14 minit dan ini menutup teori letupan di udara.

Pakar penerbangan Australia, Neil Hansford pula berpendapat, ada kemungkinan MH370 telah diserang misil atau berlanggar dengan pesawat tentera.

"Ia mungkin berlanggar dengan pesawat pejuang, misil atau kejadian seumpamanya. Letupan bom adalah salah satu kemungkinan yang menimpa MH370," katanya.

Sesetengah pihak pula mengambil kira yang pesawat itu telah terbang selama empat jam ke laluan yang bertentangan selepas pesawat terputus hubungan dengan menara kawalan.

Ia dikatakan mengukuhkan teori bahawa kokpit pesawat telah dirampas dan dikawal oleh pihak pengganas.


AHLI keluarga mangsa warga China tidak dapat menahan kesedihan sebaik diberitahu mengenai kehilangan MH370.


Namun, Gerry Soejatman, pakar penerbangan yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia menafikan teori tersebut.

"Sistem radar di sekitar tempat terakhir MH370 dikesan adalah luas dan melibatkan pelbagai negara seperti Malaysia, India, Thailand dan Indonesia.

"Kecanggihan sistem pertahanan negara-negara tersebut mampu mengesan sebarang kehadiran pesawat asing atau tidak dikenali jika ia memasuki sempadan negara mereka.

"Jika ini terjadi, sudah tentu ramai tentera yang akan kehilangan kerja mereka," ujarnya sambil berseloroh mengenai dakwaan MH370 terbang di Lautan Hindi tanpa dikesan oleh mana-mana radar di negara tersebut.

Misteri kehilangan pesawat MH370 juga boleh berlaku akibat masalah teknikal yang menyebabkan pesawat kehilangan altitud dengan pantas pada kelajuan tinggi.

Menurut Peguam Penerbangan dan Pengarah Siasatan, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mary Schiavo, pesawat mungkin terpesong.

"Ia bukan disebabkan kegagalan enjin untuk berfungsi tetapi berlaku akibat kehilangan aliran udara ke atas sayap dan mengurangkan kelajuan pesawat untuk terus berada di udara.

"Pesawat akan kehilangan altitud dengan kadar yang sangat pantas," jelasnya.

Teori ini juga dibandingkan dengan apa yang berlaku terhadap Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada Jun 2009 apabila sensor kelajuan gagal untuk memberikan bacaan yang tepat sekali gus juruterbang kehilangan kawalan terhadap pesawat.

Ada juga yang berpendapat tidak mustahil berlaku kejadian yang jarang terjadi seperti kes membunuh diri dalam kalangan juruterbang.

Ini berlaku ke atas pesawat SilkAir Boeing 737 penerbangan dari Jakarta ke Singapura yang menjunam ke dasar sungai di Indonesia mengakibatkan seramai 104 penumpang dan anak kapal maut.

Penyiasat Amerika Syarikat kemudian mengesahkan juruterbang SilkAir itu membunuh diri.


SEBANYAK 43 buah kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi mencari MH370.


Meletup di ruang udara

Kira-kira 33 tahun sebelum insiden MH370, Malaysia pernah digemparkan dengan nahas pesawat di Tanjung Kupang, Gelang Patah Johor.

Dalam kejadian pada petang 4 Disember 1977, pesawat yang turut dinaiki Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad bersama 99 penumpang dan anak kapal meletup di ruang udara.

Sewaktu kejadian, pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.

Bagaimanapun, akibat serangan pengganas yang didakwa didalangi Tentera Merah Jepun, pesawat itu dilarang mendarat di Subang sebaliknya diarah menghala ke Singapura.

Malangnya, pesawat tersebut terhempas. Kesemua mereka ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di kawasan paya bakau di Kampung Ladang, Tanjung Kupang.

Tragedi pesawat terhempas di negara ini berulang pada September 1995 melibatkan pesawat Malaysia Airlines jenis Fokker 50.

Peristiwa yang meragut 34 nyawa manakala sembilan orang cedera itu berlaku ketika pesawat tersebut cuba mendarat di Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Kejadian berpunca apabila pesawat dikatakan terlajak dari landasan sebelum merempuh 20 buah rumah setinggan di perkampungan Seri Menanti dan kemudiannya terhempas.

Lapan tahun kemudian, iaitu pada Oktober 2013, pesawat Twin Otter pula dilaporkan terhempas ketika cuba mendarat di Sabah.

Kejadian dipercayai berpunca daripada cuaca buruk. Dua orang terkorban dalam tragedi itu.

Hukuman emosi pelajar ponteng

Posted:

Hukuman emosi pelajar ponteng

Hukuman emosi pelajar ponteng

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


MEROKOK antara aktiviti yang dikaitkan dengan kes ponteng sekolah. - Gambar hiasan


ISNIN lalu, akhbar melaporkan rancangan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan untuk mengarak pelajar yang ponteng sekolah menggunakan van jenazah di sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan.

Tindakan tersebut diambil bagi mengurangkan gejala ponteng sekolah di negeri itu. Sebelum ini, van jenazah pernah digunakan untuk mengangkut orang Islam yang ditangkap tidak berpuasa pada bulan Ramadan di negeri-negeri tertentu.

Menurut Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, langkah itu juga bagi mengurangkan pelajar-pelajar terbabit terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral terutama penagihan dadah.

"Kami memberi amaran keras kepada pelajar yang ponteng, mereka akan diarak mengelilingi bandar ini dengan van tersebut kerana kami mahu mereka mengambil pengajaran daripada perbuatan yang dilakukan itu.

"Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mahu mengurangkan kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ops Ponteng dijalankan. Dalam operasi itu, seramai 17 pelajar yang ponteng sekolah ditangkap di beberapa lokasi di Kota Bharu.

"Sebahagian besar pelajar terlibat adalah dari sekolah-sekolah di daerah ini tetapi ada juga pelajar dari daerah lain yang ponteng di sini.

"Ada dalam kalangan mereka yang ditahan positif dadah dan terbabit dengan gejala merokok.

"Kesemua pelajar itu diberikan kaunseling dan ibu bapa turut dimaklumkan oleh pihak sekolah. Mereka terkejut dengan perlakuan anak-anak mereka itu," ujarnya.

Sementara itu, seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Bidi, 17, memberi alasan, dia dan rakan-rakannya ponteng sekolah disebabkan makanan yang disediakan di kantin tidak sedap.

"Kami sering ponteng sekolah kerana makanan di kantin tidak sedap, tetapi selepas ini kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi," ujarnya.


PENGGUNAAN van jenazah dicadangkan bagi memberi pengajaran kepada pelajar yang ponteng sekolah. - Gambar hiasan


Bebas salah laku

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, tindakan mengarak pelajar yang ponteng sekolah dengan menaiki van jenazah disifatkan agak melampau dan boleh mengaibkan keluarga serta pelajar itu sendiri.

Menurutnya, tindakan itu hanya boleh dipertimbangkan sebagai langkah akhir bagi menyedarkan pelajar terbabit selepas semua cara 'lembut' gagal memberi kesan.

"Tindakan drastik tanpa mengira adab susila budaya ketimuran seperti ini hanya akan membawa aib kepada keluarga pelajar.

"Sepatutnya cara terbaik dimulakan dengan komunikasi dengan ibu bapa pelajar, kaunseling serta pendekatan agama," katanya.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon memberitahu, secara umumnya, setiap hukuman yang dikenakan kepada pelajar bertujuan untuk membendung tingkah laku negatif dan membolehkan pelajar tersebut berubah ke arah yang lebih positif.

"Penggunaan van jenazah adalah hukuman dalam bentuk emosi iaitu bertujuan memberi keinsafan tetapi sejauh mana bentuk hukuman sebegini dapat memberi pengajaran dan membendung kegiatan ponteng, perlu diperhalusi," jelasnya.

Tambahnya, sebarang hukuman yang dikenakan merupakan satu bentuk pengajaran dan bukan bertujuan memalukan serta menjatuhkan maruah pelajar terbabit.

"Kita perlu melihat punca kejadian ponteng itu sendiri secara menyeluruh bagi merangka strategi pencegahan yang lebih komprehensif dan berkesan.

"Membina perkembangan sahsiah dan kendiri secara berterusan dan terancang merupakan kunci membina pelajar yang sejahtera dan bebas salah laku," beritahu beliau.

Atlet kudung berenang seperti ikan

Posted:

Atlet kudung berenang seperti ikan

Atlet kudung berenang seperti ikan

HONGYAN menjalani modul latihan intensif selama empat jam setiap hari.


KOLAM renang awam di wilayah Kunming, China dibanjiri dengan pengunjung seawal pukul 8 pagi.

Kelibat tubuh genit milik Qian Hongyan yang sedang meranduk air mencuri tumpuan.

Manakan tidak, gadis bertubuh kecil itu tangkas membelah kedalaman air meskipun dia tidak mempunyai kedua-dua belah kaki.

Dilahirkan normal, Hongyan kehilangan kakinya pada usia empat tahun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Mengimbau kembali peristiwa hitam itu, gadis berumur 19 tahun itu memberitahu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah melalui lebuh raya Zhuangzia, Beijing apabila teksi yang dinaiki secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori pengangkut sampah.

"Doktor terpaksa memotong kedua-dua belah kaki sehingga ke bahagian pelvik untuk menyelamatkan nyawa saya," katanya menerusi portal berita China Daily.

Melecet

Selepas tiga bulan menerima rawatan, gadis yang berasal dari wilayah Luliang, Yunnan itu dibenarkan keluar dari hospital.

Kemiskinan hidup menghalangnya daripada memiliki kaki palsu. Namun, dia membulatkan semangat dan tekad untuk terus mengharungi hidup meskipun sukar bergerak.

Menggunakan kudrat yang ada, Hongyan akan mengesot untuk bergerak di kawasan rumahnya.


BOLA dan pemegang khas kayu memudahkan pergerakan Hongyan.


Pergerakan yang terbatas sering membuatkan i sekeliling badannya yang kudung melecet.

Ujar Hongyan, ibunya akan membasuh luka tersebut dengan air suam sebelum meletakkan ubat daripada campuran herba di bahagian yang melecet tadi.

"Saya akan terlantar selama beberapa hari sementara menunggu luka tersebut sembuh sebelum boleh bergerak semula," ujarnya.

Melihat Hongyan terbaring dan tidak mampu bergerak, ayahnya membuat sebuah pelapik punggung daripada sebiji bola keranjang bagi membolehkan anaknya itu 'berjalan' tanpa melecet lagi.

Ayahnya juga menyediakan pemegang khas yang diperbuat daripada kayu bagi melindungi kedua-dua tapak tangan daripada cedera.

Alah bisa tegal biasa, Hongyan mula membiasakan diri menggunakan kedua-dua alat itu untuk bergerak.

Selepas lima tahun berlalu, Hongyan menerima sumbangan kaki protestik berteknologi tinggi daripada Pusat Penyelidikan Rehabilitasi China.

Bagaimanapun, dia lebih selesa menggunakan bola itu untuk bergerak sehingga dia memperoleh gelaran 'Budak Bola Keranjang' dalam kalangan rakan-rakan sebaya.

"Saya tidak ambil hati dengan gelaran itu," katanya yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Bagaimanapun berikutan kemiskinan yang dihadapi, Hongyan terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 11 tahun.

Tidak berputus asa, dia seterusnya menyertai sebuah kelab renang untuk orang kurang upaya dan mendapat bimbingan daripada jurulatih Zhang Honghu.

"Ketika mula-mula belajar berenang, saya sukar untuk mengapungkan badan namun lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri dan akhirnya mampu berenang dengan baik," jelasnya.

Ikan

Di sebalik kecacatan Hongyan, dia mempunyai bakat semula jadi dalam sukan itu sehingga kecekapannya berenang disamakan seperti ikan. Hongyan memberitahu, dia menjalani modul latihan intensif selama empat jam setiap hari di Kelab Renang Yunzhinan, Kunming.

"Saya perlu berenang sejauh 2,000 meter (m) sehari bagi menguatkan otot-otot tangan dan badan. Saya turut melakukan senaman bangkit tubi serta latihan menggunakan dumbel," ujarnya yang menggemari disiplin 400m gaya bebas dan 100m kuak lentang.


KECEKAPAN gadis ini berenang disamakan dengan seekor ikan.


Kebolehannya itu melayakkan Hongyan mewakili China ke Sukan Paralimpik 2012 yang berlangsung di London, Britain.

Walaupun tidak memenangi sebarang pingat pada kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut, Hongyan berbangga dengan pencapaiannya setakat ini.

Hongyan pernah memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan sukan paralimpik bawah 18 tahun wilayah Yunnan yang diadakan pada tahun 2009.

Dia turut menggondol satu pingat emas dan lima pingat perak dalam Kejohanan Renang Orang Kurang Upaya Kebangsaan yang berlangsung di Shaoxing, Zhejiang pada tahun 2010.

"Saya akan terus berusaha bagi memajukan diri dalam sukan ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved