Jumaat, 14 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Digugah ular, dikejar anjing hutan

Posted:

Digugah ular, dikejar anjing hutan

Digugah ular, dikejar anjing hutan


PAK WAN yang memulakan kayuhan dari Kota Bharu, Kelantan pada 26 Januari tiba di George Town, Pulau Pinang pada 17 Februari lalu.


KIRA-KIRA lima dekad lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Kota Bharu, Kelantan pernah mengayuh basikal yang dihadiahkan datuknya dengan hasrat mahu menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia.

Namun, misi itu tidak terlunas apabila dia hanya dapat meneruskan kayuhan dari bumi Cik Siti Wan Kembang sehingga ke Kuala Lumpur ekoran seorang rakannya yang bersama berbasikal dengannya tidak berupaya meneruskan kayuhan. Lalu mereka berdua berpatah balik ke Kelantan.

Hari ini, selepas 53 tahun, 'remaja' itu boleh tersenyum puas. Dia ialah datuk kepada 18 cucu, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, yang baru-baru ini menjadi tajuk di dada-dada akhbar kerana kejayaan misi kayuhan solonya menakluki Semenanjung Malaysia.

"Ketika itu, saya berusia 15 tahun dan berhajat untuk melaksanakan misi itu bagi mengisi masa lapang sementara menunggu keputusan peperiksaan LCE (yang kini dipanggil Penilaian Menengah Rendah (PMR)).

"Saya dan seorang kawan saya yang usianya dua tahun lebih tua telah memulakan kayuhan dan kami telah melalui Terengganu, Johor dan tiba dua minggu selepas itu di Kuala Lumpur sebelum rakan saya mengatakan cukuplah setakat ini sahaja," katanya yang mesra disapa Pak Wan ketika ditemui penulis dan jurugambar Irwan Majid di rumahnya di Jalan Telipot, Kota Bharu, baru-baru ini.

Ceritanya, selepas usia remajanya, dia tidak lagi berkesempatan menyentuh basikal lalu impian itu terkubur sehingga ia 'dihidupkan' kembali tahun lalu apabila dia menziarahi seorang anaknya, Wan Nur Elinie, 31, yang menetap 12 tahun di Perth, Australia.

"Saya tinggal di rumah anak saya di Perth selama enam bulan, di sana lazim terlihat orang berbasikal ke mana-mana termasuk dibawa masuk ke dalam tren secara percuma. Semasa saya di sana, tiba-tiba berbasikal menjadi aktiviti utama saya.

"Pagi-pagi lagi saya sudah kayuh basikal. Nak pergi ke bandar pun dengan basikal. Anak saya ada basikal, cucu-cucu saya di sana pun ada basikal.

"Tiba-tiba saya teringat kembali azam lama itu. Saya rasa tidak puas hati. Saya rasa saya mesti lakukannya semula walaupun pada umur sekarang ini," katanya.

Ironinya, saat diminta untuk dibezakan antara percubaan pertamanya semasa tenaga muda dan keduanya ketika lanjut usia, Wan Hashim dengan pantas berkata: "Kali ini lebih bertenaga".

Mengimbas mengenai kayuhan sejauh 2,200 kilometer yang dilaluinya, Wan Hashim atau Pak Wan mengecap pengalaman 28 hari yang rencam, ada gembira, terharu, cemas dan ada yang menduga jiwa wajanya terutama pada dua hari pertama.


SELAMAT tiba. Kepulangan Pak Wan di sambut ahli keluarganya di pintu sempadan Kompleks Kastam Imegresen dan Kuarantin Keselamatan Rantau Panjang, Kelantan.


Dia 'berlepas' dari rumahnya di Jalan Telipot, Kota Bharu pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu dan kemudian merentasi laluan Terengganu, Pahang, Johor, Singapura, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya.

Wan Hashim seterusnya menjelajah Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis di Padang Besar sebelum menaiki kereta api ke Golok dan meneruskan kayuhan kembali ke Kelantan pada 22 Februari lalu.

Dipermudahkan

Selama 28 hari Wan Hashim mengayuh pedal basikal, doa tidak pernah kunjung padam di kalbunya. Kekuatan hadir seiring kemahuannya dan minda yang acap bergaung kata-kata: Jangan mengalah, kayuh kayuh kayuh!

Tanpa tajaan, bahkan basikal yang ditunggang juga basikal yang dipinjam daripada seorang rakan, perjalanannya ibarat satu penyerahan diri kepada takdir Allah.

"Pada masa itu, saya fikir, kalau apa-apa terjadi, saya hadapi apa sahaja, walau takdir saya mati sekalipun, saya reda," ujarnya.

Dengan kelajuan 20 kilometer sejam, dia bukan sahaja melalui jalan-jalan di bandar, lebuh raya bahkan desa, jalan berbukit dan yang kiri kanannya rimba.

"Sebelum memulakan perjalanan, ramai yang meragui keupayaan saya. Saya juga tiada perancangan di mana saya akan menginap, saya cuma ada perancangan di kawasan mana saya mahu berhenti.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan saya. Dua hari pertama memang betul-betul menduga seolah-olah menghalang saya untuk meneruskan misi tetapi saya terus berdoa dan kuatkan diri.

"Apa yang mengejutkan ialah hanya hari pertama saya tidur bermalam di sebuah surau, kemudian untuk hari seterusnya ada sahaja orang yang mahu menawarkan saya tempat menginap," katanya yang mengakui hanya berbekalkan wang saku RM200.

Duit yang dibawa habis hanya duit untuk beli air sahaja. Menurut bapa saudara kepada Wan Iman Wan Mohd. Nazi atau Evelyn Rose, penulis novel The Wedding Breaker yang telah diadaptasi menjadi siri drama popular televisyen Ariana Rose itu.

Pengalaman mencemaskan katanya, ketika melalui kawasan berhutan antara Pahang dan Johor apabila dia diserang haiwan liar dari belantara iaitu ular dan anjing hutan.

"Saya tak pasti ular apa, panjangnya sedepa tiba-tiba melintas jalan. Saya terperanjat, lalu saya melepaskan pedal dan mengangkat kedua-dua kaki saya ke udara sambil melaung kalimah Allah!

"Ada juga kes apabila enam ekor anjing hutan hitam menyalak lalu mengejar saya, ia datang dari kawasan berbukit dan mujur ia tidak meneruskan kejar saya. Lega," ujarnya.


PAK WAN akan memastikan keadaan tayar basikal sentiasa dalam keadaan baik sebelum meneruskan kayuhan.


Bertemu tokoh negara

Dalam perjalanannya juga, dia menjalinkan hubungan silaturrahim dengan mereka yang tidak pernah dikenalinya. Ada yang melambai tangan, menunjukkan isyarat bagus, berkongsi kisah mereka dan ada yang turut sama menunggang basikal dengannya buat seketika.

Dia juga bertemu dengan tokoh-tokoh antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membingkis catatan untuknya dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail yang meraikannya dan menganugerahinya sehelai jersi.

"Antara kenangan yang paling saya terharu ialah apabila saya tiba di kawasan sebuah sekolah rendah, saya tidak ingat di mana, seorang bapa yang menghantar anaknya ke sekolah telah menahan saya untuk bergambar.

"Kemudian ada kira-kira 10 orang murid sekolah telah mengeluarkan buku mereka, ada buku tulis, ada buku latihan, dan meminta autograf saya. Saya terharu... kerana mereka kanak-kanak," katanya.

Berhasrat mahu membukukan kisah kayuhan solonya itu untuk bacaan generasi, akan datang dia yang sedang mencari penerbit untuk bukunya itu sedar impiannya sudah menjadi realiti kala didakap erat bondanya, Cik Hasmah Ahmad, 83 dan isterinya, Faridah Daud, 62, sebaik tiba di pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, Rantau Panjang pada pukul 8 pagi, 22 Februari lalu.

Namun, Wan Hashim sudah benar-benar puas. Tidak akan mungkin dia ulangi lagi apa yang telah dilakukannya itu untuk kali kedua.

"Tidak lagi. Saya rasa ia sudah cukup, cukuplah sekali ini," ujarnya tersenyum.

Pak Wan tidak tidur selepas subuh

Posted:

Pak Wan tidak tidur selepas subuh

Pak Wan tidak tidur selepas subuh


WAN NUR ELINIE


PADA usia emas, Pak Wan barangkali melakukan sesuatu yang mungkin di luar orang muda pun tidak terfikir atau terasa mustahil untuk laksanakan.

Menurut bapa kepada enam orang anak ini, dia hanyalah warga emas yang biasa-biasa sahaja. Bukan kaki sukan mahupun aktif bersenam. Dia yang merupakan pesara pegawai pemasaran koperasi ini hanya mengisi masa senggangnya dengan mencergaskan diri menerusi kerja-kerja rumah.

Petua kesihatannya sejak zaman muda ialah tidak tidur selepas subuh selain menjaga pemakanan.

"Saya biasanya tidur awal dan bangun awal, apabila sudah bangun, macam mana mengantuk pun saya tidak akan tidur semula.

"Apabila bangun tidur saya minum air suam segelas dan sebelum tidur juga minum air suam. Air suam mesti ada," katanya yang tidak menghidap sebarang penyakit.

Pengambilan air amat mustahak baginya dalam melaksanakan misi kayuhan solonya.

"Saya berkayuh dari pukul 7 pagi hingga 6 petang dan berhenti setiap dua jam kayuhan.

"Saya akan behenti setiap dua jam untuk minum air. Semasa kayuhan juga, setiap 20 minit saya akan minum air dua atau tiga teguk," katanya yang ditemani isteri, Fatimah Daud, anak perempuannya, Wan Nur Elinie, 31, dan anak saudaranya, Farahin Mohd. Zahid, 23 semasa ditemu bual.

Sementara itu, anaknya, Wan Nur Elinie bercerita, dia dan adik-beradik yang lain pada awalnya terkejut dan tidak benarkan bapanya melaksanakan misi itu.

"Kami terutama kakak sulung, Wan Wan Ellysa, 42, bercadang membawa ayah bercuti untuk dia melupakan hasratnya itu.

"Kami risau dengan faktor usia dan keselamatannya," katanya yang sudah kembali ke Malaysia untuk menetap di United Kingdom selepas mendiami kota Perth selama 12 tahun.

Melihat kesungguhan bapanya itu, Wan Nur Elinie dan ahli keluarga yang lain akhirnya akur dan memberikan sokongan.

Bahkan, Nur Elinie juga salah seorang ahli keluarga Wan Hashim yang mengayuh basikal bersamanya sejauh 50 kilometer dari Rantau Panjang sehingga ke kediaman mereka di Jalan Telipot yang bermakna ternoktahnya sebuah misi.

Kemeriahan Pertempuran Buah Oren

Posted:

Kemeriahan Pertempuran Buah Oren

Kemeriahan Pertempuran Buah Oren


LELAKI ini berehat seketika selepas bertempur dengan kumpulan pedati kuda.


BERATUS-ratus orang berkumpul di Ivrea iaitu sebuah bandar bersejarah di utara Itali bagi menyambut festival Pertempuran Buah Oren yang diadakan selama empat hari bermula dari 1 hingga 4 Mac lalu.

Festival tahunan yang bermula pada pertengahan abad ke-19 itu disertai orang ramai yang berpakaian khas dengan membaling buah oren antara satu sama lain.

Sejarah Pertempuran Buah Oren berasal daripada legenda abad ke-12, apabila Violetta iaitu anak perempuan seorang pengilang tempatan telah menolak kemajuan dibawa oleh pemerintah yang zalim di bandar Ivrea.


KANAK-KANAK juga tidak ketinggalan menyertai festival ini.


Bagi memastikan bandar tersebut bebas daripada kezaliman pemerintah, beliau telah bertindak memotong kepalanya.

Festival tersebut cuba mengimbau kembali kisah pemberontakan terhadap kezaliman dengan para peserta akan dibahagikan kepada golongan bangsawan dan rakyat biasa manakala buah oren pula dianggap seperti kepala pemerintah zalim itu.

Kini, festival berkenaan telah berubah menjadi satu acara besar yang mewakili perjuangan kebebasan dan simbol festival Ivrea.

"Ketawa, ini merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan. Saya cuba jauhkan diri kerana lebih suka menjadi penonton tetapi telah diberikan satu kostum rakyat biasa.

"Kemudianya, saya cuba untuk keluar dari jalan ini namun malangnya seseorang telah berjaya membaling buah oren kepada saya," kata salah seorang peserta, Giulia Baldini.


PESERTA dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu rakyat biasa dan bangsawan.


Pertempuran sebenar bermula apabila kumpulan pedati kuda yang mewakili pengawal pemerintah zalim memasuki dataran utama di bandar tersebut dan mula membaling buah oren kepada golongan rakyat biasa di sekeliling mereka.

Ramai penduduk sekitar Ivrea telah menyertai festival tersebut sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Ini merupakan peristiwa paling penting di Ivrea, ia lebih penting daripada perayaan Krismas.

"Terdapat satu tenaga dalam kalangan penduduk di sini yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," ujar seorang penduduk tempatan, Roberto Accio.

Dianggarkan 500 tan metrik buah oren dihantar dari Sicily, Italy ke Ivrea setiap tahun untuk dijadikan senjata oleh peserta festival.

Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam festival tersebut dengan mendaftar di salah satu daripada sembilan pasukan golongan rakyat biasa atau menjadi ahli krew pengangkutan golongan bangsawan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved