Isnin, 10 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Gitar ikut cita rasa sendiri

Posted:

Gitar ikut cita rasa sendiri

Gitar ikut cita rasa sendiri

SELAIN tempahan, Guitar Hospital juga menawarkan perkhidmatan pembaikan dan pengubahsuaian pada gitar elektrik dan akustik.


BONGKAH kayu pelbagai jenis disusun rapi di bahagian belakang galeri. Perlahan-lahan bongkah sepanjang tiga meter itu diambil dan dipotong menggunakan sebuah mesin sehingga ketebalan antara 42 hingga 45 milimeter.

Penggunaan mesin pemotong itu merupakan salah satu langkah terbaik bagi Raymond Choo Yee Thon, 33, untuk mendapatkan ukuran yang tepat dalam menghasilkan sebuah gitar.

Selesai sahaja kerja-kerja pemotongan, Raymond menggabungkan kayu-kayu berkenaan untuk membentuk badan gitar.

Menurutnya, sebuah gitar elektrik akan menggunakan kira-kira lima hingga 17 kepingan kayu.

"Kebiasaannya saya menggunakan kayu mahogani, ash, alder dan bass yang diimport dari Afrika Selatan.

"Kebanyakan kayu tersebut merupakan kayu tua yang berkualiti tinggi dan amat sesuai bagi pembikinan sebuah gitar," jelasnya ketika ditemui Kosmo! di galeri Guitar Hospital yang terletak di Taman Desa Aman, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Raymond merupakan pemilik galeri tersebut yang menawarkan perkhidmatan pembuatan gitar tempahan khas.

Galeri Guitar Hospital yang juga menjadi tumpuan peminat muzik itu turut menawarkan perkhidmatan membaiki peralatan muzik berkenaan.

Cetusan idea

Mula beroperasi sejak empat tahun lalu, Raymond boleh berbangga dengan pencapaian perniagaan dan kemahiran yang ada setakat ini.

Pada permulaan kariernya, dia hanya menawarkan perkhidmatan membaiki gitar.

KID SEARCH (kiri) memberi pujian terhadap ketelitian hasil kerja Raymond dalam menghasilkan gitar yang memenuhi cita rasanya.


Namun, setelah setahun, dia meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan dengan memperkenalkan servis pembuatan gitar elektrik tempahan khas kepada rakan-rakan terdekat.

"Ketika zaman remaja, tiada pusat khusus yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan membaiki gitar.

"Keadaan itu telah mencetuskan idea penubuhan Guitar Hospital. Boleh dikatakan perniagaan ini satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.

Dia menambah, sebelum serius dalam bidang pembuatan gitar, pada tahun 2008, usahanya dimulakan dengan menjual gitar yang diimport dari China.

"Kebanyakan gitar itu mempunyai masalah teknikal sehingga menyebabkan pelanggan merungut.

"Justeru, saya cuba untuk menghasilkan gitar sendiri sebagai pilihan lain kepada pelanggan," jelasnya.

Menceritakan sedikit latar belakang kehidupannya, Raymond berkata, beliau sebelum ini merupakan seorang pemain gitar dalam sebuah kapal persiaran.

"Selama lima tahun saya mengembara ke seluruh dunia dan memperoleh banyak pengalaman terutamanya mengenai instrumen muzik ini," ujarnya.

Tambah beliau, sewaktu bermastautin di Amerika Syarikat (AS), dia telah mempelajari teknik pembuatan gitar daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Jerry, 60.

"Di AS dan Kanada, gitar tempahan khas mendapat permintaan yang tinggi. Malah, perkhidmatan itu juga menjadi tawaran utama kebanyakan galeri gitar di sana.

"Jerry banyak mengajar saya agar menggabungkan elemen-elemen yang diterapkan dalam jenama gitar terkemuka seperti penggunaan perangkap bunyi (pickup), rekaan leher dan badan instrumen dalam pembuatan gitar tempahan khas," jelasnya.

PEKERJA Guitar Hospital menguji intonasi bunyi gitar sebelum diserahkan kepada pelanggan.


Ton bunyi

Menurut Raymond, kebanyakan pelanggan Guitar Hospital mahukan sebuah gitar yang mengikut cita rasa sendiri.

"Pelanggan boleh memilih ton bunyi berdasarkan genre muzik yang mereka minati. Namun demikian, kakitangan kami akan turut membantu dan memberi cadangan terbaik kepada pelanggan," ujar lelaki yang juga merupakan seorang pemuzik jemputan dalam konsert artis popular Hong Kong dan Taiwan.

Raymond menjelaskan, perbezaan ton bunyi pada sesebuah gitar elektrik bermula daripada proses pembuatan instrumen berkenaan.

"Gitar berjenama yang dijual di pasaran seperti Gibson dan Fender mengggunakan bahagian teras kayu yang dikeringkan secara semula jadi selama lebih 10 tahun di kilang luar negara.

"Disebabkan itu, jenama gitar tersebut dijual pada harga yang mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.

Tambah beliau, ton gitar yang dibuat daripada kayu berkualiti juga dapat dikenal pasti terutamanya apabila instrumen itu dimainkan.

Memaklumkan bahawa gitar-gitar yang dihasilkan Guitar Hospital adalah berjenama Ray C, Raymond berkata, kayu-kayu yang digunakan biasanya dikeringkan dalam tempoh lima tahun.

Selain pembuatan dan ukiran gitar yang dibuat secara manual, beliau turut dibantu oleh enam orang kakitangan yang menggunakan mesin komputer kawalan berangka bagi memudahkan proses pembentukan rekaan sesebuah gitar.

"Bentuk sesebuah badan gitar bukanlah kayu pengukur kepada penghasilan bunyi yang bagus dan keselesaan ketika memainkan alat muzik ini.

"Sebaliknya ia turut bersandarkan proses pembuatan yang baik dan penggunaan komponen elektronik yang berkualiti," jelasnya.

Dia menambah, selain tumpuan pada badan gitar, bahagian leher gitar yang merangkumi fret iaitu bilah penentu ruang nada dan tombol penalaan tali diperbuat daripada kayu hitam, mapel dan rosewood yang padat juga diberi penekanan.

"Sesetengah bentuk gitar mempunyai rekaan badan dan leher yang bersambung. Manakala ada juga yang menggunakan skru dan gam untuk mencantumkan kedua-dua bahagian tersebut," jelasnya.

Kawalan kualiti

Meskipun baru berusia empat tahun, Guitar Hospital memperoleh tempahan gitar yang memberangsangkan.

Menurut pemiliknya, tempoh untuk menghasilkan sebuah gitar tempahan khas biasanya mengambil masa kira-kira dua bulan dan dijual pada harga RM7,000 ke atas.

Memandangkan perangkap bunyi merupakan komponen utama yang menentukan ton bunyi gitar, kebanyakan gitar yang dihasilkan Guitar Hospital menggunakan perangkap bunyi berjenama seperti Seymour Duncan, DiMarzio dan EMG.

Seorang pelanggan Guitar Hospital, Amirul Ardi Mohd. Ghazali, 32, berkata, perkhidmatan yang disediakan galeri itu menepati cita rasanya sebagai seorang pemain gitar.

Dia yang telah menghantar sebuah gitar elektrik Ibanez RG ke Guitar Hospital untuk melakukan sedikit penambahbaikan pada bahagian kepala gitar (head stock) ternyata berpuas hati mutu kerja yang diberikan.

"Saya meminta agar bahagian itu ditukar kepada bentuk seakan-akan rekaan gitar jenama Ernie Ball Music Man dengan memberi lakaran rekaan kepada mereka.

"Setiap ukiran dan bentuk ubah suai yang dihasilkan sempurna tanpa sebarang cacat cela," katanya sambil memberitahu beliau tidak kisah membelanjakan RM1,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian itu kerana percaya akan kepuasan yang dikecapi.

Amirul Ardi menambah, dia juga sering mendapatkan nasihat teknikal dan perkhidmatan penyelenggaraan gitar di galeri berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Guitar Hospital, Steven Chee Kah Weng, 26, memberitahu, gitar yang ditempah oleh pelanggan mempunyai jaminan seumur hidup dan pihak galeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap instrumen itu.

Namun demikian, menurutnya, jaminan itu bergantung kepada keadaan dan masalah yang berlaku kepada gitar itu selepas ia bertukar tangan kepada pelanggan.

"Sekiranya kerosakan berlaku kerana kecuaian pelanggan, pihak kami tidak akan bertanggungjawab atas perkara itu.

"Sekiranya pelanggan menghantar gitar mereka untuk diubah suai atau membaiki bahagian kayu gitar, jaminan selama tiga tahun diperuntukkan," jelasnya.

Steven menambah, pihak Guitar Hospital juga memperuntukkan jaminan selama tiga bulan bagi gitar yang dihantar untuk tujuan penyelenggaraan.

"Perkhidmatan kami tidak terhenti apabila gitar yang ditempah telah diambil pemiliknya. Malah, kami memantau kualiti dan keadaan gitar terlibat dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh yang dipersetujui," jelasnya.

Bandar harapan yang kian terkubur

Posted:

Bandar harapan yang kian terkubur

Bandar harapan yang kian terkubur


PENGUNJUNG yang datang ke Aliceghan akan disambut dengan deretan kediaman terbengkalai.


ALICEGHAN sepatutnya menjadi syurga kepada pelarian Afghanistan dan simbol kebangkitan selepas pemerintahan Taliban.

Namun selepas enam tahun, ia telah mendedahkan pelbagai halangan yang dihadapi projek pembangunan di negara itu, selain penghijrahan keluar penduduk yang menyebabkan Aliceghan seperti sebuah bandar tinggal.

Penempatan, yang terletak kira-kira sejam dari utara Kabul, itu telah dibina di sebuah kawasan berbatu dan kering yang telah diperuntukkan kerajaan bagi menempatkan 1,100 keluarga yang telah diusir dari tanah air mereka semasa konflik selama empat dekad.

Ia telah dibuka pada tahun 2008 dan dibiayai kerajaan Australia dengan melibatkan kos AS$7.2 juta (RM23.5 juta), manakala infrastruktur seperti rumah, sekolah dan jalan raya dibina oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Bagaimanapun, pengunjung yang datang ke penempatan itu hari ini pasti akan disambut dengan barisan kediaman terbengkalai dan jalan-jalan kosong kerana kebanyakan penduduknya telah berhijrah.

Puncanya kerana masalah kekurangan bekalan air, elektrik dan kos perjalanan yang tinggi ke bandar yang paling hampir iaitu Kabul.

Kesukaran hidup

Terdapat kira-kira 500 keluarga yang masih berada di Aliceghan tetapi jumlah itu semakin berkurangan.

Kebanyakan penduduk kembali ke Kabul dan menghuni kawasan setinggan dan perlindungan.


PENDUDUK merasa kurang selesa tinggal di penempatan yang disediakan kerajaan.


"Penduduk berpindah kerana tidak ada kerja. Kini ia seperti sebuah bandar kosong," kata Khoja Mohammad, 79.

Dia telah menetap di Iran selama 20 tahun tetapi memutuskan untuk kembali ke Afghanistan dengan harapan membina kehidupan yang lebih baik.

Khoja merupakan salah seorang daripada 5.7 juta rakyat negara itu yang melarikan diri akibat perang saudara tetapi kembali selepas serangan yang diketuai Amerila Syarikat telah mengusir rejim Taliban pada tahun 2001.

Dia dan saudara-maranya tinggal bersama keluarga lain, yang kesemuanya berjumlah kira-kira 20 orang, di dua buah rumah kecil yang mempunyai empat bilik tidur.

Dia menyatakan kehidupan di sana amat sukar terutama ketika musim sejuk dengan suhu jatuh sehingga ke -20 darjah Celsius.

Di rumahnya, kelihatan selimut-selimut tebal tersusun di satu sudut bilik, sementara sebuah bateri kereta disambungkan kepada panel solar yang diletakkan di tepi tingkap untuk menerangi bilik.

"Ini satu-satunya sumber elektrik kami," katanya.

Aliceghan merupakan salah satu daripada 60 penempatan serupa yang dibina di seluruh negara berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pelarian dan Repatriasi Afghanistan, Islamuddin Jurat mengakui bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam strategi pelaksanaan penempatan-penempatan tersebut.


KETIADAAN bekalan air menyukarkan kehidupan penduduk di Aliceghan dan Barek Aun.


"Kawasan penempatan telah siap namun disebabkan tiada penyelarasan antara kementerian, maka sukar untuk menyediakan keperluan asas. Ini sekali gus menyebabkan rancangan tersebut gagal," katanya.

Tambah beliau, kerajaan hanya mampu menyediakan penempatan untuk kira-kira 300,000 pelarian yang kembali.

Kegagalan projek

Situasi sama turut berlaku di kawasan penempatan berjirannya iaitu Barek Aun yang menempatkan kira-kira 300 buah keluarga.

"Kerajaan menjanjikan bekalan air, kehidupan yang lebih baik dan peluang pekerjaan. Tapi mereka tidak melakukan apa-apa," kata Bashir Ahmad, 45, yang telah menetap di sana sejak enam tahun lalu.

Dia menambah, sebanyak 95 peratus penduduk Barek Aun tidak bekerja kerana lokasi perkampungan itu yang jauh dari bandar.

"Mereka yang bekerja pula mengeluh kerana gaji yang diterima tidak cukup untuk menampung belanja pergi-balik," katanya.

Bashir turut menyatakan kegusarannya terhadap kemungkinan golongan belia di situ menyertai kumpulan pemberontak atau melibatkan diri dalam najis dadah sekiranya keadaan tidak berubah. - AFP

Multi universiti Eropah di Malaysia

Posted:

Multi universiti Eropah di Malaysia

Multi universiti Eropah di Malaysia


KETUA Pegawai Eksekutif NUMed, Reg Jordan berdiri di hadapan bangunan institusi itu yang mula beoperasi sejak tahun 2011.


SEKUMPULAN pelajar kelihatan melalui laluan berbata merah di Universiti Perubatan Newcastle (NUMed) yang memiliki sentuhan binaan zaman Victoria. Pemandangan itu umpama berada di sebuah kolej terkemuka yang terletak di utara England.

Bagaimanapun, kampus NUMed sebenarnya terletak di Educity, Nusajaya, Johor yang juga menempatkan beberapa cawangan universiti Eropah lain menerusi konsep perkongsian kampus.

Sebelum ini, menyambung pengajian di luar negara, khususnya Eropah, menyebabkan pelajar dari Asia merasa kesukaran berjauhan daripada keluarga selain masalah kos yang tinggi.

Namun, perkongsian kemudahan di Educity menawarkan kos pengajian luar negara yang lebih rendah kepada pelajar-pelajar terlibat.

Seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di kampus NUMed Malaysia, Kanesh Rajoo memberitahu, dia hanya membayar 60 peratus daripada 120,000 pound (RM653,919) yuran yang dikenakan di NUMed United Kingdom (UK), di samping penjimatan kos sara hidup.

"Selain itu, disebabkan reputasi memperoleh ijazah UK yang diiktiraf, saya mungkin mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja di Malaysia berbandig graduan universiti tempatan," katanya ketika mengulang kaji pelajaran di perpustakaan NUMed Malaysia yang luas itu.

Konsep pelbagai universiti pernah dicuba sebelum ini di tempat lain dengan tahap pencapaian yang berbeza.

Bagaimanapun, projek yang dilaksanakan kerajaan Malaysia ini diharap berjaya dengan pemilihan teliti institusi-institusi pengajian terlibat.


BERADA jauh 30 kilometer dari bandar berdekatan, sebilangan pelajar berpendapat fasiliti di EduCity masih belum berada pada tahap memuaskan.


Dalam pada itu, pertumbuhan pusat pengajian atau kolej semakin pesat berikutan peningkatan pasaran pendidikan di Asia.

Potensi

Menurut laporan kerajaan Britain, pendaftaran pelajar dari negara bukan Kesatuan Eropah di universiti-universiti di negara itu telah meningkat sebanyak 20 peratus kepada 300,000 orang pelajar dari tahun 2008 hingga tahun 2012.

Secara global, dijangkakan kira-kira empat juta pelajar akan menyambung pengajian mereka ke luar negara setiap tahun menjelang tahun 2024 dengan satu pertiga angka berkenaan adalah pelajar dari China dan India.

"Cita-cita kami ialah untuk memasarkan peluang ini di peringkat serantau dengan pasaran terbesar seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, China dan India," kata Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Southampton di Educity, John McBride.

EduCity yang dilancarkan pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada zon pembangunan Malaysia itu kini menempatkan enam institusi pengajian tinggi termasuk NUMed, program kejuruteraan Universiti Southampton, Institut Teknologi Maritim Belanda dan Universiti Reading dari Britain.

Selain itu, sekolah pengurusan sukan Institut Johan Cruyff dan sekolah rendah dan menengah terkemuka seperti Kolej Marlborough yang kini berusia 170 tahun di Britain.

Dijangkakan sekurang-kurangnya 10 buah institusi pengajian, termasuk lapan buah universiti akan beroperasi di Educity menjelang tahun 2015.

Dibina di bekas ladang kelapa sawit, Educity yang berkeluasan 243 hektar mempunyai sebuah kompleks sukan dengan kapasiti 14,000 tempat duduk, perkampungan pelajar yang mempunyai 570 buah katil dan pelbagai kemudahan lain.


PADA tahun 2015, dijangkakan 10 buah institusi pengajian, termasuk lapan buah universiti, akan beroperasi di Educity.


Pendaftaran pelajar tahun ini mencecah lebih 1,200 orang dengan satu perlima daripadanya adalah pelajar asing. Jumlah pelajar sebanyak 16,000 orang dijangka pada masa akan datang.

Masalah

Bagaimanapun, terdapat beberapa masalah awal di Educity yang disuarakan wakil-wakil universiti luar negara yang ada.

Pada mereka, perkampungan pelajarnya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Tiada seorangpun daripada kami yang gembira," kata Ketua Chief Pegawai Operasi Universiti Reading di Malaysia, Peter Osbourne.

NUMed telah mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi membina kafetaria sendiri ekoran tidak berpuas hati dengan kemudahan yang ada.

Wakil berkenaan turut membangkitkan kebimbangan tentang kualiti pengalaman pelajar di Educity kerana kedudukannya terpencil tanpa sistem pengangkutan yang baik memandangkan bandar terdekat terletak kira-kira 30 kilometer.

"Pelajar berada di kampus dalam tempoh tertentu sahaja. Jadi bagaimana kita mahu mempromosikan kepada mereka tentang betapa hebatnya Educity?," kata Ketua Pegawai Eksekutif NUMed, Reg Jordan.

Seorang pelajar Malaysia, Dhanya Menon berkata, keadaan tentunya berbeza dari kampus yang terletak di United Kingdom.

"Saya tidak fikir ramai antara kami akan keluar setiap malam tetapi kami akan berseronok pada setiap hujung minggu sahaja meskipun di sebuah pusat beli-belah sederhana yang berdekatan," ujarnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved