Jumaat, 21 Mac 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Posted:

Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Jenama tempatan bertaraf antarabangsa

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

RITA sentiasa mengemas kini maklumat mengenai perkembangan perniagaan syarikatnya.


"SEGELINTIR mencebikkan bibir dan selebihnya mempertikaikan keberkesanan produk penjagaan kulit yang saya jual bersama arwah ibu."

Itulah antara secebis pengalaman yang masih terkesan di ingatan Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV) Sdn. Bhd., Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 29, ketika dia dan ibunya, Allahyarhamah Sosilawati Lawiya memperkenalkan NV, 20 tahun lalu.

Kritikan yang dihamburkan itu disahut dengan usaha yang gigih dalam memperkenalkan jenama produk NV kepada orang ramai.

Dalam tempoh kurang 10 tahun, Sosilawati berjaya mengembangkan perniagaan dengan memiliki lebih 300 kedai di seluruh negara termasuk di Brunei, Singapura dan Thailand. Bagaimanapun, pada Ogos 2010, negara dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam Sosilawati bersama empat yang lain di Banting, Selangor.

Seorang bekas peguam dan tiga pekerja ladang dituduh melakukan jenayah tersebut selepas Sosilawati dilaporkan hilang setelah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Ekoran itu, Erni Dekritawati yang mesra dipanggil Rita menggalas tugas besar bagi menerajui legasi perniagaan produk kosmetik NV.

Empat tahun sudah berlalu dan Disember ini genaplah 20 tahun usia NV dalam pasaran kosmetik tempatan.


WISMA NV di Cyberjaya merupakan pusat sehenti produk-produk NV.


Ternyata, Rita berjaya mengemudi perniagaan tersebut yang kini mempunyai lebih 500 rangkaian jualan di seluruh negara dengan 8,000 pelanggan sehari.

"Saya mula membantu ibu sejak berusia sembilan tahun. Ketika itu, kami sekeluarga tinggal di Selayang. Saya dan ibu membuka kedai kecil produk penjagaan kulit di Ampang Park, Kuala Lumpur.

"Peluang perniagaan kosmetik jenama tempatan pada ketika itu seperti mustahil untuk dilakukan kerana orang ramai lebih mempercayai produk-produk antarabangsa seperti Loreal dan Estee Lauder," katanya mengimbas kembali ketika peringkat awal perniagaan tersebut.

Diyakini

Selari dengan perubahan zaman, anak sulung daripada enam adik-beradik itu berkata, perniagaan kosmetik tempatan mula diyakini dan mendapat tempat di hati pengusaha lain.

"Namun, saya menganggap perubahan ini satu persaingan yang sihat.


NV menganjurkan Program Turun Padang pada Julai tahun lalu bagi mempromosikan produknya.


"Saya perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan produk-produk dengan kepelbagaian kegunaan," jelasnya ketika ditemui di Wisma NV di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Sehingga kini, NV telah memperkenalkan lebih 200 produk kecantikan menggunakan pelbagai herba yang kaya dengan khasiat penjagaan kulit wajah dan badan.

Antara produk tersebut termasuklah, pencuci muka sabun hitam NV, susu pencuci muka NV, pembersih kulit NV, krim harian NV dan krim malam NV.

Dalam pada itu, kejayaan tersebut turut berdepan detik hitam apabila berlaku produk tiruan NV di pasaran.

Pegawai Perhubungan Awam NV Cawangan Kampung Baru, Suhaili Awang Teh, 28, berkata, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjual produk berkualiti rendah menggunakan bungkusan dan jenama NV.

Ekoran itu, katanya, beberapa pelanggannya telah datang ke pusat operasi NV di Kampung Baru bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

"Kami menerima aduan daripada pengguna yang mengatakan produk NV ini tidak mendatangkan sebarang hasil positif dan mereka rasa tertipu. Namun, apabila diperiksa produk yang dibawa mereka, kami mendapati ia bukanlah produk asli.

"Mengambil langkah pencegahan, kami telah menghantar pasukan pemantau ke kedai berkenaan kerana ia telah mencalarkan imej NV," jelasnya yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat tersebut.

Menurut Suhaili, masih ramai yang tidak mengetahui keseluruhan produk keluaran syarikatnya.

Ini kerana, mereka beranggapan NV hanya menjual produk penjagaan wajah.

RITA banyak memperlajari ilmu perniagaan daripada arwah ibunya, Sosilawati.


Produk kesihatan

Hakikatnya, NV telah menghasilkan pelbagai jenis produk kesihatan seperti minuman kolagen tinggi serat, minuman kopi kolagen, kolagen buah-buahan NV, barangan kosmetik dan set bersalin.

Justeru, dalam setiap dua tahun sekali, NV akan mengadakan jualan langsung produk-produk baharu dengan membuat pemotongan harga mencecah 70 peratus.

Menurut Pengarah NV, Erni Rineelawati, 24, dia masih ingat niat murni arwah ibunya yang ingin berkongsi kecantikan dengan semua orang.

Anak kelima itu memberitahu, arwah merupakan seorang wanita yang cintakan kecantikan dan berhasrat berkongsi rahsia tampak jelita dengan wanita lain.

Justeru, bagi meneruskan hasrat arwah ibunya, anak gadis yang dipanggil Rinee itu sentiasa memantau prestasi pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang terletak di Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Rinee memberitahu, pasukan R&D syarikat itu sedang berusaha mencipta formula-formula baharu bagi menghasilkan produk yang disukai oleh generasi Y.

"Dahulu, arwah ibu berjaya menambat hati pengguna wanita pada peringkat usia 40-an dan kini tiba giliran kami untuk menyediakan produk terbaik bagi menarik minat golongan yang meningkat dewasa.

"Golongan remaja pada hari ini lebih cenderung menggunakan produk yang mudah dipakai dan dijual pada harga berpatutan," jelasnya.

Mengulas lanjut tentang penerus legasi NV, Rinee berkata, kesemua enam adik-beradiknya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan syarikat kecantikan itu terus berkembang.

"Dua abang saya, Erwan Suwari Rizuwan, 28, dan Md. Erwan Nasri, 27, menguruskan bahagian pengeluaran produk manakala kakak kedua, Erni Erinawati Sofea, 25, merupakan Pengarah Operasi Nouvelle Symphony, salah satu anak syarikat NV.

"Saya pula, selain memikul jawatan pengarah, saya juga merupakan duta produk NV," jelasnya.

Adik bongsunya, Siti Nur Fatimah, masih lagi bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Tambahnya, syarikat NV tidak pernah 'duduk diam' dan sentiasa bergerak aktif dalam mencari pelanggan-pelanggan baharu.


RITA (tiga dari kanan) bergambar bersama adik-beradiknya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.


Kursus

Dia dan kakaknya, Rita sentiasa mengadakan kursus kepada pengguna luar bandar seperti di Kedah dan Pulau Pinang untuk memberi pendedahan tentang cara-cara penjagaan kulit dan khasiat produk NV.

Selain memberikan tanggapan positif tentang produk tempatan, Rinee juga mengambil kesempatan berkongsi pengetahuan dan mengajar orang ramai tentang cara solekan menggunakan produk NV.

Dalam usaha mengekalkan dan mengembangkan perniagaan NV, mereka tidak lupa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sungguhpun bergelar seorang usahawan wanita, isteri dan ibu kepada dua orang anak, Rita masih memperuntukkan sedikit masanya dengan mengadakan program ilmiah yang dibuka kepada orang ramai.

Pada Jun dan Julai tahun lalu, syarikat NV dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat dan Kumpulan Utusan telah menganjurkan beberapa majlis ilmiah, antaranya, Program Imarah Kasih Ramadan, Program Bicara Wanita dan Program Diskusi Wanita.

Program-program dijalankan NV lebih menjurus kepada memperkasakan kaum wanita dan berkongsi ilmu keagamaan bersama tetamu jemputan terkenal.

Antara yang menjayakan program amal tersebut termasuklah pasangan pendakwah selebriti Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood serta Nur Heliza Helmi.

NV perkenal enam produk spa terbaharu

Posted:

NV perkenal enam produk spa terbaharu

NV perkenal enam produk spa terbaharu


SEMPENA ulang tahun ke-20 tahun ini, NV menawarkan enam produk baharu yang didatangkan dalam Set Segar NV dan Set Spa Keperluan NV.


SEMPENA meraikan ulang tahun ke-20, syarikat kecantikan Nouvelles Visages (NV) Sdn. Bhd. menawarkan enam produk spa terbaharu sebagai menghargai pelanggan setianya.

Menurut Pengarah Urusannya, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, produk-produk yang dilancarkan merupakan cetusan idea daripada pelanggannya sendiri.

"Ramai pelanggan yang meminta supaya kami menghasilkan produk-produk spa yang diperbuat daripada pelbagai jenis herba tempatan.

"Ini dapat memberi peluang kepada mereka yang sibuk bekerja memanjakan diri dengan membuat lulur sendiri menggunakan produk itu di rumah," jelasnya.

Enam produk itu ialah semburan asas badan, losen badan, gel badan, lulur garam, krim badan dan skrub badan.

Bagaimanapun, enam produk itu didatangkan dalam dua set iaitu Set Spa Segar NV untuk mereka yang seharian berada di luar dan Set Spa Keperluan NV bagi suri rumah.

Erni memberitahu, kebanyakan produk yang dihasilkan membantu membersihkan kulit, melembapkan kulit, penyahtoksikan kulit, melangsingkan tubuh, menghaluskan pori dan menghindarkan iritasi.

Dalam pada itu, sempena pengenalan produk, NV turut menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus.

"Harga asal satu set produk spa bernilai RM167. Bagaimanapun, sempena melancarkan produk baharu ini, kami menawarkan harga serendah RM83.50 kepada pelanggan," ujarnya yang berharap pelanggan berpuas hati dengan formula baharu herba tempatan itu.

Sementara itu, sebagai pelengkap urutan, NV turut memberikan tiga minyak urutan secara percuma yang terdiri daripada minyak urut epal, kesturi dan lavender.

Orang ramai yang berminat boleh membeli secara terus di tiga cawangan di Kampung Baru, Cyberjaya dan Ampang atau membuat pembelian secara dalam talian menerusi laman web serta laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi www.nouvelles-visages.com.my atau menghubungi talian 03-2691 5153.

Pengamal media anjur karnival amal

Posted:

Pengamal media anjur karnival amal

Pengamal media anjur karnival amal

Oleh AZIZI MAJID


PERLAWANAN futsal turut memeriahkan Karnival Amal Media Johor 2014 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.


SIAPA sangka pengamal media yang kerja hakikinya membuat liputan berita, sebenarnya mempunyai kebolehan berniaga. Itulah yang dibuktikan oleh sekumpulan pengamal media yang menyertai aktiviti jualan but kereta sempena Karnival Amal Media Johor 2014 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Seramai 10 orang pengamal media dari pelbagai agensi media termasuk Ketua Biro Utusan Johor, Luqman Haziq Abdullah menyertai jualan amal yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kelab Media Johor (KMJ) itu.

Antara yang dijual ialah barangan terpakai, pakaian, kasut, majalah, makanan dan minuman pada harga yang murah kerana matlamat utama jualan bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya untuk beramal.


BEBERAPA orang pengunjung menyokong usaha amal dengan menyertai program derma darah.


Presiden KMJ, Mohammad Fauzi Ishak berkata, jualan amal menerusi jualan but kereta antara aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival sehari itu berlangsung bermula dari 9 pagi sehingga 10 malam.

Beliau berkata, aktiviti lain yang dijalankan ialah bola sepak jalanan, peraduan mewarna dan karaoke. Hasil yuran penyertaan dan sewaan tapak dimasukkan ke dalam tabung amal kelab tersebut.

"Karnival sehari ini diadakan bagi mengumpul dana bantuan untuk disalurkan kepada ahli dan mereka yang kurang bernasib baik di luar sana.

"Ia juga dilihat mampu menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan petugas media massa di negeri ini dengan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di karnival amal itu.


PELBAGAI corak dan warna tudung dijual menerusi but kereta.


Mohammad Fauzi berkata, meskipun sibuk dengan tugasan harian, KMJ tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik.

Justeru, beliau berkata, pelbagai program kebajikan telah dan akan dianjurkan pada masa hadapan bagi memastikan KMJ sentiasa aktif dalam program-program kemasyarakatan dan khidmat komuniti.

"Berdasarkan sambutan baik daripada orang ramai, kita merancang menganjurkan karnival amal ini pada masa hadapan selain boleh menjadi program tahunan kelab," ujar beliau.

Pengalaman baharu

Bagi Jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Nur Aisyah Mazalan, beliau menyertai jualan amal itu untuk mengisi masa lapang selain menimba pengalaman baharu sambil beramal.

"Saya rasa begitu seronok kerana barangan yang saya jual seperti tudung dan baju-baju terpakai mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pengunjung.

"Bagi saya, bukan keuntungan semata-mata yang dicari sebaliknya ingin mencari pengalaman baharu yang berbeza daripada tugasan harian saya sebagai jurugambar," jelas Nur Aisyah.


PENIAGA coklat ini melayan pelanggan yang datang ke gerainya.


Pengalaman sama dikongsi oleh Wartawan The Star, Yee Xiang Yun yang turut sama menyertai jualan amal tersebut dengan menjual barangan seperti pakaian, kasut, beg dan aksesori wanita.

"Tak sangka pula lebih 20 koleksi baju saya dan rakan berjaya dijual selain barangan lain, dan jumlah kutipan yang diperoleh lebih RM200.

"Saya juga dapat beramah mesra bersama orang ramai yang hadir memeriahkan karnival amal ini," ungkap Xiang Yun sambil tersenyum.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Asif Saharuddin, 29, yang hadir bersama isteri dan anak-anaknya mengakui, begitu tertarik dengan konsep karnival iaitu berhibur tetapi sambil beramal.

"Saya juga turut membeli barang-barang yang yang bukan sahaja murah tetapi berkualiti. Selain itu, saya seronok melihat wartawan dan jurugambar berniaga. Tak sangka, mereka berkebolehan berniaga," katanya.

Karnival yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung tersebut turut mendapat tajaan dan sokongan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Investment Bhd., KPJ Healthcare Bhd., Johor Corporation dan syarikat penerbangan Firefly.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved