Khamis, 6 Mac 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Makanan signatur Manja's Kitchen

Posted:

Makanan signatur Manja's Kitchen

Makanan signatur Manja's Kitchen

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SIAPA sangka pesanan yang dititipkan oleh arwah ayah sewaktu dirinya dalam berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mateen menjadi azimat berharga buat Farah Nadia Manja Abdul Rahman dalam meneruskan kehidupan.

Ketika itu, dia hanya berbual-bual kosong bersama ayahnya, Abdul Rahman Abu Bakar mengenai beberapa perkara termasuk minatnya dalam bidang masakan.

Kemudian, sebelum perbualan itu berakhir, ayahnya berkata dalam nada perlahan: "Lakukan perkara yang kita sukai agar tidak tertekan dengan kehidupan yang dijalani."

Bertitik tolak dari situlah, Farah Nadia akhirnya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan Manja's Kitchen yang diusahakan secara dalam talian sejurus selesai berpantang.

"Saya masih ingat sekitar bulan Julai 2011, perbualan bersama ayah sangat mengujakan. Namun, siapa sangka dua bulan kemudian bersamaan dengan tarikh 25 September 2011, ayah pergi dijemput Ilahi.

"Meskipun sedih, tetapi saya tetap bersyukur kerana telah melaksanakan pesanan ayah agar membuat perkara yang digemari iaitu membuat kek dan biskut untuk dijual.

"Perniagaan Manja's Kitchen sudah memasuki tahun ketiga penubuhannya. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai jihad keluarga dalam bidang ekonomi," ungkap Farah Nadia, 29, ketika ditemui Kosmo! di Taman Melati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PERNIAGAAN wepang yang diusahakan Farah Nadia dan suaminya ini dianggap sebagai jihad keluarga.


Produk terbaharu

Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Manja's Kitchen kini tampil dengan produk terbaharu yang dinamakan wepang iaitu sejenis makanan berkhasiat untuk tenaga dan perkembangan minda.

Pada mulanya, wepang tersebut dibuat berdasarkan permintaan daripada pelanggan tetap Manja's Kitchen ketika bulan Ramadan tahun lalu.

Justeru, Farah Nadia bersama kakak dan adiknya berusaha menyiapkan lebih 100 balang wepang sepanjang bulan puasa.

"Melihat sambutan yang amat memberangsangkan itu, saya yakin produk wepang ini boleh pergi lebih jauh. Oleh itu, kami menggunakan medium laman sosial Facebook untuk mempromosikannnya.

"Kini, setiap hari kami boleh menghasilkan 600 peket wepang dengan berat kira-kira 25 hingga 27 gram bagi setiap bungkusan," ujar Farah Nadia yang kini sarat mengandung anak kedua.

Tempahan

Sementara itu, suami Farah Nadia, Mahathir Rahmat, 32, memberitahu, selain menerima tempahan secara dalam talian, pihaknya turut memasarkan wepang Manja's Kitchen di restoran-restoran sekitar Kuala Lumpur.

Biasanya, Mahathir akan meletakkan satu atau dua balang di restoran yang terlibat. Setiap balang mengandungi 30 peket wepang yang dijual pada harga RM90 atau RM3 sepeket.

"Setakat ini, wepang yang kami letak di kedai atau restoran habis dijual. Malah, ada peniaga yang membeli secara borong antara 30 hingga 50 balang sekali gus.

"Kami juga mempunyai pelanggan sejauh dari Singapura yang menunjukkan minat terhadap produk wepang ini. Insya-Allah, kami masih dalam proses untuk memasarkan produk ini di Kota Singa itu," jelas Mahathir yang mengakui adakalanya tidak menang tangan dengan tempahan yang diterima terutama ketika musim perkahwinan.


LAMAN Facebook menjadi medium untuk Manja's Kitchen mempromosikan produk mereka.


Dalam pada itu, bagi Nur Illyana Manja Abdul Rahman, 20, peluang membantu perniagaan kakak dan abang iparnya tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.

Seronok

Walaupun mempunyai kelulusan dalam Diploma Pastri dari Universiti Tun Abdul Razak yang membolehkannya bekerja di hotel atau restoran terkemuka, tetapi Nur Illyana membuat keputusan sebaliknya.

"Seronok apabila bekerja dengan ahli keluarga sendiri. Skop tugas saya adalah menggaul bahan-bahan untuk membuat wepang dan membakarnya mengikut suhu yang ditetapkan. Tambahan pula, apabila menggunakan oven baharu yang lebih besar dan mudah diselenggara.

"Waktu mula-mula dulu, memang selalu wepang yang dibakar hangus dan tidak dimasak sempurna. Tetapi lama-kelamaan perkara ini boleh dielakkan," tutur Nur Illyana sambil menyatakan wepang perlu dibakar pada suhu 180 darjah Celcius selama kira-kira 12 minit.

Menggunakan badam sebagai bahan utama iaitu sebanyak 90 peratus, diikuti biji kuaci, bijan hitam dan campuran gula, wepang Manja's Kitchen semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Perkara ini diakui Mohd. Nazim Mohamad, 34, yang merupakan antara pelanggan setia produk wepang Manja's Kitchen sejak kali pertama menikmatinya di rumah ibu mertua di Setapak.

"Boleh dikatakan kali pertama merasai wepang tersebut, hati saya sudah tertawan. Apatah lagi kandungannya terdiri daripada badam yang berkhasiat untuk meningkatkan daya ingatan dan memberi tenaga.

WALAUPUN mempunyai diploma dalam bidang pastri, Nur Illyana memilih untuk bekerja dengan kakaknya melalui jenama Manja's Kitchen.


"Kini, setiap minggu saya dan isteri pasti akan memesan 10 balang wepang untuk dijual kepada rakan-rakan sepejabat. Tidak ketinggalan, ia turut dijadikan kudapan harian di rumah atau untuk menjamu tetamu," kata Nazim, seorang ahli perniagaan dalam bidang minyak dan gas yang kini bergelar ejen jualan wepang Manja's Kitchen.

Sementara itu, individu yang mengusahakan bisnes produk serupa atau dikenali sebagai wepang secara kecil-kecilan, Nurul Izza Rosly, 32, berkongsi pengalaman mengenai populariti produk tersebut.

Menurutnya, rutin membuat wepang dilakukan secara sepenuh masa sejak berhenti kerja pada November tahun lalu.

"Saya mula cuba membuat produk ini pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu dan ternyata ramai pula yang menggemarinya. Sekarang setiap hari memang ada tempahan untuk membeli wepang.

"Walaupun penat kerana saya menyiapkan tempahan seorang diri, tetapi kepuasan itu akan terasa apabila berjaya melakukannya dan menerima pujian daripada pelanggan," ungkap Nurul Izza.

Pameran inovasi tarik minat belia

Posted:

Pameran inovasi tarik minat belia

Pameran inovasi tarik minat belia

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


FASILITATOR dari Universiti Putra Malaysia membuat demonstrasi menguji kepantasan semasa latihan badminton.


SEGEROMBOLAN demi segerombolan pelajar menjelajah setiap ruang pameran untuk menyaksikan produk-produk inovasi di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2014. Acara tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 20 Februari lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sebanyak 100 ruang pameran dibuka oleh pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah dengan memaparkan produk inovasi masing-masing.

Majlis anjuran Persatuan Penyelidik Sains Malaysia (MARS) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah.

Acara tersebut bertujuan memberi ruang kepada pencipta inovasi baharu dan pengunjung bertukar pendapat sesama mereka.

Seorang pengunjung yang merupakan pelajar semester dua di Maktab Rendah Sains Malaysia Taiping, Perak, Kursiah Ahmad Sani, 16, berkata, dia amat tertarik dengan rekaan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Mereka telah mencipta sejenis alat yang berfungsi seperti pendingin hawa. Alat ini akan menyejat udara panas melalui molekul sejuk yang ada pada pad basah dan melepaskan haba berlebihan ke udara.

"Produk ini bersifat mesra alam kerana tidak melepaskan gas klorofluorokarbon yang menipiskan lapisan ozon. Selain itu, penggunaan elektrik lebih rendah," jelasnya yang datang bersama rombongan sekolahnya.

Membantu

Tambahnya, idea yang dicetuskan oleh pelajar SMJK Jit Sin itu mungkin dapat membantunya dalam tugasan penggayaan produk sekolah.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Azlan Shah, Siti Fazlina Isnin, 42, memberitahu, pameran anjuran kali ke-14 itu membantu membina kecerdasan minda pelajar.

"Pameran seperti ini dapat memberi pendedahan kepada para pengunjung, terutama pelajar sekolah untuk menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan reka cipta produk terbaharu.

"Pengunjung bukan sahaja dapat memegang dan melihat rekaan, malah turut diberi penjelasan oleh fasilitator," jelasnya yang datang dari Tanjung Malim, Perak.


SEKUMPULAN pelajar mendengar penerangan fasilitator tentang basikal lipat menggunakan lapisan buluh.


Pengunjung

Acara berkenaan turut mengumpulkan seramai 700 pereka tempatan dan antarabangsa yang membawa bersama produk, rekaan dan idea untuk dikomersialkan sekali gus berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Antara yang menjadi input utama perbincangan di rata-rata ruang pameran berkenaan ialah reputasi, cara mewujudkan kesedaran jenama, mengkomersial produk-produk baharu untuk pasaran global dan kerjasama sektor swasta serta awam bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Bagi siswi Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Siti Nur Shafina Shawalludin, 22, pameran inovasi yang dibuat tidak hanya terhad kepada rekaan kepelbagaian penggunaan, tetapi juga mengambil kira nilai estetika seni di Malaysia.

"Saya amat tertarik dengan kerusi kaedah pasak rekaan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin yang menggunakan bakul anyaman rotan untuk dijadikan tempat duduk.

"Kita banyak melihat rekaan dalam rumah menggunakan kaedah pasak.

"Saya yakin produk ini mampu menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya yang merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda seni seramik.

Dalam pada itu, sebagai dorongan kepada penciptaan produk baharu negara, MARS turut memberikan Anugerah Inovasi Belia dan Ekspo 2014 untuk 23 jenis kategori meliputi semua jenis produk penggunaan harian.

Moga bertemu di Firdaus

Posted:

Moga bertemu di Firdaus

Moga bertemu di Firdaus


KEHIDUPAN infiniti di syurga yang tiada tandingannya harus menjadi matlamat setiap individu yang beragama Islam. - Gambar hiasan


MEREKA yang damai hatinya merupakan ahli syurga. Sepanjang 24 minggu lalu, secara tersurat dan tersirat, saya telah berbicara dengan khalayak pembaca Kosmo! berkisar dengan keperluan menyiapkan diri menghadapi kehidupan abadi.

Selama mana manusia diberi nyawa, mereka pasti akan berhadapan dengan kematian. Ia sesuatu yang pasti. Malah sudah dinyatakan betapa kematian manusia akan diikuti dengan kehidupan di alam kubur, Padang Mahsyar dan seterusnya memasuki syurga yang kekal selama-lamanya.

Ia kehidupan infiniti di syurga. Tiada apa yang perlu difikirkan. Masya-Allah... Subhanallah... Allahu Akbar... Itulah nikmat terbesar anugerah Allah SWT yang perlu dikejar oleh seluruh umat manusia yang pintar, bijaksana dan waras fikirannya.

Hanya mereka yang tidak berakal akan menolak untuk memiliki nikmat terbesar ini. Kami berdoa agar nikmat ini diperoleh melalui satu nikmat yang lain iaitu mendapat rahmat-Nya memasuki syurga tanpa dihisab.

Lalu kita turunkan sejenak nikmat yang sudah, sedang dan akan dianugerah Allah SWT di dunia. Secara relatifnya, nikmat ini terlalu sedikit berbanding nikmat syurga yang kekal abadi. Namun, ramai manusia terjebak dengan nikmat dunia ini sehingga melupai terus nikmat berbaki yang nilai faedahnya lebih tinggi. Allah SWT berfirman melalui ayat 20, surah al-Ahqaaf yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik."

Keredaan Allah

Berdasarkan statistik pada tahun 2010, lebih kurang 80 peratus manusia bukan Muslim sedang menikmati dan menghabiskan nikmat dunia. Malah, tanpa mereka sedari api neraka sedang menanti apabila tiba hari penghakiman nanti. Hanya sekitar 20 peratus yang mempercayai wujudnya Allah SWT dan mengaku Nabi Muhammad SAW itu pesuruh-Nya.

Hakikatnya, itulah nikmat di dunia terbesar dianugerahkan Allah SWT kepada minoriti penduduk dunia pada ketika ini. Nikmat mengenal Allah SWT. Mereka ini saya fikir, tidak sepatutnya berada dalam keadaan menduakan Allah SWT yang menyebabkan kaum Muslim berada di dalam kategori yang sama dengan kumpulan 80 peratus tersebut yang secara terang-terangan kufur ingkar kepada-Nya.


UMAT Islam perlu sedar bahawa segala kesenangan hidup di dunia ini hanya sementara berbanding kehidupan abadi di akhirat kelak. - Gambar hiasan


Bukankah mereka yang syirik dan menduakan Allah serta tidak memohon keampunan-Nya sebelum meninggal dunia tidak berbau syurga?

Allah SWT telah berfirman melalui surah Az-Zumar ayat 53-54 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah bulat-bulat kepada-Nya sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan."

Masya-Allah... Subhanallah... Allahu Akbar... Nikmat beragama Islam merupakan nikmat paling ulung buat manusia. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedarinya kerana ia merupakan anugerah keturunan.

Ibu bapa Islam maka anak-anaknya turut menganut agama Islam secara semula jadi. Jika ibu bapa Islam mendidik anak-anak mereka menjadi Majusi dan Nasrani maka akhirnya, Islam hanya sebagai satu agama sembahan yang tidak dibawa dalam kehidupan seharian.

Itulah kufur nikmat terbesar kerana enggan atau tidak mahu menerima Islam sebagai agama yang perlu dihayati sepenuhnya walaupun sudah mempunyai pengetahuan jelas tentang kebenaran dan kepalsuan agama lain di dunia. Allah SWT berfirman melalui ayat 34, surah Ibrahim yang bermaksud:

"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya."

Bersyukur

Sebanyak 80 peratus sudah memilih untuk menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya manakala bakinya mengaku kebenaran yang hakiki. Bagaimanapun, dalam kalangan mereka masih terdapat yang tidak bersyukur kepada-Nya. Istilah bersyukur inilah yang perlu diamati dengan teliti agar mereka tidak akan kerugian apabila tiba pada hari penghakiman nanti.

Sungguh, kita tahu menutup aurat itu wajib tetapi kita masih mahu bergaya cara kita. Benar, kita tahu betapa rasuah itu merupakan perbuatan yang sangat keji tetapi kerana terpesona dengan keseronokan dunia kita sanggup menjual agama dan diri. Kita tahu dan kita engkar. Kita tahu dan kita degil.

Alhamdulillah, saya sudah menyempurnakan janji untuk berbicara selama enam bulan dengan khalayak Kosmo!. Minggu ini adalah minggu terakhir. Lalu saya mohon keampunan jika ada tersalah dan tersilap ketika menyampaikan pandangan dan pendapat.

Insya-Allah kita bertemu di Firdaus.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved