Jumaat, 7 Mac 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Satu enjin untuk dua model

Posted:

Satu enjin untuk dua model

Satu enjin untuk dua model

Oleh SHAWKATH AZDE

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, rata-rata pengeluar motosikal berkuasa tinggi di serata dunia lebih cenderung ke arah memperkenalkan jentera kelas pertengahan dengan kapasiti enjin lebih besar. Malah ada yang beranggapan itulah trend yang harus diikuti untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran semasa.

Apa yang menariknya, Honda mengambil jalan berlainan untuk mengetengahkan tawaran produknya. Pengeluar motosikal nombor satu dunia itu menawarkan satu pakej yang lebih bersesuaian dengan keadaan semasa pasaran motosikal global.

Honda mengatur strategi untuk menawarkan pakej motosikal yang merangkumi gaya, spesifikasi tinggi, mudah digunakan, ada elemen keseronokan tunggangan dan paling penting motosikal Honda berbaloi dengan wang yang dibelanjakan para pengguna.

Langkah Honda itu bermula dengan pengenalan siri CB 500 dua tahun lalu dan produksi motosikal siri itu dilaksanakan di Thailand. Momentum tawaran pakej realistik itu diteruskan pada tahun ini dengan tindakan memperkenalkan dua model baharu iaitu CB650F dan CBR650F.

Motosikal dalam kelas 650cc itu dihasilkan menerusi fasiliti pengeluaran negara gajah putih itu mengaplikasi konfigurasi enjin empat silinder sebaris yang meneruskan warisan konsep susun atur keluarga CB sejak tahun 1969.

Model CB650F dan CBR650F membuat debut sewaktu Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali tahun lalu. Secara umumnya, kedua-dua model itu tidak jauh berbeza tetapi ditumpukan kepada dua segmen berlainan iaitu sports dan naked.


INSTRUMEN meter terbahagi kepada dua skrin memaparkan maklumat tunggangan semasa.


Honda CB650F

Tindakan itu bukan satu perkara luar biasa. Honda sebenarnya pernah melakukan perkara sama apabila memperkenalkan siri CB 500. Ketiga-tiga model CB 500 berkongsi enjin sama dan komponen binaan. Begitu juga dengan segmen 250cc (CBR250R dan CRF 250), satu enjin untuk semua.

Honda CB650F 2014 bukannya satu produk naik taraf atau berkongsi sebarang komponen dengan CB600F Hornet. Konsep binaan CB650F adalah untuk memudahkan penunggang menyesuaikan diri dengan motosikal itu tanpa mengorbankan aspek prestasi, gaya dan identiti.

Pengurus Projek Honda CB650F, Teishiro Goto berkata, CB650F memberi kepuasan apabila menyusuri laluan berselekoh dan amat baik untuk kegunaan dalam bandar tanpa mengorbankan elemen gaya hidup. Sasarannya lebih tertumpu kepada pelangan baharu.

Enjin yang digunakan itu merupakan unit baharu empat silinder sebaris DOHC bersesaran 649cc yang memberikan kuasa secukupnya pada julat pusingan enjin peringkat rendah sehingga sederhana.

Rangkaian kuasa itu dibangunkan oleh sepasukan jurutera muda dalam lingkungan 20-an untuk membolehkan produk itu menepati selera dan keperluan golongan muda. Keputusan diambil bukan tertumpu pada kuasa puncak pada pusingan enjin tinggi tetapi kekuatan kuasa pecutan dan respons kuasa aktif bawah paras 4,000RPM.

Susun atur enjin yang sengaja ditempatkan di bahagian hadapan casis bertujuan untuk merealisasikan agihan berat yang lebih ideal pada motosikal itu. Ketegaran kerangka keluli dan lengan ayun aluminium turut diselaraskan untuk menawarkan keseimbangan ketika menunggang.

Pasukan jurutera itu juga memadankan fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal boleh laras pada bahagian belakang bagi menyokong keseimbangan dan membolehkan kerangka motosikal menjadi lebih dinamik dalam semua situasi tunggangan.

Honda CB650F mempamerkan sifat maskulin hasil solekan komponen plastik agresif pada bahagian hadapan dan belakang serta memadankan bahagian tengah dengan tangki minyak yang bersaiz kompak.

Postur tunggang yang menegak serta sedikit mendada ke hadapan bertujuan menempatkan posisi kedudukan penunggang berhampiran titik graviti motosikal. Untuk memudahkan kaki penunggang memijak bumi, kadar ketinggian pelana ditetapkan setinggi 810 milimeter (mm).


HONDA CB650F lebih sesuai untuk kegunaan dalam kawasan bandar.


Honda CBR650F

Seperti kebanyakan model bersesaran tinggi Honda, minyak petrol disampaikan ke kebuk pembakaran kedua-dua model baharu ini menerusi sistem suntikan bahan api terancang Honda (PGM-FI) dan setiap liter petrol boleh mencapai jarak 21 kilometer (km). Secara purata, satu tangki menyamai jarak tunggangan sejauh 350km.

Maklumat tunggangan dipamerkan menerusi dua skrin pada instrumen meter. Skrin bahagian kiri ialah meter RPM dan meter laju. Skrin bahagian kanan pula membekalkan semua informasi semasa tunggangan termasuk lampu amaran.

Kelebihan CBR650F terletak pada komponen set fairing penuh bahagian hadapan yang memberi perlindungan apabila ada tamparan angin sekali gus meningkatkan soal keselesaan tunggangan bagi jarak jauh.

Posisi tunggangan lebih mendada ke hadapan berbanding CB650F dan postur itu membuatkan penunggang tampak lebih agresif.

Sistem suspensi nampak sama namun ada beberapa laman web permotoran antarabangsa yang mengatakan respons rendamannya penyerap hentak belakang lebih keras untuk menjayakan tunggangan sport.

Kemungkinan besar siri CB 650 itu bakal ditawarkan ke pasaran tempatan oleh Boon Siew Honda menjelang akhir tahun ini. Sama ada benar atau tidak, nantikan sahaja pengumuman terkini daripada pengedar dan pemasang motosikal jenama Honda di Malaysia.

Badan Itali, enjin Jepun

Posted:

Badan Itali, enjin Jepun

Badan Itali, enjin Jepun

Oleh FARID AWALUDIN


BAHAGIAN luaran dipelihara keasliannya tanpa penggunaan kit badan.


KEBANYAKAN anak muda pasti ada impian untuk memiliki sebuah kereta berprestasi tinggi namun disebabkan faktor harga, ramai yang memendam rasa.

Penyelesaian terbaik bagi merealisasikan impian memandu sebuah kereta berprestasi tinggi ialah kreativiti dan usaha. Itulah yang dilakukan oleh Mohd. Nazim Mohd. Isa yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Dia menjayakan impiannya untuk merasai pemanduan sebuah Nissan Silvia dengan melakukan modifikasi yang boleh dikategorikan sebagai radikal pada model Fiat 131 SuperMirafiori miliknya.

Sebenarnya, pengguna di Malaysia agak beruntung kerana terdapat banyak kedai halfcut yang menjual pelbagai barangan Nissan Silvia dengan harga yang agak berpatutan.

Mohd. Nazim memulakan proses modifikasi pada model Fiat 131 dengan menggantikan enjin asal dengan seunit enjin SR20DET yang diperoleh daripada sebuah halfcut Nissan Silvia S13. Enjin Silvia itu berupaya meledakkan kuasa lebih daripada 200PS.

Misi itu bukanlah satu masalah besar memandangkan susun atur enjin Silvia dan Fiat 131 ada persamaan. Cuma cagak enjin pada anggota silang (cross member) asal dan cagak kotak gear perlu diubah suai untuk menempatkan rangkaian kuasa Silvia pada kerangka Fiat 131.

Enjin SR20DET diberi beberapa pengubahsuaian untuk mengekstrak kuasa tambahan mengikut selera pemiliknya. Langkah pertama ialah menggantikan turbin asal kepada turbin AR70 bersama padanan wastegate berukuran 38 milimeter (mm).

Enjin yang menghasilkan lebihan boost ditolak keluar melalui injap blow off jenama Blitz. Selain itu, sistem ekzos Fiat 131 ditingkatkan dengan aplikasi pemasangan paip tahan karat berukuran 2.5 inci yang bersambung dengan peredam bunyi Trial Tuning Spirit.


PAPAN pemuka Nissan Silvia digunakan untuk memudahkan kerja-kerja pendawaian selain kelihatan lebih kemas.


Bagi bahagian sistem suspensi dan brek, pemiliknya menyalin terus kedua-dua sistem asal dengan menggunakan komponen daripada model Silvia. Malah keseluruhan knuckle, cakera dan angkup brek empat pot datangnya daripada model Silvia S13.

Penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dari Mines untuk kegunaan Silvia S13 turut dipadankan pada bahagian hadapan jentera. Sebagai padanan, Mohd. Nazim memasang suspensi jenis bebas (independent rear suspension-IRS) dari Nissan Skyline R31 bersama gandar pada bahagian belakang dan sistem breknya.

Set suspensi Mines dilaras serendah mungkin untuk menyorokkan rim BBS RS dan tayar berukuran 195/50/R16 ke dalam bahagian arca roda kereta itu. Tindakan itu menjadikan Fiat 131 cukup mempersonakan biarpun pada keadaan pegun.

Untuk memudahkan kerja-kerja pendawaian, papan pemuka asal Fiat digantikan dengan papan pemuka Silvia S13 yang lengkap dengan instrumen meter. Turut kelihatan pada papan pemuka itu ialah meter boost turbo HKS dan Rev Speed Meter dari Apex'i.

Bahagian lain dalam ruangan kabin dikekalkan kecuali tempat duduk pemandu yang ditukarkan kepada jenis perlumbaan dari Bride. Tali pinggang keselamatan jenis empat poin Sparco digunakan bagi meningkatkan aspek keselamatan untuk pemandu.

Setelah sudah dengan modifikasi mekanikal, proses restorasi pada keseluruhan badan kereta dijalankan untuk membuang segala kesan karat. Pemilik berjaya mengekalkan gaya klasik tanpa pengenaan kit badan berlebihan. Akhir sekali, keseluruhan badan kereta itu diberikan semburan warna rasmi kereta lumba jenama Itali iaitu Rosso Red atau lebih popular dengan nama merah Ferrari.

DRB-Hicom Autofest 2014 pamer 11 jenama automotif

Posted:

DRB-Hicom Autofest 2014 pamer 11 jenama automotif

DRB-Hicom Autofest 2014 pamer 11 jenama automotif

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


PELBAGAI pameran yang diadakan membuatkan pengunjung dapat melihat kenderaan pilihan mereka dari dekat.


KARNIVAL DRB-HICOM Autofest 2014 yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks EON, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini merah dengan pelbagai tawaran dan kehadiran orang ramai.

Program anjuran DRB-Hicom Bhd. buat kali ketiga itu disertai jenama Proton, Lotus, Audi, Volkswagen, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, Modenas, Can-Am Spyder dan Tata.

Padat dengan aktiviti seperti persembahan stunt EMOS, konvoi dari kelab Swifters, Proton, Spyder Club KL, Triton dan persembahan kereta modifikasi.

Antara tarikan pada karnival yang berlangsung minggu lalu itu, pengunjung berpeluang untuk memandu uji kereta sport Lotus. Selain itu, pengunjung juga dapat merasai pengalaman menaiki Lotus dengan hanya membayar RM30.

Apa yang menariknya pada kali ini DRB-Hicom menawarkan hadiah cabutan bertuah sebuah Proton Saga SV untuk pengunjung bertuah.

Pengunjung yang bertuah, Md. Musa Hamzah menerima hadiah proton Saga SV berkenaan daripada Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom , Datuk Mohamed Razeek.

Selain itu, tiga buah motosikal Modenas juga turut dijadikan hadiah cabutan bertuah di samping hadiah-hadiah lain.

Para pengunjung juga dapat menyaksikan aksi lagak ngeri daripada pasukan Modenas, pameran daripada Mitsubishi Triton serta kempen perkhidmatan servis motosikal.

Tawaran menarik tidak terhad kepada produk kenderaan malah perkhidmatan berkaitan automotif seperti pembiayaan dan pajakan turut ditawarkan.

Orang ramai yang berkunjung ke karnival itu juga boleh mengambil peluang untuk mendapatkan diskaun istimewa daripada MASA yang merupakan perkhidmatan roadside auto assist 24 jam.

Di samping itu juga perkhidmatan DRB-Hicom Leasing (Mylease) turut menawarkan perkhidmatan pajakan kereta secara menyeluruh.

Pada karnival itu, pameran sektor bukan automotif dalam kumpulan DRB-Hicom seperti Bank Muamalat, Glenmarie Properties, ICAm dan Puspakom turut diadakan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved