Jumaat, 21 Mac 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


MINI semakin premium

Posted:

MINI semakin premium

MINI semakin premium

Oleh SHAWKATH AZDE dan HAIKAL RAMAN
garaj@kosmo.com.my

SELEPAS mendapat hak pemilikan jenama MINI pada tahun 1994, BMW AG melakukan transformasi total pada model ikonik jenama Britain itu. MINI kini berwajah moden, segar, sarat dengan teknologi dan saiznya lebih besar. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan itu ciri-ciri yang ada pada sesebuah kereta BMW.

Tindakan itu mencetuskan dua reaksi berbeza dalam kalangan peminat MINI di serata dunia. Bagi para pemilik MINI generasi lama, mereka nyata kecewa dengan tindakan BMW AG. Ada juga peminat yang tidak mahu mengiktiraf model MINI generasi baharu keluaran syarikat Jerman itu sebagai sebuah MINI.

Bagi golongan itu, pembangunan MINI baharu sudah menyimpang daripada idea asal pencipta kereta itu iaitu Alec Issigonis. MINI mula diperkenalkan pada era pasca-Perang Dunia Kedua sebagai sebuah kereta bajet yang bersaiz kecil, mampu milik, kos rendah dan untuk orang ramai.

Reaksi kedua memenuhi keperluan kelompok pengguna urban yang mahu sebuah kereta bersama pakej pemanduan menyeronokkan, gaya hidup dan menitikberatkan gaya fesyen. Permintaan itu berjaya dipenuhi oleh BMW AG dengan tawaran kereta kompak premium MINI generasi baharu.

Sepanjang pemilikan MINI sejak 20 tahun lalu, BMW AG berjaya memperkenalkan tiga generasi MINI baharu ke persada antarabangsa. Di pasaran tempatan, tugas membawa masuk dan memasang rangkaian produk MINI dipertanggungjawabkan kepada BMW Group Malaysia (BMW Malaysia).


MODEL Cooper S tampak lebih sporty hasil padanan bampar dan bolong kemasukan udara di bahagian bawah gril.


Baru-baru ini, BMW Malaysia melalui entiti di bawahnya iaitu MINI Malaysia membawa masuk dua model MINI generasi ketiga iaitu Cooper dan Cooper S.

Kenderaan generasi baharu itu didakwa telah melepasi fasa pembaharuan pada aspek keseronokan pemanduan, kualiti, teknologi termaju dan gaya baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils memberitahu, model generasi ketiga itu bukan kenderaan naik taraf tetapi sebuah kereta baharu yang bakal menetapkan melonjakkan penanda aras dalam segmen kereta premium kompak.

Tiga mod pemanduan

Katanya, MINI generasi ketiga didatangkan dengan enjin baharu cekap penggunaan bahan api sekali gus mengurangkan pembebasan karbon. MINI Cooper menggunakan enjin petrol tiga silinder berkapasiti 1.5 liter manakala Cooper S diberi padanan enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter.


MINI generasi ketiga menawarkan keluasan ruang simpanan kargo yang lebih luas untuk kelegaan pemiliknya.


Kedua-dua unit enjin itu diadun bersama teknologi pengecas turbo, sistem pancutan terus bahan api dan kawalan aci sesondol. Semuanya boleh diubah pada bahagian pengambilan masuk udara dan bahan api serta bahagian ekzos. Transmisi yang digunakan ialah enam kelajuan automatik.

Teknologi baharu itu didakwa mampu membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 27 peratus jika dibandingkan generasi sebelumnya. Pengguna turut ditawarkan tiga mod pemanduan iaitu MID, Sport dan Green yang boleh ditetapkan menerusi tombol boleh laras di bahagian tuil gear.

Mod Green sesuai untuk pemanduan santai manakala Sport pula untuk pemanduan lebih agresif. Pilihan tetapan MID menggabungkan kedua-dua mod Sport Green dan Sport.

Bagi merealisasikan pemanduan ala go-kart, pasukan arkitek MINI melakukan kiraan matematik untuk mengimbangi binaan saiz kenderaan yang besar tanpa menjejaskan kualiti pemanduan go-kart warisan MINI sebelum ini.

Saiz lebih besar

Jika dibandingkan dengan model generasi kedua, dimensi saiz MINI baharu kini lebih panjang sebanyak 98 milimeter (mm), 44mm lebih lebar dan 7mm lebih tinggi.

SKRIN paparan berwarna untuk sistem sambungan dan audio ditempatkan pada bahagian tengah papan pemuka.


Pembesaran MINI juga menyumbang kepada aspek peningkatan keselesaan pemandu dan penumpang bahagian hadapan apabila ruang tambahan kelegaan kaki ditingkatkan sebanyak 23mm. Volum simpanan barang dalam but MINI turut ditingkatkan kepada 211 liter.

Reka bentuk bahagian luaran model Cooper tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya. Malah ia bukannya menambat perhatian biarpun ada komponen yang sudah diperhalusi seperti garis badan, sil bahagian tepi dan pelindung roda.

Melangkah masuk ke dalam kabin, ada beberapa perubahan yang dilakukan benar-benar logikal. Instrumen meter dikembalikan kedudukannya pada bahagian hadapan stereng.

Sebelum ini, meter itu dipasang pada bahagian konsol tengah. Bolong udara kini berbentuk segi empat dan bukannya bulat seperti generasi kedua. Pembaharuan yang lain ialah suis pembuka tingkap kini dipasang pada bahagian pintu.

Bagi model Cooper S, perbezaannya melibatkan penggunaan lampu LED pada lampu utama dan padanan lampu DRL LED. Ia nampak sedikit sporty hasil gayaan gril radiator, warna bampar dan paip ekzos yang dipasang pada bahagian tengah di bawah bampar belakang. Tambahan lain ialah fungsi enjin automatik start/stop dan sistem kemasukan tanpa kunci.

Cooper dan Cooper S ditawarkan dalam warna oren, kelabu, merah, biru dan kelabu. Warna bumbung kereta, perumah cermin sisi dan jalur atas bonet ditawarkan dalam pilihan warna putih atau hitam.

Nissan Juke 2014

Posted:

Nissan Juke 2014

Nissan Juke 2014

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
garaj@kosmo.com.my



DI Geneva, Switzerland baru-baru ini, Nissan memperkenalkan Nissan Juke dengan wajah baharu selepas hampir tiga tahun berada di pasaran global. Model unik itu membuka lembaran baharu dalam segmen crossover kompak.

Nissan Juke disifatkan sebagai sebuah jentera segar dalam kelasnya dan mencetuskan saingan langsung kepada beberapa model taruhan baharu seperti Ford EcoSport dan Honda Vezel.

Biarpun Juke menyimpang jauh daripada rekaan konvensional, ia tetap mencatatkan prestasi yang agak impresif. Rekod jualan terkumpul dalam tempoh 40 bulan ialah 420,000 unit. Statistik jualan 2013 ialah 135,000 unit di peringkat antarabangsa.

Semakin menyerlah

Juke dengan reka bentuk menyerlah diberi pengemaskinian semula dengan perubahan estetik pada beberapa bahagian. Perubahan paling ketara ialah aplikasi enjin baharu. Wajah hadapan menerima solekan baharu dengan mereka semula lampu atas dan diadun bersama lampu DRL LED bi-intensity. Lampu utama pula dipasang penutup kanta baharu bersama mentol jenis Xenon.


SET lampu belakang mempamerkan rekaan luar biasa dan cukup menarik jika dibandingkan dengan model sebelumnya.


Rekaan jeriji turut mendapat perhatian pengeluar dari Jepun itu apabila memadankan signatur korporat baharu Nissan pada komponen berkenaan. Kelongsong cermin sisi dipasangkan lampu signal LED yang selari dengan trend semasa. Tidak cukup dengan itu, perumah itu dilengkapi kamera untuk sistem Around View Monitor.

Bampar belakang tampak lebih agresif hasil padanan lampu berbentuk boomerang dengan teknologi LED light guide technology agar Juke tampil lebih menyerlah pada waktu malam. Sebagai pilihan buat pelanggan, Juke didatangkan dengan tiga pilihan rim bersaiz 16 inci untuk model asas dan 17 atau 18 inci untuk varian premium.

Tiga pilihan enjin

Bagi menjadikannya lebih praktikal, but kereta itu diubah untuk membolehkan kapasiti ruang simpanan barang ditingkatkan kepada 354 liter atau 40 peratus lebih luas berbanding model sebelumnya. Kerusi belakang Juke boleh direbahkan dan ruang bagasi kini terbahagi kepada dua aras untuk simpanan barang.

Terdapat tiga pilihan enjin iaitu dua unit enjin petrol dan satu enjin diesel. Enjin petrol 1.2 liter DIG-T menggunakan teknologi pancitan terus dan pengecas turbo yang canggih berkuasa 115PS dengan tork 190Nm.


BUMBUNG Juke boleh dibuka bagi menikmati udara segar ketika memandu di kawsan luar bandar.


Walaupun enjin 1.2 liter kedengaran seperti tidak bermaya namun prestasinya menyamai output enjin 1.6 liter. Enjin 1.2 liter DIG-T lebih ringan dan lebih ekonomikal dengan beberapa teknologi mesra alam seperti Automatic Stop/Start. Prestasi penggunaan minyak yang direkodkan secara rasmi ialah 5.5 liter setiap 100 kilometer.

Enjin 1.6 DIG-T pula ditambah baik untuk meledakkan kuasa tork pada pusingan enjin rendah di bawah paras 2,000rpm. Antara ciri-ciri baharu enjin itu ialah nisbah kebuk pembakaran lebih tinggi iaitu 9.5. Tambahan lain ialah teknologi kurang geseran dan cooled Exhaust Gas Recirculation.

Untuk transmisi pula, selain pilihan enam gear manual, Juke 1.6 DIG-T 4WD turut ditawarkan dengan transmisi baharu Xtronic yang lebih jimat bahan api dan lebih kuasa pecutan. Untuk kemudahan pemandu, ada tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Sport dan Eco.

Nissan Juke sememangnya crossover yang menarik sudah ada ditawarkan di negara jiran seperti Indonesia. Jika ada yang berminat, tidak perlu risau kerana sudah ada peniaga kereta import membawa masuk model ini ke pasaran tempatan.

Nissan Skyline R33 GT-S

Posted:

Nissan Skyline R33 GT-S

Nissan Skyline R33 GT-S

Oleh FARID AWALUDIN
garaj@kosmo.com.my


HUD asal hadapan digantikan kepada jenis gentian karbon.


INDUSTRI automotif di Jepun mula bangkit secara drastik selepas perang dunia kedua berakhir. Walaupun pernah dikutuk kereta sebagai tin biskut di Amerika Syarikat, industri automotif Jepun akhirnya diterima dunia. Resipi automobil keluaran negara matahari terbit mudah, kualiti, kualiti dan kualiti.

Namun ada satu lagi faktor yang mendorong kebangkitan landskap automotif Jepun sehingga menjadi tumpuan dunia. Ia mampu menghasilkan kereta sports pada harga rendah tetapi boleh ditala dan menandingi jentera berprestasi tinggi keluaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Antara syarikat Jepun yang dimaksudkan ialah Mitsubishi. Syarikat itu berjaya mengeluarkan model Lancer Evolution dengan enjin turbo 2.0L bersama sistem pacuan empat roda (4WD).

Jika bajet tidak mencukupi untuk melamar sebuah Evo, anda masih ada pilihan lain yang turut menelan belanja besar seperti Lancer 1.8 GSR yang dilengkapi komponen berprestasi seperti Evo. Bezanya hanya melibatkan saiz sesaran enjin.


KIT badan lengkap GT-R disarung pada model R33.


Kolum modifikasi kali ini memaparkan jentera Nissan Skyline R33 GT-S milik Hafis Hazam yang berasal dari Johor Bahru, Johor. R33 bukannya salah sebuah model daripada varian GT-R. Ia sebenarnya sebuah Skyline versi mampu milik.

Biarpun kereta ini tidak sehebat model GT-R, jangan memandang prestasinya sebelah mata kerana R33 masih berada dalam liga kereta berprestasi tinggi.

Mitsubishi R33 GT-S standard didatangkan bersama enjin RB25DET mampu menjana kuasa kuda setinggi 250PS dengan bantuan sistem pengecas turbo. Biarpun begitu, enjin varian GT-S hanya memacu kedua-dua roda belakang.

Berbekalkan minat mendalam terhadap model GT-R, Hafis memulakan langkah melaksanakan aktiviti modifikasi pada kereta itu agar tampak hampir sama seperti spesifikasi model GT-R.

Sedikit sentuhan dilakukan pada bahagian enjin agar ia mampu meledakkan kuasa tambahan sepertimana yang dikehendaki pemiliknya. Perkara pertama dilakukan ialah menggantikan unit intercooler sedia ada kepada model daripada varian GT-R untuk meningkatkan aliran udara masuk bagi merealisasikan kadar pembakaran dalam yang lebih kuatdalam kebuk pembakaran.


SISTEM intercooler berkapasiti besar digunakan untuk menjayakan saluran udara yang lebih tinggi ke dalam enjin.


Sebuah fuel regulator dari Sard dipasang pada sistem penyampaian bahan api untuk meningkatkan aliran minyak petrol ke dalam enjin. Paip ekzos asal telah digantikan dengan paip jenis tahan karat berukuran 3.8 inci sebelum diakhiri dengan peredam bunyi jenama HKS Dragger.

Sesudah menjayakan penggantian komponen asal, pemiliknya memasang seunit komputer piggy-back Greddy E-Manage pada ECU enjin asal untuk membolehkan enjin itu ditala untuk peningkatan kuasa yang lebih berprestasi.

Bagi mengimbangi kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan, sistem suspensi asal digantikan dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada jenama Tien. Kebanyakan penggemar kereta Jepun lebih mempercayai jenama Tein ekoran respons yang dihasilkan menepati keperluan pemanduan harian mahupun di litar lumba.

Melangkah masuk ke dalam bahagian kabin, perkara pertama yang jelas terpapar ialah tempat duduk hadapan R33 GT-R. Untuk memantau ledakan boost, Hafis mengambil inisiatif memasang sebuah meter bacaan boost Greddy untuk perkara itu.

Reka bentuk luaran Skyline Hafis tidak jauh bezanya daripada sebuah GT-R. Ia disebabkan pemiliknya menyarungkan satu set bodykit lengkap GT-R edisi terhad Nismo 400R. Komponen dimaksudkan ialah bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang.

Bonet ditanggalkan bagi memberi laluan kepada jenis bonet gentian karbon mirip model R33 GT-R buatan RaceCraft. Hafis juga berkesempatan memperoleh spoiler belakang boleh laras R33 GT-R untuk melengkapkan tranformasi jentera kesayangannya.

Akhir sekali, untuk menjadikannya tampak agresif, Hafis memilih menggunakan rim replika Rays Engineer TE37 bersaiz 18X10jj yang dibaluti tayar Hankook berukuran 245/45/R18 di bahagian hadapan manakala tayar Continental (saiz sama) disarung pada roda belakang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved