Sabtu, 15 Mac 2014

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


MH370 kini mungkin di Kazakhstan

Posted:

MH370 kini mungkin di Kazakhstan

MH370 kini mungkin di Kazakhstan

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

NAJIB (tengah) mengadakan sidang akhbar khas mengenai perkembangan terbaru MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang semalam.


SEPANG - Siasatan pihak berkuasa berhubung kehilangan pesawat MH370 pada hari kelapan semalam memasuki fasa baharu apabila kapal terbang milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu disahkan telah berpatah balik menuju sama ada ke Kazakhstan atau Lautan Hindi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komunikasi terakhir yang diperoleh daripada pesawat itu ialah pada pukul 8.11 pagi 8 Mac lalu selepas data enjin dikesan hilang daripada radar pada pukul 1.07 pagi.

Katanya, berdasarkan kiraan itu, kapal terbang tersebut mampu terbang hingga ke dua tempat bergantung kepada arah yang diambil sama ada Kazakhstan atau Lautan Hindi.

"Siasatan lanjut juga mendapati Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) telah dipadamkan sebelum pesawat tersebut tiba di pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Transponder pula dimatikan sebaik pesawat melintasi menara kawalan trafik yang terletak antara sempadan Vietnam dan Malaysia.

"Bermula dari saat itu, radar primari militari telah mengesan satu plot yang dipercayai MH370 telah berpatah balik.

"Ia kemudian menghala ke arah barat laut Semenanjung Malaysia dan ia selari dengan tindakan seseorang di dalam pesawat itu," katanya pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Polis siasat rumah juruterbang pesawat MH370

Posted:

Polis siasat rumah juruterbang pesawat MH370

Polis siasat rumah juruterbang pesawat MH370


KEDIAMAN Semi-D milik Zaharie di Laman Seni, Shah Alam, Selangor dikawal rapi oleh pengawal keselamatan semalam.


SHAH ALAM - Kediaman Semi-D milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah di Laman Seni, Seksyen 13 di sini diserbu polis tidak lama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan siasatan kehilangan pesawat itu menjurus ke arah kru dan penumpangnya.

Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati tiga anggota polis dari Bukit Aman yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna tiba di pekarangan pos pengawal taman perumahan tersebut pada pukul 2.40 petang.

Pengawal keselamatan membenarkan mereka memasuki kawasan tersebut 10 minit kemudian manakala pengamal media tidak dibenarkan masuk.

Anggota polis terbabit berada di dalam rumah Zaharie dipercayai untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai misteri kehilangan pesawat berkenaan.

Mereka berada di rumah juruterbang tersebut hampir dua jam sebelum dilihat keluar. Bagaimanapun tidak diketahui apakah barangan yang dibawa keluar dari banglo berkembar berkenaan.

Zaharie kini menjadi tumpuan selepas Najib pada sidang akhbarnya semalam memaklumkan pergerakan pesawat itu selepas ia hilang daripada radar utama tentera menunjukkan ia telah dilakukan dengan sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu.

Data satelit beri petunjuk baharu

Posted:

Data satelit beri petunjuk baharu

Data satelit beri petunjuk baharu

SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama di sini semalam bagi memaklumkan perkembangan terbaharu siasatan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.

Berikut adalah teks penuh kenyataan akhbar Najib:

Tujuh hari lepas, pesawat Penerbangan Malaysia MH370 disahkan hilang. Kerajaan sedar ini merupakan detik-detik yang sukar buat semua keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan yang mereka tempuhi. Sesungguhnya, harapan dan doa kami sentiasa bersama mereka.

Saya telah mengikuti operasi pencarian yang dijalankan sepanjang masa. Pada peringkat awal operasi, saya telah mengarahkan kawasan pencarian diperluaskan; saya mengarahkan pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi semua maklumat secara telus dengan semua pasukan penyiasat; dan saya meminta rakan-rakan dari negara serantau menyertai operasi mencari. Sehingga saat ini, sebanyak 14 negara, 43 buah kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi mencari. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin luar di atas kerjasama yang diberikan dalam saat-saat yang amat getir ini.

Sejak hari pertama, pihak berkuasa Malaysia telah bekerjasama dengan semua pihak termasuk negara-negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan beberapa pasukan penyelamat dari pelbagai negara. Kebanyakan mereka berada di sini sejak Ahad lepas.

Kami telah berkongsi maklumat terkini dengan pihak berkuasa yang mempunyai kepakaran untuk menganalisis data. Kami telah bekerja tanpa henti untuk membantu siasatan dan kami telah meletakkan kepentingan keselamatan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum ini.

Kami telah menjalankan operasi mencari merangkumi darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.

Pada setiap peringkat kami bertindak mengikut maklumat yang telah disahkan dan mengikut setiap petunjuk. Kadangkala ia tidak membawa apa-apa hasil.

Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami memahami keperluan pihak keluarga dan semua yang memerhati di seluruh dunia untuk memperoleh maklumat terkini. Namun, kami mempunyai tanggungjawab ke atas siasatan dan keluarga untuk memberikan maklumat sahih. Keutamaan kami adalah untuk mencari MH370.

Pada fasa pertama operasi mencari, kami telah mencari berhampiran lokasi terakhir MH370 hilang iaitu di Laut China Selatan. Pada masa yang sama tumpuan kami turut terarah kepada radar utama milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengenal pasti pesawat yang belum dikenal pasti identitinya membuat pusingan. Radar utama menunjukkan pesawat itu menuju ke arah utara Selat Melaka.

Berdasarkan data itu yang turut disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa yang berkaitan, kami telah memperluas kawasan pencarian termasuk di Selat Melaka dan juga Laut Andaman.

Awal pagi ini, saya telah diberi taklimat oleh pasukan penyiasat termasuk FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan), NTSB (Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan) dan AAIB (Cabang Siasatan Kemalangan Udara), pihak berkuasa Malaysia dan Pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) mengenai maklumat terbaharu yang memberi petunjuk seterusnya apa yang berlaku ke atas MH370.

Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami percaya Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) telah dimatikan sebelum pesawat itu sampai ke kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Sejurus kemudian, ketika berada berhampiran sempadan udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat telah turut dimatikan.

Selepas itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat yang dipercayai MH370 melakukan pusingan. Ia kemudian terbang ke arah barat menyeberangi Semenanjung Malaysia sebelum berpusing ke arah barat laut.

Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputan radar utama tentera dan pergerakan itu menunjukkan ia telah dilakukan dengan sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu.

Hari ini, berdasarkan maklumat awal satelit yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan pesawat yang dikesan pada radar utama ialah MH370.

Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan memberikan pendapat yang sama.

Berdasarkan data baharu itu, komunikasi terakhir disahkan berlaku antara pesawat itu dengan satelit ialah pada pukul 8.11 pagi waktu Malaysia, Sabtu 8 Mac.

Pasukan penyiasat sedang melakukan kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin telah terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha mencari.

Disebabkan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada pada kali terakhir ia mempunyai hubungan dengan satelit.

Bagaimanapun, berdasarkan data baharu itu, pihak DCA dan pakar antarabangsa memutuskan kali terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit berlaku di salah satu antara laluan dua koridor: Koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu.

Dengan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia telah menumpukan kembali penyiasatan terhadap kru dan penumpang di dalam pesawat. Di sebalik laporan media yang menyatakan pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan kita masih menjalankan siasatan terhadap semua kemungkinan yang menyebabkan pesawat MH370 melencong daripada laluan asalnya.

Maklumat baharu satelit itu telah memberikan impak yang signifikan ke atas skop operasi mencari. Kita telah menamatkan operasi di Laut China Selatan dan mengumpul semula semua aset untuk memberi tumpuan ke kawasan pencarian baharu. Kami sedang bekerjasama dengan negara berkaitan bagi membantu menyalurkan maklumat berguna untuk operasi mencari termasuk data radar.

Memandangkan dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, duta-duta negara terlibat telah dijemput ke sesi taklimat mengenai maklumat baharu oleh Kementerian Luar dan pakar-pakar teknikal.

Saya turut mengarahkan Menteri Luar untuk memberi taklimat penuh kepada negara yang mempunyai penumpang terlibat dalam penerbangan tersebut. Pada pagi ini, Penerbangan Malaysia telah memaklumkan kepada keluarga penumpang dan kru mengenai perkembangan terbaharu itu.

Secara jelas, pencarian MH370 telah memasuki satu fasa baharu. Sejak lebih tujuh hari yang lalu, kami telah mengikuti semua petunjuk dan semua kemungkinan. Buat keluarga dan rakan-rakan penumpang MH370, kami berharap maklumat terkini membawa kita satu langkah ke hadapan untuk menemui pesawat itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved