Ahad, 2 Mac 2014

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Rokok penyebab kanser peti suara

Posted:

Rokok penyebab kanser peti suara

Rokok penyebab kanser peti suara

Oleh NOOR SYAHIDATOOL
AQMA MOHD. NOOR

GOLONGAN lelaki lebih mudah mengalami kanser peti suara disebabkan tabiat merokok.


SUARA merupakan satu bentuk komunikasi yang amat penting bagi manusia namun, nikmat ini kurang diberi perhatian melainkan setelah seseorang kehilangannya.

Hilang suara boleh disebabkan oleh faktor sementara seperti jangkitan saluran pernafasan atas, bengkak peti suara akibat penggunaannya yang keterlaluan mahupun radang saraf larinks.

Kebiasaannya hilang suara dalam kes-kes sebegini akan pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari atau minggu tetapi kanser peti suara boleh menjadi punca seseorang hilang suara untuk sementara atau selama-lamanya.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, peti suara adalah bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara.

"Kontribusi udara dari dalam paru-paru sewaktu menghembus nafas akan menggetarkan peti suara lalu menghasilkan bunyi.

"Ia seterusnya akan melalui rongga mulut dan hidung yang dikenali sebagai artikulator untuk memodulasi bunyi yang dihasilkan kepada bahasa yang difahami.

"Struktur peti suara terletak pada organ salur pernafasan yang dinamakan sebagai larinks. Larinks ialah bahagian tekak yang menyambungkan rongga mulut dan orofarinks di bahagian atas dengan trakea dan paru-paru di bahagian bawah," ujarnya.

Terganggu

Tambahnya, larinks merupakan bahagian tersempit yang terdapat di sepanjang saluran pernafasan manusia. Dalam keadaan normal, ia boleh terbuka serta tertutup selain bergetar untuk mengawal udara yang keluar masuk ke paru-paru serta menghasilkan suara.

"Dalam keadaan abnormal atau berpenyakit, suara mudah terganggu.

"Sama seperti organ badan yang lain, kanser boleh terjadi pada struktur peti suara.

"Kanser ialah suatu keadaan di mana sel-sel tumbuh tanpa kawalan dan dalam struktur larinks, peti suara (glotis) ialah struktur yang paling kerap menjadi kanser berbanding dengan struktur supraglotis (atas peti suara) dan subglotis (bawah peti suara)," jelasnya sambil memberitahu, jenis kanser yang paling kerap terjadi ialah karsinoma sel skuamus.


PETI suara merupakan bahagian terpenting yang mengatur penghasilan bunyi atau suara seseorang.


Beliau berkata, golongan lelaki lebih mudah mendapat penyakit ini disebabkan tabiat merokok yang tinggi berbanding wanita.

"Karsinogen iaitu bahan dalam asap rokok menjadi penyebab utama terjadinya kanser peti suara. Ini kerana asap rokok yang disedut akan melalui struktur peti suara sebelum sampai ke dalam paru-paru.

"Dengan meningkatnya jumlah wanita yang merokok, peratusan kanser peti suara yang dialami oleh golongan wanita juga dilihat makin bertambah.

"Selain itu, jangkitan saluran pernafasan oleh virus papiloma manusia, tabiat meminum alkohol, dan radiasi lampau untuk penyakit kanser lain turut menyumbang kepada risiko kanser peti suara ini," katanya.

Irfan menjelaskan, tanda awal bagi kanser peti suara ditunjukkan melalui perubahan suara. Pada kebiasaannya pesakit akan mendapati suara mereka menjadi serak yang tidak kembali ke nada asal selepas beberapa minggu.

Perubahan suara selepas jangkitan kuman saluran pernafasan atas adalah perkara biasa namun jika ia tidak pulih selepas dua atau tiga minggu, perhatian perlu diberikan. Ini kerana peti suara juga mengawal gerakan udara keluar masuk ke dalam paru-paru.

"Kewujudan sebarang bentuk ketumbuhan akan menyempitkan peti suara manakala ruang udara keluar masuk semakin kecil.

Malah, geseran permukaan peti suara yang mempunyai ketumbuhan akan mengakibatkan luka dan batuk berdarah.

Endoskopi

"Pesakit juga akan berasa sukar untuk menelan makanan," jelasnya sambil memberitahu, kanser tersebut boleh merebak ke kelenjar limfa di leher yang menyebabkan struktur tersebut menjadi bengkak.

Kanser peti suara juga boleh merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati sekali gus menunjukkan kanser tersebut telah berada pada tahap yang teruk.

"Dari segi rawatan, peti suara akan diperiksa menggunakan endoskopi untuk melihat ke dalam larinks. Proses ini dikenali laringoskopi. Keadaan sebenar dapat dilihat dan direkodkan apabila pesakit melalui proses ini tetapi jika terdapat keraguan, sampel tisu diperlukan.

"Prosedur ini biasanya dilakukan dalam keadaan pesakit dibius. Selain pemeriksaan larinks dan biopsi sampel tisu, bahagian leher dan kepala serta bahagian badan yang lain turut diperiksa," tambahnya.

Menurutnya, kanser peti suara dirawat dengan menggunakan kaedah radioterapi sekiranya ia berada pada peringkat awal kerana larinks dan peti suara masih dapat diselamatkan. Suara juga dapat dikekalkan selepas menjalani sesi terapi.

"Bagi kanser tahap tinggi, pembedahan tidak dapat dielakkan dan peti suara terpaksa dikeluarkan sama ada separuh atau semuanya bergantung kepada sejauh mana kanser itu menyerang.

"Jika ini berlaku, pesakit akan diberi pilihan untuk membantu mereka bercakap setelah peti suara dibuang," ujarnya.

Bahaya pakaian berwarna kuning

Posted:

Bahaya pakaian berwarna kuning

Bahaya pakaian berwarna kuning


PEMILIHAN warna turut memberi kesan kepada kesihatan.


SETIAP orang mempunyai warna kesukaan masing-masing, termasuk kuning.

Satu kajian mendapati, penggunaan warna kuning dikaitkan dengan risiko kesihatan yang serius.

Berdasarkan penemuan awal daripada kajian sebelumnya mendapati, bahan kimia beracun yang dikenali sebagai bifenil berpoliklorin (PCB), ditemui dalam pewarna kuning pada pakaian dan peralatan cetakan.

Bahan kimia itu dianggap mungkin menjadi karsinogen kerana diketahui dapat menyebabkan kanser pada haiwan, namun kesannya terhadap manusia belum diketahui.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mendapati, bahan kimia tersebut dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi berbanding kecacatan ketika lahir, kanser dan masalah perkembangan anak.

Penyelidik dari Universiti Rutgers di New Jersey, AS, Lisa Rodenburg berkata, produk kegunaan harian paling banyak mengandungi bahan kimia terbabit.

Kajian yang dimuatkan dalam jurnal Environmental Science & Technology itu menguji 16 helai pakaian kuning dan 28 sampel kertas.

"Sebanyak 16 sampel pakaian dan 26 sampel kertas disahkan positif bahan kimia terbabit.

"Penggunaan bahan ini berada pada fasa yang membimbangkan dan dikhuatiri jika pengguna telah berusaha menghindari produk berwarna kuning, mereka masih berisiko terkena racun tersebut melalui udara dan air, yang akhirnya dapat masuk ke dalam tubuh mereka," jelasnya.

Ujarnya, PCB juga boleh memasuki tubuh manusia melalui makanan atau minuman yang terdedah kepada bahan tersebut.

Kematian pasangan tingkatkan risiko serangan jantung

Posted:

Kematian pasangan tingkatkan risiko serangan jantung

Kematian pasangan tingkatkan risiko serangan jantung


SESEORANG yang kematian pasangan berisiko dua kali ganda untuk mendapat serangan jantung.


SERING dikatakan kehilangan pasangan akan membuatkan seseorang itu patah hati.

Satu kajian mendapati, mereka yang kehilangan pasangan disebabkan meninggal dunia lebih berisiko untuk terkena serangan jantung dan strok.

"Risiko serangan jantung dan strok meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh 30 hari pertama setelah seseorang kematian pasangan.

"Rasa sedih yang mendalam boleh meningkatkan risiko penggumpalan darah, tekanan darah, hormon stres dan kadar denyutan jantung," ujar penyelidik dari Universiti St George's London, England, Sunil Shah.

Kajian itu dijalankan ke atas 30,500 orang lelaki dan wanita di England berusia antara 60 hingga 89 tahun yang kehilangan pasangan antara tahun 2005 hingga 2012.

Para penyelidik membandingkannya dengan data sekitar 83,600 orang lelaki dan wanita yang tidak kehilangan pasangan pada waktu sama.

Penyelidik mendapati, dalam tempoh sebulan pertama setelah kematian pasangan, responden lebih berisiko terkena serangan jantung serta strok.

"Risiko ini meningkat hingga dua kali ganda berbanding mereka yang tidak kehilangan pasangan. Tetapi setelah melepasi 30 hari pertama tempoh berkabung, risiko ini mulai turun dan hampir sama dengan kelompok yang tidak berkabung," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved