Selasa, 18 Mac 2014

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Interaksi kesihatan Madesa

Posted:

Interaksi kesihatan Madesa

Interaksi kesihatan Madesa

Oleh NIZHA PERIASWAMY

KETUA UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli (depan, tengah) bergambar bersama penduduk Kampung Kelanang, Kuala Langat, Selangor selepas merasmikan program Doktor Bersama Rakyat di kampung berkenaan baru-baru ini.


KEMUDAHAN kesihatan merupakan keperluan asas yang utama dan perlu untuk dinikmati setiap rakyat. Perkhidmatan yang baik menjurus kepada visi negara untuk menyediakan kesihatan yang berkualiti.

Demi merealisasikan hasrat itu, masyarakat luar bandar didekati melalui program-program komuniti yang berteraskan elemen kesihatan agar dapat menjadi penggerak kepada kecemerlangan desa.

Inilah yang ditonjolkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Desa Cemerlang Malaysia (Madesa) apabila menganjurkan program Doktor Bersama Rakyat di beberapa kampung terpilih di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Objektif program itu adalah untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada masyarakat luar bandar termasuk pameran dan sesi penerangan khusus ala kaunseling mengenai penyakit-penyakit kronik.

Pengerusi Madesa, Dr. Rashid Abd. Mokti berkata, program turun padang itu mendapat sokongan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kesihatan Daerah untuk mempromosikan gaya hidup sihat.

"Program 'Doktor Bersama Rakyat' ini dilihat sebagai langkah tambahan untuk penduduk kampung mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang terbaik," katanya.

LAWATAN doktor di rumah pesakit di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Sepang.


Aktiviti

Pelbagai aktiviti diatur misalnya, ceramah kesihatan, pameran kerjaya, motivasi, kuiz, senamrobik dan kunjungan pemeriksaan kesihatan ke rumah pesakit.

Turut diadakan, peraduan menulis karangan kesihatan, pertandingan mewarna, sukaneka kanak-kanak, pertandingan memasak dan gubahan bagi wanita serta saringan pemeriksaan kesihatan.

Sebanyak tujuh buah kampung di Selangor dan sebuah di Negeri Sembilan terpilih menjayakan program Madesa.

Antaranya, Kampung Parit 11 Barat, Sungai Besar; Kampung Kelanang, Kuala Langat; Kampung Jugra, Banting; Kampung Desa Kasih, Parit 8 1/2 dan Kampung Batu 9, Kebun Baru Telok Panglima Garang.

Tiga lagi lokasi ialah Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Sepang; Kampung Jugra Morib, Kuala Langat dan Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Rashid memberitahu, program itu turut memberi pendedahan kepada para sukarelawan seperti doktor dan pegawai perubatan Jabatan Kesihatan Daerah dalam berinteraksi dengan penduduk kampung.

Katanya, kebanyakan kampung ini jauh dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan dan keadaan ini menyukarkan penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan yang sempurna.

"Ramai warga emas di kampung pula tinggal sendirian dan perlu dilatih semula untuk hidup berdikari dalam menjaga kesihatan.

"Golongan ini dinasihatkan mengutamakan pemakanan seimbang bagi mengelakkan menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis," katanya.

LELAKI ini tidak melepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan.


Berkesan

Sementara itu, beberapa sukarelawan pula memberitahu, program tersebut cukup berkesan selain menjadi saluran terbaik untuk menyampaikan mesej berhubung kesihatan kepada penduduk luar bandar.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Pilah, Dr. Wan Ruzaini Wan Razali berkata, program tersebut memberi inspirasi kepada dirinya untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit.

"Program ini memberi dimensi baharu kepada para doktor apabila melihat sendiri persekitaran dan latar pesakit semasa membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah," ujarnya.

Pandangan serupa diberi Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bagan Terap, Sungai Besar Kuala Selangor, Dr. Esme Khairiah Ambotang yang menyifatkan program itu mendekatkan lagi dirinya kepada masyarakat.

Ketua Kampung Sungai Dua Besar, Sahari Lasim pula memuji inisiatif Madesa dan berharap program itu diteruskan pada masa hadapan kerana memudahkan penduduk kampung berjumpa doktor tanpa perlu ke hospital.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved