Rabu, 5 Mac 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Gamit peserta dari enam benua

Posted:

Gamit peserta dari enam benua

Gamit peserta dari enam benua

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH


PELAJAR Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru mencuba kincir angin hasil ciptaan mereka di laman angin FLLSPG 2014.


LAYANG-LAYANG terbang dengan pelbagai pergerakan di ruang udara umpama pesawat kecil kawalan jauh.

Di atas padang pula, seramai 10 gadis yang menutup sebahagian muka dan berkaca mata hitam, bertungkus-lumus mengawal tali yang diikat pada layang-layang masing-masing mengikut rutin yang telah diatur dalam latihan.

Biarpun layang-layang mereka tidaklah sebesar layang-layang gergasi yang lain, namun kombinasi pergerakan menarik yang dipersembahkan berjaya memukau ribuan pengunjung yang hadir.

Pelbagai pergerakan akrobatik layang-layang yang dianggap sukar berjaya mereka lakukan, sekali gus mendapat pujian daripada penonton yang hadir.

Itulah keistimewaan 10 pemain layang-layang dari Kelab Layang-Layang Zhen You ketika menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2014 (FLLSPG), pada 19 hingga 23 Februari lalu.

Kumpulan anak gadis yang berasal dari Wilayah Tai Yuan, China itu merupakan antara 1,010 peserta dari dalam dan luar negara yang hadir mempamer kreativiti dan keunikan layang-layang ciptaan masing-masing pada FLLSPG 2014.

Bertempat di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, FLLSPG 2014 berjaya menggamit 234 peserta dari 39 negara asing membabitkan enam benua iaitu Asia, Australia, Eropah, Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan.

Luar biasa

Pelbagai jenis rekaan layang-layang unik dan menarik ruang udara Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang sepanjang festival itu berlangsung sekali gus menyajikan satu pemandangan luar biasa kepada para pengunjung.

"Ini merupakan kali pertama kami datang ke Malaysia untuk menyertai FLLSPG 2014," jelas Sherry Cai, 22, ketua kumpulan Zhen You Kite Club.

"Sejak lima tahun ditubuhkan, kumpulan kami hanya menyertai pertandingan layang-layang di seluruh dunia.

"Namun, kali ini kami memutuskan untuk datang ke sini bagi menyertai pertunjukan di FLLSPG 2014.

"Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana angin di padang ini sangat kuat dan cuaca juga sangat bagus. Saya bangga apabila sambutan penonton di negara amat bagus dan hebat," jelasnya lagi.


DUA pelayang sedang menaikkan layang-layang bertemakan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim.


Kemesraan

Dalam pada itu, Bernhard Dingwerth, 58, dari Hassel, Jerman pula memberitahu, dia tidak pernah terlepas menyertai FLLSPG sejak 2006.

Dingwerth yang menerbangkan layang-layang berbentuk burung kakak tua menjelaskan, keunikan dan kemesraan penduduk di Malaysia turut menarik minatnya untuk datang memeriahkan lagi FLLSPG tahun ini.

"Festival ini sesuatu yang sangat bagus kerana ia mengumpul ramai rakan pelayang dunia yang lain dari pelbagai negara.

"Saya sendiri tidak pernah gagal hadir di festival ini sejak menyertainya buat kali pertama pada tahun tahun 2006.

"Selain cuaca dan faktor angin yang baik di Malaysia, kemesraan, keunikan budaya dan makanan di negara ini turut memikat hati saya," ujarnya yang menyertai festival itu bersama empat lagi rakan lain.

Selain layang-layang istimewa dari Kelab Zhen You serta layang-layang burung kakak tua milik Dingwerth, pelbagai lagi reka bentuk layang-layang dari saiz biasa kepada saiz gergasi berjaya memukau pandangan penonton.

Antara reka bentuk layang-layang gergasi yang menarik perhatian ialah ikan paus, ikan pari, kuda, Harimau Malaya dan bola.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran dan Jualan Sejati Global Travel & Tours Sdn. Bhd., Saiful Mukhtar ketika dihubungi berkata, festival berkenaan adalah sebahagian daripada tarikan di Johor.

Katanya, pengunjung dari Kuala Lumpur antara yang sering membuat tempahan untuk berkunjung ke festival berkenaan.

"Kami bukan sahaja mengendalikan siri lawatan ke festival layang-layang malah festival belon panas di Putrajaya.

"Bagaimanapun, dalam konteks festival layang-layang ini, ia menerima sambutan baik dalam kalangan pelanggan," jelasnya.

Festival tersebut adalah sebahagian daripada acara sempena menyokong Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Festival bantu pelancongan negara

Posted:

Festival bantu pelancongan negara

Festival bantu pelancongan negara


SIEW KIONG (empat dari kiri) bersama pelayang dari negara China ketika sedang bermain layang-layang buatan mereka pada FLLSPG.


FESTIVAL Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2014 (FLLSPG) yang berlangsung pada 19 hingga 23 Februari dilihat antara platform utama bagi daya penarik pelancong asing datang ke Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepengunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong memberitahu peningkatan peserta luar negara kepada 39 buah berbanding 35 negara pada edisi tahun lepas, membuktikan bahawa festival yang diperkenalkan sejak 1995 itu memiliki prestij dan imej tersendiri dalam kalangan pelancong asing.

Justeru, jelas Siew Kiong, pihak kerajaan negeri percaya perkembangan itu adalah satu tanda positif buat industri pelancongan Johor, khususnya dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Memasuki edisi ke-19 penganjurannya, FLLSPG ini sudah pasti memiliki imej, pengalaman dan nama yang besar dalam kalangan pelancong asing.

"Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada festival ini kerana ia bukan sahaja menampilkan penyertaan domestik, bahkan turut melibatkan kedatangan peserta dari luar negara dan sekolah-sekolah seluruh Malaysia," jelas Siew Kiong.

Menurut Siew Kiong, semua pihak perlu terlibat dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 supaya ia mampu meningkatkan lagi perkembangan dan kemajuan industri pelancongan di negara ini, khususnya di Johor.

"Menerusi festival ini, kami yakin matlamat tersebut boleh tercapai. Pada festival ini hampir 500,000 pelancong datang menyaksikan kehebatannya dengan 10 peratus daripadanya merupakan pelancong asing," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FLLSPG, On Jabar menjelaskan, edisi ke-19 tersebut berjaya menarik lima buah negara baharu iaitu Georgia, Laos, Ireland, Nepal dan Bhutan.

"China pula menjadi negara terbanyak menghantar wakil iaitu 46 orang diikuti Singapura (32) dan Jepun (16).

"Jumlah penyertaan bagi peringkat kebangsaan juga amat menggalakkan iaitu 134 orang dari 12 negeri dan kelab, 288 pelajar dari 72 sekolah seluruh Malaysia, 14 pelajar sekolah dari lima negara ASEAN, 104 peserta di peringkat korporat dengan menjadikan jumlah keseluruhan ialah 1,010 peserta.

"Berdasarkan peningkatan ini, pihak kami mungkin membuat beberapa kejutan baharu pada edisi tahun depan supaya ia dapat menampilkan elemen-elemen baharu dan segar kepada semua peserta," jelasnya lagi.

Abu Simbel diterangi matahari selama dua hari

Posted:

Abu Simbel diterangi matahari selama dua hari

Abu Simbel diterangi matahari selama dua hari


PATUNG berkembar di pintu masuk Kuil Abu Simbel ini diukir daripada tebing gunung.


RIBUAN pelancong membanjiri kawasan Kuil Abu Simbel di Aswan, Mesir untuk menyaksikan sendiri fenomena cahaya matahari menerobos ruang dalaman kuil di samping menerangi ukiran patung Firaun Ramses II.

Berlangsung hanya dua hari dalam setahun, Festival Matahari itu jatuh pada hari Sabtu bersamaan 22 Februari lalu.

Sehari sebelum magis itu berlangsung, para pengunjung sudah mula memenuhi kawasan kuil dengan keterujaan yang maksimum.

Penari Nubia dengan wajah yang gembira menari tanpa henti sambil melenggokkan badan mengikut rentak irama bagi menyambut festival itu dan menghiburkan pelancong yang hadir.

Mereka yang berkumpul tidak sabar menunggu waktu terbitnya matahari menerangi kuil berusia lebih 3,200 tahun itu.


FIRAUN RAMSES II mengukir patung berkembar setinggi 21 meter ini sebagai lambang kekuasaannya di Mesir.


Tenang

Seorang pelancong Jerman, Mattias Vohmart berkata, hatinya tenang saat menyaksikan terbit matahari 'menyirami' kuil purba tersebut.

"Sukar untuk saya masuk ke dalam kuil. Saya sekadar melihat pencahayaan matahari dari luar. Ia sangat mengujakan apabila melihat matahari menerangi patung sebelum naik ke langit," katanya.

Kuil Abu Simbel bukan sahaja terkenal dengan peristiwa tersebut malah, ia adalah bukti cinta Ramses II terhadap permaisurinya.

Ramses II yang mati pada tahun 1212 Sebelum Masihi adalah pemerintah agung sehingga berjaya meluaskan empayar Mesir dengan membina pelbagai monumen dan kuil sepanjang 67 tahun pemerintahannya.

Kuil Abu Simbel dibina atas perlambangan cintanya terhadap Permaisuri Nefertari selain meraikan kemenangan menumpaskan wilayah Nubia.

Malah, tarikh 22 Februari dan 22 Oktober dikhabarkan sebahagian tarikh penting Firaun dalam menyambut hari kelahiran dan pertabalannya sebagai raja.

Bagaimanapun, terdapat juga pendapat menyatakan, ia adalah tarikh perubahan musim yang berkait rapat dengan musim pertanian dan penuaian.

Ketika matahari mulai menembusi ruang dalaman kuil, tiga patung diterangi cahaya iaitu Amun Ra, Ramses II dan Ra-Horakhty yang disinari dalam jangka masa 20 minit.

Hanya patung Ptah yang mewakili tuhan kegelapan tidak terkena cahaya tersebut.


SETIAP tahun pada 22 Februari dan 22 Oktober, Kuil Abu Simbel dibanjiri pengunjung untuk menyaksikan matahari terbit menerangi ruang dalaman kuil.


Keselamatan

Tony Talmage pelancong dari Sussex, England yakin terhadap tahap keselamatannya sepanjang berada di Mesir.

"Saya sangat selesa berada di Mesir. Pelbagai tempat menarik boleh dilawati. Saya sangat gembira dan rasa selamat," tuturnya.

Seminggu sebelum festival itu berlangsung, dua pelancong Korea Selatan termasuk seorang rakyat tempatan terbunuh dalam kejadian letupan bas di selatan Sinai berdekatan sempadan Israel.

Berikutan kejadian itu, kawalan keselamatan di sekitar kuil diperketatkan sepanjang dua hari satu malam festival itu berlangsung.

Seramai 50 anggota polis diarahkan untuk mengawal keselamatan di kuil itu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Gabenor Aswan, Mostafa Yousri berkata, kejayaan festival itu berlangsung dengan jayanya adalah perlambangan rakyat Mesir yang mahukan kehidupan yang aman tanpa sebarang ancaman keselamatan.

"Mesej ini menunjukkan rakyat Mesir tidak mudah mengaku kalah dengan ancaman. Kami akan kekalkan khazanah yang ada dan hidup gembira," tegasnya.

Pengurus Besar Antikuiti Abu Simbel, Ahmad Saleh berkata, walaupun Mesir sedang bergelut dalam sektor pelancongan, lokasi bersejarah itu tetap berlangsung dalam suasana yang penuh meriah.

"Kami menjangkakan lebih ramai pelancong ke sini. Bagaimanapun, kejayaan mencatatkan 450 pelancong luar negara dan 5,000 pelancong tempatan sudah cukup memberangsangkan," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Mesir, Hisham Zaazou mendedahkan pendapatan sektor pelancongan Mesir merundum sebanyak 41 peratus kepada AS$5.9 bilion (RM19 bilion) pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved